Ibu-ibu pasti pernah mendengar mengenai penyakit tangan kaki dan mulut HFMD, bukan? Ayuh ketahui bagaimana ia tersebar dan cara merawatnya.
Penyakit tangan kaki dan mulut HFMD
Hand-foot-and-mouth-disease atau HFMD, adalah jangkitan virus ringan yang mudah merebak kepada anak kecil, dikenali sebagai virus coxsackie.
Simptom penyakit tangan kaki dan mulut HFMD
HFMD boleh mengakibatkan wujudnya beberapa gejala, seperti:
Demam
Sakit tekak
Berasa tidak sihat
Gelembung (blister) kemerahan yang menyakit pada lidah, gusi dan bahagian dalam pipi
Ruam merah tidak gatal tetapi adakalanya melepuh pada tapak tangan dan kaki, serta punggung
Kerengsaan pada bayi dan kanak-kanak
Penyakit tangan kaki dan mulut HFMD turut boleh menyebabkan anak hilang selera makan
Demam merupakan tanda pertama HFMD, kemudian sakit tekak dan kurang selera makan. Selepas 1-2 hari demam, luka menyakitkan akan muncul pada depan mulut atau tekak.
Kemudian ruam akan berkembang pada tangan, kaki serta punggung dalam masa 1 atau 2 hari.
Ads
Bagaimana penyakit tangan kaki dan mulut HFMD menular?
Punca HFMD adalah jangkitan virus coxsackie A16. Ia tergolong dalam kumpulan virus yang disebut nonpolio enterovirus.
Pengambilan secara oral adalah sumber utama jangkitan virus dan penyakit HFMD. Individu dengan penyakit ini boleh menularkan jangkitan melalui:
Rembesan daripada hidung atau cecair tekak
Air liur
Cecair daripada lepuh
Najis
Titisan air yang disembur ke udara selepas batuk atau bersin
Perkara biasa dalam persekitaran penjagaan kanak-kanak
Penyakit tangan kaki dan mulut HFMD cenderung terjadi pada kanak-kanak di pusat asuhan kerana kekerapan penukaran lampin dan latihan tandas, serta disebabkan anak kecil sering memasukkan jari ke dalam mulut.
Virus ini boleh berada dalam tubuh selama berminggu-minggu setelah tanda dan simptom hilang. Ini bermakna si kecil masih boleh menjangkiti individu lain.
Sesetengah individu, khususnya dewasa boleh menyebarkan virus tanpa menunjukkan gejala penyakit ini.
Ads
Rawatan penyakit tangan kaki dan mulut & langkah pencegahan
Penyakit tangan kaki dan mulut HFMD adalah virus, jadi pengambilan antibiotik tidak akan membantu.
Perkara berikut dapat membantu membuatkan si kecil lebih selesa:
Untuk anak 6 bulan ke atas, berikan acetaminophen atau ibuprofen untuk mengurangkan demam, sakit kepala dan sakit tekak. Jangan berikan ibuprofen kepada anak di bawah usia 6 bulan. Baca label untuk mengetahui dos tepat mengikut usia anak
Untuk anak kurang daripada 6 tahun, jangan berikan ubat selesema daripada farmasi (OTC) tanpa bertanyakan kepada doktor
Jangan berikan aspirin kerana ia boleh mengembangkan sindrom Reye yang boleh menyebabkan kematian
Jika anak berusia lebih 1 tahun, pastikan pengambilan cecair yang mencukupi. Berikan mereka air, susu, jus epal atau aiskrim popsicle. Elakkan jus buah tinggi asid seperti jus oren atau lemon karena ia boleh merengsakan luka dalam mulut
Bagi anak bawah usia setahun, teruskan penyusuan susu ibu atau susu formula
Tawarkan makanan mudah ditelan seperti kentang lenyek, oat atau telur
Rawatan penyakit tangan kaki dan mulut jika anak sakit tekak:
Ads
Bagi anak setahun ke atas, berikan sup, jus epal atau letakkan ½ sudu teh cecair antasid tanpa aspirin di depan mulut selepas makan
Untuk anak 4 tahun ke atas, berikan lozeng atau semburan tekak tanpa benzocaine yang berbahaya kepada kanak-kanak. Boleh juga bilaskan mulut selepas makan dengan 1 sudu teh cecair antasid tanpa aspirin
Anak 6 tahun ke atas pula sudah boleh berkumur tanpa menelan, jadi gunakan campuran ¼ sudu teh garam bersama segelas air suam. Kumurkan campuran 2-3 kali sehari, mengikut keperluan. Pastikan mereka meludahkannya selepas berkumur
Langkah mencegah penyakit tangan kaki dan mulut HFMD
Setelah mengetahui cara rawatan penyakit tangan kaki dan mulut dan pastinya anda ingin mengetahui jika ada vaksin yang boleh mencegah HFMD, bukan?
Malangnya, tiada vaksin untuk mencegah HFMD. Virus mudah merebak pada minggu pertama seseorang individu itu jatuh sakit dan kekal di dalam tubuh walaupun selepas sembuh.
Cara mencegah penularan HFMD dengan:
Mengajar anak untuk tidak menyentuh ruam, elak daripada memasukkan jari dan mainan ke dalam mulut serta tidak menggosok mata
Sentiasa ingat untuk membasuh tangan dengan sabun dan air selepas menyentuh ruam, pergi ke bilik air sebelum mengendalikan makanan, sebelum makan, serta setelah menukar lampin. Jangan lupa untuk mendidik anak melakukan amalan yang sama
Ajarkan anak untuk bersin atau batuk ke tisu atau lengan bajunya
Cuci dan disinfeksi bilik air, mainan dan barang lain yang disentuh anak dengan sabun dan air atau menggunakan pembasmi kuman
Jangan berkongsi cawan minum, peralatan makanan atau barangan peribadi seperti tuala dan berus gigi
Elakkan daripada memeluk dan mencium anak yang dijangkiti
Jangan abaikan keselamatan si manja ketika berada dalam kereta. Belajar tentang fungsi car seat serta ketahui kecederaan yang akan berlaku kerana impak kemalangan. Ketahui lebih lanjut tentang car seat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebilangan besar ibu-ibu cukup prejudis pada mana-mana lelaki yang merokok dikhalayak ramai. Terasa sangatlah mengganggu. Sebenarnya merokok bukan hanya beri kesan pada orang sekeliling, paling penting kesannya pada anak sendiri. Apa sebabnya doktor minta kita berhenti merokok kalau nak anak sihat?
Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad, merokok sebenarnya boleh meningkatkan risiko kanser pada anak bila anak besar nanti.
PEROKOK TINGKATKAN RISIKO KANSER PADA ANAK
Semalam ada seorang rakan doktor yang mengirimkan satu penerbitan journal mengenai bahaya rokok kepada kanak-kanak.
Tidak kira yang merokok itu bapa atau ibu di sepanjang kehamilan, risiko untuk menghidap kanser seperti leukemia adalah lebih tinggi.
Ini kerana asap rokok bukan saja boleh menyebabkan kerosakan pada DNA sperma tetapi kerosakan pada DNA janin yang sedang membesar dalam rahim.
Malah rokok juga boleh merosakkan sperma dan ovum, sehingga menjejaskan kesuburan dan mengakibatkan sukar hamil.
Di sebuah negara yang mempunyai ramai perokok, bilangan pesakit leukemia juga lebih ramai. Lebih ramai orang yang tidak subur.
Jadi tukar cara kehidupan kita jika kita mahu sejahtera. Amalkan pemakanan yang seimbang, dan elakkan terdedah dari toksin dari persekitaran seperti asap rokok jika mahu hidup lebih sihat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masalah sembelit dalam kalangan wanita adalah perkara biasa. Kurang pengambilan air dan makanan berserat menyebabkan seseorang wanita itu mengalami masalah usus. Selain pengambilan ubat, masalah sembelit boleh diatasi dengan cara semula jadi. Menurut pengguna laman Facebook, Suzy Honey, dia berkongsi petua lama untuk membantu mengatasi masalah sembelit.
Hanya memerlukan dua jenis sayuran ulam iaitu daun pegaga dan kucai yang dikisar bersama air dan ditapis sebelum diminum. Ambil beberapa hari sehingga rasa sakit berkurangan.
Kebiasaan saya suka jelajah keluar masuk kampung mencari mak bidan lama. Pengalaman berjumpa dengan seorang mak bidan lama yang di panggil Tok di Kampung Minda, Hulu Dungun yang berusia lebih kurang 80an dan diberikan petua olehnya tidak saya lupakan.
Tok ini memang sudah tidak mengurut orang lagi kerana sudah tidak larat di sebabkan usianya. Secara kebetulan saya membawa adik ipar untuk di urut, disebabkan kami datang dari jauh dan kebetulan Tok kenal keluarga suami saya maka dia sudi untuk menolong urut adik ipar saya. Itupun cuma di urut di bahagian perut sahaja.
Walaupun sudah berusia cara urut dan pegangan tangan Tok masih lagi berbisa. Sambil mengurut Tok memberitahu kepada kami kerana kebetulan adik ipar memang jenis sembelit dan ada masalah pada ususnya.
” Nanti ambik pegaga 1 genggam dan daun kucai 1 genggam. Air 1 cawan. Orang dulu tumbuk kesemua ini. Laa ni, blender ajelah. Kemudian tapis. Minum airnya beberapa hari hingga hilang rasa sakit. Ini cara nak bersihkan usus”
Kebiasaanya usus kotor boleh menyebabkan boleh jadi sembelit, kerap rasa lapar kerana ketidak seimbangan keadaan usus, mudah masuk angin , keletihan dan sering sakit kepala. Hingga kadang kala boleh menyebabkan sakit perut.
Berikut resepi yang Tok berikan :
1. 1 genggam pegaga segar dan kucai segar
2. Dibasuh dan di campurkan dengan 1 cawan air
3. Diblender dan ditapis airnya minum
4. Lakukan setiap hari hingga sembuh
Resepi ini juga sesuai untuk menjaga kesihatan usus.Menurut kajian yang dilaporkan oleh Journal of the National Cancer Institute pada tahun 2002 memang kandungan di pegaga dan daun kucai mengandungi sejenis bahan yang boleh mengelakkan terjadi cancer perut atau usus.
Rasa ramuan ini memang sedap. Jika ada kelapangan memang saya akan amalkan minuman ini.
SuzyHoney, Cegah sebelum parah dengan kaedah alami lebih baik.
Semoga perkongsian ini dapat membantu sekiranya anda mengalami masalah sembelit. Memang seksa sembelit ni, duduk di tandas berjam-jam tapi tak boleh juga keluar. Kalau makin teruk, sampai luka. Bolehlah cuba petua ini, mana tahu berkesan dengan anda kan. Selamat mencuba!
Ramai ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak ‘terlupa’ untuk solat. Sedangkan selagi bayi belum keluar, diwajibkan untuk melaksanakan rukun Islam ini. Namun ada yang terlepas pandang dan menganggap bila kontraksi dan bukaan dah ada bermakna solat itu tak perlu.
Sedangkan waktu kita menunggu untuk ‘berjuang’ antara hidup dan mati inilah sepatutnya dilakukan dulu selain minta doa banyak-banyak agar Allah permudahkan semuanya.
Seperti yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat , sebelum melahirkan bayi, ibu tetap wajib menunaikan solat. Begitu juga dalam perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menjelaskan hukum sebenar mengenai hal ini.
Soalan:
Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Membasuh faraj. Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar. Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar. Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!