Gambar Hiasan

Kisah Kanak-Kanak Autisme Yang Dipinggirkan Dari Sekolah

Dalam dunia keibubapaan, tiada yang lebih melukakan hati seorang ibu selain melihat anaknya dipinggirkan. Inilah yang sedang ditanggung oleh Elinoisna Abu, 47, seorang ibu tunggal yang berjuang memastikan anak sulungnya, Solehah Azzahra Nazri, 12, yang juga seorang kanak-kanak autisme, mendapat hak asas yang wajar diterima setiap murid hak untuk bersekolah.

Menurut laporan Harian Metro, Solehah bukan sekadar murid biasa. Dia merupakan murid cemerlang, pernah dinobatkan sebagai Olahragawati dan Atlit Terbaik Sekolah 2025, selain dua tahun berturut-turut mewakili sekolah ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD). Namun, semua pencapaian itu seakan hilang selepas satu insiden yang meruntuhkan semangatnya.

Kanak-Kanak Autisme Dipinggirkan: Kisah Menyayat Hati Seorang Ibu Mempertahankan Hak Anak
Ibu kanak-kanak autisme, Elinoisna Abu menunjukkan laporan polis dibuat berkaitan halangan anak perempuannya ke sesi persekolahan 2025 yang bakal berakhir pada minggu ini.

Insiden Tantrum Bermula Dengan Tekanan Emosi

Segalanya tercetus pada 20 November lalu. Ketika sesi latihan tarian konvokesyen, Solehah ditegur dengan suara keras oleh seorang guru. Bagi kanak-kanak autisme, perubahan nada suara serta situasi tekanan boleh mencetuskan emotional overload. Solehah menangis, keluar dari dewan dan berlari masuk ke kelas Tahun Lima untuk mencari ruang menenangkan diri.

Menurut ibunya, sepanjang kejadian, tiada murid cedera. Malah, beberapa rakan baik Solehah cuba menenangkannya dengan memegang tangan ketika dia berada dalam keadaan tidak stabil.

Namun, pihak sekolah mendakwa seorang murid cedera dakwaan yang menurut Elinoisna tidak disertakan sebarang bukti. “Saya diberitahu baju murid itu terkoyak, tetapi tiada gambar, tiada luka, tiada laporan jelas,” katanya.

Diculikkan Tanpa Sebab Munasabah

Pada 21 November, Solehah diberi arahan “cuti” oleh pihak sekolah — tindakan yang tidak pernah dibincangkan dengan ibu. Lebih mengejutkan, Solehah dituduh membahayakan murid lain dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah tanpa kebenaran semula.

Ads

“Tiga tahun dia bersekolah di situ, Solehah tak pernah agresif. Dia anak baik, disukai ramai. Mengapa selepas satu kejadian ini terus dihukum begini?” luah ibu tunggal itu dalam sebak.

Ibu Tunggal, Pesakit Kanser Tahap Tiga Yang Terpaksa Melawan Sistem

Hatinya semakin luluh apabila ada ibu bapa mengugut untuk membuat laporan polis beramai-ramai terhadap anaknya. Ada juga yang mengemukakan syarat bahawa ibu perlu menemani Solehah sepanjang waktu persekolahan.

“Dengan keadaan saya sebagai pesakit kanser tahap tiga, mana saya mampu berlari ke sana sini? Saya hanya mahu anak saya habiskan Tahun Enam dengan tenang,” katanya.

Sebagai ibu tunggal yang bekerja sebagai pelukis pelan, Elinoisna merasakan dirinya dipinggirkan kerana tidak mampu melawan suara pihak tertentu. Situasi sebegini bukan asing bagi ramai ibu bapa kanak-kanak autisme yang berdepan salah faham masyarakat.

PPD Sahkan Anak Tidak Boleh Dihalang Bersekolah

Enggan terus berdiam diri, beliau membuat laporan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Jawapan yang diterima jelas: anaknya tidak boleh dihalang hadir ke sekolah.

Ads

Namun apabila Solehah hadir pada 4 Disember lalu, ibu ini diminta menandatangani surat akujanji bahawa pihak sekolah tidak bertanggungjawab atas sebarang risiko. Beliau menolak kerana syarat itu tidak pernah dinyatakan oleh PPD.

“Saya terpaksa buat laporan polis untuk lindungi hak anak saya. Saya tak minta lebih, cuma mahu dia bersekolah seperti biasa sehingga hari terakhir Tahun Enam.”

Pihak Berkuasa Sedang Menyiasat

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyemak kes ini bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Ads

Anak-Anak Istimewa Bukan Untuk Dipinggirkan

Kisah Solehah Azzahra adalah cerminan realiti ramai ibu bapa kanak-kanak autisme — berjuang bukan sahaja untuk pembelajaran anak, tetapi juga penerimaan masyarakat.

Kanak-kanak autisme bukan ancaman. Mereka belajar pada ritma berbeza dan memerlukan sokongan, bukan penghakiman.

Dan seorang ibu, walau sedang bertarung nyawa sebagai pesakit kanser, tetap berdiri menjadi benteng terakhir buat anaknya. Kerana begitulah hati seorang ibu sentiasa kuat demi anak yang dicintainya.

BACA LAGI : Permohonan Subsidi Yuran Kanak-Kanak Autisme 2025 Dibuka, Ini Panduan Untuk Mak Ayah!

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads