
Kehamilan adalah fasa istimewa dalam kehidupan seorang wanita, tetapi ia juga datang dengan pelbagai cabaran dan tanggungjawab baharu.
Salah satu pemeriksaan rutin yang sering diminta oleh doktor semasa kehamilan ialah ujian air gula atau lebih dikenali sebagai glucose tolerance test (GTT).
Bagi sesetengah ibu, permintaan untuk minum air gula ini mungkin terasa pelik atau tidak difahami sepenuhnya. Jadi, kenapa sebenarnya ibu hamil perlu minum air gula? Mari kita kupas satu persatu.
Nak tahu ikuti perkongsian Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, pakar Obstetrik & Ginekologi ini.
Bagaimana ujian minum air gula berfungsi?

“Apa ni? Kene minum air gula pulak? Dah la tak sedap. Better bagi minum air Coke ke Pepsi terus. Sama gak manis, jauhhhh lebeh sedapp! – Keluh ibu muda, Maisarah sambil mengusap-ngusap perut nya yang kini mececah 28 minggu.”
Meh kita belajar sikit, mengapa perlu minum air gula ketika hamil. Fungsi minum air gula ini adalah untuk memeriksa sama ada puan-puan ada kencing manis ataupun tak. Macam mana boleh ‘check’ kencing manis dengan minum air gula? Teori di sebalik ujian ini diterangkan seperti berikut.
Kencing manis terjadi apabila badan kita tidak dapat memproses gula berlebihan. Dalam keadaan normal, gula akan dicerna menjadi glukosa. Glukosa amat penting sebagai sumber tenaga untuk sel dalam badan. Tetapi jika glukosa berlebihan, hati akan menukar glukosa menjadi sebatian glikogen untuk disimpan.
Pernah dengar mengenai insulin? Apakah insulin dan fungsinya? Insulin ini merupakan hormon yang berfungsi menukarkan glukosa kepada glikogen untuk disimpan dalam hati dan sel-sel otot apabila didapati glukosa berlebihan.
Insulin juga berfungsi membawa glukosa ke dalam sel untuk dimetabolismekan menjadi tenaga. Dalam kencing manis, insulin menjadi kurang reaktif (insulin resistant) ataupun kurang dihasilkan. Jadi insulin tidak dapat mengawal paras gula dalam darah.
Maka apabila puan-puan minum air gula tu, sebenarnya nak ‘test’ insulin tu boleh berfungsi atau tidak. Jika insulin berfungsi dengan baik, selepas 2 jam minum air gula, paras gula dalam darah masih akan normal. Sebaliknya, jika insulin bermasalah, paras gula akan naik selepas minum air gula dan anda mungkin mempunyai kencing manis (diabetes) ketika hamil.
Siapa yang berisiko tinggi dan perlu ujian GTT?

Puan-puan berisiko tinggi menghidapi diabetes ketika mengandung jika mempunyai faktor-faktor ini:
- BMI 30 atau lebih
- Sejarah kelahiran bayi besar (4 kg atau lebih)
- Sejarah diabetes ketika mengandung sebelumnya
- Ibu bapa atau adik-beradik yang mempunyai diabetes
Jika anda mempunyai salah satu faktor ini, anda akan menjalani ujian toleransi glukosa (minum air gula) pada awal kandungan dan diulang pada usia 24 hingga 28 minggu.
Bagaimana prosedur ujian minum air gula dilakukan?
Ujian toleransi glukosa GTT memerlukan anda untuk berpuasa semalaman. Pada awal pagi, sebelum sarapan, ujian darah pertama diambil. Kemudian anda akan diminta menghabiskan larutan gula yang disediakan. Selepas 2 jam, ujian darah diulang. Air gula yang diberikan oleh klinik kerajaan biasanya tidak berperisa dan sedikit suam. Ada juga yang berperisa oren.
Jika anda mempunyai sejarah diabetes dalam kandungan sebelumnya, ujian mungkin dilakukan lebih awal untuk mengesan diabetes secepat mungkin. Kawal atur gula di awal kehamilan sangat penting kerana ia melibatkan pembentukan organ-organ penting bayi.
Apakah risiko jika gula tidak terkawal semasa hamil?

Kebanyakan ibu yang menghidapi diabetes ketika mengandung tidak mempunyai masalah sepanjang proses kehamilan, tetapi terdapat segelintir kes yang membawa masalah serius pada ibu dan juga bayi, terutama jika diabetes tidak dikesan awal.
Jika paras gula kekal tinggi, bayi akan menghasilkan lebih banyak insulin dan membesar berlebihan dalam rahim. Ini meningkatkan risiko bersalin awal, proses induksi, pembedahan caesarean atau risiko bahu bayi tersangkut semasa kelahiran.
Risiko kematian bayi dalam rahim (in utero death) juga meningkat jika gula tidak terkawal. Selepas lahir, bayi mungkin mengalami paras gula rendah dan perlu pemantauan rapi oleh pakar pediatrik.
Bayi daripada ibu yang mempunyai kencing manis juga berisiko menghidapi diabetes dan kegemukan apabila dewasa.
Kenapa ibu hamil tak boleh abaikan ujian minum air gula
Maka ibu-ibu perlu mengawal paras gula dalam darah sepanjang proses kehamilan untuk mengurangkan risiko komplikasi. Minum air gula bukan menyebabkan kencing manis, tetapi membantu mengenal pasti ibu yang ada diabetes.
Peringatan penting: tolong jangan muntah. Kalau muntah, ujian GTT tidak valid dan perlu diulang semula.
Minum air gula semasa hamil mungkin kelihatan remeh, tetapi sebenarnya ia adalah langkah pencegahan penting untuk memastikan ibu dan bayi selamat. Ia membantu doktor mengenal pasti gestational diabetes lebih awal supaya rawatan boleh diberikan dengan lebih cepat.
Bagi ibu hamil, jangan anggap ujian ini sebagai beban. Sebaliknya ia adalah pelaburan keselamatan untuk diri sendiri dan bayi. Dengan pemahaman dan persediaan yang betul, ujian ini boleh dijalani dengan lebih tenang dan yakin.
Sumber: Muhammad Izzat & Diari Mak-Mak
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

















