Ramai ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak ‘terlupa’ untuk solat. Sedangkan selagi bayi belum keluar, diwajibkan untuk melaksanakan rukun Islam ini. Namun ada yang terlepas pandang dan menganggap bila kontraksi dan bukaan dah ada bermakna solat itu tak perlu.
Sedangkan waktu kita menunggu untuk ‘berjuang’ antara hidup dan mati inilah sepatutnya dilakukan dulu selain minta doa banyak-banyak agar Allah permudahkan semuanya.
Seperti yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat , sebelum melahirkan bayi, ibu tetap wajib menunaikan solat. Begitu juga dalam perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menjelaskan hukum sebenar mengenai hal ini.
Soalan:
Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Ads
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Ads
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Membasuh faraj. Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar. Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar. Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Ads
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saat melahirkan adalah waktu paling genting dalam hidup seorang wanita bergelar ibu. Banyak yang dipertaruhkan termasuk nyawa sendiri. Bukan mudah untuk melahirkan anak, ada yang diuji dengan kesukaran ketika mahu melahirkan. Begitu besar pengorbanan seorang isteri dan ibu.
Berkongsi detik kelahirannya yang ditemani suami, Instafamous yang juga ahli perniagaan, syima_eima memberitahu betapa dia menghargai kehadiran suami menemani sepanjang proses bersalin.
Turut menitipkan pesanan, kata Syima lagi untuk para suami yang menemani isteri mereka ketika bersalin peganglah tangannya. Jangan dilepaskan kerana genggaman tangan suami memberi kekuatan kepada isteri untuk melahirkan bayi.
Untuk si isteri pula, janganlah sesekali membazir tenaga dengan mengeluarkan bunyi. Simpa tenaga sebaik mungkin untuk proses melahirkan anak.
Melihat pada video yang dikongsikan ini, jelas sekali wajah Syima sedang menahan sakit kontraksi. Dengan kehadiran suami, sedikit sebanyak memberi semangat kepadanya.
Tahniah kepada Syima dan suami kerana dikurniakan seorang bayi yang sangat comel pada awal bulan Disember tempoh hari!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila bercakap mengenai berpantang, ada ibu-ibu yang merasakan ianya waktu paling tidak menyeronokkan kerana terpaksa terperap di dalam rumah berhari-hari dan mengasingkan diri dari pelbagai aktiviti luar. Bukan itu sahaja malah ada ibu-ibu yang stress kerana terpaksa menyekat segala kemahuan diri untuk makan dan melakukan banyak perkara.
Berpantang sebenarnya bukan satu penyeksaan diri pada ibu bersalin. Tempoh 44 hari adalah satu tempoh bertenang dan jika anda menolaknya ingatlah bahaya satu pengalaman indah, dilayan bagaikan puteri. Hebat kan?
Perkongsian Puan Liyana Nazli mengenai kisah berpantangnya ini seronok kita baca. Benar katanya, tak perlulah stress ketika berpantang, buat apa yang kita suka dan selesa selagi tak membahayakan kesihatan. Mudahkan.
My Pantang Regime
1. Bertungku Buat juga. Bukan sebab nak bagi cair darah ke apa, just because it feels good to do so. Letak batu hangat tu pada bahagian yang rasa sore. Emak balut dengan daun lebar-lebar, apa namanya entah. Again, bukan sebab ubat ke apa. Tapi bau dia wangi bila kena batu hangat tu. Therapeutic. Tungku terbaik ialah tungku batu. Tungku besi atau hot water bottle hangat dia tu tak best sangat. My preference-lah.
2. Mandi serum Zaman arwah abah ada, dia usaha cari macam-macam jenis daun yang aromatic. Mak rebus atas dapur lepas tu buat air mandian suam-suam. Nikmatnya mandi sebab wangi je. Rasa segar. Therapeutic, again. Zaman anak kedua takde daun-daun. Beli set Tanamera dia bagi air ros, campur dengan scrub. Pun best jugak. Zaman anak keempat beli campuran daun kering, rebus buat mandi. Pun best jugak. No matter how you do it, as long as it makes you feel good and happy. Tak perlu bersusah-payah mengadakan apa yang tak ada. Some people don’t have the luxury.
3. Jamu Anak pertama beli jamu mahal satu set ratus-ratus. Akhirnya tak makan dan expired sebab anak prolonged jaundice. Zaman anak kedua beli supplement glemer mahal ratus-ratus. Rasa tak best sebab susu jadi warna hijau, urin pun warna kehijauan. Cuaklah tengok. Haha! Anak lepas tu tak beli dah jamu-jamuan atau supplement. Beli buah banyak-banyak (oren, apple, anggur) dan makan sayur banyak-banyak lagi syiok. Supplement pun makan fish oil saja. Bagi susu ada DHA banyak-banyak supaya anak bijak hoho! Dan bagus untuk sendi jugaaa.
4. Bengkung Pakai juga. Supaya perut yang menggeleber lepas melahirkan tu rasa kemas. Bukan sebab takut masuk angin. Lepas tu makan pun beringat sebab tak boleh makan banyak haha! Kalau ikut nafsu makan, berpinggan-pinggan nasi boleh habis. Lauk pantang sedap woo.
5. Pilis, param segala macam Zaman anak pertama beli sekali dengan set jamu ratus-ratus harga. Leceh renyah sebab serbuk, kena bancuh air, tepek-tepek satu badan lepas mandi. Lepas kering nanti katil berhabuk sebab dia luruh hahaha! Puas pulak nak kena kebas katil. Anak lepas tu tak beli dah. Beli je losyen halia tu ha, sapulah satu badan bagi hangat selesa gitu. Tak pantang pun duk amal macam tu juga. Bau pun wangi, heh!
6. Pantang makan Emak punya rule simple. Cuba makan, kalau badan rasa tak best, takyah makan dah. Nasi ambil sesenduk, lepas tu jangan tambah. Menepati konsep suku suku separuhlah kan? Sayur selambak, semua rebus atau stim saja. Ada portion ikan atau ayam setiap kali makan. Masa ni dimanjakan dengan ikan mahal-mahal. Haha! Sup ikan merah, ikan tenggiri fuh! Kalau bosan makan nasi, masak spaghetti untuk diri sendiri. Buat aglio olio guna minyak zaitun, black pepper, salmon flakes. Fuh! Dua kali bersalin musim raya puasa. Teringin kuih raya, ambiklah sebijik dua. Tak berdosa insyaAllah. Breakfast makan roti whole meal bakar sapu dengan sugar free jam atau oat dengan susu.
7. Pantang suami. Yang ni wajib pantang. Tak pantang berdosa. Suami yang sayang bini, dia sendiri yang decide berapa lama nak pantang . Tempoh minima, sampai habis nifas.
8. Minum air Zaman anak pertama emak rajin rebuskan air sepang kederang apa entah nama dia. Selalu ada air herba hangat tu dalam botol tepi katil. Lepas tu takde dah, minum air hangat biasa. Pastikan paling kurang habis 2 Liter setiap hari. Tak termasuk air hangat masa minum pagi macam milo ka, kopi ka. Ya, saya minum kopi dalam pantang. Tak effect kat baby pun lah kalau minum setakat secawan sehari. Jangan jadi macam Kristina Kuzmic, dia minum satu teko sehari.
9. Pakai stokin Seminggu dua lepas bersalin pakailah stokin sebab pijak lantai sejuk. Lepas tu jadi bijak, belilah room slippers yang comel-comel tu. Tak payah pakai stokin dah. Hahaha! Rasa sejuk selimut, rasa panas takyah selimut. Apa adehal?
Alhamdulillah sihat walafiat. Tak payah susah-susah gaduh, stress kena ikut cakap orang sana sini. Buat apa yang kita suka dan selesa selagi tak membahayakan kesihatan. Dengar nasihat doktor. Nak ikut nasihat semua orang tak terikut, nanti last-last kita yang stress. You own your body, you are responsible for it.
Sekian, bebelan.
PS: Rindulah zaman pantang. Huwaaa!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Suami yang perlu jaga isteri dalam pantang bukan ibu ayah anda! Sudah menjadi kebiasaan, apabila dalam pantang ramai yang meminta bantuan dari ibu dan ayah untuk menjaga. Kalau nak ibu dan ayah anda jagakan, 5 perkara ni wajib anda sediakan. Ikuti perkongsian dari puan Intan.
BERPANTANG DI RUMAH IBU BAPA
Saya mahu mengingatkan semua pasangan suami isteri, terutamanya saya yang menulis ini, rumah ibubapa bukanlah confinement place for free & bantuan mereka menjaga semasa berpantang pun bukanlah khidmat sukarelawan masyarakat, wahai anak-anak.
Ada ramai dari kita, hanya menjenguk kampung apabila mahu beranak semata, sebab mahukan penjagaan rapi semasa berpantang tanpa perlu mengeluarkan kos penjagaan ribu-ribuan. Astaghfirullah, moga Allah ampunkan kita kalau pernah berniat macam tu.
Lelaki sebagai suami & menantu.. ingatlah sebenarnya tanggungjawab menjaga isteri sepenuhnya atas bahumu. Ibubapa yang sukarela mahu menjaga anak perempuan mereka semasa berpantang perlu dihargai, diraikan tetapi bukan bermakna tempoh itu kamu boleh berlepas diri & bersenangan laksana bujang. Sedangkan di kampung, ibubapa yang uzur tadi terkial-kial mengangkat air panas buat isterimu mandi & hampir pitam mengendong anak kecilmu yang meragam dari malam hingga dinihari-setiap hari.
Hal berpantang jangan diambil remeh. Suami isteri perlu duduk berbincang dengan mak ayah tentang segala persediaan & keperluan yang patut dipersiapkan. Seperti ibu saya akan pesan pada suami saya untuk menyiapkan barang keperluan untuk dibawa ke hospital, barang untuk menguruskan uri dan sebagainya.
Jika suami jenis clueless, isteri mainkanlah peranan untuk ingatkan suami hal yang perlu dia ambil tahu, fikir & sediakan sebelum & semasa kita berpantang. Kadang suami ni bukan dia selfish melainkan dia tak terfikir hal remeh temeh yang bakal berlaku dalam tempoh itu. Mungkin kerana kurang membaca, kurang bertanya & mungkin juga terlalu ambil mudah. Terutamanya untuk kelahiran pertama.
Jadi para isteri untuk suami jenis begini, beritahu dia & ingatkan dia yang selain keperluan bayi, kita juga perlukan set berpantang, upah bidan mengurut, standby pam susu kalau terkena bengkak susu, serta jangan lupa beri mak ayah yang menjaga isteri;
1) duit bajet untuk lauk sepanjang berpantang yang perlu diberi kepada mak ayah. Nak beli makanan berkhasiat untuk kembalikan tenaga isteri seperti ikan jenis tertentu, daging, susu, buah, biskut, & lain-lain. Tanya mak tentang kos kasar barang keperluan itu & sediakanlah siap-siap. Jangan lupa nafkah isteri sepenuhnya dibawah tanggungjawab suami. Ada bajet extra, asingkan juga duit belanja dapur untuk mak ayah.
2) duit bil air & elektrik, kerana biasanya jumlah bil akan naik sedikit atau mungkin berganda semasa tempoh berpantang. Kalau jenis pasang air-cond 24jam pasti bil eletrik naik mendadak, jadi jangan buat-buat lupa bayar semula pada mak ayah.
3) duit minyak kereta mak ayah ke hulu hilir hantarkan isteri & anak check-up klinik/hospital/beli barang urgent.
4) duit standby incase tiba-tiba perlu belikan pacifier, baju lebih, pampers jenama lain jika tak sesuai jenama tertentu, krim ruam. Kita tidak tahu kerenah bayi seperti mana. Setiap bayi lain-lain ragamnya.
5) duit extra : jika ibubapa turut menjaga anak-anak yang lain, tentulah perlukan duit untuk beli makanan, permainan & sebagainya. Jangan ajar anak pow atuk nenek pula!
Last but not least, jika ada bajet lebih lagi selepas habis berpantang & anak sudah besar sedikit, bolehlah ajak mak ayah berjalan-jalan makan angin & belanja makan tempat-tempat yang bagus sedikit. Untuk meraikan penat lelah mereka (untuk membayar kita tidak layak & tidak mampu – hanya Allah yang mampu).
Terus terang.. mak ayah memang tidak akan meminta directly, tetapi sebagai anak yang baik, peka & sedar diri, faham-fahamlah sendiri tanggungjawab kita. Dah beranak pinak pun kan.. harapnya bolehlah lebih bertimbangrasa.
Mak ayah memang tak pernah berkira dengan anak-anak, sebaliknya anak-anak selalu sangat berkira dengan mak ayah. Walhal memang sudah tanggungjawab kita. Jadi, janganlah asyik ambil kesempatan.
Jangan zalimi ibubapa yang duit bulanan kamu tak pernah beri, tetapi bila tempoh kritikal begini kamu tambahkan pula beban lagi. Jagalah adab kita sebagai anak. Takut mak ayah kecil hati dalam diam, jadi tak redha, kita yang berdosa.
PENTING
Sekiranya ibubapa berterus terang sudah tidak mampu menjaga, mungkin atas faktor uzur & sebagainya, suami sepatutnya sudah merancang hal isteri berpantang sejak dari awal kandungan lagi. Mungkin suami sudah mula berfikir patut ambil cuti lebih lama selepas isteri bersalin dan mula mencari info tugas yang perlu dilakukan jika mahu berpantang sendiri, atau jika tak boleh cuti lama, boleh mula menabung untuk upah confinement lady serta bayaran daycare untuk anak yang lain sementara isteri berpantang. Sekarang dah moden, semua info ada di hujung jari.
Ibu selalu cakap pada saya; “dah beranak & jadi ibu ni barulah kamu lebih faham ibu kan. Bukan senang jadi ibubapa ni..” fuh memang sebak rasa. Rasa macam sangat kerdil dibandingkan dengan kasih sayang ibu ayah yang melimpah ruah. Terima kasih ibu ayah..
Maka anak-anak, janganlah ambil kesempatan atas kasih sayang mereka. Ibubapa cuma ada seorang atas muka bumi ini. Jika Allah ambil mereka kembali tentulah tiada lagi galang gantinya. Kita juga bakal menjadi orang tua kelak. Santunilah mereka semampunya, kerana Allah tahu apa di dalam hati kita.
Wallahu ‘alam.
Penulisan ini berdasarkan pengalaman & pandangan peribadi diri ini sahaja. Boleh tambah di ruang komen jika ada cadangan lain.
Gigi berlubang sering dipandang ringan oleh ramai orang. Walaupun kelihatan seperti masalah kecil, hakikatnya, ia boleh membawa risiko kesihatan yang serius jika tidak dirawat...