
Perkahwinan mana yang tidak diuji dengan cabaran, kadang-kadang antara pasangan pun kita akan ada perselisihan faham. Namun itulah yang mematangkan kita dalam perhubungan dan dapat mendidik kita untuk menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.
Itulah yang dilalui oleh selebriti jelita, Datin Atikah Suhaime yang mengakui dirinya ditegur oleh suami kerana bercakap kasar. Kongsi Atikah, ketika itu dia sedang mengganti lampin anaknya, Lyla Mulan Teh dan merasa geram kerana melihat suaminya yang hanya duduk bermain telefon tanpa membantu.
Melihat keadaan itu, Atikah menegur suami untuk membantu tetapi penggunaan bahasanya itu membuatkan Datuk Lokman Teh terasa hati.
“Saya terlepas cakap, asyik tengok telefon saja, tolonglah sini. Macamlah dapat satu juta bila tengok telefon. Suami pun cakap, sejak kebelakangan ni rezeki awak banyak tapi asyik bercakap kurang ajar dengan saya.”
Ketika ditegur begitu, Atikah tersedar dan mengakui ia sangat membuka matanya. Tanpa berlengah, wanita cantik ini terus memohon maaf dari suaminya. Tambahnya lagi, keadaan ini berlaku mungkin disebabkan keletihan bekerja dan membuat sesi LIVE di media sosial selain menjaga anak yang sedang membesar.
Atikah mengakui kesilapannya itu dan merasakan dirinya sangat bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang sangat penyabar dan penyayang.
“Saya bertuah kerana walaupun marah-marah, suami tetap sayang dan belanja saya makan Omakase. Kadang-kadang sebagai seorang perempuan, kalau dapat duit sendiri, kita akan rasa diri ni hebat.”
Pesannya, jangan sesekali lupa segala rezeki yang kita dapat sebenarnya di atas izin Allah SWT dan jangan sombong dengan suami, walaupun kita bekerja. Perkongsian Atikah ini sebenarnya membuka mata serta memberi peringatan kepada isteri untuk menghormati suami dan cari peluang untuk berkomunikasi sekiranya ada sikapnya yang kita tak gemar.
Tonton video ini;