Bayi berusia enam bulan sudah sepatutnya diperkenalkan dengan makanan pejal. Sebaiknya ibu masak sendiri makanan bayi daripada bahan yang berkhasiat. Selain menyihatkan kebersihan dan keselamatan makanan lebih terjamin.
Tentu pada peringkat permulaan, ibu pening kepala apa bahan yang patut diperkenalkan terlebih dahulu. Memang ada banyak cadangan bahan makanan yang patut diperkenalkan tetapi senarai makanan berikut adalah yang paling berkhasiat dan mesti diberi kepada bayi dalam bentuk puri.
Kentang
Bagi bayi berusia enam bulan yang baharu mengenal makanan pertama, ibu boleh beri puri kentang. Tekstur kentang yang lembut membantu anak mudah memakannya. Kentang juga kaya dengan karbohidrat, vitamin C dan B kompleks yang membantu penyerapan karbohidrat. Kentang mudah dihadam dan ini dapat mengelakkan bayi menghadapi masalah penghadaman.
Ads
Ubi keledek
Ubi juga boleh menjadi makanan pertama bayi kerana mengandungi khasiat yang diperlukan badan seperti vitamin A, beta karoten dan potasium yang tinggi. Bahkan ia juga kaya dengan vitamin E, kalsium, serat yang baik untuk proses penghadaman. Rasanya yang lemak manis juga pasti digemari oleh si comel anda.
Jagung
Ads
Jagung juga terkenal sebagai bahan makanan kaya dengan karbohidrat. Ibu boleh membuat bubur jagung manis atau dikisar sebagai puri. Jagung juga mengandungi kalsium dan fosfor yang penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi, kaya vitamin A dan B1 yang diperlukan oleh badan. Maka sumber vitamin A yang baik untuk kesihatan mata bayi bukan hanya diperoleh daripada lobak merah sahaja.
Ads
Pisang
Keenakan lemak manis pisang pasti digemari oleh bayi. Pisang kaya dengan kalium dan vitamin B. Kandungan vitamin dan mineral yang terdapat dalam pisang lebih baik dibandingkan dengan buah dan sayur lain. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mengandungi empat kali lebih banyak protein, dua kali lebih banyak karbohidrat dan lima kali lebih banyak vitamin A dan zat besi.
Labu
Labu disarankan diberi sebagai makanan pejal pertama bayi kerana ia kaya dengan serat baik untuk penghadaman dan memiliki tekstur yang lembut. Ia mengandungi banyak khasiat seperti vitamin A, B, C, beta karoten, kalsium, zat besi, folat dan protein.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun anda dan pasangan merupakan ibu bapa yang sangat cermat, akan ada juga masa di mana situasi tidak dapat dikawal dan akhirnya si kecil anda jatuh sakit. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu khuatir sekiranya bayi anda dijangkiti penyakit-penyakit biasa yang akan sembuh seiring dengan peredaran masa. Apa yang anda perlu lakukan adalah menjaga bayi anda dan ubah sedikit diet seharian mereka.
Berikut merupakan beberapa perkara yang ibu bapa perlu tahu untuk menjaga pemakanan bayi yang sakit:
Bagaimanakah anda perlu menyusukan bayi anda yang sakit?
Penyusuan badan merupakan cara utama untuk membekalkan bayi anda yang masih lemah dengan antibodi dan nutrien penting. ini sangat diperlukan untuk anak anda menguatkan sistem imun dan melawan bakteria. Oleh itu, teruskan memberi bayi anda susu badan. Anda juga boleh memberikan mereka susu formula tetapi bukan pada kekerapan dan jangka masa yang lama. Ini kerana bayi yang sedang sakit cenderung untuk muntah setiap kali selepas sesi penyusuan.
Perlukah anda terus menyuapkan makanan pejal kepada mereka?
Anda boleh terus menyuapkan makanan pejal kepada bayi anda selagi makanan tersebut mudah untuk dihadam, mengandungi nutrien yang tinggi dan bayi anda masih mahu untuk memakannya.
Apakah yang perlu dilakukan sekiranya mereka tidak mahu makan makanan pejal?
Jangan memaksa mereka untuk makan sebaliknya tukarkan diet bayi anda daripada makanan pejal kepada minuman sekiranya mereka tidak berselera untuk makan. Ini mungkin menunjukkan badan mereka terlalu letih untuk menerima sebarang jenis makanan. Ketika ini, anda perlu memberikan makanan cair atau minuman yang tinggi nutrisi dan pastikan mereka kekal berhidrasi.
Apa yang perlu diberikan kepada bayi anda yang sedang sakit?
Pakar perubatan menyarankan ibu bapa untuk mengubahsuai sedikit sajian bayi anda bergantung kepada jenis penyakit mereka:
Batuk dan demam selsema: tingkatkan pengambilan vitamin C mereka dengan menambahkan bawang merah, bawang putih dan pelbagai makanan kaya vitamin C yang lain. Jika bayi anda berusia 1 tahun ke atas, anda juga boleh berikan mereka air suam bercampur madu. Produk tenusu tidak disarankan kerana ia akan mengakibatkan senak perut dan meningkatkan penghasilan mukus.
Sakit perut: tingkatkan pengambilan cecair dan berikan makanan yang mudah untuk dihadam. Doktor juga mungkin mencadangkan kanak-kanak yang yang mengalami sakit perut untuk mengikut diet BRAT (banana-rice-apple-toast).
Proses penyembuhan
Selera bayi anda akan kembali setelah mereka sembuh. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu tergopoh-gapah dan memaksa mereka untuk mengikut diet sajian yang anda mahukan selagi mereka masih belum bersedia. Berhubunglah dengan doktor anda untuk memberikan vitamin atau suplemen bagi mempercepatkan proses penyembuhan bayi anda.
Pada usia 6 bulan bayi mula diperkenalkan dengan makanan pejal. Kebanyakan bayi akan mula dibiasakan dengan makanan jejari ketika umurnya 8 bulan. Pada umur ini, bayi biasanya telah menguasai kemahiran memegang dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.
Makanan jejari sebenarnya membantu menggalakkan kemahiran dan memperbaiki koordinasi antara tangan dan mulut bayi. Makanan jejari yang anda sediakan akan menjadi bahan menarik untuk dia belajar kemahiran baru.
Namun begitu, ramai ibu yang khuatir untuk memberi makanan jejari sekiranya bayi belum tumbuh gigi. Untuk makluman, bayi yang tidak bergigi akan menggunakan gusinya yang keras untuk mengunyah makanan jejari tersebut.
Jenis makanan yang boleh diberi sebagai makanan jejari amat mudah disediakan. Tidak semestinya anda membeli biskut jejari yang sedia dijual di pasaran. Adalah lebih baik anda menyediakannya sendiri di rumah. Bukan sahaja lebih murah dan bersih. Lebih daripada itu, ia lebih berkhasiat! Anda juga dapat mempelbagaikan tekstur, warna dan rasanya yang amat bagus untuk penggunaan deria bayi.
Antara makanan yang sesuai dijadikan makanan jejari adalah sayur-sayuran seperti brokoli, ubi keledek, ubi kentang dan labu. Buah-buahan seperti pisang, tembikai, epal, betik dan mangga. Sumber protein seperti tauhu dan ayam. Karbohidrat seperti roti dan biskut.
Sayur-sayuran atau buah-buahan yang hendak anda berikan kepada bayi sebagai makanan jejari hendaklah dipotong memanjang 2 – 3 inci dengan ketebalan lebih kurang 1/2 inci. Makanan ini boleh anda kukus atau rebus. Pastikan makanan tersebut lembut dan mudah dikunyah. Buah-buahan seperti pisang, betik dan avokado pula boleh diberi mentah.
Perkenalkan makanan jejari satu demi satu, tambah jenis yang lain secara perlahan-lahan. Jika bayi tidak menyukai sesetengah jenis makanan, teruskan mencuba dan tunggu sehingga dia bersedia.
Gunalah kreativiti anda untuk menarik perhatiannya. Anda boleh juga buat bahan pencicah (dip) yang bersesuaian dengan selera anak. Diharapkan rasa yang pelbagai akan membuatkan anak anda suka dengan makanan jejari yang disediakan.
Jika bayi sedang melalui proses pertumbuhan gigi, beri dia makanan yang sejuk bagi melegakan gusinya yang gatal dan tidak selesa itu. Antara makanan yang boleh diberi ialah tembikai atau pisang yang dibekukan.
Anda harus selalu perhatikan bayi ketika dia makan makanan jejari. Pastikan dia duduk dengan tegap, bukan berbaring atau meniarap. Hal ini boleh menyebabkan bayi tercekik! Elakkan juga daripada meninggalkan bayi ketika dia makan makanan jejari berseorangan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amalan pemakanan yang tidak sihat boleh menyebabkan anak susah makan. Jom ketahui cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tabiat makanan anak ini!
Tabiat pengambilan makanan anak
Memastikan anak mendapat makanan berkhasiat dan seimbang sudah menjadi 1 kemestian buat mereka yang bergelar ibu bapa. Dalam masa yang sama, sebagai ibu bapa, amat penting untuk anda memahami tabiat pengambilan makanan anak.
Ini kerana apabila anda mengetahui isyarat bahawa mereka sudah kenyang, ini sekali gus dapat mengelakkan amalan pemakanan yang tidak sihat seperti makan secara paksa.
Sebaiknya, biarkan anak makan mengikut selera mereka. Mulakan dengan menawarkan makanan dalam saiz hidangan yang lebih kecil dan menambahnya jika mereka meminta. Namun tidak dinafikan ada parents yang mungkin berdepan beberapa isu berkaitan amalan pemakanan yang tidak sihat.
Jangan bimbang, ada cara untuk mengatasinya.
Amalan pemakanan yang tidak sihat & cara mengatasinya
Bercakap mengenai tabiat pemakanan tidak sihat, ia boleh melibatkan tabiat makanan anak yang cerewet makan. Pastinya ibu susah hati apabila anak sering menolak semasa diberikan makanan yang bukan menjadi kegemaran mereka.
#1. Makan makanan tertentu
Untuk mengatasi amalan pemakanan yang tidak sihat ini, antara cara boleh dicuba adalah:
Tawarkan finger food
Sediakan makanan dalam potongan kecil yang memudahkan mereka untuk makan dengan sendiri.
Menjadi contoh
Sebagai ibu bapa berikan contoh terbaik dengan memakan pelbagai jenis makanan. Anda juga harus elak daripada memberikan komen mengenai makanan yang disukai atau tidak.
Saiz hidangan
Untuk makanan anak yang digemari, letakkan dalam jumlah kecil. Jangan lupa untuk turut menyertakan sekali makanan lain yang anda mahu perkenalkan kepada si kecil.
Terus tawarkan makanan baharu tetapi jangan memaksa
Dengan pendedahan berulang, kebanyakan anak dipercayai akan mencuba makanan baharu. Jika tidak, jangan terus memaksa. Percayalah lama kelamaan seiring dengan peningkatan usia, akan berlaku perubahan dalam tabiat pemakanan anak.
#2. Tidak makan sayur-sayuran
Anak tidak mahu makan sayur-sayuran adalah masalah yang paling biasa untuk terjadi. Apa kata ibu cuba strategi ini:
Pelbagai warna
Siapa kata sayuran hanya perlu berwarna hijau dan berdaun? Ibu, jadilah kreatif dengan menyediakan pelbagai sayuran berwarna dan bentuk seperti jagung, labu, lobak merah, bunga kubis, tomato dan cendawan butang.
Tambahkan dalam sos atau makanan
Anda juga boleh mencampurkan sayuran dalam sos atau makanan yang akan disediakan kepada anak. Sebagai contoh, kisar lobak merah dan cincang cendawan butang untuk dimasukkan ke dalam sos spageti bersama campuran ayam atau daging.
#3. Enggan mengunyah
Mungkin kedengaran agak pelik. Tetapi ia antara amalan pemakanan yang tidak sihat boleh terjadi pada si kecil. Untuk mengatasi keadaan ini:
Pantau keadaan anak
Ini untuk memastikan mereka mempunyai kemahiran motor yang diperlukan untuk mengunyah.
Perubahan tekstur
Adakalanya anak mungkin sudah terbiasa untuk terus menelan apabila sering diberikan makanan seperti bubur. Jadi secara beransur-ansur, lakukan perubahan pada tekstur makanan mereka.
#4. Mengambil masa lama untuk makan dan menyimpan makanan dalam mulut (rumination)
Kaedah yang boleh dicuba untuk mengatasi keadaan ini:
Tiada kemahiran
Si kecil mungkin tidak mempunyai kemahiran motor untuk mengendalikan makanan yang diberi. Jadi ibu boleh cuba untuk membantu dengan menyediakan makanan dalam saiz dan potongan yang kecil.
Kurangkan gangguan
Kadang-kala tabiat makanan anak berlaku apabila terdapat banyak gangguan persekitaran. Jadi sebaiknya, apabila tiba waktu makan, minimumkan segala gangguan daripada televisyen, barang permainan dan pastikan anak duduk dengan sebaiknya.
#5. Memilih makanan sendiri
Ia satu keadaan biasa apabila anak kecil yang berusia 18 bulan ke atas ingin lebih berdikari, termasuklah dalam aspek pemilihan makanan. Atasinya dengan:
Berikan pilihan kepada anak
Contohnya sama ada ingin makan nasi atau pasta. Elakkan daripada memberikan soalan terbuka, seperti, “Apa yang awak ingin makan?”
Tegas dalam membuat keputusan
Dalam mengatasi isu berkaitan tabiat pemakanan yang tidak sihat ini, anda perlu tegas dalam setiap perkara. Pastikan setiap ahli keluarga lain seperti pasangan mahupun datuk atau nenek turut melakukan perkara yang sama. Ini kerana jika anda tidak konsisten mungkin sukar untuk mengatasi masalah ini.
Berdepan keadaan anak sukar makan atau memilih dalam aspek pemakanan adalah satu cabaran buat ibu bapa. Walaupun ia boleh menimbulkan kerisauan, namun percayalah ia adalah keadaan normal yang dialami oleh kebanyakan ibu bapa lain dan seiring peredaran masa, ia akan selesai dengan sendiri.
Tetapi jika tabiat makanan anak mendatangkan kebimbangan, berbincanglah dengan pakar pediatrik untuk penyelesaian yang lebih baik.
_
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!