
Keselamatan digital kanak-kanak semakin diberi perhatian serius apabila kerajaan mengumumkan peraturan baharu yang memperketat akses media sosial bawah 13 tahun. Perkembangan ini memberi sinar baharu kepada ibu bapa yang semakin risau dengan bahaya dunia maya terhadap anak-anak.
Dalam dunia serba pantas hari ini, kanak-kanak terdedah kepada bermacam-macam kandungan ada yang bagus untuk pembelajaran, tetapi tidak kurang juga yang memudaratkan emosi, tingkah laku dan keselamatan diri mereka. Justeru, langkah kerajaan memperketat undang-undang ini dilihat sebagai satu usaha penting demi memastikan ruang digital lebih selamat untuk generasi kecil kita.
10 Undang-Undang Subsidiari Di Fasa Akhir, Fokus Perlindungan Kanak-Kanak
Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini berada di fasa akhir menyiapkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Peraturan baharu ini memberi tanggungjawab besar kepada semua platform media sosial untuk memastikan:
- Pengguna bawah 13 tahun tidak boleh mengakses platform mereka
- Kanak-kanak bawah 18 tahun hanya menerima kandungan yang sesuai dengan umur
- Penyedia platform menyediakan tetapan dan kawalan ibu bapa (parental control) yang lebih ketat dan mudah diurus
Ini bermakna tidak lagi sekadar ‘klik setuju’ untuk membuka akaun. Platform wajib mempunyai sistem verifikasi umur yang lebih kukuh dan telus.

Kenapa Langkah Ini Penting?
Datuk Fahmi menjelaskan bahawa tujuan utama rangka perundangan baharu ini adalah melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya, eksploitasi siber dan risiko-risiko yang tidak sesuai dengan perkembangan mereka. Ini sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan digital kanak-kanak agar tidak menjadi mangsa dunia siber.
Antara bahaya yang semakin meningkat termasuk:
- Buli siber
- Kandungan ganas dan seksual
- Interaksi dengan individu tidak dikenali
- Pendedahan kepada ideologi ekstrem
- Ketagihan gajet dan penggunaan berlebihan
Ibu bapa hari ini perlu berdepan cabaran dunia digital yang kadangkala sukar dijangka. Langkah kerajaan ini sedikit sebanyak mampu menjadi benteng pertama buat anak-anak sebelum mereka terdedah kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Platform Wajib Sediakan ‘Pelan Keselamatan Dalam Talian’
Dalam memastikan ketelusan, penyedia media sosial perlu membentangkan Pelan Keselamatan Dalam Talian, yang antaranya menjelaskan:
- Bagaimana algoritma dikendalikan
- Bagaimana verifikasi umur dilakukan
- Proses menyaring dan menangani kandungan berisiko
- Prosedur pengurusan aduan serta keselamatan pengguna bawah umur
Langkah ini memastikan setiap platform bertanggungjawab dan tidak melepaskan tangan apabila melibatkan keselamatan digital kanak-kanak.
Lesen Khas & Kod Tatalaku Baharu Untuk Kawal Selia Platform
Bagi menyokong kawal selia yang lebih kemas, kerajaan turut memperkenalkan:
- Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588
- Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet
Ini memastikan setiap platform yang beroperasi di Malaysia mematuhi garis panduan keselamatan yang jelas, bertanggungjawab terhadap kandungan, serta telus dalam cara algoritma mereka berfungsi.

Peranan Ibu Bapa Tetap Yang Utama
Walaupun undang-undang diperketat, peranan ibu bapa tetap menjadi benteng paling kuat dalam memastikan keselamatan digital kanak-kanak.
Mak ayah boleh:
- Aktifkan parental control pada semua peranti anak
- Tetapkan had masa skrin dan lokasi penggunaan
- Kenal pasti aplikasi yang selamat dan sesuai
- Berbincang secara terbuka tentang bahaya dunia siber
- Mengajar anak kemahiran keselamatan digital sejak awal
Dengan undang-undang yang lebih jelas, platform yang lebih bertanggungjawab dan ibu bapa yang lebih peka, kita mampu mewujudkan dunia digital yang lebih selamat untuk si kecil.
BACA LAGI : Keselamatan Digital: Kanak-Kanak Malaysia Semakin Terdedah & Bahaya Semakin Kritikal!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

















