Anak-anak yang tengah membesar dan aktif, mata ibu ayah memang kena bekerja extra sikit. Kenapa? Sebabnya anak-anak dia tak tahu sama ada sesuatu yang dilakukan itu bahaya ataupun tidak.
Apa yang mereka tahu hanya keseronokan dan nak mencuba sesuatu yang baru. Terleka sikit, sekelip mata perkara yang tak dijangka boleh berlaku. Melalui apa yang dikongsikan oleh seorang ibu, Puan Azura Ngatdeni, kejadian yang berlaku pada anak perempuannya yang terhantuk kepala di lantai dan tiba-tiba pengsan cukup membuatkannya trauma.
11 pagi SEKELIP MATA GELAP !
Nak dipendekkan cerita Fateen sebenarnya tengah bermain agah-agah dengan adiknya Farhan.
Jadi kak zura tengok dia main lari-lari ke depan dan ke belakang. Malang tak berbau Fateen jatuh terpeleset..dan benda ni kak zura perasan kepala dia terhentak di lantai dahulu.
Panic ?? Belum lagi.. Masa ni kak zura nampak dia nak bangun dan nangis. Kak zura panggil dia. Fateen sini datang ke mama. Tapi…Cubaan gagal. Dia terbaring dan lembik tiba-tiba.
Kak zura terus lari dapatkan Fateen. Tengok muka dia, terus lemah dan PENGSAN! TAK SEDARKAN DIRI. PANIK !!! PANIK DAN PANIK !! ANGKAT DIA LEMBIK TAK ADA RESPON.
Ads
Call suami untuk bawa ke klinik
Melihatkan keadaan Fateen yang tak sedarkan diri, kak zura call suami. Beritahu papa balik sekarang Fateen pengsan. Sementara tu. Kak zura terus baringkan Fateen. Buat apa yang terlintas di fikiran kak zura.
Apa yg kak zura buat. Tepuk bahu dia dan jerit nama dia..fateen fateen fateen namun tiada respon. Tak lengahkan masa kak zura terus bagi CPR. Tak tahulah sama ada tindakan kak zura ni betul atau tak. Kak zura tiup udara (oksigen) terus ke mulut dia. Banyak kali..Akhirnya kali ketiga panggil nama dia, Fateen sedar. ALLAHU.
Fateen sedar buka mata, terus menangis
Ads
Sedar je fateen terus buka mata dan panggil mama serta menangis sekuatnya. Pada waktu itu, nampak dia sedar mengalir air mata kak zura. Sedangkan sepanjang dia tak sedarka diri, kak zura tak boleh fikir dan nangis pun.
Mama masa tu cuma boleh cakap. Fateen hidup lagi. Papa sampai terus kami bawa dia pergi klinik. Xray dan doktor kata Fateen alami gegaran otak. Sebab tu dia pengsan.
Ps : Pastikan yang ada anak super ligat macam Fateen ni, jika jatuh kenal pasti mereka terhentak di bahagiana mana dulu. Patah kita nampak. Tapi kalau kecederaan dalam otak. Kita tak nampak. Dan pentingnya pengetahuan CPR. Walaupun benda ni kita rasa tak penting. Satu saat untuk nyawa, sangatlah penting.
Fateen dipantau selama 24 jam untuk lihat keadaannya sama ok atau tak. Syukur juga selepas melalui tempoh pemantauan itu, nampak dia semakin ok dan aktif.
Ads
Antara pesanan doktor selepas tempoh pemantauan dan ada tanda seperti ini, doktor suruh cepat-cepat bawa ke hospital.
1. Muntah berterusan
2. Lemah atau demam
3. Sawan – CPR NI PENTING TAU!
4. Anak mata berlainan saiz antara keduanya
5. Pengsan semula (TERUS HANTAR HOSPITAL) – DIKHUATIRI PENDARAHAN DALAM OTAK.
Alhamdulillah setakat ini semuanya baik dan terima kasih kepada semua yang mendoakan Fateen. Moga perkongsian ini dapat memberi peringatan buat ibu bapa lain yang ada anak tengah aktif. Penting juga ilmu CPR untuk ibu bapa bila berlaku keadaan yang tak dijangka sebelum terima rawatan susulan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Baru tiga hari lepas bersalin, dah pergi majlis kahwin? Bukan ke sepatutnya berpantang?”
Inilah persoalan yang sedang hangat dibincangkan netizen selepas tular video isteri selebriti Indonesia, Thariq Halilintar, iaitu Aaliyah Massaid, hadir ke majlis pernikahan sahabatnya iaitu Al Ghazali meraih perhatian ramai. Mana tidaknya, Aaliyah, 23, baharu sahaja selamat melahirkan cahaya mata sulung tiga hari yang lepas iaitu pada Jumaat lalu.
Menerusi perkongsian di media sosial, kelihatan Aaliyah tampil anggun dengan busana kebaya berona ungu , lengkap bersolek, berjalan bergandingan dengan suami tercinta. Penampilannya yang tampak cergas seolah-olah tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan selepas bersalin menimbulkan pelbagai reaksi.
Ada yang memuji keberanian dan kecantikan Aaliyah,23 namun tidak kurang juga yang mengecam tindakannya yang dianggap tidak menjaga pantang dengan betul.
“Zaman sekarang, ibu muda terlalu ghairah nak nampak sempurna. Badan belum pulih, luka masih baru… tapi dah mula sibuk ke sana sini. Kesian rahim…” – komen seorang pengguna media sosial.
Mereka juga dilihat tidak membawa anak sulungnya iaitu Ahmad Arash Omara Thariq ke acara tersebut.
Pasangan itu dipercayai meminta ibunya iaitu Reza Artamevia untuk menjaga anak mereka.
Mereka juga dilihat tidak membawa anak sulungnya iaitu Ahmad Arash Omara Thariq ke acara tersebut. Pasangan itu dipercayai meminta ibunya iaitu Reza Artamevia untuk menjaga anak mereka.
Untuk rekod, Thariq bernikah dengan Aaliyah pada 26 Julai tahun lalu. Mereka dikurniakan anak sulung pada 13 Jun lalu melalui pembedahan.
Dalam budaya Melayu dan juga banyak budaya Asia lain, pantang selepas bersalin bukan sekadar adat – ia adalah rawatan pemulihan menyeluruh. Dari segi perubatan pun, tubuh ibu memerlukan sekurang-kurangnya 6 minggu untuk kembali pulih – baik dari segi fizikal mahupun emosi.
Antara keperluan utama tempoh berpantang:
Pemulihan luka bersalin (normal atau pembedahan)
Pengecutan rahim secara semula jadi
Kestabilan hormon selepas perubahan besar ketika hamil dan bersalin
Pencegahan bentan, angin dalam badan & masalah saraf
“Ibu yang tidak berpantang dengan betul berisiko alami gangguan kesihatan seperti rahim jatuh, angin pasang, dan kemurungan selepas bersalin,” jelas seorang bidan berpengalaman yang dihubungi Pa&Ma.
Kami di Majalah Pa&Ma menyeru semua ibu muda untuk ambil berat tentang kepentingan berpantang. Bukan untuk mengekang gaya hidup moden, tetapi untuk memastikan tubuh ibu benar-benar sembuh, dan anak mendapat penjagaan terbaik.
Kepada Aaliyah, kami doakan agar beliau terus diberikan kekuatan sebagai ibu baru. Namun buat semua ibu di luar sana – jangan abaikan pantang hanya kerana ingin kelihatan ‘cepat pulih’. Tubuh anda perlukan rehat, dan anda berhak untuk utamakan diri sendiri dahulu ❤️
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak dinafi, kehidupan semasa PKP ini sangat meresahkan. Masakan tidak, seluruh rakyat Malaysia dikehendaki duduk diam-diam sahaja di rumah dan tidak dibenarkan keluar.
Hanya ketua keluarga saja dibenarkan keluar sebagai wakil untuk membeli barangan atau ubatan penting buat diri sendiri serta ahli keluarga yang lain.
Ketika di luar, individu disaran menggunakan topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter dari individu lain.
Ketika perintah ini diumumkan dahulu, ramai netizen yang tak dapat menerimanya. Ada yang tak mematuhi arahan dengan berlegar-legar di luar rumah seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Ada yang mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman atau pergi melancong bersama ahli keluarga. Malah, ada juga yang masih berdegil menganjurkan pelbagai kenduri-kendara.
Lebih teruk, ada juga yang melakukan pembelian panik keperluan rumah sehingga mengakibatkan pasar raya menjadi lautan manusia! Kesannya, banyak keperluan seperti roti, beras, mi segera dan minyak masak yang habis stok.
Kehidupan selepas PKP berakhir, apa yang akan terjadi? Adakah anda dapat bayangkan kehidupan selepas PKP ini berakhir?
Adakah kehidupan akan kembali seperti sebelum ini? Hakikatnya, ia tidak mudah seperti yang kita sangka.
Dalam erti kata yang lebih mudah, tidak wujud istilah ‘business as usual’.
Jika hendak difikirkan secara logik, tiada jaminan yang mengatakan wabak COVID-19 akan hilang dengan sepenuhnya selepas tamat tempoh kedua PKP.
Jadi, tempoh ketiga, keempat, kelima dan seterusnya masih perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.
Namun, sudah tentu kita juga sudah tidak lagi mahu berada di rumah hingga tiada pendapatan masuk.
Sampai bila kita perlu minta bantuan kerajaan?
Sesuatu perlu dilakukan untuk membolehkan kita hidup kembali normal selepas ini. Apakah yang perlu kita buat selepas wabak COVID-19 reda? Wabak COVID-19 sukar untuk ditamatkan “begitu sahaja”.
Namun, ia boleh reda dengan meratakan lekuk graf jangkitan. Antara usaha yang perlu kita lakukan sekarang adalah dengan mematuhi PKP sehinggalah ia berakhir.
Namun selepas ia berakhir, kita masih tidak boleh kembali ke kehidupan normal. Contohnya, kita tidak boleh anjurkan kenduri-kendara, perhimpunan, persembahan atau pertunjukan yang memerlukan kehadiran ramai individu di suatu tempat.
Sebaliknya, kita masih perlu pakai topeng muka dan pengamalan jarak sosial ketika di luar rumah atau di tempat kerja.
Begitu juga dengan aspek kebersihan. Kita masih lagi perlu amalkan etika batuk dan bersin serta mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer untuk mengelak wabak ini berulang.
Isu doula yang tular sekarang menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat terutama ibu mengandung. Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang lengkap dan jelas daripada sudut pandangan agama Islam diharap meredakan kekeliruan yang berlaku dan selepas ini bakal ibu bapa lebih bijak membuat pilihan mengenai perkara yang melibatkan nyawa manusia iaitu ibu yang melahirkan dan bayi yang dilahirkan.
Mukadimah
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula. Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”. Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1] Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula iaitu doula antepartum, doula labor, dan doula pospartum. Doula antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung. Doula labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin. Manakala, doula postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional. Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih. Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih. Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut. Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi. Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”. Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT. Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018