
Siapa sangka hasrat seorang ibu untuk memiliki cahaya mata selepas menanti hampir 12 tahun akhirnya dimakbulkan dengan kelahiran kembar lima yang sangat jarang berlaku secara semula jadi.
Wanita berusia 35 tahun itu dikatakan sebelum ini berdepan tekanan emosi yang cukup berat kerana sering dipersoalkan tentang zuriat sepanjang tempoh perkahwinannya.
“Saya berdoa untuk seorang anak sahaja, dan Allah memberikan saya lima.
“Saya tidak dapat menggambarkan kegembiraan saya dengan kata-kata,” katanya berkongsi.
Wanita kelahiran Ethiopia ini yang dikenali sebagai Bedriya Adem bersama suaminya cukup bersyukur selepas dikurniakan empat bayi lelaki serta seorang bayi perempuan.

Kembar 5 Jadi Rezeki Luar Biasa Selepas 12 Tahun
Tambah Bedriya lagi, dia sukar menggambarkan perasaannya dengan kata-kata selepas penantian panjang akhirnya berakhir. Katanya sepanjang 12 tahun itu dia banyak menyisihkan dirinya dengan masyarakat setempat kerana terlalu tertekan dengan pertanyaan masyarakat mengenai kegagalannya mendapatkan anak.
Namun begitu, Bedriya bersyukur kerana suaminya yang turut mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulunya sentiasa positif dan memujuk dirinya ketika dicemuh masyarakat setempat.
“Dia selalu beritahu saya bahawa anak itu sudah mencukupi dan saya tidak perlu terlalu risau, tetapi jauh di sudut hati saya tetap menderita secara emosi dan mental,” katanya.
Wanita itu berkata dia sentiasa berdoa agar dikurniakan seorang cahaya mata sahaja, namun tidak menyangka menerima rezeki yang jauh lebih besar apabila dikurniakan kembar lima.
Lahir Secara Semula Jadi Tanpa IVF
Pihak Hospital Hiwot Fana Specialised memaklumkan kesemua bayi tersebut dilahirkan secara pembedahan Caesarean. Kesemua bayi yang mempunyai berat antara 1.3 hingga 1.4 kilogram itu kini berada dalam keadaan sihat dan stabil.
Bedriya dikatakan hamil secara semula jadi tanpa bantuan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), sekali gus mengejutkan ramai termasuk pihak hospital sendiri.
Pengarah Perubatan Hospital, Dr Mohammed Nur Abdulahi turut menjelaskan bahawa peluang untuk seseorang wanita hamil kembar lima secara semula jadi sangat jarang berlaku dan ia dianggap satu keajaiban serta rezeki luar biasa.

Kejutan Ketika Proses Bersalin
Apa yang lebih mengejutkan, pada awalnya Bedriya dimaklumkan bahawa dia hamil kembar empat. Namun ketika proses kelahiran berlangsung, terdapat seorang lagi bayi dilahirkan sehingga mengejutkan ramai pihak termasuk pasukan perubatan.
Walaupun mengakui bimbang memikirkan kos membesarkan lima bayi sekali gus, Bedriya tetap bersyukur dengan rezeki yang diterimanya.
Dia yakin dapat membesarkan kelima-lima anaknya yang diberi nama Naif, Ammar, Munzir, Nazira dan Ansar dengan baik.
“Saya menghabiskan 12 tahun dalam kesakitan, menyendiri dan sentiasa berdoa untuk anak. Akhirnya Allah mendengar doa saya,” katanya.
Wanita yang bekerja sebagai petani itu berkata dia percaya Allah akan membantunya melalui sokongan masyarakat dan pihak kerajaan.
Kisah Kembar 5 Buat Ramai Tersentuh
Kisah Bedriya Adem yang dikurniakan kembar lima selepas lebih sedekad menanti zuriat nyata menyentuh hati ramai netizen. Ramai menyifatkan kelahiran lima bayi tersebut sebagai rezeki luar biasa dan bukti bahawa setiap doa pasti mempunyai waktunya sendiri.
Dalam masa sama, ramai turut mendoakan agar Bedriya dan keluarganya dipermudahkan urusan membesarkan kelima-lima bayi tersebut dengan sihat dan sempurna.
Baca lagi: Ibu Cekal Daki Tangga Tingkat-36 Demi Anak Selepas Tujuh Lif Rosak
Mykad Baharu Bermula Jun 2026, Ini Ciri Keselamatan & Siapa Perlu Tukar
Sumber: BBC
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





