
Kanser otak kanak-kanak merupakan antara penyakit kanser yang paling membimbangkan ibu bapa kerana ia boleh menjejaskan perkembangan fizikal, emosi dan mental anak dalam jangka panjang. Ramai tidak menyedari bahawa simptom awal kanser otak sering kelihatan seperti masalah biasa seperti sakit kepala, muntah atau perubahan tingkah laku.
Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Hematologi dan Onkologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Yap Tsiao Yi dalam kenyataan berkata tumor otak boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur dan ia kanser kedua tertinggi serta tumor pepejal yang paling lazim ditemukan pada kanak-kanak.
Kanser otak kanak-kanak boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur termasuk bayi dan kanak-kanak kecil. Penyakit ini berlaku apabila sel dalam otak membesar secara tidak normal lalu membentuk ketumbuhan yang memberi tekanan kepada otak.
Ada kanser otak yang berkembang perlahan, namun ada juga yang sangat agresif dan memerlukan rawatan segera. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu mengetahui tanda awal kanser otak supaya rawatan dapat dimulakan lebih cepat.
Apa Itu Kanser Otak Kanak-Kanak?
Kanser otak berlaku apabila terdapat pertumbuhan sel abnormal di dalam otak yang membentuk tumor malignan. Tumor ini boleh mengganggu fungsi penting otak seperti pergerakan, keseimbangan, penglihatan, pertuturan dan perkembangan mental anak.
Kanser otak kanak-kanak berbeza daripada orang dewasa kerana jenis tumor, lokasi dan tindak balas terhadap rawatan juga tidak sama.
Kebanyakan kanser otak kanak-kanak merupakan kanser primer, bermaksud ia bermula daripada sel otak itu sendiri dan bukan merebak daripada bahagian badan lain.
Jenis Kanser Otak Kanak-Kanak Yang Sering Berlaku
1. Medulloblastoma
Medulloblastoma merupakan antara kanser otak paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ia biasanya bermula di bahagian belakang bawah otak yang dikenali sebagai serebelum.
Bahagian ini berfungsi mengawal keseimbangan dan koordinasi badan. Sebab itu kanak-kanak yang menghidap kanser ini sering mengalami kesukaran berjalan atau mudah jatuh.
2. Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG)
DIPG ialah sejenis kanser batang otak yang sangat agresif dan jarang berlaku.
Ia menyerang kawasan penting yang mengawal fungsi asas tubuh seperti pernafasan dan degupan jantung. Kedudukan tumor yang sensitif menyebabkan rawatan menjadi sangat mencabar.
3. Glioma Batang Otak
Kanser ini berlaku pada batang otak dan sering menyebabkan masalah saraf serta penglihatan.
Kanak-kanak mungkin mengalami mata juling, penglihatan berganda atau kesukaran mengawal pergerakan mata.
Tanda Awal Kanser Otak Kanak-Kanak Yang Perlu Diberi Perhatian

Salah satu cabaran terbesar dalam mengesan kanser otak ialah simptomnya sering disalah anggap sebagai penyakit biasa.
Gejala biasanya berlaku apabila tumor mula menekan otak atau menghalang pengaliran bendalir serebrospina di dalam kepala sehingga menyebabkan tekanan meningkat.
Antara tanda awal kanser otak yang perlu diberi perhatian ialah:
- Sakit kepala yang kerap terutama pada waktu pagi
- Muntah tanpa sebab yang jelas
- Penglihatan kabur atau berganda
- Mudah mengantuk dan kurang aktif
- Perubahan personaliti atau tingkah laku
- Cepat marah atau sensitif
- Sawan
- Masalah keseimbangan ketika berjalan
- Lemah anggota badan
- Prestasi pembelajaran merosot secara mendadak
Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, simptom mungkin lebih sukar dikenal pasti. Antaranya termasuk kepala membesar secara tidak normal, kerap menangis, kurang menyusu dan tidak aktif seperti biasa.
Jika anak menunjukkan simptom berulang terutama sakit kepala dan muntah pada awal pagi, ibu bapa disarankan segera mendapatkan pemeriksaan doktor.
Bagaimana Kanser Otak Kanak-Kanak Didiagnosis?
Diagnosis awal sangat penting bagi meningkatkan peluang rawatan berjaya.
Doktor biasanya akan melakukan beberapa pemeriksaan untuk mengenal pasti lokasi dan jenis kanser otak.
Pemeriksaan Fizikal dan Sejarah Kesihatan
Doktor akan memeriksa fungsi saraf, keseimbangan, refleks dan penglihatan anak.
Pemeriksaan mata juga dilakukan bagi melihat tanda peningkatan tekanan dalam otak.
Imbasan CT dan MRI
Imbasan CT scan dan MRI digunakan untuk mendapatkan gambaran jelas keadaan di dalam otak.
MRI lebih kerap digunakan kerana ia memberikan imej lebih terperinci mengenai saiz dan kedudukan tumor.
Ujian Darah
Sesetengah jenis kanser otak boleh dikenal pasti melalui petanda tumor dalam darah.
Biopsi
Diagnosis tepat dilakukan melalui pemeriksaan tisu tumor di bawah mikroskop.
Sampel tisu biasanya diambil melalui biopsi atau ketika pembedahan.
Rawatan Kanser Otak Kanak-Kanak

Rawatan kanser otak bergantung kepada jenis tumor, umur anak, saiz dan lokasi kanser di dalam otak.
Biasanya rawatan melibatkan gabungan beberapa kaedah berikut:
1. Pembedahan
Pembedahan ialah rawatan utama untuk membuang tumor sebanyak mungkin.
Jika tumor tidak dapat dibuang sepenuhnya, doktor akan mengambil sampel untuk menentukan jenis kanser sebelum rawatan lain diteruskan.
Dalam sesetengah keadaan, doktor mungkin memasukkan tiub khas dikenali sebagai Ventriculo-Peritoneal (VP) Shunt bagi mengalirkan bendalir dari otak ke abdomen untuk mengurangkan tekanan dalam kepala.
2. Radioterapi
Radioterapi menggunakan sinaran tenaga tinggi untuk membunuh sel kanser.
Ia diberikan jika masih terdapat sel kanser selepas pembedahan atau tumor tidak dapat dibuang sepenuhnya.
3. Kemoterapi
Kemoterapi menggunakan ubat anti-kanser untuk memusnahkan atau mengawal pertumbuhan sel kanser.
Rawatan ini biasa digunakan untuk beberapa jenis kanser otak termasuk medulloblastoma.
4. Steroid
Steroid membantu mengurangkan pembengkakan otak akibat tekanan tumor.
Walaupun ia tidak menyembuhkan kanser, ubat ini membantu mengurangkan simptom dan membuatkan anak lebih selesa.
5. Ubat Anticonvulsants
Ubat ini digunakan bagi mengawal dan mencegah sawan yang boleh berlaku akibat tekanan pada otak.
Kesan Jangka Panjang Kanser Otak Kanak-Kanak
Kanser otak bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan fizikal anak, malah boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan pembelajaran mereka.
Sesetengah pesakit mungkin mengalami masalah memori, kesukaran belajar, perubahan tingkah laku dan gangguan emosi selepas rawatan.
Mereka memerlukan pemantauan jangka panjang bagi memastikan perkembangan otak berjalan dengan baik.
Selain itu, keluarga juga berdepan tekanan emosi dan kewangan sepanjang proses rawatan.
Kepentingan Pengesanan Awal Kanser Otak
Ramai ibu bapa tidak menyangka simptom seperti sakit kepala dan muntah boleh menjadi petanda kanser otak.
Disebabkan itu, pengesanan awal sangat penting supaya rawatan dapat dimulakan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Jika anak mengalami simptom yang berulang atau menunjukkan perubahan tingkah laku secara mendadak, jangan bertangguh mendapatkan pemeriksaan doktor.
Kesimpulan
Kanser otak kanak-kanak merupakan penyakit serius yang boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan anak dan keluarga. Walaupun ia antara kanser paling tinggi menyerang kanak-kanak di Malaysia, peluang rawatan menjadi lebih baik jika penyakit ini dikesan lebih awal.
Ibu bapa perlu lebih peka terhadap tanda awal kanser otak seperti sakit kepala berpanjangan, muntah tanpa sebab, masalah keseimbangan dan perubahan tingkah laku anak.
Kesedaran tentang kanser otak kanak-kanak amat penting supaya lebih ramai kanak-kanak mendapat diagnosis awal, rawatan segera dan peluang hidup yang lebih baik.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





