Berenang adalah salah satu aktiviti kegemaran ramai kanak-kanak. Kanak-kanak gemar berendam di dalam air yang sejuk dan bermain dalam kolam renang seharian. Akan tetapi, berenang bukan hanya untuk suka-suka. Dengan latihan yang betul, anak anda akan mendapat pelbagai manfaat termasuk dari segi kesihatan dan kecergasan sehinggalah kesejahteraan mental dan kelangsungan hidup.
Ads
1. Keselamatan
Penyebab utama untuk menghantar anak anda belajar berenang adalah untuk keselamatan mereka. Kejadian lemas ialah salah satu punca utama kematian kanak-kanak, terutamanya anak kecil yang berumur 1 hingga 4 tahun. Dengan belajar berenang, anak anda boleh belajar skil menyelamatkan diri penting semasa berada di dalam air ataupun apabila terjatuh ke dalam air. Jadi, amat penting untuk anda mendaftar anak ke kelas renang atau mengajar mereka berenang sejak awal lagi.
Ads
2. Hiburan
Kedua, kebanyakan kanak-kanak berkeras supaya anda mengikut mereka berseronok di dalam kolam renang. Jadi, amat penting untuk menyiapkan anak anda supaya selamat semasa percutian anda baik di dalam kolam renang, laut ataupun tasik. Daripada menghalang anak mendekati sebarang tempat yang dekat dengan air (dan pada masa yang sama anda mungkin telah menyekat kehidupan sosial mereka), anda boleh menjadi ibu bapa yang proaktif dan biarkan anak anda belajar berenang dahulu. Apabila anak anda telah mempelajari skil renang yang diperlukan, anda boleh berhenti daripada berasa bimbang jika membiarkan mereka bermain dengan rakan mereka di dalam air.
Ads
3. Kesihatan
Akhir sekali, berenang adalah sukan yang sesuai untuk semua peringkat umur. Jika anda ajar anak anda bagaimana untuk berenang semasa umurnya masih muda, dia tentu akan ingat kemahiran tersebut dan boleh terus mempraktikannya. Senaman di dalam air juga amat baik untuk golongan tua memandangkan ia boleh membantu mengurangkan ketidakupayaan dan menggalakkan fungsi fizikal dan mental. Disebabkan berenang hampir tidak mendatangkan risiko, ia dikira sebagai sukan yang selamat untuk warga tua. Jadi, daripada mengambil risiko terjatuh disebabkan berlari ataupun berbasikal, lebih baik jika anak anda berlatih berenang.
Setiap kanak-kanak perlu belajar untuk berenang seawal mungkin untuk mengembangkan kesihatan mental dan fizikal mereka. Oleh sebab berenang mempunyai banyak peringkat, anak anda boleh berlatih berenang sehingga dewasa dan mendapat manfaat daripadanya. Dengan mengajar anak berenang semasa mereka masih muda, anda boleh memberikan mereka peluang untuk mengembangkan banyak skil dalam hidup mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mendidik anak sebenarnya fleksibel. Jika kena formulanya memang berkesan tapi kadang-kadang kesilapan juga boleh berlaku kerana kita sebagai ibu bapa terlalu mengikut perasaan.
Mungkin kita tak boleh nak kawal kemarahan pada waktu itu namun bila keadaan dah kembali reda baru kita rasa insaf dan kasihan pada anak. Inilah lumrah kita sebagai ibu bapa.
Perkongsian dari seorang bapa, Ws Adli W Muhammad ini boleh dijadikan pengajaran bersama dan semoga kita sama-sama menjadi ibu bapa terbaik dalam mendidik anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
Mencium anak-anak adalah sangat penting untuk menumbuhkan EQ anak dengan lebih segar. Anak-anak yang sering dicium dengan penuh kasih sayang merasai dirinya dikasihi.
Berdasarkan pengalaman Pakar Kekeluargaan, Keibubapaan Dan Kasih Sayang, Ibu Rose dia menegaskan jangan segan untuk mencium anak walaupun mereka sudah besar. Sekiranya mereka sering dicium semasa kecil, anda akan mendapati bila mereka sudah remaja, perkara itu jadi kebiasaan bagi mereka.
Namun, dengan anak remaja dan anak-anak yang telah berusia 8 tahun ke atas, jika hendak menciumnya dikhalayak ramai, bertanyalah dulu.
Bukan apa, hanya sekadar menghormati dirinya. Kerana ada sesetengah kawan-kawan yang jarang dicium oleh ibu bapa mereka akan mengolok-olokan dan mengejek-ejek anak anda dan mengelarnya manja atau yang sepertinya. Kekadang ini akan membuat anak anda stres.
Namun, berdasarkan pengalaman Ibu, jika kita sudah sangat rapat dengan anak-anak dan kita asuh sikap yakin diri tinggi ke dalam dirinya, semua ejekan kawan tidak mencederakannya. Malah, selamba sahaja dia akan mencium anda dan dengan bangga mengatakan; ” Ini mak/bapa saya. Saya sayang dia!” . Dan kawan-kawan yang hendak mengejek pun terkedu.
Kuasa ciuman sangat kuat, dia menjadikan anak mudah mendengar kata. Bukan kerana mereka takut anda, tapi kerana mereka sangat sayang dan hormat kepada anda. Mereka berasa terhutang budi.
Mahu anak jadi bijak dan berakhlak mulia, belajarlah ilmu, skil dan sikap positif untuk mendidik anak-anak kita.
Makanan ringan atau lebih dikenali sebagai jajan memang disukai oleh kanak-kanak tapi kerap makan jajan sebelum usia 3 tahun boleh beri kesan pada IQ anak ya!
Hari ini ramai ibu bapa suka berkongsi kegembiraan menyambut ulang tahun kelahiran anak dengan kawan-kawan di tadika atau taskanya dengan cara memberi goodie bag berisi makanan ringan atau jajan.
Niat di hati memang bagus kerana hendak berkongsi rezeki dan sebagai tanda kesyukuran. Namun mungkin selepas ini perlu ubah jenis makanan yang diberi dalam goodie bag tersebut. Jajan memang makanan yang sangat digemari oleh anak kecil kerana ia antara makanan yang dilarang oleh kebanyakan ibu bapa.
Jadi bila ada peluang makan, mereka tak lepaskan peluang untuk merasai jajan tanpa mengetahui kesan jangka panjang pada diri sendiri. Selepas baca perkongsian info daripada Dr.Taufiq Razif, diharap ibu ayah lebih prihatin dalam bab memberi anak sendiri atau anak orang lain makan jajan ya.
Ramai Betul Tak Tahu Bahaya Jajan Ni
Terkedu saya!
Baru-baru ni saya amik anak saya daripada tadikanya. Yang peliknya anak saya tak nak berenggang dengan beg galas dia. Saya dah jadi pelik dah. Bila saya buka je beg dia..
Ya Allah! Penuh dengan jajan!
Hari pertama beg dia penuh dengan bungkusan jajan berperisa jagung. Saya urut dada. Takpelah. Mungkin cikgu dia tersilap masukkan la kot. Hari kedua ketiga lepas tu pun masih dapat jajan lagi. Bermacam macam perisa pulak tu. Siap dapat lolipop lagi. Saya tak boleh berdiam diri lagi. Saya jumpa terus cikgu tadika anak saya tu.
Saya tak marah pun cikgu tu cuma saya tanya elok-elok je. “Cikgu, kenapa banyak sangat jajan dalam beg anak saya?”.
Cikgu tu macam agak cuak jugak la sebab dia kenal saya kot. Dia cakap ada pelajar yang celebrate birthday jadi bagi bagi je jajan tu kat semua pelajar tadika tu. Saya terkedu!
Eh! Kenapa ada mak ayah yang celebrate anak dengan jajan?
Sini saya nak bagitahu keburukan jajan ni kat mak ayah semua. Mana tahu ada yang belum tahu kan.
Jadi kepada mana-mana ibubapa tu, tolong la pantau apa yang anak kita makan ye. Zaman sekarang adalah zaman yang mana ‘ penyakit orang dewasa ‘ dah mula menyerang kanak-kanak. Ni la zaman yang mana umur 20 tahun pun dah ada yang kena potong kaki dan umur 30 tahun pun dah kena strok dan serangan jantung.
p/s : Tolong ingatkan pasangan dan keluarga kita sekali ye. Sama-sama kita jaga keluarga kita
Sumber: Taufiq Razif
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!