Karies botol sering dianggap masalah kecil, tetapi kisah seorang ibu ini membuktikan betapa besarnya kesan terhadap kesihatan gigi dan emosi anak kecil. Luahan ini membuka mata ramai tentang realiti kesakitan, ketakutan dan akhirnya kelegaan apabila semuanya berakhir dengan selamat.
Sebagaimana perkongsian puan Siti Nur Haliza ini bukan untuk membuka aib, tapi sebagai peringatan. Bayangkan sampai anaknya kena ditidurkan untuk mencabut gigi sebanyak 12 batang.
Kadang kita tak sedar tabiat kecil seperti botol susu sebelum tidur boleh merosakkan gigi anak secara perlahan-lahan. Dengan tanda pagar #12batang gigi perkongsian ibu ini telah meraih perhatian ramai. Nyata kisah ini menjadi contoh jelas bagaimana penjagaan awal dapat mengelakkan masalah karies botol daripada menjadi serius.
12 Batang Gigi Anak Dicabut Serentak
Selalunya bila kita nampak kanak-kanak kecil hilang banyak gigi atau gigi nampak hitam, ramai tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku. Itu jugalah yang dialami oleh seorang ibu ini apabila ramai bertanya,
“Kenapa gigi anak saya dibuang semua? Kenapa hitam macam tu, kesian sakit ke?”
Di sebalik persoalan orang ramai, tersimpan sebuah perjalanan yang panjang bermula dengan sakit kepala, turun naik hospital, pemeriksaan demi pemeriksaan, sampailah ke satu keputusan besar: semua gigi anaknya perlu dicabut melalui pembedahan.
Semuanya Bermula Dengan Sakit Kepala
Cerita si ibu, beberapa bulan lepas, anaknya bangun pagi nak ke sekolah dengan keadaan yang luar biasa. Dia dikejutkan seperti biasa, tapi kali ini anaknya ikut sahaja tanpa membantah walaupun masa itu dia sedang sakit kepala yang kuat.
“Balik sekolah pun sama… masih sakit kepala. Dia mengadu tak selera makan. Saya bagi makan, suruh tidur, suruh rehat tapi bangun masih pening.”
Pada waktu itu, tiada demam. Cuma pening, lesu, dan muntah dua kali ketika hendak dibawa ke klinik. Anak itu terus menjadi tidak aktif sesuatu yang sangat jarang berlaku.
Ibu ini kemudian membawa anaknya ke klinik. Doktor berikan ubat, tetapi keadaan tidak berubah.
“Makan ubat pun muntah, masih pening…” tulisnya
Esoknya, mereka ke klinik sekali lagi. Kali ini doktor terus admit ke wad kerana simptomnya pelik dan tiada tanda punca yang jelas.
Doktor Cadang Ambil Air Tulang Belakang, Ibu Tak Setuju
Disebabkan pening yang tidak berhenti-henti, doktor risau kemungkinan radang otak. Mereka mencadangkan prosedur mengambil air tulang belakang (lumbar puncture). Namun sebagai seorang ibu, dia tidak sanggup.
“Saya tak setuju sebab doktor takut ada radang otak… saya taknak.”
Akhirnya doktor rujuk kepada pakar dan kemudian ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk CT scan.
Di HSNZ, anaknya ditidurkan dan CT scan dilakukan syukurlah, keputusan semuanya normal.
Anaknya masih perlu warded beberapa hari untuk dipantau oleh pakar pediatrik dan diberikan antibiotik serta ubat-ubat lain.
Dari Masalah Pening, Sampai Terdengar Bunyi Pada Jantung
Semasa pemeriksaan rutin, doktor mendengar murmur pada jantung anak itu. Selepas di-scan, rupanya ada lubang kecil, sangat kecil tapi tetap memerlukan pemantauan.
Pada masa yang sama, doktor juga perasan keadaan gigi anak itu.
“Gigi pun doktor tengok buruk…” tulisnya
Terus dirujuk kepada pakar bedah mulut di HSNZ.
Keputusan Besar: Semua Gigi Perlu Dibuang
Selepas pemeriksaan pakar gigi kanak-kanak, keputusan sangat berat dibuat — semua gigi perlu dibuang, bukan satu, bukan dua.
“Anak saya kena buang semua tak boleh buang satu-satu sebab semua dah rosak. Memang tak boleh tampal.”
Ibu ini kemudian masuk dalam senarai menunggu untuk tarikh pembedahan. Hampir 2 hingga 3 bulan menunggu sebelum doktor menghubungi untuk temujanji anestesia dan tarikh admit.
Disebabkan rumah jauh dari hospital, anak perlu masuk wad sehari sebelum operation untuk dipantau jika batuk atau demam, prosedur tak boleh dijalankan.
Hari Pembedahan: Detik Yang Meruntun Jiwa
Pagi hari pembedahan, ibu atau ayah dibenarkan masuk sehingga anak ditidurkan.
“Lepas ditidurkan, mak atau ayah kena tunggu dekat luar…”
Proses pembedahan tidak lama, dan selepas selesai, doktor pantau 30 minit di dalam dewan pembedahan sebelum menolak keluar. Anak itu sedar, tapi masih mamai.
“Mula-mula menangis sebab kebas bius dan sakit sikit… lama-lama ok.”
Selepas empat jam baru dibenarkan makan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan selamat.
Pada tahap ini, barulah ibu benar-benar faham bagaimana karies botol boleh memusnahkan gigi tanpa disedari.
Punca: Karies Teruk Dari Botol Susu
buku temujanji since 2020-2025 next 2026
Ibu ini mengaku puncanya adalah karies botol, satu masalah biasa tapi ramai ibu bapa terlepas pandang.
“Alhamdulillah, anak saya ok je sampai hari ni. Dia tak menangis, dia aktif macam biasa… syukur sangat.”
“Anak saya karies botol susu. Dia menyusu botol sampai umur 4 tahun. Tidur mesti botol susu. Tak gosok gigi… jarang-jarang je gosok. Itu yang jadi hitam.”
Walaupun hati ibu mana tak sedih bila dengar semua gigi anaknya perlu dicabut, dia tetap jujur.
“Iya… saya ibu yang bukan perfect. Saya tak jaga betul-betul. Anak saya pun ada eczema, mata juling dan masalah lain… tapi dia tetap sihat, aktif, Alhamdulillah.”
Tips Penjagaan Gigi Anak Untuk Elak Masalah Sama
Bagi ibu ayah lain, pengalaman ini menjadi peringatan penting tentang bahaya karies botol dan kepentingan penjagaan gigi sejak awal.
Elakkan Botol Susu Sebelum Tidur : Susu dan jus boleh tinggalkan gula pada gigi.
Gosok Gigi 2 Kali Sehari : Mulai dari gigi pertama tumbuh.