Biasa tak jadi macam ni, sambil masak, sambil basuh kain, sambil bagi anak makan, sambil dengar audio, sambil jawab soalan anak, sambil macam-macam. Haa….ada yang kata para wanita ni memang itulah kelebihannya, MULTI-TASKING.
Tapi, perasan tak, bila dah multi banyak sangat, akhirnya apa jadi pada mak ni adalah kepenatan yang teramat sangat. Penat mental, fizikal dan emosi. Habis drain tenaga.
Apa yang lebih mengharukan adalah, hasil kelelahan itu semua tiada sempurna. Banyak kekurangannya, banyak yang tidak selesai. Paling utama, sang ibu menjadi sangat tidak produktif dihujung hati. Hati rasa tak happy dan mudah meledak dek kerana kepenatan itu.
MULTI-FOKUS YANG MELELAHKAN
“Tapi Ibu, saya tak ada pilihan. Anak saya ramai. Saya bekerja. Bila balik, semua nak kena hadap. Nak tak nak tetap kena uruskan. Kalau nak harapkan suami..emm..lagi saya sakit hati.”
Sayang..tau tak apa silap mu. KESEMPURNAAN.
Baju, perlu disidai begini, kain perlu dilipat begini, rumah mesti berkeadaan begini, anak-anak mesti selesaikan tugasan begini-begini, aktiviti mesti dilakukan begini-begini, nak hasil jadi begini-begini.
Bila tak tercapai ‘expectations’ itu, apa yang terhasil adalah STRESS, TERTEKAN, BENGANG. Akhirnya, menyalahkan diri sendiri atas ‘kegagalan’ yang tidak diingini.
Ads
Sayang, sedarilah sesungguhnya anda bukanlah ROBOT.
Anda adalah manusia yang perlu waktu rehat, yang perlu belaian kasih, yang perlu masa ketenangan.
“Ibu..tak boleh. Anak saya kecik-kecik. Tak boleh ‘deligate’ kerja. Bila suami dah tolong tengokkan anak-anak, saya dah syukur sangat. Tapi, betullah kata Ibu, saya masih ada satu perasaan ‘kekosongan’ dalam jiwa. Terkadang penat ini semua buat saya hampir menghamburkan air mata. Nak tak nak, tetap kena buat, tetap kena hadap.”
Sebenarnya kan sayang, yang buat kita penat bukan MULTI-TASKING tu, tapi sebab MULTI-FOKUS. Memang penat, bila dalam pemikiran tu banyak perkara yang diFOKUSkan dalam satu masa. Tengah masak, dalam fikiran ingat anak belum dimandikan. Sambil lipat kain, teringat wasap boss yang belum di ‘reply’. Sedang makan bersama suami teringat kain yang belum disidai. Hakikatnya, MULTI-FOKUS itu sangat tidak produktif, sangat tidak bagus. Jadi apa nak buat?
Kembali FOKUS. Lakukan satu persatu dengan hati yang tenang.
Suka Ibu kongsikan tips yang mudah buat sayang semua yang perlu MULTI-TASKING ni.
Ads
Mungkin sayang boleh cuba amalkan apa yang Ibu nak kongsikan ini.
1. Mulakan hari dengan TAHAJJUD.
Pada permulaan hari, SERAHKAN MASA,URUSAN dan TENAGA kepada MAHA PENCIPTA SEGALA. Peruntukan masa khas berkhalwat bersama Allah Taala. Luahkan segala apa yang terpendam. Mohon kekuatan kepadaNya. Zikir, selawat, baca Al-Quran dan berdoalah sebelum subuh.
Ketika itu, Allah sedang turun ke langit dunia. Allah mahu mengampunkan sesiapa yang minta ampun dan mahu mengabulkan apa saja yang dimohon oleh hambaNya. Dengan menyediakan masa untuk Allah pada permulaan hari, InsyaAllah hari itu akan menjadi lebih efektif. Bahasa mudahnya hari menjadi lebih berkat. Banyak urusan selesai, dipermudahkan, hati rasa lapang dan sebagainya.
2. JADUAL
Adakan jadual yang realistik untuk aktiviti sepanjang hari. Pentingnya jadual ini, adalah supaya seluruh ahli keluarga tahu apakah aktiviti seharian. Maka rutin yang positif boleh dicipta. Apabila anak tahu apa yang harus dilakukan sepanjang hari, maka ini akan bina rasa selamat pada diri anak itu sendiri. Para ibu bapa juga boleh kurang ‘membebel’ kerana anak sedar apa yang patut dilakukan.
3. Bahagikan tempoh 24jam atau sistem MENGKHUSUSKAN -Definition of Space.
Cuba lihat dapur kita, semua ada lokasi khusus. Di mana pisau disimpan, kuali disangkutkan, rempah ratus disusun, tidak caca-marba. Maka, bila kita mahu masak dan masuk ke dapur, semua jadi mudah dan terurus.
Begitulah dengan masa. Khususkan masa untuk ALLAH, SUAMI, ANAK-ANAK, URUSAN RUMAH, ME-TIME dan lain-lain.
Ads
Begitulah 3 tips mudah yang mungkin sayang boleh amalkan dalam kehidupan harian. Tak kisahlah sama anda perlu bekerja di luar atau WFH. Sungguh, bila mulakan hari dengan Allah, InsyaAllah, banyak perkara akan selesai dan dipermudahkan. Usahlah jadi wanita yang
MULTI-FOKUS yang akhirnya akan memenatkan dan melelahkan. Malahan hasil yang tercita sangat minimum.
Doa Ibu, semoga perkongsian Ibu pada pagi ini memberi semangat atau setidak-tidaknya memberi motivasi pada anda dalam memulakan hari.
Kredit: Ibu Rose dan Yasmin Sari (Apprentice Ibu Rose)
Baru beberapa hari dilahirkan membuatkan persekitaran dan sekeliling menjadi begitu berbeza ketika di dalam perut ibu. Situasi dan ketidakbiasaan inilah yang membuatkan bayi mula rasa tidak selesa dan memilih jalan untuk menangis tanpa henti ketika baru dilahirkan.
Bergelar mak ayah buat pertama kalinya terasa cukup mendebarkan bila mana anak asyik menangis dan tak mahu tidur lena. Lagi-lagi anak hanya nak ‘mengempeng’ sahaja dengan ibu. Bila diletakkan sahaja, anak mula menangis. Makin bertambah buntu jadinya.
Salah satu cara dalam mententeramkan bayi menangis adalah dengan memasang ‘White Noise’. Ini yang disarankan oleh Konsultan Bayi Menangis Malaysia, Puan Uswatun Hasanah Mohd Habib.
‘White noise’ merupakan salah satu elemen terpenting dalam pendekatan saya ketika membantu ibubapa memperbaiki isu tidur bayi mereka. Sedikit ‘masalah’nya, oleh kerana ilmu tangisan bayi masih sangat asing di Malaysia, maka secara tak langsung penggunaan ‘white noise’ di Malaysia tidak serancak seperti sebahagian negara lain. Hasilnya, kita kekurangan pilihan sumber ‘white noise’. Ini menjadikan ‘white noise apps’ di telifon pintar adalah pilihan paling popular ibubapa Malaysia.
Penggunaan ‘white noise’ diakui ramai ibubapa amat membantu bayi tidur lebih lena. Helahnya, untuk bayi kecil, kerana ‘self soothing regulation system’ atau skil menenteramkan diri mereka agak terhad dan lemah, ‘white noise’ selalunya WAJIB digandingkan dengan beberapa elemen menenangkan yang lain seperti bedung dan hayunan untuk hasil optimum.
Bagi bayi lebih besar, kanak-kanak malah orang dewasa, ‘white noise’ sendirian sebagai alat bantu tidur sudah memadai. Bukan sahaja kerana usia mematangkan skil menenangkan diri, tetapi kerana jumlah tidur ringan (REM) juga jadi makin berkurang. Iaitu tidur REM menjadi 30% sahaja menjelang 6 bulan dan 20% menjelang usia ‘preschool’ (3-4 tahun). Maksudnya, tidur nyenyak (deep sleep/NREM) makin bertambah seiring usia.
Bagaimana ‘white noise’ bantu lena? Secara teknikal, ‘white noise’ adalah sebarang bunyi ‘monotone’ (hanya 1 ton, tiada turun naik melodi, tiada lirik) , ber ‘pitching’ rendah dengan frekuensi boleh dengar yang konsisten disepanjang bunyi. Ciri ini menghasilkan kesan ‘pukau’ (hipnotik/hypnotise) yang membantu otak manusia untuk rileks dan tak terlalu sibuk melayan fikiran atau memberi perhatian kepada bunyi sekeliling seperti bunyi buka-tutup pintu, bunyi orang makan atau bunyi lalu lalang kereta.
Menurut beliau lagi, antara elemen dan bunyi-bunyian yang mampu mententeramkan bayi adalah bunyi hujan, bunyi deruan ombak dan pantai, bunyi air terjun serta bunyi-bunyian alam lain. Malah jika berada di rumah, mak ayah boleh juga memasangkan vakum mengikut volume dan aras mengikut keselesaan bayi.
Jadi bila bayi di rumah menangis dan tak mahu tidur, cuba pasangkan bunyi-bunyi ini sambil diiringi dengan tepukan dan bunyian shhhh ketika mengendong. Tepuk-tepuk dan hayunkan lembut tubuh ibu supaya anak terasa seperti dibuai.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehidupan untuk bergelar ibu dan bapa sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap pasangan. Anugerah anak yang ingin dimiliki merupakan satu penyeri atau sumber kebahagian rumah tangga setiap pasangan. Tetapi adakah apa yang akan berlaku selepas kurniaan cahaya mata akan menjadi sama seperti jangkaan anda? Adakah segalanya akan berubah? Atau masih sama seperti sebelum anak-anak dilahirkan? Ikuti artikel ini bagi mengetahui perkara-perkara yang mungkin anda tidak jangkakan berlaku atau berubah setelah anak-anak ini dilahirkan.
Anda akan lebih menghargai ibu bapa anda sendiri
Jika dahulu semasa anda kecil, anda mungkin tidak terlalu menganggap segala perkara yang dilakukan oleh ibu dan bapa anda sebagai sesuatu yang hebat. Mungkin anda hanya menganggap ia sebagai perkara harian yang dilakukan oleh ibu dan bapa anda seperti memasak sarapan, mencuci pakaian, dan menghantar anda ke sekolah. Selepas anda memiliki anak dan melalui perkara yang sama seperti yang telah dilalui oleh ibu bapa anda, pandangan anda pasti berubah. Anda akan lebih menghargai segala jerih dan usaha ibu dan bapa anda dalam membesarkan anda.
Kehidupan sosial anda terjejas
Apabila bayi anda telah dilahirkan, segala keutamaan akan diberikan kepada si kecil anda terlebih dahulu. Kehidupan sosial anda akan menjadi satu perkara paling akhir yang hendak difikirkan. Ini kerana anda hanya akan meluangkan lebih banyak masa bersama-sama anak anda hampir setiap jam dan minit. Anda hanya boleh merancang untuk meneruskan kehidupan sosial anda apabila anak anda tidur.
Mula kurang tidur
Jika dahulu anda kekurangan tidur disebabkan oleh masa yang dihabiskan dengan menonton bola sepak lewat malam atau bermain permainan video sepanjang malam. Kini, anda tahu bahawa tangisan bayi atau anak kecil anda akan menjadi punca utama anda tidak boleh melelapkan mata dan terpaksa berjaga sehingga mereka tidur kembali. Anda akan tahu betapa seriusnya kesan akibat daripada kekurangan tidur yang anda alami. Satu kajian mendapati bahawa, ibu baharu mempunyai tahap keletihan yang siginifikan walaupun setelah 18 minggu setelah melahirkan anak.
Sukarnya menjaga barang-barang yang cantik
Inilah tempoh dimana anda akan mula berpisah dengan segala hobi dan koleksi anda. Segala figura anime yang dibeli dengan harga ratusan ringgit hanya akan menjadi mainan dan gigitan anak anda. Dinding putih rumah anda akan mula menjadi kanvas seni luahan bakat lukisan anak anda. Koleksi pakaian anda akan mula tidak dihiraukan dan hanya akan menjadi pakaian harian anda di rumah atau mungkin anda tidak lagi memakainya.
Perancangan hanya tinggal perancangan
Anda mungkin menghabiskan masa berbulan-bulan merancang berkenaan apakah jenis atau kaedah keibubapaan yang anda ingin terap dan gunakan. Walau bagaimanapun, segalanya mungkin tidak mengikut seperti yang dirancangkan memandangkan anda hanya akan “go with the flow” atau tidak menjangkakan sebarang perkara yang mungkin terjadi. Apa yang penting, anda perlu kekal fleksibel dalam membesarkan anak anda kerana anda tidak mengetahui karakter sebenar si kecil anda.
Sekarang anda mungkin telah mendapat sedikit idea bagaimana sesuatu perkara boleh berubah secara drastik yang anda juga mungkin tidak sedari sejak kehadiran si kecil dalam kehidupan anda. Banyak lagi perkara-perkara lain yang mungkin akan berubah bergantung kepada kesediaan anda dan karakter anak anda. Ingatlah, si kecil anda mampu mengubah kehidupan anda 360 darjah.
Anak menangis ada yang kata jangan angkat, nanti manja, asyik nak berdukung je. Pernahkah anda mendengar nasihat seperti ini: “Jangan angkat bayi yang menangis. Nanti dia jadi manja dan asyik nak berdukung sahaja.”?
Anak Menangis Ada Yang Kata Jangan Angkat
Bagi sesetengah orang, kata-kata ini kedengaran logik. Namun, adakah betul untuk membiarkan bayi menangis tanpa perhatian?
Kenyataannya, nasihat ini tidak berasas dan bertentangan dengan naluri seorang ibu, sains, serta nilai keibubapaan yang penyayang. Bayi menangis bukan kerana mahu dimanjakan, tetapi kerana mereka mempunyai keperluan yang perlu kita penuhi.
Nanti Manja, Asyik Nak Berdukung Je
Berikut perkongsian daripada Pun Wawa Shauqi, seorang penulis buku yang berkisar tentang ilmu keibubapaan.
Beberapa tahun lalu, saya pernah ditegur oleh seorang wanita di Klinik Kesihatan. Katanya, “Jangan angkat bayi yang menangis. Nanti dia jadi manja dan asyik nak berdukung sahaja.” Kata-kata itu membuatkan saya berkerut. Biar betul?
Adakah kita perlu membiarkan bayi menangis sehingga berhenti sendiri? Wanita itu menerangkan lagi, “Lama-kelamaan bayi akan faham, walau menangis macam mana sekalipun, dia takkan dilayan.”
Namun, apabila saya mendalami ilmu daripada pakar seperti Puan Amizamzuri N Uswatun, seorang pakar tidur dan tangisan bayi, saya temui jawapan yang tepat. Dalam bukunya, beliau menegaskan bahawa:
“Nasihat seperti ini adalah nasihat paling teruk, tidak berasas, kejam, dan bertentangan dengan nilai kemuliaan agama.”
Mengapa Nasihat Ini Tidak Boleh Diikuti?
Mari kita fahami mengapa pendekatan membiarkan bayi menangis, juga dikenali sebagai teknik “Cry It Out”, perlu dielakkan.
1. Tangisan Adalah Refleks Semula Jadi Bayi
Bayi yang baru lahir dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 75 jenis refleks, dan tangisan adalah salah satu daripadanya. Refleks ini adalah tindak balas automatik untuk memastikan kelangsungan hidup.
Sepanjang tiga bulan pertama, tangisan bayi adalah cara mereka berkomunikasi. Mereka menangis untuk menyatakan rasa lapar, tidak selesa, letih, atau sakit.
Pada tahap ini, bayi tidak menangis secara sengaja atau “berlakon”.
2. Melawan Fitrah Ibu Dan Bayi
Allah telah mencipta ibu dengan naluri yang kuat untuk bertindak balas apabila mendengar tangisan bayi.
Apabila bayi menangis, tubuh ibu secara automatik menghasilkan hormon:
Oxytocin: Merangsang ibu untuk mendukung dan menenangkan bayi.
Prolaktin: Menggalakkan pengeluaran susu untuk menyusukan bayi.
Jika kita membiarkan bayi menangis tanpa bertindak, kita melawan fitrah semula jadi ini.
3. Kegagalan Teknik “Cry It Out” Berdasarkan Sains
Ada yang mendakwa bahawa membiarkan bayi menangis akan membuatkan mereka berhenti. Namun, bayi yang berhenti menangis bukan kerana mereka faham, tetapi kerana keletihan melampau.
Kesan negatifnya:
Hormon Kortisol (Hormon Stres): Meningkat ketika bayi menangis terlalu lama, mengganggu perkembangan fizikal dan emosi mereka.
Sikap Bayi: Mereka mungkin menjadi lebih kuat menangis (kerana sedar hanya tangisan yang kuat akan menarik perhatian) atau “shut down” (tidak menangis lagi kerana sudah tiada harapan untuk dipedulikan).
Pentingnya Secure Attachment
Tindak balas ibu bapa terhadap tangisan bayi sangat penting untuk membentuk Secure Attachment – rasa aman dalam diri anak.
Bayi yang mendapat perhatian dan respons positif:
Membesar dengan keupayaan untuk mengurus emosi dan menghadapi tekanan.
Lebih tahan terhadap cabaran, trauma, atau krisis pada masa dewasa.
Sebaliknya, bayi yang dibiarkan menangis tanpa perhatian mungkin kurang berkeyakinan, sukar mempercayai orang lain, atau menghadapi masalah emosi.
Nasihat untuk membiarkan bayi menangis tanpa diendahkan bukan sahaja tidak berasas, tetapi juga bertentangan dengan naluri keibuan, sains, dan nilai agama. Setiap tangisan bayi membawa mesej, dan sebagai ibu bapa, adalah tanggungjawab kita untuk mendengar dan bertindak.
Jika ada yang memberi nasihat seperti ini lagi, senyum sahaja. Kemudian, teruskan dengan cara yang anda yakini dapat memberikan yang terbaik untuk anak anda. Kerana setiap bayi berhak rasa disayangi dan dilindungi.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.