Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan kehadiran zuriat sebagai pelengkap kasih sayang. Namun, tidak semua perjalanan perkahwinan diwarnai dengan rezeki anak. Ada yang diuji dengan penantian panjang, seperti pasangan Iezaman yang kini tular di TikTok apabila berkongsi kisah perjuangan mereka menanti zuriat selama 27 tahun sejak berkahwin pada tahun 1998.
Kisah Iezaman TTC 27 Tahun
Menurut Iezaman, ketika dirinya mendirikan rumah tangga, dia baru berusia 23 tahun, manakala suaminya berumur 29 tahun. Impiannya sederhana mahu berkahwin, memiliki cahaya mata dan membina keluarga bahagia seperti pasangan lain. Namun, takdir Allah lebih indah daripada perancangan manusia. Walaupun sudah hampir tiga dekad menanti, pasangan ini masih belum dikurniakan rezeki anak.
TTC 27 Tahun, Gagal? InsyaAllah Belum
Dalam perkongsiannya, Iezaman menulis dengan penuh redha dan ketenangan:
“TTC 27 tahun, gagal? InsyaAllah belum. Alhamdulillah nikmat rezeki dan bahagia yang Allah berikan.”
Ungkapan ini cukup menyentuh hati ramai. Ia menggambarkan keteguhan hati seorang wanita yang menerima ujian dengan penuh sabar dan syukur. Bagi Iezaman, ketiadaan anak bukan kegagalan, tetapi perjalanan panjang untuk belajar menghargai setiap nikmat kecil dalam rumah tangga.
Kini, pada tahun 2025, usia Iezaman mencecah 50 tahun manakala suaminya 56 tahun. Meski tidak dikurniakan zuriat, kasih sayang mereka tetap subur dan mekar. Setiap hari yang dilalui menjadi bukti bahawa cinta sejati tidak hanya diukur dengan kehadiran anak, tetapi dengan sejauh mana pasangan saling menyayangi dan menghargai antara satu sama lain.
Ads
Warganet Sebak, Doakan Pasangan Ini
Menariknya, perkongsian Iezaman TTC 27 tahun mendapat reaksi luar biasa di TikTok. Ruangan komen dibanjiri dengan ucapan penuh kasih dan doa daripada warganet. Ramai yang menulis seolah-olah sedang berbicara dengan “ibu ayah” mereka yang telah tiada, menunjukkan betapa kisah ini menyentuh hati ramai.
Ads
Rezeki Allah Datang Dalam Pelbagai Bentuk
Kisah Iezaman TTC 27 tahun mengingatkan kita bahawa rezeki bukan hanya pada zuriat. Kadang-kadang Allah menghadiahkan kita pasangan yang penyayang, kehidupan yang tenang, dan hati yang sentiasa bersyukur dan itu juga rezeki yang besar nilainya.
Buat semua pasangan TTC (Trying To Conceive) di luar sana, teruslah berdoa dan berusaha. Jangan pernah berputus asa, kerana setiap ujian yang Allah berikan pasti terselit hikmah dan kasih sayangNya.
🌸 Moga kisah Iezaman menjadi inspirasi buat semua pasangan yang sedang menanti zuriat. Percayalah, Allah tidak pernah terlambat Dia hanya menunggu masa terbaik untuk mengurniakan rezeki yang paling indah. ❤️
Pagi yang sepatutnya bermula seperti biasa bertukar menjadi detik cemas apabila empat pelajar yang juga mempunyai pertalian keluarga cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya di Machang, pagi tadi.
Kejadian menyayat hati itu melibatkan dua beradik dan dua sepupu yang dalam perjalanan ke sekolah menaiki sebuah motosikal sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta berhampiran kawasan sekolah.
Kakak mangsa, Mas Asmah Rosli, 19, berkata dia hanya mengetahui tentang kejadian tersebut selepas menerima panggilan daripada ibu saudaranya, Saripah Ismail, 48, sekitar jam 8.01 pagi.
Menurutnya, adiknya Mohd Muskir Rosli, 14, dan Mas Siti Rosnani Rosli, 7, kini berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami kecederaan parah di bahagian paha.
“Dua lagi anak saudara saya, Mohd Hakikat Ab Rahman, 9, dan Mohd Zulhaqif Mohd Zulkifli, 12, juga mengalami kecederaan serius di bahagian sama,” katanya ketika ditemui.
Kesemua mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Difahamkan, motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang Mohd Muskir bersama tiga pembonceng sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Berangan Mek Nab menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Pek dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan.
Jarak rumah ke sekolah dianggarkan kira-kira enam kilometer.
“Umi pengsan sebanyak empat kali di dalam ambulans semasa dalam perjalanan ke hospital ketika menemani adik bongsu yang mengalami kecederaan parah untuk mendapatkan rawatan,” kata Mohd Shahril Rosli, 28.
Mohd Shahril adalah abang kepada Mas Siti Rosnani Rosli, 7, dan Muhammad Muskir Rosli, 14, yang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan.
Mohd Shahril berkata, ibunya, Hanita Yusoff, 48, tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaan adik bongsunya, Mas Siti Rosnani yang kini koma akibat kecederaan serius, manakala seorang lagi anak serta dua cucunya turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
Katanya, sebelum kejadian berlaku, kedua-dua adik serta anak saudaranya enggan ke sekolah pada pagi tadi terutama sekali Mas Siti Rosnani, namun dipujuk oleh ibu.
“Bagaimanapun, saya tidak menyangka keengganan mereka itu menjadi petanda kepada kejadian buruk yang tidak diingini apabila dimaklumkan oleh orang kampung mengenai insiden yang berlaku.
“Pada masa sama, mereka juga keluar rumah agak lewat, iaitu pada jam 7.10 pagi berbanding kebiasaannya pada jam 6.45 pagi, selain tidak sempat bersarapan,” katanya.
Katanya, mereka berempat ke sekolah dengan menunggang motosikal milik ibu.
“Jarak perjalanan dari rumah di Kampung Berangan Mek Nab ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan adalah kira-kira lima kilometer,” katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Supt Azuhar Md Nor, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi apabila motosikal terbabit dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan.
“Motosikal tersebut kemudian melanggar bahagian hadapan sisi kanan sebuah kereta Honda Jazz yang sedang melalui laluan sah dari arah Machang ke Kuala Krai berhampiran SMK Seri Intan,” katanya.
Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan, namun penunggang serta tiga pembonceng motosikal yang kesemuanya pelajar mengalami kecederaan parah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Insiden ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai aspek keselamatan anak-anak ke sekolah, terutama melibatkan pelajar bawah umur yang menunggang motosikal atau menaiki kenderaan dengan jumlah penumpang melebihi kapasiti.
Keselamatan anak bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Pastikan anak-anak menggunakan pengangkutan yang selamat, memakai topi keledar dengan betul dan mematuhi peraturan jalan raya demi mengelakkan tragedi tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222 bagi membantu siasatan.
Siapa sangka, pada usia 59 tahun, Aaron Kwok bintang terkenal Hong Kong yang tidak pernah lekang dek zaman bakal menimang cahaya mata lagi!
Berita gembira ini bukan sahaja mengejutkan ramai, tetapi turut membuatkan ramai kagum dengan penampilan pelakon dan penyanyi lagenda ini yang kelihatan seperti masih di usia 30-an!
Aaron Kwok dan isterinya, Moka Fang, kini bersiap sedia untuk menyambut ahli keluarga baru mereka. Pasangan ini sebelum ini telah dikurniakan dua orang anak perempuan yang comel, Chantelle dan Charlotte. Kini, kebahagiaan mereka bertambah satu lagi – bukti cinta dan kehidupan keluarga yang penuh harmoni.
Bila gambar Aaron tersebar bersama isterinya di sebuah acara baru-baru ini, ramai yang tidak percaya dia sudah hampir mencecah usia 60 tahun! Wajahnya kekal segak, badan masih tegap, dan auranya… tetap memikat.
Netizen mula bertanya – apa rahsianya? Rutin senaman yang konsisten, gaya hidup sihat, serta pemakanan seimbang mungkin antara faktor utama. Tapi yang lebih penting, kata Aaron, adalah hati yang tenang dan penuh kasih terhadap keluarga. “Menjadi ayah adalah perkara paling bermakna dalam hidup saya,” katanya dalam satu temu bual.
Dalam dunia glamor dan jadual padat, Aaron tetap utamakan masa untuk anak-anak. Beliau sering dilihat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga – dari membawa anak ke taman, ke sekolah, hinggalah waktu bercerita sebelum tidur.
Sebagai ayah yang berjiwa lembut, Aaron dilihat begitu penyayang dan penyabar dengan anak-anaknya. Beliau juga sering berkongsi nasihat tentang pentingnya membentuk ikatan erat dalam keluarga, terutamanya ketika anak sedang membesar dan perlukan sokongan emosi.
Kisah Aaron Kwok menjadi bukti bahawa usia bukanlah penghalang untuk menjadi ayah yang hebat. Malah, kematangannya menjadikan beliau lebih bersedia dari segi emosi dan tanggungjawab. Kepada semua ayah di luar sana – tidak kira usia anda – kasih sayang dan kehadiran anda adalah anugerah terbesar untuk anak-anak.
Tahniah Aaron & Moka! Didoakan agar kehadiran bayi ini nanti akan membawa lebih sinar dan kebahagiaan dalam keluarga kecil yang penuh kasih sayang ini. 💕
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bersalin anak lelaki lebih sakit berbanding anak perempuan: mitos atau realiti? Kehamilan dan proses bersalin merupakan pengalaman yang unik bagi setiap ibu. Setiap kelahiran membawa cabaran dan kesakitan tersendiri, sama ada untuk anak lelaki mahupun perempuan.
Namun, terdapat pendapat umum yang menyatakan bahawa bersalin anak lelaki adalah lebih sakit berbanding bersalin anak perempuan. Adakah ini satu fakta berdasarkan kajian perubatan atau sekadar mitos yang tersebar luas?
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Kesakitan Bersalin
Proses bersalin adalah pengalaman yang sangat berbeza untuk setiap wanita, dan banyak faktor yang mempengaruhi tahap kesakitan yang dirasai, antaranya:
Saiz Bayi dan Posisi Dalam Rahim
Saiz bayi yang lebih besar boleh mempengaruhi kesakitan semasa bersalin. Bayi lelaki biasanya mempunyai purata berat badan yang sedikit lebih tinggi berbanding bayi perempuan, dan ini boleh menyebabkan proses bersalin lebih sukar. Namun, saiz bayi bergantung kepada genetik dan faktor lain yang tidak semestinya berkaitan dengan jantina semata-mata.
Posisi Bayi Semasa Bersalin
Kedudukan bayi dalam rahim juga memainkan peranan penting dalam menentukan kesukaran proses bersalin. Bayi yang berada dalam posisi tidak normal seperti posisi sungsang akan menyebabkan kesakitan yang lebih, tidak kira jantinanya. Ini menunjukkan bahawa posisi adalah faktor penting dan boleh mempengaruhi kesakitan yang dirasai oleh ibu.
Kekuatan Kontraksi dan Respons Tubuh Ibu
Sesetengah ibu mengalami kontraksi yang lebih kuat atau lebih kerap, yang boleh meningkatkan kesakitan semasa proses bersalin. Selain itu, ketahanan tubuh setiap ibu terhadap kesakitan juga berbeza-beza. Respons tubuh terhadap hormon seperti oksitosin juga mempengaruhi tahap kesakitan.
Pengaruh Faktor Emosi dan Mental
Tekanan emosi dan mental memainkan peranan penting dalam persepsi kesakitan. Ibu yang lebih tenang dan bersedia secara mental cenderung mengalami pengalaman bersalin yang lebih terkawal. Ini termasuklah keyakinan bahawa bersalin adalah proses semula jadi yang tidak perlu ditakuti.
Apakah Kata Kajian Perubatan?
Secara amnya, tiada kajian saintifik yang mengesahkan bahawa bersalin anak lelaki lebih sakit berbanding anak perempuan. Penyelidikan menunjukkan bahawa tahap kesakitan lebih bergantung kepada faktor fizikal dan hormon, berbanding jantina bayi itu sendiri.
Namun, beberapa kajian mendapati bahawa kelahiran anak lelaki kadang-kadang dikaitkan dengan keperluan yang lebih tinggi untuk intervensi perubatan seperti pembedahan caesarean. Ini mungkin disebabkan oleh berat badan bayi lelaki yang sedikit lebih tinggi, tetapi ia tidak secara langsung membuktikan bahawa kelahiran anak lelaki lebih sakit.
Pandangan Ibu Berdasarkan Pengalaman
Ada ibu yang merasakan bahawa kelahiran anak lelaki lebih sakit, manakala ada juga yang berpendapat sebaliknya. Pengalaman bersalin anak lelaki atau perempuan boleh berbeza antara satu sama lain, tetapi ini lebih bersifat subjektif. Setiap kehamilan adalah unik dan dipengaruhi oleh banyak faktor selain jantina bayi.
Berikut antara beberapa kajian yang telah ditelah dibuat berkaitan tentang isu ini:
Jurnal Penyelidikan Pediatrik telah menerbitkan artikel, berdasarkan kajian yang dijalankan di San Cecilio Clinical Hospital of Granada dan kumpulan penyelidikan dari University of Granada (UGR). Kajian itu diketuai oleh Javier Diaz Castro dan Julio Ochoa Herrera, selain mendapat kerjasama dari Jabatan Fisiologi di universiti tersebut.
Kajian tersebut melibatkan 56 ibu hamil yang sihat, dan daripada kehamilan itu telah melahirkan 27 bayi lelaki, manakala 29 adalah bayi perempuan.
Selepas proses bersalin, doktor mengkaji kerosakan pada tubuh ibu-ibu tersebut. Pengkaji mendapati bahawa biomolekul ibu yang telah melahirkan bayi perempuan menunjukkan kerosakan yang kurang dan mendedahkan bahawa kelahiran lelaki lebih menyakitkan.
Javier dan Julio merasakan analisis ini telah membuka satu bidang kajian yang menarik mengenai hubungan antara jantina bayi dan komplikasi yang boleh terjadi saat melahirkan. Ia turut memberi kesan terhadap daya tahan tubuh terhadap penyakit dan jangka hayat bayi.
Berdasarkan kajian tersebut, para penyelidik membuat kesimpulan bahawa jantina bayi boleh mempengaruhi proses bersalin. Pengkaji menerangkan sebab di sebalik perbezaan ini:
*Bayi perempuan mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk menangani tekanan – sistem enzim yang terdapat pada bayi perempuan lebih matang apabila bersedia untuk dilahirkan yang membantu dalam mencegah kerosakan sel.
*Tubuh bayi perempuan mempunyai antioksidan defensif yang lebih baik daripada tubuh bayi lelaki – membuatkan bayi perempuan memiliki risiko lebih rendah mengalami kerosakan membran sel dalam tubuh bayi.
Dari perspektif ibu hamil pula, kelebihan melahirkan bayi perempuan dapat mengurangkan risiko ibu mengalami inflamasi dan proses bersalin tidak terlalu sakit.
Dr. Petra Verburg dari Robinson Research Institute di University of Adelaide, Australia pula menyatakan, “jantina bayi mempunyai hubungan secara langsung dengan komplikasi yang boleh terjadi ketika kehamilan.”
Ini antara komplikasi ibu sewaktu melahirkan bayi lelaki berdasarkan kajian tersebut:
*Bayi lelaki dilahirkan lebih awal daripada tarikh matang yang membuatkan banyak komplikasi pada bayi.
*Bayi lelaki lebih cenderung dilahirkan pramatang. Kelahiran berlaku antara minggu ke-20 dan ke-24 kehamilan sebanyak 27% lebih tinggi. Manakala, kelahiran pada minggu kehamilan iaitu ke-30 dan ke-33 sebanyak 24%. Selain itu, dilahirkan antara minggu ke-34 dan ke-36 adalah 17% lebih tinggi.
*Ibu hamil yang mengandungkan bayi lelaki lebih terdedah kepada diabetes, praeklampsia dan tekanan darah tinggi ketika hamil.
Realiti atau Mitos?
Berdasarkan pandangan perubatan, kesakitan bersalin tidak ditentukan oleh jantina bayi. Ia lebih dipengaruhi oleh faktor seperti saiz bayi, posisi, ketahanan tubuh ibu, dan faktor-faktor lain yang lebih berkaitan dengan ciri fizikal dan kesihatan ibu serta bayi. Oleh itu, persepsi bahawa bersalin anak lelaki lebih sakit mungkin hanya sekadar mitos yang diwarisi dari pengalaman atau pandangan individu.
Akhir kata, proses bersalin adalah satu pengalaman yang sangat peribadi dan unik. Setiap ibu akan melalui cabaran yang berbeza-beza, dan yang paling penting adalah sokongan dan pemahaman dari orang-orang di sekeliling agar proses kelahiran berjalan dengan baik.
MyKid 260626-06-xxxx menjadi perhatian apabila bayi yang lahir di Pahang pada 26 Jun 2026 menerima nombor kad pengenalan yang unik, tersusun dan mudah diingati, sekali gus bertepatan dengan Hari Asyura.