Anak-anak yang masih bayi dan sedang membesar memang selalunya aktif dan lasak. Kalau tidur atas katil habis bantal dibuat benteng risau anak-anak bergolek jatuh masa tidur. Ada yang lari-lari tetiba kepala terhantuk. Itu semua perkara biasa yang berlaku untuk anak-anak yang semakin membesar.

Dalam perkongsian yang dibuat oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad, menjawab persoalan yang diajukan tentang kesan bayi dan kanak-kanak jatuh dan terhentak kepala. Sarannya walau apa sahaja keadaan anak tersebut selepas terhantuk atau terhentak kepala, sebaiknya dilakukan pemeriksaan menyeluruh untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

KESAN BAYI DAN KANAK-KANAK JATUH DAN TERHENTAK KEPALA

“Salam doktor. Saya ingin bertanya, Bayi atau kanak-kanak sering terjatuh dan kerap terhentak kepala. Adakah perkara ini memberikan kesan tidak baik kepada mereka? Apakah tanda bahaya pada kanak-kanak ini? Perlukah dibawa segera berjumpa doktor? Apakah apakah kesannya sama ada jangka masa pendek dan panjang. Mohon pencerahan, terima kasih”

Buat Pemeriksaan Menyeluruh

Wa alaikum mus salam. Setiap kali bayi atau anak kecil kita jatuh dari sofa atau katil, kita berasa runsing jika mereka mengalami kecederaan terutamanya kecederaan kepala. Bagi kanak-kanak yang masih kecil dan masih tidak stabil berjalan, kemalangan lebih kerap berlaku di dalam rumah.

Kalau Anak Jatuh Terhantuk, Buat Pemeriksaan Menyeluruh Bimbang Ada Kesan Jangka PanjangWalaupun sofa dan katil itu tidak tinggi, mungkin setakat ketinggian lutut kita, tetapi secara relatif berbanding dengan saiz bayi, ketinggian sebegitu boleh disamakan dengan ketinggian aras kepala kita. Bayangkan kita jatuh dari tingkat pertama rumah, begitulah dibandingkan kesannya bayi kita yang jatuh dari sofa atau katil.

IKLAN

Oleh itu kita perlu melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kecederaan yang mungkin dialami oleh bayi kita, terutamanya jika dia jatuh pada kepalanya, sama ke depan atau ke belakang. Bayi yang jatuh mungkin tidak mengalami kecederaan yang serius, kerana mereka mempunyai tulang yang lembut dan tidak mudah patah seperti orang dewasa atau kanak-kanak yang lebih besar.

Elak kesan jangka Panjang

Apabila berlaku kemalangan, pemeriksaan harus dilakukan bagi memastikan bahawa bayi tidak mengalami luka yang serius, atau patah tulang, kecederaan organ dalaman, atau kecederaan kepala yang serius. Jika bayi kelihatan baik dan bayi berkelakuan seperti biasa, berkemungkinan bayi tidak menyebabkan kecederaan serius. Namun begitu, pemerhatian harus dilakukan dalam tempoh 24 jam. Sebarang kelakuan yang tidak normal, terutama apabila bayi jatuh pada bahagian kepala, bawalah bayi berjumpa doktor untuk diperiksa.

Bayi yang beberapa kali jatuh dari katil, sofa atau di lantai juga merunsingkan fikiran ibu bapa. Adakah mereka akan mengalami kesan jangka panjang apabila besar kelak?

IKLAN

Sebarang kecederaan kepala yang hanya melibatkan kulit kepala tidak mendatang sebarang kesan jangka panjang. Kecederaan pada kulit kepala biasanya dalam bentuk luka, lebam dan bengkak atau benjolan. Jadi bayi yang beberapa kali jatuh dan tidak mengalami kecederaan atau hanya mengalami kecederaan kulit kepala, tidak perlu dirisaukan.

Bayi alami gegaran otak tak boleh dikesan melalui X-ray

Namun jika bayi mengalami kecederaan gegaran otak (concussion), ia lebih membimbangkan apatah lagi jika mereka setiap kali jatuh beberapa kali dan mengalami gegaran. Gegaran otak adalah kecederaan pada fungsi otak, bukan pada struktur anatomi otak.

Kalau Anak Jatuh Terhantuk, Buat Pemeriksaan Menyeluruh Bimbang Ada Kesan Jangka PanjangOleh itu bayi yang mengalami gegaran otak, tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan xray atau CT scan, tetapi individu tersebut mungkin mengalami rasa sakit pening, tidak memberikan tumpuan pada permainan mereka, mudah lupa, tidak dapat berjalan dengan betul dan seperti hendak jatuh bila berjalan atau bangun.

IKLAN

Pada asasnya agak sukar untuk mengesan gegaran otak pada bayi, berbanding dengan orang dewasa kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dan memberitahu apa yang mereka rasakan. Tetapi jika kita lihat bayi tidak ceria atau tidak aktif, berkemungkinan besar, bayi itu mengalami gegaran otak atau kecederaan otak yang lebih serius.

Walau bagaimana pun, gegaran otak biasanya pada kemalangan yang lebih serius, seperti satu hentakan pada kepala, atau apabila badan mereka digoncang dengan lebih kuat. Gegaran otak akan memberikan kesan pada fungsi otak bergantung pada tahap kecederaan yang dialami. Kecederaan ini memerlukan masa untuk sembuh dengan sempurna dan adakalanya memberikan kesan apabila bayi itu semakin besar.

Wallahu a’lam.

Mak ayah kalau anak terhantuk atau terjatuh kepalanya, walaupun tak ada apa-apa sebaiknya buatlah pemeriksaan, bimbang akan beri kesan jangka Panjang. Mencegah kan lebih baik dari merawat

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI