
Bekas guru yang sebelum ini tular kerana semangat juangnya melawan tiga jenis kanser, Nassry Mardee Ismail, 45 atau lebih dikenali sebagai Cikgu E, disahkan meninggal dunia pada Selasa.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

“Nassry Mardee Bin Ismail dah meninggalkan kita semua. Moga ALLAH ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematiannya, lapangkan kuburnya dan jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya,” tulis hantaran tersebut yang turut disertakan bacaan surah al-Fatihah.
Berita pemergian Allahyarham mengundang rasa sedih dalam kalangan ahli keluarga, rakan-rakan serta bekas anak muridnya yang mengenali beliau sebagai seorang guru ceria dan berjiwa besar.
Allahyarham kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya, Ipoh.
Untuk makluman, Allahyarham sebelumnya menjadi perhatian ramai selepas berkongsi kisah perjuangannya melawan tiga jenis kanser, termasuk kanser buah pinggang, kanser kelenjar dan kanser paru-paru.

Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam buat ramai pihak yang kagum dengan ketabahan dan semangat juangnya melawan penyakit hingga ke akhir hayat.
PESANAN BUAT ISTERI DAN ANAK
Paling meruntun jiwa menerusi hantaran sebelum ini, Cikgu E menitip pesanan dan doa buat isteri tersayang serta lima anaknya andai suatu hari nanti beliau pergi meninggalkan mereka.
“Buat isteri tercinta, terima kasih kerana menjadi tiang doa dan kekuatan saya sejak dari awal perjalanan ini. Awak bukan sekadar isteri, tapi rahmat paling indah yang Allah pinjamkan.
“Teruslah hidup dengan tenang, jangan sesekali bersedih lama-lama. Saya mahu awak bahagia, sebab bahagia awak itu tanda saya tenang di sana,” tulisnya.
Selain itu, Cikgu E turut berpesan kepada anak sulungnya, Hakeem supaya menjaga keluarga dan berpesan kepada empat anaknya yang lain untuk sentiasa sabar, kuat, ceria serta terus mendoakannya.
“Abah sayang kamu semua sampai ke syurga, insyaAllah. Kalau rindu pandang langit dan senyum… sebab di situ juga abah sedang mendoakan kamu,” tulisnya lagi.
Di ruangan komen, ramai yang menitipkan doa buat Allahyarham dan keluarga.
Sumber: Nassry Mardee Ismail IV
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!












