Ads

Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak, Tanda Bahaya Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!

Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak, Tanda Bahaya Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!

Pernah tak ibu ayah perasan anak kerap menggaru bahagian dubur terutama ketika waktu malam? Ada juga anak yang sering mengadu sakit perut, kelihatan pucat atau berat badannya susah bertambah walaupun selera makan nampak seperti biasa.

Keadaan ini mungkin berkait dengan jangkitan cacing pada kanak-kanak. Namun, perlu diketahui bahawa terdapat beberapa jenis cacing yang boleh menjangkiti usus kanak-kanak dan setiap satunya boleh menyebabkan gejala yang berbeza.

Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak, Tanda Bahaya Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!

Jenis Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak Yang Perlu Diketahui

Jenis cacing yang menjangkiti kanak-kanak tidak semestinya sama. Gejala yang dialami juga boleh berbeza bergantung kepada jenis cacing dan tahap jangkitan.

1. Cacing kremi atau cacing benang

Cacing kremi merupakan cacing kecil berwarna putih yang biasa menyebabkan rasa gatal yang kuat di sekitar dubur, terutamanya pada waktu malam. Keadaan ini berlaku apabila cacing betina bergerak ke kawasan sekitar dubur untuk bertelur.

Telurnya pula sangat mudah tersebar. Ia boleh melekat pada tangan, celah kuku, pakaian, tuala dan juga cadar. Sebab itu, anak yang menggaru kawasan tersebut kemudian menyentuh makanan atau memasukkan tangan ke dalam mulut berisiko dijangkiti semula.

2. Cacing gelang

Cacing gelang boleh hidup dan membesar di dalam usus kanak-kanak. Jika jumlahnya sedikit, anak mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda yang ketara.

Namun, jangkitan yang banyak boleh menyebabkan sakit perut, perut kelihatan membuncit, kekurangan zat makanan serta pertumbuhan yang terganggu. Dalam kes yang serius, kumpulan cacing ini juga boleh menyebabkan saluran usus tersumbat.

3. Cacing cambuk

Jangkitan cacing cambuk boleh menyebabkan masalah seperti sakit perut dan cirit-birit yang berpanjangan. Kanak-kanak yang mengalami jangkitan lebih berat juga berisiko mengalami anemia dan masalah tumbesaran.

Dalam keadaan yang sangat teruk, jangkitan ini boleh menyebabkan rektum terkeluar dari dubur, satu keadaan yang memerlukan pemeriksaan serta rawatan perubatan.

Ads

4. Cacing kerawit

Berbeza dengan sesetengah cacing lain, larva cacing kerawit boleh memasuki tubuh melalui kulit. Risiko ini boleh berlaku apabila kanak-kanak berjalan tanpa memakai kasut di atas tanah yang telah tercemar.

Selepas masuk ke dalam tubuh, cacing kerawit akan melekat pada dinding usus dan menghisap darah. Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan anemia. Anak mungkin kelihatan pucat, mudah penat, lemah atau kurang aktif berbanding biasa.

5. Strongyloides dan cacing pita

Jangkitan Strongyloides dan cacing pita mungkin tidak sekerap jenis cacing lain dalam kalangan kanak-kanak, tetapi ia masih boleh berlaku.

Antara tanda yang mungkin muncul termasuk sakit perut, cirit-birit, ruam pada kulit atau kelihatan bahagian cacing pada najis.

Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak, Tanda Bahaya Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!

Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak Tidak Semestinya Ada Gejala

Perkara penting yang ibu ayah perlu tahu ialah ramai kanak-kanak yang mempunyai jangkitan cacing pada kanak-kanak sebenarnya tidak menunjukkan sebarang gejala.

Ads

Dalam masa yang sama, perut yang kelihatan buncit atau tubuh yang kurus juga bukan bukti bahawa seseorang kanak-kanak mempunyai cacing. Pelbagai keadaan lain boleh menyebabkan perubahan fizikal seperti ini.

Sebab itu, pemeriksaan yang betul penting sekiranya terdapat tanda yang mencurigakan.

Bila Perlu Bawa Anak Jumpa Doktor?

Ibu ayah disarankan mendapatkan pemeriksaan perubatan jika mendapati cacing kelihatan pada najis atau di sekitar dubur anak, kegatalan dubur berlaku dengan teruk terutama pada waktu malam, anak mengalami sakit perut atau cirit-birit yang berpanjangan, kelihatan pucat dan lemah atau berat badannya tidak menunjukkan peningkatan.

Perhatian segera juga diperlukan jika anak mengalami perut yang sangat kembung bersama muntah atau tidak dapat membuang air besar kerana keadaan tersebut boleh menjadi tanda masalah yang lebih serius.

Elakkan memberikan ubat cacing secara berulang kali tanpa mengetahui dos yang sesuai. Tidak semua jangkitan cacing pada kanak-kanak dirawat dengan cara yang sama. Sesetengah jenis cacing mungkin memerlukan pemeriksaan tambahan serta rawatan khusus.

Ads

Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak, Tanda Bahaya Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!

Cara Mencegah Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak

Amalan kebersihan harian memainkan peranan besar dalam mengurangkan risiko jangkitan cacing pada kanak-kanak. Biasakan anak mencuci tangan menggunakan sabun, terutama selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.

Pastikan kuku sentiasa pendek dan bersih, galakkan anak memakai kasut ketika bermain di luar, gunakan tandas yang bersih serta basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sempurna sebelum dimakan.

Walaupun saiznya kecil, jangkitan cacing yang banyak boleh memberi kesan kepada pemakanan, proses tumbesaran dan kesihatan keseluruhan kanak-kanak.

Jadi, jika ibu ayah melihat perubahan yang mencurigakan pada anak, jangan hanya menganggapnya perkara biasa. Pemeriksaan awal boleh membantu mengenal pasti punca sebenar dan memastikan anak menerima rawatan yang sesuai.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Public Health Malaysia

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

Tragedi Pilu Sekolah Di Thailand: 5 Nasihat Penting Buat Ibu Bapa

Tragedi tembakan sekolah Thailand pada 2026 menjadi peringatan serius tentang tekanan dan kesihatan mental anak. Ini 5 nasihat penting untuk ibu bapa.