Kebanyakan kes kematian kanak-kanak atau bayi dalam kenderaan disebabkan ibu bapa bekerja atau menghadiri mesyuarat sehingga terlupa anak berada di dalam kereta.

Demikian rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang mana mengikut perangkaan kementerian itu, enam kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia di dalam kenderaan yang masing-masing dua kes berlaku pada 2020, 2019 dan 2018.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, walaupun bilangan kes itu kecil namun kementerian memandang serius mengenai kes kematian kanak-kanak dan bayi akibat di tinggalkan ibu bapa di dalam kenderaan.

Gambar Hiasan

“Ini kerana ia membabitkan kehilangan nyawa dan memberikan kesan besar kepada keluarga berkenaan.

“Selain mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada, kementerian juga menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit sebagai langkah intervensi.

“Kita juga memberikan kesedaran kepada ibu bapa mengenai pelbagai perkara termasuk risiko tertinggal dalam kereta, pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak ketika berada dalam kenderaan dan sebagainya,” katanya pada sesi persidangan Dewan Rakyat.

IKLAN

Jangan letak bayi belakang tempat duduk pemandu

Sementara itu, Siti Zailah berkata, kementerian juga bekerjasama dengan agensi lain bagi menjalankan kempen pendidikan dan advokasi serta meningkatkan kesedaran awam mengenai isu itu kepada ibu bapa, penjaga dan masyarakat termasuk melalui kursus keselamatan keluarga, kursus pra perkahwinan serta kursus ilmu kekeluargaan.

Katanya, kementerian juga banyak menerima maklum balas daripada keluarga dan masyarakat yang dibincangkan bersama Institut Keselamatan Jalan Raya dan Majlis Keselamatan Jalan Raya.

“Antara perbincangan termasuk bayi tidak boleh diletakkan di belakang tempat duduk pemandu kerana ia adalah titik buta.

“Selain itu, meletakkan beg barang keperluan anak di tempat duduk hadapan sebagai peringatan anak berada di dalam kereta berkenaan.

“Masyarakat juga harus memainkan peranan dengan melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika ternampak ada anak-anak ditinggalkan di dalam kenderaan tanpa pengawasan orang dewasa sekali gus mengelakkan kes kematian kanak-kanak yang ditinggal dalam kereta daripada berlaku,” katanya.

Gambar Hiasan

Pindaan hukuman 

Menurutnya, kementerian meminda Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 bagi memasukkan perkataan ‘bertindak secara cuai’ dan membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada ibu bapa, penjaga dan mereka yang cuai dalam kes seumpamanya.

Beliau berkata, pindaan berkenaan juga merangkumi hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan penganiayaan, pembuangan, pengabaian dan pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.

“Pindaan dibuat pada 2016 membolehkan mereka yang cuai, melakukan pengabaian, penderaan dan pembuangan bayi dikenakan hukuman lebih berat misalnya hukuman penjara dinaikkan daripada 10 kepada 20 tahun atau denda ditingkatkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 atau kedua-kedua selain hukuman khidmat masyarakat sebagai hukuman mandatori,” katanya

Sumber: Metro

**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi