
Seorang ibu, Julaiha Munaji, 43, tidak menyangka pesanan terakhir kepada anak-anaknya sebelum keluar rumah menjadi antara kenangan paling menyedihkan dalam hidupnya.
Siapa sangka, pagi yang bermula seperti biasa bertukar menjadi tragedi apabila tiga anak kesayangannya maut dalam kemalangan tiga beradik di Pontian membabitkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, Johor, kira-kira jam 7 pagi tadi.
Lebih meruntun hati, kejadian berlaku ketika semua sekolah di Johor diarahkan tutup susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.

Sudah Pesan Tak Perlu Ke Sekolah, Anak Tetap Beria Mahu Pergi
Menurut Julaiha, dia sudah memaklumkan kepada dua anaknya, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8, bahawa mereka tidak perlu hadir ke sekolah kerana penutupan sekolah di seluruh Johor.
Bagaimanapun, kedua-duanya tetap berkeras mahu pergi ke sekolah.
“Saya dah beritahu tak payah pergi sekolah, tapi mereka beria-ia nak pergi juga.”
Melihat kesungguhan adik-adiknya, abang mereka, Nor Daniel Aiman, 18, akhirnya menghantar kedua-duanya ke sekolah pada pagi tersebut bagi membuktikan bahawa sekolah sememangnya ditutup.
Namun, siapa sangka perjalanan singkat itu menjadi perjalanan terakhir buat ketiga-tiga beradik berkenaan.
Hanya 200 Meter Dari Rumah, Tiga Beradik Terlibat Kemalangan
Julaiha berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah menunjukkan motosikal dinaiki anak-anaknya berpatah balik selepas tiba di hadapan sekolah.
Namun, ketika dalam perjalanan pulang, mereka terlibat dalam kemalangan tidak jauh dari kediaman keluarga.
“Bila sampai depan sekolah, saya dimaklumkan kamera litar tertutup (CCTV) sekolah rakam motosikal dinaiki mereka dan terus pusing nak balik ke rumah.
“Sekolah rendah dengan rumah cuma dua kilomoter. Ada orang yang hendak pergi kerja datang beritahu motosikal dinaiki anak saya kemalangan dekat depan rumah. Jaraknya cuma 200 meter.
“Suami dan anak sulung terus pergi ke tempat kejadian dan anak-anak kemudian dibawa ke hospital Pontian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Siraj.
Bayangkan perasaan seorang ibu apabila mendapat berita tiga anaknya terlibat dalam kemalangan, sedangkan tidak lama sebelum itu mereka masih berada di rumah dalam keadaan baik.
Lebih memilukan, jarak tempat kejadian dengan rumah mereka hanyalah kira-kira 200 meter.

Sempat Basuh Kasut Bola, Si Bongsu Siapkan Kerja Sekolah
Bercerita mengenai detik sebelum kejadian, Julaiha yang merupakan ibu kepada enam cahaya mata berkata, tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan oleh anak-anaknya.
Ketiga-tiganya masih ceria dan menjalani rutin seperti biasa. Malah, Nor Daniel Fikri sempat memberitahu ibunya mengenai hasrat untuk bermain bola sepak dan sudah membersihkan kasut sebagai persediaan.
“Fikri ada beritahu nak main bola. Dia siap basuh kasut bersih-bersih dan letak di situ sebab nak pakai nanti.
“Anak bongsu, Puteri pula buat kerja sekolah pada sebelah malam, kemudian sambung lagi pada sebelah siang,” katanya.
Kasut bola yang sudah dibersihkan dan kerja sekolah yang masih disiapkan menjadi antara kenangan terakhir seorang ibu terhadap anak-anak yang pergi secara mengejut.
Abang Banyak Membantu Ibu Selepas Kemalangan Empat Bulan Lalu
Menurut Julaiha, ketiga-tiga anaknya mempunyai hubungan yang sangat rapat. Malah, pada malam sebelum kejadian, mereka masih tidur bersama keluarga seperti kebiasaan.
Nor Daniel Aiman yang merupakan anak ketiganya pula disifatkan sebagai seorang yang pendiam, namun suka bergurau apabila bersama ibu.
Lebih menyentuh hati, remaja berusia 18 tahun itu banyak membantu urusan keluarga, terutama selepas Julaiha sendiri terlibat dalam kemalangan kira-kira empat bulan lalu.
“Aiman jenis pendiam, tapi kalau dengan saya dia suka bergurau. Mereka semua rapat.
“Empat bulan lepas saya kemalangan selepas hantar anak ke sekolah. Aiman yang jugak anak ketiga banyak tolong saya, hantar adik-adik ke sekolah,” ujarnya.
Pemergian Aiman bukan sahaja meragut seorang anak daripada pelukan ibu, malah turut menyebabkan keluarga kehilangan abang yang banyak membantu menjaga dan menghantar adik-adiknya ke sekolah.

Kemalangan Tiga Beradik di Pontian Undang Sebak
Tragedi yang menimpa keluarga ini pastinya meninggalkan kesedihan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Daripada enam cahaya mata, tiga pergi serentak dalam satu kejadian yang langsung tidak dijangka. Semoga Julaiha dan seluruh keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan untuk menghadapi kehilangan yang amat berat ini.
Al-Fatihah buat ketiga-tiga beradik. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah SWT.
Sumber & Foto: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

