
Tragedi pilu. Sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian menyayat hati apabila seorang murid Darjah 4 ditemui tidak bernyawa di sebuah sekolah di Senawang, tengah hari semalam.
Peristiwa ini bukan sekadar meruntun hati setiap ibu bapa. Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan pihaknya menerima laporan sekitar jam 1.19 tengah hari, sebelum pasukan polis bergegas ke lokasi.
Menurut siasatan awal, murid terbabit dikatakan keluar dari kelas sekitar jam 12.10 tengah hari, sebelum ditemui tidak sedarkan diri di kawasan sekolah. Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.
Datuk Alzafny turut memaklumkan bahawa pihak polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca dan kronologi kejadian dalam masa terdekat.
Tragedi sebegini pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada ibu bapa seluruh negara. Sebagai ibu bapa, perasaan bimbang itu nyata tidak dapat dielakkan. Setiap pagi anak dihantar dengan penuh doa agar mereka selamat, namun apabila tragedi pastinya membimbangkan ibu ayah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberikan sepenuh ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Pada masa sama, KPM komited memastikan kebajikan guru serta murid di sekolah terbabit terjaga.
“Mulai esok, pasukan kaunselor negeri bersama Kementerian Kesihatan akan turun padang untuk memberikan intervensi psikososial dan sokongan emosi,” jelasnya ketika ditemui di Seremban.
Dalam masa yang sama, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian, sebaliknya menghormati privasi keluarga mangsa yang sedang berduka.
“Kementerian merakamkan ucapan takziah dan memberikan sepenuh sokongan kepada keluarga mangsa, khususnya dari segi emosi dan psikososial,” tambah Fadhlina.
Sumber: Harian Metro