Kontraksi di bilik bersalin amat menyakitkan hingga menyebabkan mama tidak dapat mengawal diri. Suami lah yang membantu memberikan urutan dan kata-kata semangat. Sekurang-kurangnya dapatlah mama meluahkan dan berkongsi kesakitan yang dialami. Apa lagi peranan papa yang boleh dilakukan untuk mama? Jom kita ikuti tip penglibatan papa menjelang waktu bersalin.
Menjadi papa dan mama memang menguja, lebih-lebih lagi semasa proses. Tidak dinafikan banyak peranan papa di bilik bersalin yang boleh membantu mama melancarkan proses kelahiran. Papa tidak hanya diperlukan untuk memotong tali pusat, penglibatan dalam proses kelahiran akan memberikan impak yang positif kepada mama dari segi mental dan fizikal.
Urutan
Berikan urutan kepada mama. Urutan boleh menyebabkan pelepasan hormon endorfin yang menjadi pelega sakit kontraksi yang sedang dialami. Ia juga mampu melegakan kesakitan dan mengurangkan kebimbangan mama di peringkat pertama kelahiran. Urutlah pada bahagian bahu untuk membantu mama melegakan bahu dan bernafas secara teratur.
Kebanyakan wanita akan merasai kontraksi kuat pada bahagian belakang. Maka urutan pada belakang juga amat membantu. Selain itu, urut kaki dari buku lali ke jari kaki, atau membuat lingkaran dengan ibu jari di seluruh tapak kaki. Urutan pada kaki juga membantu memanaskan kaki yang sejuk. Urutan tangan melibatkan pergelangan dan tapak tangan pula boleh menjadi sangat menenangkan.
IKLAN
Teknik pernafasan
Ingatkan mama untuk mempraktikkan apa yang anda berdua pelajari semasa kelas antenatal iaitu teknik pernafasan yang betul supaya kelahiran mudah dan lancar. Teknik pernafasan yang betul juga boleh mengurangkan kesakitan.
Aromaterapi
IKLAN
Jika boleh, anda boleh memasang minyak pati aromaterapi yang membantu menenangkan mama yang bakal melahirkan. Sebagai contoh, lavender dan ylang ylang amat terkenal dengan sifat-sifat yang menenangkan.
Makan dan minum
Kebanyakan hospital rakan bayi membenarkan mama mengambil minuman semasa di bilik bersalin (bagi kelahiran berisiko rendah sahaja). Papa boleh membantu mama minum air sedikit demi sedikit. Tindakan ini tentunya boleh melegakan kesakitan yang sedang dialami.
IKLAN
Membantu
Kebanyakan papa tidak tahu tugas di bilik bersalin. Tidak dinafikan ramai yang terkedu terutamanya bagi yang kali pertama. Jadi, sediakan kelengkapan pakaian bayi dari beg hospital yang anda bawa. Sekurang-kurangnya ada sumbangan yang anda berikan semasa isteri sedang bergelut dengan kesakitan!
Semangat
Waktu menunggu tahap pembukaan serviks dan kontraksi yang dialami semakin hebat. Kata-kata semangat daripada papa tentu akan menyebabkan mama lebih bermotivasi. Bagi Muslim, boleh berzikir dan membaca ayat-ayat Al-Quran untuk menenangkan mama. Berikan tangan untuk mama genggam. Begitu juga semasa meneran, dorong mama untuk meneran sehabis baik supaya si kecil mudah dilahirkan. Jika boleh, pangku mama di katil semasa meneran jika dibenarkan pihak hospital.
Bagi Muslim, papa perlu bersedia untuk mengazankan dan mengiqamatkan si kecil sebaik sahaja lahir. Lakukan pembacaan dan buat catatan sekiranya ia merupakan kali pertama. Bimbang ketika cemas dan gugup di bilik bersalin, segala yang ada di dalam ingatan hilang begitu sahaja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Musim cuti sekolah inilah masa yang sesuai untuk anak-anak berkhatan. Sebagai ibu bapa amat penting untuk mengetahui tip penjagaan luka selepas berkhatan agar tidak bentan atau bernanah dan luka cepat sembuh.
Berkhatan, Doktor Kongsi Tip Jaga Luka
Selari dengan perubahan zaman, kanak-kanak kini tidak lagi dapat membayangkan kelibat Tok Mudim dengan pisaunya. Hanya doktor dengan peralatan khas untuk berkhatan. Teknik berkhatan yang digunakan kini juga ada beberapa kaedah iaitu biasa, laser dan clamp.
Ramai ibu bapa yang memilih untuk menggunakan teknik clamp kerana cara penjagaannya yang lebih mudah dan tempoh penyembuhan juga lebih cepat. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka bersedia secara mental untuk menghadapi prosedur berkhatan.
Supaya Tak Bentan, Bernanah & Cepat Sembuh
Berikut dikongsikan tip tentang penjagaan luka selepas berkhatan.
1. Jangan biarkan balutan luka tidak dibuka lebih 72 jam. Ia perlu dibuka, untuk pantau komplikasi berikut:
*Jangkitan/nanah
*Bengkak/bentan
*Jahitan terbuka
*Keruping melekat pada balutan
2. Luka berkhatan perlu dicuci 2-3 hari sekali menggunakan normal saline. Caranya:
*Bersihkan daki / darah beku sekitar luka
*Cuci luka dengan normal saline
*Periksa jika ada jahitan & tanda jangkitan
*Tutup semula luka jika tiada tanda-tanda
3. Ada beberapa ubat yang dibekalkan oleh doktor selepas prosedur berkhatan:
*Tahan sakit: diambil bila perlu
*Antibiotik: perlu diambil ikut jadual
*Ubat cucian: lazimnya normal saline
*Elak sapu minyak/herba pada luka
4. Anak-anak kadangkala mengadu berasa ngilu bila kepala zakar bergesel dengan pakaian(seluar/kain). Itu perkara normal kerana ia bahagian yang sensitif dan sebelum ini ia dilitupi kulit, tetapi kini terdedah. Ngilu itu akan beransur-ansur hilang.
5. Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya aliran darah tidak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Ini membantu proses penyembuhan luka. Boleh pakai seluar, asalkan tidak terlalu ketat.
6. Selepas berkhatan, anak-anak dibenarkan berjalan. Malah mereka tidak digalakkan hanya berbaring sahaja. Aktiviti ringan ini membantu pengaliran darah dan mengurangkan tempoh penyembuhan luka. Cuma jangan lasak sangatlah.
7. Pastikan minum air secukupnya. Ada petua lama yang mengatakan minum air banyak selepas berkhatan menyebabkan bentan. Itu tidak benar. Air yang cukup adalah satu faktor yang penting untuk penyembuhan luka.
8. Jaga pengambilan makanan. Perlu ambil makanan yang mengandungi protein, serat, vitamin secukupnya. Boleh makan: ayam, telur, ikan, kicap, sayur. Ia tidak akan menyebabkan kegatalan atau kehitaman pada luka berkhatan.
9. Luka berkhatan akan sembuh dalam masa 10-14 hari. Jika ada tanda-tanda berikut, jumpa doktor:
*Sakit/bengkak melampau
*Nanah yang banyak
*Demam tinggi
*Tak boleh kencing
10. Bergantung pada teknik khatan, mungkin perlu bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
*Jahitan konvensional: tak perlu dibuka
*Klamp: perlu jumpa doktor untuk dibuka
*Gam: tak perlu jumpa doktor semula
Semoga tip ini dapat membantu ibu bapa memudahkan urusan menjaga anak-anak selepas melalui proses berkhatan.
Penyanyi kesayangan ramai rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi menu pantangnya yang nampak sedap dan tentunya berkhasiat.
Sama seperti ibu-ibu lain yang melahirkan anak, Siti turut mengamalkan tempoh berpantang dan menjaga pemakanannya.
Tempoh berpantang sangat penting untuk ibu lepas bersalin kerana ia bermaksud tempoh masa untuk ibu kembali cergas dan pulih selepas bersalin.
Lepas bersalin, ibu memang kena jaga makan. Selepas bertarung nyawa melahirkan bayi, ibu perlu melalui fasa pemulihan untuk mengembalikan semula tenaga yang hilang.
Selain banyak berehat, merawat diri secara tradisional atau moden, ibu lepas bersalin kena jaga pengambilan makanan sepanjang berpantang.
Perlu diingatkan yang amalan pemakanan yang mengutamakan pengambilan makanan berkhasiat penting untuk mengembalikan semula badan sihat dan bertenaga.
Siti berkongsi dalam instagram peribadinya menu pantang selepas dua hari melahirkan puteri sulungnya.
Ikan salmon bakar yang ditabur bawang putih bersama bubur nasi dicampur lobak merah memang sesuai untuk ibu yang baru melahirkan secara caesarean.
Kebaikan Ikan Salmon Kepada Ibu Berpantang
Ikan salmon bagus kerana mempunyai kebaikan mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin, memperbaiki fungsi otak dan membantu membina sistem saraf bayi.
Salmon kaya dengan DHA iaitu nutrien yang amat diperlukan bayi untuk perkembangan otak dan saraf. DHA disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.
Salmon juga membantu mengelakkan postpartum depression atau kemurungan selepas bersalin.
Asid lemak dan omega-3 asid lemak juga dikatakan untuk meningkatkan penghasilan susu ibu. Lemak yang sihat adalah satu komponen utama susu ibu dan adalah penting untuk pengeluaran hormon, yang membantu dalam mengawal pengeluaran susu.
Sementara bawang putih memang makanan yang mempunyai banyak khasiat antaranya bagus untuk menurukan kadar kolesterol badan dan membuang angin dalam badan yang sesuai diamalkan sebagai menu makanan ibu berpantang.
Goreng sahaja garing-garing dan taburkan atas ikan yang digril. Cukup menyelerakan dimakan dengan bubur nasi campur sayur-sayuran seperti menu berpantang Datuk Siti itu.
Mungkin ibu-ibu yang sedang menjalani tempoh berpantang macam Siti pun boleh cuba sediakan menu yang sama.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seorang wanita bertanyakan tentang masalah yang dihadapi oleh beliau setelah melahirkan anak secara normal. Beliau mengalami sakit di hujung tulang belakang (tulang ekor) yang berlarutan beberapa minggu. Akibat daripada ketidakselesaan dan kesakitan ini, beliau tidak dapat melakukan kerja-kerja rumah dengan sempurna.
Kehamilan dan melahirkan anak adalah proses fisiologi yang normal. Wanita yang hamil dan melahirkan anak bukanlah dianggap pesakit. Namun begitu proses yang normal ini adakalanya mendatangkan kemudharatan diri. Oleh itu banyak perkara yang perlu diambil perhatian dalam kedua-dua proses ini.
Menurut perkongsian Dr. Zubaidi, salah satu punca kesakitan pada tulang ekor (coccyx) ialah proses melahirkan anak. Kesakitan pada tulang ekor ini dinamakan coccydynia. Ia kerap berlaku pada kelahiran normal melalui faraj.
Tulang ekor (coccyx) ialah sekumpulan tulang yang terakhir pada tulang belakang kita. Ia mempunyai 5 tulang yang berbeza. Adakalanya tulang-tulang ini bercantum menjadi 2 atau tiga segmen. Ia dicantumkan pada tulang belakang yang lebih besar oleh ligamen, yang membenarkan pergerakan antara tulang belakang dan tulang coccyx.
Ketika melahirkan bayi, bayi dikeluarkan melalui saluran peranakan (rahem dan faraj). Pergerakan bayi dari rahem ke luar melalui faraj memberikan tekanan fizikal pada tisu di sekeliling. Tekanan ini boleh menyebabkan bengkakan dan koyakan pada tisu-tisu tersebut.
Jika tekanan itu terlalu kuat, ia boleh menyebabkan tulang coccyx terseliuh (dislocate). Dalam kes yang jarang berlaku ia boleh menyebabkan tulang coccyx ini patah. Dalam kes-kes yang agak ekstrem, tulang yang patah boleh menusuk ke saluran dubur dan menyebabkan pendarahan.
Selalunya wanita yang sedang sakit ketika proses melahirkan tidak perasan tulang coccyxnya patah. Ini kerana kesakitan ketika melahirkan lebih kuat dari kesakitan akibat patah tulang coccyx. Setelah beberapa hari, barulah sakit di bahagian hujung tulang belakang dapat dirasakan. Walaubagaimanapun kadang-kala patah tulang coccyx dapat dikesan ketika lahir apabila terdengar bunyi seperti ranting yang patah.
Oleh itu wanita yang hamil anak yang bersaiz besar dinasihatkan menjalani pembedahan Caeserean kerana fizikal yang besar boleh menyebabkan tulang coccyx tercedera. Begitu juga jika bayi dilahirkan secara songsang. Proses kelahiran yang sukar akan memudahkan kecederaan ini.
Adakalanya wanita yang hamil itu sendiri mempunyai tulang coccyx yang tidak normal. Kelima-lima tulang itu mungkin bercantum menjadi satu dan melekat pada tulang belakang menyebabkan ia tidak boleh lagi bergerak bagi memberikan laluan ketika ketika bayi dilahirkan. Ia mudah patah atau terseliuh apabila wanita meneran bayi keluar.
Wanita yang pernah mengalami kecederaan tulang coccyx perlu memberitahu doktor yang menyambut kelahiran bayi bagi mengelakkan kerosakan tulang tulang coccyx lebih teruk. Kecederaan tulang coccyx biasa berlaku pada wanita yang agak obese dan terjatuh dari tangga dengan posisi duduk. Hentakan pada tulang coccyx menyebabkan tulang itu cedera. Sekiranya wanita itu hamil dan melahirkan bayi bersaiz besar, ia akan menyebabkan kecederaan pada tulang coccyx ini bertambah teruk .
Kesakitan akibat kecederaan tulang ini semasa proses kelahiran selalunya ditanggung beberapa minggu terutama apabila ketika duduk atau berubah posisi dari bangun ke posisi berdiri. Kesakitan ini membuatkan pesakit tidak dapat melakukan kerja rutin seharian dengan baik.
Saya menasihatkan wanita yang mengalami kesakitan pada tulang coccyx akibat melahirkan anak harus berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan fizikal dan xray akan dilakukan untk mengesahkan kerosakan pada tulang coccyx. Selalunya kecederaan sebegini akan pulih dalam masa beberapa minggu. Kebiasaannya 6 hingga 8 minggu.
Saya merasa simpati jika musibah ini berlaku pada wanita yang melahirkan. Tidak banyak yang boleh dilakukan kecuali doktor akan memberikan ubat penahan sakit sama ada berbentuk tablet atau suntikan. Pembedahan tidak membantu kecuali mengeluarkan tulang yang patah. Pembedahan bukanlah rawatan terbaik kerana banyak ligament dan otot yang melekat pada tulang coccyx ini. Ia boleh membawa komplikasi yang lebih teruk. Saya menasihatkan wanita yang hamil banyakkan berdoa agar proses kehamilan dan kelahiran anak mereka dipermudahkan.
Selain dari menggunakan ubat penahan sakit, banyakkan rehat dan boleh tuamkan ice pack pada kawasan itu beberapa kali untuk mengurangkan bengkakan dan sakit.
Ketika tidur, posisi yang sesuai ialah berbaring mengiring untuk mengurangkan tekanan pada punggung dan tulang coccyx. Bagi mengurangkan kesakitan ketika dalam posisi duduk, boleh gunakan bantal berbentuk doughnut supaya tulang coccyx tidak menekan pada lantai.
Berendam dalam kolam air panas atau dalam tab mandi boleh membantu merehatkan otot-otot pelvis yang melekat pada tulang coccyx itu. Jika tidak dapat, berendamlah dalam basin (warm sitz bath) bagi mendapat faedah ini.
Pesakit harus menjaga pemakanan bagi mengelakkan sembelit. Sembelit akan menyebabkan kesakitan yang lebih teruk pada tulang coccyx yang tercedera. Pastikan banyak minum air dan makan makanan yang banyak serat bagi mengelakkan sembelit.
Bagi kehamilan seterusnya, pesakit harus memberitahu doktor masalah yang dihadapinya. Saya percaya doktor akan mencadangkan pembedahan Caeserean bagi mengelakkan kecederaan tulang coccyx berulang. Namun haruslah berbincang pro dan kontra sebelum memilih cara kelahiran itu nanti.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
Foye P, Buttaci C, Stitik T, Yonclas P (2006). “Successful injection for coccyx pain.”. Am J Phys Med Rehabil 85 (9): 783–4.
Kim NH; Suk KS] (1999 Jun). “Clinical and radiological differences between traumatic and idiopathic coccygodynia”. Yonsei Medical Journal (40:3).
Postacchini F, Massobrio M] (Oct 1983). “Idiopathic coccygodynia. Analysis of 51 operative cases and a radiographic study of the normal coccyx”. The Journal of bone and joint surgery (65(8)).
#HealthDrZubaidi
Sempena kemerdekaan yang ke-63 tahun ini dengan tema Malaysia Prihatin, NU Ideaktiv juga menunjukkan sokongan dengan #kitakansama. Semoga Malaysia terus sejahtera dan berjaya di masa hadapan!
#kitakansama #MalaysiaPrihatin
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!