Inspirasi

Khatam Al-Quran Usia Lima Tahun, Anak Dr Sheikh Muszaphar Catat Pencapaian Membanggakan!

Share

Khatam al-Quran usia lima tahun bukanlah satu pencapaian kecil, apatah lagi apabila ia berjaya dilakukan lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan. Itulah berita membanggakan yang dikongsikan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor mengenai anaknya, Sophea Emilia.

Kehebatan Dr Sheikh Muszaphar dalam membesarkan dan mendidik anak-anak sememangnya sering menjadi perhatian ramai. Bukan sahaja menitikberatkan pencapaian akademik, beliau dan isterinya, Datin Dr Halina Mohd Yunos turut memberi penekanan terhadap pendidikan agama sejak anak-anak masih kecil.

Pendekatan keibubapaan yang diamalkan pasangan ini sering menjadi inspirasi buat ibu bapa, terutama apabila melihat perkembangan positif anak-anak mereka dalam pelbagai aspek.

Terbaharu, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi satu lagi berita membanggakan apabila anaknya, Sophea Emilia berjaya mengkhatamkan al-Quran pada usia baru lima tahun.

Lebih manis, kejayaan itu dicapai lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan.

“Emelia is five years old and she just khatam al-Quran. Alhamdulillah,” tulisnya menerusi satu hantaran di media sosial.

Pencapaian khatam al-Quran usia lima tahun itu tentunya menjadi detik cukup istimewa buat Dr Sheikh Muszaphar dan keluarga selepas usaha serta bimbingan yang diberikan kepada anak-anak sejak kecil.

Khatam Al-Quran Usia Lima Tahun, Sasarkan Sebelum Usia Enam

Bukan sekadar meraikan kejayaan Emilia, bapa penyayang ini turut berkongsi perkembangan anak kembarnya, Sheikh Eusoff yang kini sudah berada di juzuk ke-25.

Dengan kemajuan tersebut, Eusoff dijangka bakal menyusul jejak langkah Emilia untuk mengkhatamkan al-Quran tidak lama lagi.

Dr Sheikh Muszaphar sebelum ini sememangnya mempunyai sasaran tersendiri dalam pendidikan agama anak-anak. Dengan pendekatan pembelajaran yang disesuaikan mengikut usia serta kemampuan mereka, beliau berharap anak-anak dapat menguasai bacaan al-Quran dan khatam sebelum mencapai usia enam tahun.

“Itu yang diharapkan, itu yang dijanjikan. Khatam sebelum enam tahun. Ya Rabb, Aminn. Salam Jumaat semua, just sharing, love as always,” tambahnya.

Didikan Sejak Kecil Beri Hasil Membanggakan

Perkongsian berkenaan turut menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet. Rata-rata kagum melihat disiplin serta konsistensi Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina dalam mendidik anak-anak, khususnya dalam aspek keagamaan.

Mendidik anak untuk mencintai al-Quran sejak kecil sememangnya memerlukan kesabaran, rutin dan sokongan berterusan daripada ibu bapa. Lebih penting, proses pembelajaran perlulah dilakukan mengikut kemampuan anak supaya mereka tidak berasa tertekan dan terus seronok untuk belajar.

Kejayaan Emilia khatam al-Quran usia lima tahun membuktikan bahawa pendedahan dan bimbingan yang diberikan sejak awal mampu memberikan hasil yang cukup membanggakan.

Inspirasi Buat Ibu Bapa Lain

Pencapaian khatam al-Quran usia lima tahun

ini bukan sekadar menjadi detik membanggakan buat keluarga Dr Sheikh Muszaphar, malah boleh menjadi inspirasi kepada ibu bapa untuk memberi pendedahan pendidikan agama kepada anak-anak sejak awal.

Tahniah buat Emilia serta Dr Sheikh Muszaphar sekeluarga. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada ibu bapa lain untuk terus membimbing anak-anak mengenali dan mencintai al-Quran sejak usia kecil.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Instagram @drsheikhmuszaphar

Published by
SRM