Pelakon Datin Zizie Izette seronok melihat kegembiraan anak angkatnya, Nayla Nurjenna atau mesra dengan panggilan Jenna bertemu dengan saudara kembarnya, Niza.
Zizie akui bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya.
Menerusi perkongsian itu, Zizie memuat naik foto mereka berdua yang berpelukan dan berpimpinan tangan.
Sebelum Zizie berkongsi gambar kembar anak angkatnya, ramai yang tak mengetahui Jenna mempunyai saudara kembar yang seiras.
Rata-rata peminatnya mengharapkan agar Zizie terus merapatkan hubungan adik beradik ini dan tak memisahkan mereka berdua walaupun jarak jauh kerana difahamkan Niza berada di Sabah.
Zizie mendirikan rumah tangga dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Disember 2009.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan kembar lelaki berusia dua tahun iaitu Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette, serta anak perempuan, Aalisa Belle Izette yang kini berusia lima bulan.
Pasangan itu turut mempunyai dua anak angkat iaitu Nayla Nurjenna dan Aaric Zayn Izette.
Sumber: Gempak & Ig Zizie Izette
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebanyakan ibu bapa selalu merungut anak susah nak tidur awal waktu malam. Ada tu pukul 1 atau 2 pagi pun anak masih lagi segar dan ajak nak bermain.
Bagi ibu bapa yang bekerja ini yang menambahkan lagi tekanan kerana esok kena bangun awal sehingga boleh menyebabkan badan letih dan tak cukup rehat.
Jika diikutkan kita boleh je nak disiplinkan anak. Syaratnya kena mulakan sejak bayi lagi. Apa yang dikongsikan oleh papa ini, Muhammad Syahrul Fitri Zawawi (Dr Syahr Musafir) boleh dijadikan panduan bersama.
—————————————————————————–
Sepanjang 6 tahun 6 bulan (ikut usia Along) saya dan isteri bergelar bapa dan ibu, kami tak pernah berjaga malam kerana anak-anak bermain, tak mahu tidur, merengek tak tentu pasal. Jam 9 malam secara konsisten anak-anak masuk tidur dan bangun sekitar Subuh setiap pagi.
Pengalaman dengan 3 orang anak ini, sepanjang malam anak-anak akan tidur, kecuali masa nak menyusu (logiklah, anak kecil), tetapi menyusu ini tidak dikategorikan sebagai berjaga. Kalau waktu demam pun selalunya tidur tetapi mahu diriba atau dipeluk, kerana tidak sihat atau perlukan perhatian. Saya dan isteri memilih untuk berjaga sebab nak pantau suhu dan keadaan anak-anak, bukan sebab anak-anak tak nak tidur.
Saya kongsi apa yang saya dan isteri saya buat. Mana yang baik, ambillah. Mana yang tak baik, abaikanlah. Ini bukan tulisan arahan, ini bukan tulisan menyuruh memaksa. Ini adalah perkongsian pengalaman 6 tahun sebagai ibu bapa dan punya 3 anak kecil. Bukan membangga diri, tetapi berkongsi untuk diambil manfaat oleh ibu bapa yang mahu.
Papa adalah saya, Mama adalah isteri saya, supaya lebih mudah faham.
1) Disiplin Tidur Ibu Mengandung
Kandungan berusia 6 minggu, baru kami tahu Mama mengandungkan Along. Ketika itu tahun 2010, kami berada di Australia nak menghabiskan tahun akhir pengajian ijazah (Bachelor degree). Seperti yang kita faham, apa sahaja ‘perangai’ ibu mengandung akan diikuti oleh si anak. Maka bermulalah Disiplin Tidur Ibu Mengandung yang Mama amalkan.
Jam 10 malam, Mama kena berhenti daripada melakukan semua aktiviti fizikal dan masuk bilik untuk mula rehat. Ada masanya Mama buat sudoku, baca buku, tilawah al-Qur’an, menonton video atau mendengar ceramah. Sekitar 11 malam, Mama akan tidur.
Untuk disiplin ini, Papa ambil alih tugas-tugas rumah. Kemas rumah atau cuci pinggan mangkuk segala bagai, Papa kena buat. Sudah jam 11 malam, Mama mengandung kena rehat.
2) Disiplin Masa Tidur Sejak Dari Bayi; Siang Cerah, Malam Gelap
Hari pertama Along dilahirkan, Mama amalkan disiplin yang sama tetapi ubah masa. Masuk waktu Maghrib, bilik tidur akan digelapkan (tutup lampu). Bukan nak tidur terus selepas waktu Maghrib, tetapi untuk ‘mengajar’ bayi bahawa siang sudah berganti malam. Mama menyusu dalam keadaan gelap, hanya diterangi lampu tidur.
Along tidur sepanjang malam, hanya bangun nak menyusu sahaja.Tiba waktu Subuh, Papa akan hidupkan lampu untuk cerahkan bilik. Bayi bangun menyusu dalam keadaan bilik cerah. Nak mengajar bayi bahawa malam sudah berganti siang pula.
Sepanjang siang, jangan gelapkan bilik atau ruang yang Mama guna. Alhamdulillah sepanjang pantang, bayi tidur di ruang cerah sepanjang siang dan tidur di ruang gelap sepanjang malam. Jadual tidur bayi konsisten tidur sepanjang malam sekitar Isyak dan bangun sekitar Subuh, hanya bangun menyusu sahaja.
Ada ibu bapa muda yang risau anak-anak kecil tidur dalam bilik gelap – this is OK. Tak salah apabila kita risau. Tapi apabila terlalu risau, boleh jadi salah. Kalau tak nak betul-betul gelap, boleh guna night light yang kecil macam kami.
Yang penting, siang itu cerah, malam itu gelap. Siang untuk aktiviti, malam untuk tidur.
3) Teruskan Sepanjang Membesar Dan Sehingga Membesar
Alhamdulillah dari hari pertama Along melihat dunia, disiplin masa tidur yang kami amalkan ini diikut oleh Along.
Cabaran bermula apabila Along sudah mula pandai berjalan, usianya 1 tahun, Along sudah mula kurang tidur siang. Kami mula risau adakah disiplin masa tidurnya akan berubah. Sangkaan kami meleset kerana ikut pengalaman kami, semakin banyak aktiviti anak semasa siang, anak akan kepenatan dan tidur awal pada malamnya. Ketika ini Along merengek nak tidur sekitar jam 5 petang, kami mandikan, sekitar jam 5.15 sudah masuk waktu Maghrib di Australia (musim sejuk), Along akan menyusu dan tidur sepanjang malam sehingga ke sekitar waktu Subuh. Lebih kurang 11 jam cukup untuk tidur malam, selebihnya 2 hingga 3 jam jam tidur siang. Anak seusia 1 hingga 3 tahun perlukan waktu tidur sekitar 12 hingga 14 jam sehari.
4) Anak Kedua Ikut Pattern Tidur Anak Pertama
Along mengikut disiplin tidur ini secara konsisten sehingga berusia 2 tahun 3 bulan ketika menerima kelahiran adiknya, cahaya mata kedua kami iaitu Angah IY.
Mama mula tumpukan perhatian lebih kepada bayi, mengikut disiplin tidur yang sama kami amalkan ketika Along masih bayi dulu. Sekitar waktu Maghrib-Isyak, Mama menguruskan bayi yang nak tidur.
Oleh sebab Mama perlu jaga bayi baru, Papa perlu menguruskan Along. Papa akan pastikan Along melakukan pelbagai aktiviti pada waktu siang, tidur yang produktif (maksudnya tidur dalam 1 hingga 2 jam pada siang) dan bermain, belajar, pada waktu tidak tidur. Bak kata orang, “Biar anak penat waktu siang, jadi anak akan tidur pada waktu malam…” Lebih kurang beginilah. Alhamdulillah, berjaya.
Angah, dari usia bayinya sehingga membesar dan merangkak, mengikut disiplin tidur malam yang sama seperti Along.
Sepanjang membesar, kami menjangkakan cabaran yang pelbagai. Tetapi semuanya jadi mudah kerana Angah ‘mengikut’ disiplin Along. Along nak tidur, Angah pun jadi nak tidur. Jadi disiplin ini berterusan…
5) Luang Masa Bersama Anak Ketika Nak Tidur
Sudah semestinya anak-anak kecil takkan tidur sewenang-wenangnya sebegitu. Ada beberapa perkara yang kami lakukan untuk ‘tidurkan’ anak-anak. Lebih kurang nak pujuk supaya tidurlah, katakan.
– Bercerita
Anak-anak, sejak kecil, sudah boleh faham apa sahaja kita cakap. Bercerita apa sahaja, anak-anak akan seronok. Apabila Papa tak ada idea nak bercerita, Papa akan bacakan buku cerita. Apabila tak ada idea lain, Papa akan menyanyi lagu-lagu yang menenangkan.
– Bacaan al-Quran dan selawat
Ini paling mujarab. Papa selalu bacakan Surah As-Saff, anak-anak akan mengikut bibir dan akhirnya tidur.
Bahkan Mama lebih konsisten dan istiqamah kerana Mama menyusu badan buat Along dan Angah. Masa yang banyak antara Mama dan anak-anak menjadikan bonding yang cukup kuat. Alhamdulillah… Anak-anak jadi menurut kata, dengar dan taat, alhamdulillah, dari segi disiplin dalam rumah, tidur dan bermain (kemas barang selepas main).
– Tempat Tidur Yang Selesa
Sediakan katil yang selesa, ruang yang menenangkan untuk anak-anak tidur. Kalau bilik bersepah, kita pun tak nak tidur.
– Temankan Anak
Jangan kita arahkan atau suruh anak-anak pergi tidur tapi kita dok depan TV layan drama. Papa akan temankan anak-anak dalam bilik, bercerita dan semuanya, sehingga anak-anak tidur.
– Pamerkan Kasih Sayang
Peluk cium anak-anak kita. Kena buat mereka rasa dilindungi, disayangi dan dihargai. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah seharian di luar, semasa nak tidur inilah masa untuk kita tunjukkan kepada anak-anak tentang we care, we love and we want the kids to know we love them.
6) Bersedia Dengan Cabaran Baru
Oleh kerana Mama menguruskan bayi, Papa bertanggungjawab menguruskan Along dan Angah. Disiplin tidur perlu diikut. Siang untuk aktiviti, tidur siang sekadar 1 hingga 2 jam, dan waktu Maghrib untuk khidmat diri, sekitar selepas Isyak Along dan Angah diajak masuk ke bilik untuk bacaan dan seterusnya tidur.
Alhamdulillah Aboy ikut disiplin yang sama. Kami mandikan sekitar waktu Maghrib dan akan menyusu seterusnya tidur sekitar waktu Isyak.
7) Mama Sedang Hamil Perlukan Disiplin Tidur, Papa Berperanan Urus Anak-anak Yang Besar
Point nombor 1 iaitu “Disiplin Tidur Ibu Mengandung” diamalkan Mama bagi anak kedua dan ketiga. Oleh kerana Mama mengandung, Papa kena main peranan uruskan anak-anak ketika tiba waktu tidur.
8) Pengorbanan Paling Mencabar; Tak Boleh Keluar Malam
Point nombor 8 ini paling simple, tetapi boleh jadi paling mencabar. Apabila senja saja, anak-anak sudah terbiasa untuk khidmat diri (mandi dan pakai baju tidur), tak kisah di mana sahaja. Ikutilah disiplin selagi mana di rumah dan tempat-tempat bersesuaian.
Ketika berada di restoran, seboleh mungkin kami akan pergi sebelum waktu Maghrib. Siap order makanan, Papa Mama bergilir pergi solat – kami wajib pilih restoran yang ada sediakan surau. Makan-makan selepas itu dan seterusnya pulang ke rumah. Bersedialah anak-anak tidur dalam kereta sepanjang perjalanan pulang.
No such things as pergi shopping waktu malam bersama keluarga dan sebagainya. Kalau tetamu datang rumah pada waktu malam pun Papa dan Mama akan mention datang sebelum Maghrib atau selepas waktu Isyak sebab waktu Maghrib-Isyak adalah waktu kritikal kami nak uruskan anak-anak nak tidur.
9) DOA
Doa banyak-banyak moga Allah SWT kurniakan anak-anak yang mudah dijaga, sihat, soleh/ah dan menyenangkan jiwa-jiwa kita sebagai ibu bapa.
Kenapa anak 1 tahun 6 bulan ke bawah menangis sangat kuat bila tak nampak ibu atau penjaganya? Ramai juga yang anggap anak anak akan lebih mengada-ngada dan manja bila dengan ibu.
Menurut Pakar Kekeluargaan, Keibubapaan Dan Kasih Sayang, Ibu Rose ada sebab kenapa anak di usia ini berperangai sedemikian.
Bagi anak berumur 1 tahun 6bulan ke bawah, sebenarnya kita tidak boleh mengatakan dia berperangai buruk jika dia menangis nak ikut anda masuk tandas, atau tidak boleh jauh dari anda langsung.
Pada usia ini, bahagian otak bawah atau reptilian brain yang sedang develop. Bahagian otak ini, menjaga keselamatan dan perlu rasa selamat untuk perkembangan seterusnya.
Bila mama pergi dari dia ke toilet ke atau ke mana, anak itu tengok mamanya hilang dan rasa keselamatannya tergugat. Itu yang buat dia menangis. Itu bukan manja. Jangan salah faham dan bukan juga berperangai buruk. Itu tabii dan perkembangan normal seorang kanak-kanak.
Anak kecil menangis bukan kerana dia berperangai buruk, dia menangis untuk berkomunikasi dan menyampaikan keperluannya. Maka selidiklah apa yang dia perlukan dan tunaikan.
Ibu risau, bila ibu bapa muda tersilap faham begini, kerana kesannya buruk. Kerana takut anak menjadi manja,sedangkan pada usia ini, anak amat perlukan belaian ibu dan bapa. Dan kerana kononnya takut anak itu manja, maka dibiarkan anak itu sorang-sorang dan menangis melalak beberapa jam. Akhirnya, tahap untuk rasa selamat itu tidak berakhir, sudah 6 tahun pun masih clingy dan esteem diri yang rendah kerana berasa dia tidak penting dan tidak dikasihi. Ia sangat memberi kesan pada perkembangan psikologinya.
Anak yang dikatakan berperangai buruk jika sudah lebih 4 tahun, perangainya mungkin menyepak dan merontak-ronta bukan kerana dia berada dengan ibunya. Tetapi kerana dia tidak dididik dengan kasih-sayang dan ketegasan, loving and firm. Kerana anak yang dididik dengan loving and firm, dia tahu had-had kelakuan yang dibenarkan. Yang menjadi berperangai buruk adalah yang dididik tanpa meletakkan had-hadnya atau pun boundaries.
Contoh, tengok TV sampai pukul 2 pagi pun dibenarkan…atau bila memukul kawan-kawan, ibu bapa tengok sahaja dan tidak mengambil tindakan memberitahu perbuatan itu salah. Walaupun pada ketika itu anak itu masih 2 tahun, ibu bapa perlu membetulkan kelakuan anak itu dan mulakan perlahan-lahan. dan berulang sehingga anak itu faham. Ianya mungkin mengambil masa beberapa bulan.
Kita hanya boleh mengatakan seorang anak itu berperangai buruk sekiranya anak itu telah berusia 4 tahun keatas kerana pada usia ini, barulah seorang anak itu sudah mula boleh berfikir dan memahami reason. Namun, tidak yang kompleks….tapi sudah boleh sedikit. Dan bila sedari kecil ibu bapa berusaha memberi penerangan atau reason, anak itu akan membesar menjadi seorang yang mudah memahami, reasonable.
“children raised with reasons become reasonable”
Yang dikatakan berperangai buruk itu maksudnya anak itu melakukan perkara-perkara yang tidak boleh diterima dalam sosial, seperti memukul kawan, menyepak, merampas, menjerit-jerit marah, berguling-guling hendakkan barang di kedai….namun perlu difahmai ini bukan kerana anak itu berada dengan ibunya…ia adalah kerana didikan yang diterima sebelum ini lebih kepada permissive dimana semuanya tidak mengapa, diikut semua kehendak anak itu…apa yang kita katakan sebagai ‘permissive parenting’ …Kelemahan Permissive parenting adalah anak tidak dikenalkan dengan peraturan dan contoh perangai baik sejak kecil.
Bagi pendapat dan pegangan Ibu, anak berperangai buruk diantara sebab utamanya BUKAN kerana anak itu dengan ibunya atau bapanya, …it is the parenting. Sebab ramai para ibu yang bijak mengendalikan dan mendidik anak-anaknya..dan anak tidak berperangai buruk bila dengan mereka
Hakikatnya anak-anak pada usia empat tahun masih belum bersedia untuk memberi fokus terhadap sesuatu perkara di dalam kelas. Justeru, kelas untuk kanak-kanak di bawah empat tahun masih menumpukan sepenuh masa dengan aktiviti bermain sambil belajar.
Kanak-kanak di peringkat usia begini tidak sesuai ditumpukan masanya dengan perkara akademik yang lebih kepada abstrak tetapi lebih kepada aktiviti yang konkrit atau maujud.
Mereka melakukan penerokaan menggunakan deria menggunakan motor kasar dan motor halus. Contohnya bermain bongkah atau lego, kanak-kanak menggunakan deria sentuhan motor kasar dan motor halus.
Malah, mereka kurang fokus di dalam kelas dan tumpuan terhadap sesuatu perkara tidak lama iaitu dalam masa lima minit diberi tumpuan sepenuhnya kemudian perlahan-lahan beralih kepada perkara yang lain.
Bagaimana hendak didik anak ini bermain sambil belajar cara yang betul? Ini caranya!
1.PELBAGAIAKTIVITI
Perlu memberi perhatian dengan mengalihkan aktiviti yang berlainan setiap kali anak-anak beralih tumpuan. Tanya dengan anak-anak terhadap aktiviti yang digemari dan berikan peningkatan cabaran dari mudah ke sukar. Contohnya bermain puzzle atau cantuman yang mudah kepada aras yang mencabar minda anak-anak. Kemahiran penyelesaian masalah menerusi bermain puzzle dapat meningkatkan kereativiti kanak-kanak dalam menyelasaikan masalah dalam situasi tertentu. Beri penghargaan pujian untuk memberi galakkan kepada kanak-kanak meneruskan aktiviti selanjutnya.
2. IBU BAPA TURUT SERTA
Ibu bapa digalakkan memberi ruang masa untuk bersama-sama dengan anak-anak semasa di rumah. Maksudnya semasa anak-anak melakukan aktiviti ibu bapa digalakkan berada di sampingnya. Terdapat peningkatan jika anak-anak diberi tumpuan oleh ibu bapa. Kajian menunjukkan semakin banyak penumpuan ibu bapa terhadap anaknya, perkembangan kognitif dan sosialnya lebh baik. Kajian lain juga menunjukkan banyak kemahiran yang diperolehi oleh anak-anak seperti kemahiran bahasa, penerokaan, penyelesaian masalah, pembelajaran akademik, interaksi sosial, kerjasama, permainan kompleks, kebaikan terhadap keupayaan untuk memberi tumpuan.
3. NO HOMEWORK!
Anak-anak di peringkat usia empat tahun tidak sesuai untuk diberikan kerja rumah sebagaimana kanak-kanak sekolah yang formal. Masalahnya perspektif orang dewasa yang terlalu cepat inginkan kejayaan akademik sehingga terlupa akan fitrah mereka yang masih di peringkat deria konkrit. Mereka masih lagi dalam proses penerokaan deria konkrit untuk melengkapkan diri dengan kemahiran domain seperti bahasa, fizikal, kognitif, sosio emosi dan estetika.
4. MASA YANG SINGKAT
Anak-anak yang berusia empat tahun sebagaimana yang telah dinyatakan di atas minat dan tumpuan terhadap sesuatu perkara adalah singkat iaitu hanya 5 minit sahaja! Mereka akan duduk sekejap sahaja melakukan sesuatu perkara. Jika memberi aktiviti membuat latihan tentunya tidak sesuai bagi diri anak-anak ini.
5. JENIS PERMAINAN
Sediakan permainan yang berbentuk konkrit iaitu permainan yang melibatkan sentuhan, gerakan motor halus dan kasar. Anak-anak di peringkat deria konkrit, fitrahnya memang banyak bermain. Bermain dalam peringkat ini adalah belajar. Mereka menggunakan alat permainan untuk meneroka kehidupan sebenar. Baginya bermain merupakan media pembelajarannya untuk mengetahui sesuatu perkara dan berimaginasi. Menerusi main mereka belajar menyelesaikan masalah, berbahasa, bersosialisasi dengan rakan sebaya, belajar mematuhi peraturan bermain dan mempertingkatkan kemahiran kognitif.
6. RAKAN SEBAYA
Semasa bermain anak memerlukan rakan. Peranan ibu bapa hendaklah membimbing cara mereka bersosialisasi. Setiap perkara yang negatif perlu ditegur dan diperbetulkan pada masa itu juga. Umpamanya jika anak-anak cuba mengusik kawan, ibu bapa perlu mendampingi anak dan cuba berbincang dan menyelesaikan masalahnya. Memupuk sikap positif memerlukan kesabaran. Mendenda anak-anak tanpa berbincang dan memperbetulkan kesalahannya adalah jalan yang singkat dan menghasilkan kesan negatif.
Kesimpulannya anak-anak berusia empat tahun masih lagi di peringkat pemikiran deria konkrit. Aktiviti berbentuk akademik tidak sesuai untuk diberikan kepada anak-anak ini. Berikan mereka aktiviti yang sesuai dengan tahap usianya seperti aktiviti berbentuk konkrit yang menggunakan bahan maujud.
Aktiviti bermain sambil belajar merupakan teras kaedah pembelajaran untuk anak-anak berusia empat tahun.
Ibu bapa malah guru tadika dan pengasuh taska perlu menyedari akan tahap usia dan fitrahnya yang tidak boleh disamakan sebagaimana pemikiran orang dewasa semasa mendidik anak-anak ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bentan selepas bersalin bukan sekadar demam atau sakit badan. Kenali tanda bahaya seperti pendarahan, demam, sesak nafas dan preeklampsia yang boleh mengancam nyawa ibu selepas bersalin.