Fetal distress istilah ini mungkin terasa baru bagi anda yang hamil buat kali pertama. Sebenarnya ia merupakan masalah kelahiran yang serius dan perlu diberi perhatian.
Fetal distress merupakan satu situasi di mana janin mengalami tekanan dan seterusnya menyebabkan dia lemas kerana kurang mendapat bekalan oksigen ketika anda sedang sakit bersalin sehingga boleh mengancam nyawa bayi. Untuk menyelamatkan bayi tersebut, pembedahan ceasarean harus dilakukan segera.
Selain bekalan oksigen yang tidak mencukupi, fetal distress juga boleh berlaku oleh pelbagai sebab. Antaranya saiz janin kecil daripada purata, kontraksi berlaku terlalu cepat atau terlebih hari (overdue). Jika kehamilan bermasalah, ia mungkin akan menjejaskan kelahiran bayi tersebut. Kemungkinan besar janin lebih mudah mengalami fetal distress sekiranya anda mempunyai diabetes atau pra- eklampsia; darah tinggi, hamil kembar atau lebih dan berusia 35 tahun ke atas.
Tanda fetal distress
Ads
Pergerakan bayi kurang
Sekiranya ini berlaku, ia harus dipantau oleh doktor. Ada kalanya bayi tidur di dalam rahim, sehingga menyebabkan kurang pergerakan. Tetapi, jika pergerakannya berbeza daripada biasa, anda perlu berjumpa doktor untuk memastikan dia tidak berada dalam situasi yang bahaya.
Pergerakan bayi biasanya mantap sekitar 28 minggu. Jika anda berasa pergerakan bayi telah berhenti atau menurun, maklumkan doktor supaya pemeriksaan boleh dilakukan dan dapat memastikan bayi sihat dan selamat. Doktor perlu melakukan ujian bukan tekanan (NST), di mana dua buah alat pengikat pinggang diletakkan pada perut anda untuk mengukur kadar jantung bayi dan kontraksi.
Ads
Pendarahan ketika hamil
Keadaan ini juga merupakan salah satu penyebab gangguan bekalan oksigen kepada bayi kerana pendarahan ketika hamil menyebabkan kerosakan uri seperti yang berlaku pada accidental hemorrhage.
Toxemia
Rangkaian penyakit yang terdiri daripada tekanan darah tinggi, kencing yang mengandungi protein dan bengkak kaki/edema turut menjadi penyebab gangguan bekalan oksigen kepada bayi.
Ads
Lilitan tali pusat
Tali pusat terlilit pada sekeliling leher bayi khususnya lilitan yang banyak boleh menyebabkan bayi lemas ketika bersalin. Keadaan ini dapat dikesan dengan ultrasound scanning.
Cephalo pelvic disproportion (CPD)
Keadaan yang berpotensi menimbulkan situasi bayi lemas ialah rongga punggung anda yang sempit iaitu cephalo pelvic disproportion (CPD). Biasanya ukuran tinggi anda rendah iaitu kurang daripada lima kaki.
Punggung leper
Kadangkala bentuk rongga punggung si ibu yang tidak bulat tetapi leper juga menyebabkan bayi lemas. Adakala kepala bayi memasuki rongga punggung dalam keadaan senget dan ini menyebabkan proses bersalin memakan tempoh yang panjang dan akhirnya bayi lemas.
Pintu rahim tidak terbuka
Pintu rahim yang tidak mahu terbuka ketika bersalin dan berterusan juga penyebab bayi lemas.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kejang betis atau cramp sering kali terjadi pada ibu yang mengandung. Keadaan ini dikenali sebagai tarik mengkarung atau simpul biawak dalam masyarakat Melayu. Setiap kali kekejangan berlaku, mama tentu berasa sakit. Mengapa ini berlaku dan apakah ada solusi untuk mengelakkannya berlaku lagi?
Kekejangan otot kaki menyakitkan. Hanya orang yang pernah melalui akan tahu betapa sakit rasanya. Ditambah pula dalam keadaan perut yang semakin membesar, mama tentunya sukar untuk meluruskan kaki menghilangkan rasa kejang.
Menurut Dr Nurhazinat Yunus, Pakar Obstetrik & Ginekologi, otot kaki menampung berat badan yang berlebihan semasa mengandung. Rahim yang membesar juga memberi tekanan kepada pengaliran darah dari vena utama kaki naik ke atas.
Hal ini berlaku bersama dengan kesan hormon progesteron iaitu antara hormon utama yang terhasil semasa hamil. Kehadiran hormon progesteron memberi kesan kepada ketahanan atau kekuatan otot kaki semasa hamil.
KENALI PUNCA
Kekejangan betis semasa hamil adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang disebabkan oleh pemakanan dan beberapa faktor lain. Mama perlu peka faktor yang mungkin menjadi puncanya.
Tahukah anda pemilihan kasut yang bersesuaian dapat mengelakkan kekejangan pada kaki semasa hamil. Pilih kasut atau sandal yang selesa dan menyokong berat dan postur badan anda. Pemakaian kasut bertumit tinggi semasa hamil tidak digalakkan dan boleh mengakibatkan kekejangan pada otot betis.
SELALU TERJADI SEBELAH MALAM
Menurut pendapat kebanyakan ibu hamil, kekejangan pada betis kerap kali berlaku pada waktu malam. Kata Dr Nurhazinat, kekejangan betis selalu berlaku pada waktu malam disebabkan suhu persekitaran yang lebih sejuk, keadaan fizikal yang tidak aktif semasa tidur atau pun pergerakan secara tiba-tiba seperti mengeliat selepas rehat yang panjang. Maka tidak hairanlah kekejangan kerap kali berlaku di waktu malam atau ketika anda sedang berehat.
CARA ELAK KEJANG BETIS
Ada cara untuk mencegahnya daripada terus berlaku walaupun sebab sebenar yang menjadi punca kekejangan otot kaki masih lagi tidak jelas. Mama boleh mengambil beberapa langkah untuk mencegahnya pada masa akan datang.
#1 REGANGKAN OTOT BETIS
Lakukan aktiviti regangan sebelum tidur boleh membantu mengelakkan kejadian kejang betis semasa hamil. Berdiri sejauh panjang lengan anda dari dinding, letakkan tapak tangan anda pada dinding tersebut dan gerakkan kaki kanan ke belakang kaki kiri. Perlahan-lahan, bengkokkan kaki kiri ke hadapan, pastikan kaki kanan anda kekal lurus atau tegak dan tapak kaki kanan tidak berganjak/bergerak dari lantai tersebut. Tahan regangan tersebut selama 30 minit, hati-hati untuk mengekalkan belakang anda lurus dan paha anda ke hadapan. Kemudian, tukar kaki, dan ulang regangan yang sama. Lakukan regangan ini selama 5-10 minit.
#2 KEKAL AKTIF
Lakukan senaman atau aktiviti fizikal setiap hari dapat mengurangkan berlakunya kekejangan ini. Mama perlu mengelakkan dari berdiri terlalu lama atau duduk dengan posisi kaki bersilang.
#3 VITAMIN DAN MINERAL CUKUP
Ambil vitamin dan mineral tambahan seperti vitamin C, magnesium, potassium dan kalsium. Mama juga boleh mengambil makanan yang kaya dengan magnesium seperti bijirin, kekacang dan buah-buahan kering. Pengambilan pisang disyorkan setiap hari kerana pisang kaya dengan potassium yang membantu mengurangkan kekejangan otot. Anda juga digalakkan meminum susu atau mengambil pil kalsium untuk mendapatkan kalsium yang mencukupi semasa hamil.
#4 AIR YANG MENCUKUPI
Minum air yang mencukupi dan memastikan diri sentiasa terhidrat akan membantu mengelakkan kejang otot. Peka akan warna air kencing untuk melihat Air kencing yang berwarna kuning pekat biasanya menandakan anda tidak mengambil air yang mencukupi.
Sumber: Majalah Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga pasti mengimpikan zuriat sebagai penyeri dalam hidup. Ada yang menunggu bertahun-tahun lamanya dan melakukan pelbagai usaha hanya demi mendapatkan seorang anak. Namun tak semua yang bernasib baik untuk memiliki cahaya mata.
Begitu juga bagi seorang juruterbang syarikat penerbangan nasional yang masih menantikan kehadiran si kecil dalam hidupnya. Dia bertuah kerana pesawat yang dibawanya dinaiki oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Umum ketahui kecekalan dan ketabahan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam usaha baginda mendapat zuriat selama 17 tahun dan akhirnya kisah baginda menjadi sumber inspirasi buat rakyat di negara ini.
Menerusi video yang dikongsi di Twitter, kelihatan Tunku Azizah berkenan memberikan tip, kata-kata nasihat dan membaca petikan surah Maryam dan mendoakan pasangan tersebut agar dikurniakan zuriat.
“i doa for you and you get baby, many many many many babies and doa. Try try try sembahyang doa, and then sembahyang hajat and baca surah maryam. Bacalah” – Tuanku Azizah
“Kakak & abang ipar saya mendapat tips dan doa istimewa daripada Permaisuri Agong. Baginda sangat merendah diri. Daulat Tuanku!” tulis adik ipar kepada juruterbang berkenaan.
Sebelum ini, baginda pernah berkongsi suka duka perjalanan untuk menjadi ibu kepada 5 cahaya mata iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah , Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Baginda turut berkongsi pahit manis yang dilalui sepanjang usaha dan ikhtiar mendapatkan zuriat menerusi temuramah khas. Dalam temuramah ini, sesekali baginda sebak dan menangis mengimbau kembali perjuangan mendapatkan cahaya mata.
“Setelah membuat rawatan akan berdebar-debar sama ada rawatan yang dilakukan berjaya atau tidak. Alih-alih menangis patah hati. Jadi ayahanda saya merasa lebih bila dia tengok tu.
“Saya ingat masa lahirkan anak kembar, Almarhum ayahanda cakap dekat saya. Azizah cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita lagi,” kata baginda yang mendirikan rumah tangga dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 6 Mac 1986.
YAYASAN FERTILITI TUNKU AZIZAH
Pengalaman mengalami kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata, permaisuri berjiwa rakyat ini telah menubuhkan sebuah yayasan untuk membantu pasangan kurang berkemampuan mendapatkan cahaya mata.
“Saya ada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah kerana saya tahu susahnya nak dapat anak. Dan anak saya seramai 4 orang pun daripada rawatan IVF. Saya buat tu apabila saya nak lancarkan buku masakan. Saya ditanya ke manakah saya nak salurkan hasil jualan meja-meja.
“Masa tu lah tercetusnya idea. Saya kata saya nak buat yayasan untuk menolong mereka berpendapatan rendah yang tak mampu untuk membayar kos rawatan infertiliti yang mahal iaitu RM20 ribu hingga RM30 ribu. Jadi apa yang Allah kurniakan kepada saya, saya nak beri balik untuk menolong,” kata baginda.
“SAYA TAHU BAGAIMANA RASANYA…”
Baginda Permaisuri Agung yang amat disayangi rakyat ini juga turut menceritakan bagaimana rasanya berada dalam situasi berusaha untuk hamil selama bertahun-tahun. Baginda melalui pelbagai rawatan dan terpaksa berdepan dengan kegagalan dan keguguran. Ketika menjawab soalan daripada media, air mata baginda mengalir dan rasa sebak tidak dapat dibendung lagi.
“Saya tahu apa rasanya seorang perempuan berkahwin tidak boleh dapat anak & semua orang tanya. Apatah lagi saya yang berkahwin dengan Tengku Mahkota, yang patut lahirkan waris ganti.
“It was a pressure on me. Jadi saya faham bagaimana Empress Masako sekarang ni. Apa yang dia lalui saya tahu. Kerana saya dan dia sama masa tu.
“Dan saya ingat saya ada tulis surat kepada dia menceritakan saya buat rawatan. Saya tahu bagaimana perasaannya seorang perempuan yang tidak dapat melahirkan anak dan asyik ditanya.
“The pressure……, I know.”
“Saya tahu kerana saya juga mengalami keguguran. Saya tahu bagaimana sedih patahnya hati menangis bila kita dah mengandung gugur. Dah lah nak dapat anak tak dapat lagi.
17 KALI RAWATAN BARU SAYA DAPAT YANG MULIA TENGKU HASSANAL
Baginda turut menceritakan cabaran yang dihadapi sepanjang usahanya. Setiap rawatan tidak semuanya berakhir dengan kehamilan.
“Dan setiap kali saya membuat rawatan, tidak semestinya setiap rawatan itu jadi (berjaya). 17 kali saya buat rawatan baru saya dapat Hassanal (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah).
“Tapi dalam 17 kali nak dapatkan Hassanal. Beberapa kali tu dalam buat rawatan doktor kata “I am sorry, I think I have to abandon. Its not working”
DUA MINGGU BERDEBAR. AKHIRNYA DAPAT KEPUTUSAN TIDAK MENGANDUNG
Baginda Permaisuri Agung juga turut berkongsi kepahitan yang terpaksa didepani. Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi amat prihatin dengan apa yang dilalui puterinya.
“Macam mana ye, menangis balik. Dah buat rawatan, dua minggu tu kita tahu mengandung atau tidak. Dalam dua minggu tu punyalah hati berdebar-debar. Alih-alih dapat result tak mengandung.
“Menangis patah hati. Jadi ayahanda saya merasa lebih bila dia tengok tu. (Sebak)
“Saya ingat masa lahirkan anak kembar, Almarhum cakap dekat saya. Azizah cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita lagi.
“Setiap kali saya membuat treatment dia tahu apa yang saya lalui. Saya ke Singapura dan balik kena baring selama 6 bulan.
“Azizah Tuhan dah kurniakan Azizah 4 anak, cukuplah dia kata. Abah tak sanggup tengok Azizah derita.
Tapi rezeki sudah tertulis. DYMM Baginda Permaisuri Agung akhirnya hamil sendiri tanpa rawatan pada tahun berikutnya. Apa yang dikatakan Alharhum ayahanda baginda, itulah berkat sabar.
PASANGAN BERUSAHA DAPATKAN ZURIAT JANGAN PUTUS ASA
Baginda Permaisuri Agung membantu pasangan yang berusaha memiliki anak melalui Yayasan Tunku Azizah. Baginda tidak lupa memberikan motivasi dan tip seperti berdoa, mendirikan solat hajat serta membaca surah Maryam.
“Jadi saya selalu bila dengar orang susah, saya mesti kata. Pergilah, jangan give up on hope. Tapi itu semua kuasa Allah. Kuasa Allah. Kita boleh cuba macam mana pun tapi saya selalu beritahu kepada mereka yang saya berikan bantuan rawatan Allah ada, buat solat hajat. Baca surah Maryam.
“Ada ayat-ayat dalam Al-Quran yang boleh menolong kita dapat zuriat. Sebanyak mana yang saya boleh buat sini, tapi yang menentukan hanya Allah SWT.
MULANYA DOKTOR KATA TAK BOLEH HAMIL LAGI
Selepas kelahiran anakanda sulung, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Baginda Permaisuri Agung tidak menyangka bakal menyambut 4 lagi cahaya mata.
“Berkat, Alhamdulillah saya bersyukur saya pun tak sangka lepas dapat satu anak, saya boleh dapat 4 lagi. Itu tidak terlintas dalam fikiran saya.
“Masa saya dapat Hassanal (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah).
Saya kata Alhamdulillah. Tapi saya kata takkan satu sahaja anak. Jadi saya pergi ke doktor lain.
“Doktor ini bertanya adakah Tengku nak cuba lagi? Saya kata Ya. Doktor kata saya rasa Tengku dah tak boleh dapat anak.
“Saya umur 36 tahun dan saya diberitahu mungkin tidak ada harapan untuk dapat anak. Sedangkan saya baru dapat seorang anak.
“Saya terus balik ke Singapura (baginda menangis dan menyapu air mata). Kemudian saya buat treatment, dapat Tengku Muhammad tu. Kandungan kembar tapi saya gugur satu bayi,” kata baginda.
SELEPAS RAWATAN PERLU BEREHAT DI ATAS KATIL SELAMA ENAM BULAN
Baginda Permaisuri Agung sangat cekal menghadapi ujian ini. Tidak berputus asa untuk meneruskan rawatan walau pun terpaksa melalui masa yang panjang dan perlu berehat selama enam bulan selepas hamil.
“Lepas tu Tuanku tanya, nak try lagi ke lepas ni. Tuanku tanya, sebab dia tahu kerana saya asyik ulang alik ke singapura. Masa tu di Malaysia tak ada.
“Saya berulang alik ke Singapura sehingga sebulan di sana untuk tentukan. Lepas tu balik kena baring lagi. Tak boleh keluar, sembahyang atas katil.
“Saya kata dah lah, dah cukup 2. Tapi ada yang frozen embryo yang dah jadi tu dalam freezer. Ada lagi 5. Saya kira kalau saya membuang itu kira menggugurkan, saya berdosa saya kata. Taruk je lah. Kalau jadi, jadi. Alhamdulilah. Kalau tak jadi, Allah dah kurniakan kita 2 orang anak lelaki yang comel.
SETAHUN SELEPAS KELAHIRAN KEMBAR, HAMIL LAGI SECARA SEMULA JADI
Selepas kelahiran anakanda kembar, Baginda Permaisuri Agung menceritakan kehamilan secara semula jadi berlaku. Berita menggembirakan itu diketahui pada hari ulang tahun pertama anakanda kembarnya iaitu Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatu’llah.
“Selepas pemindahan embrio, tak sangka dapat kembar. Selepas melahirkan yang kembar, doktor tanya saya. Dah 3 kali caesarean, Tengku nak ikat ke tidak kerana dah 3 kali bedah.
“Saya kata ,Allah, awak ni doktor, saya ni nak mengandung kena pergi jumpa doktor untuk buat treatment. Doktor itu mengusik, tahun depan kalau mengandung lagi jangan cari. Jangan marah ye.
“Betul-betul lepas ulang tahun kelahiran pertama anak kembarnya, saya mengandung. Saya call doktor, saya kata. I think I am pregnant.
“I told you,” kata doktor.
“Alhamdulillah saya dapat anakanda yang kecil sekali (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah) pada usia 42 tahun. Alhamdulillah ini semua kurniaan yang tak disangka-sangka.
Setiap pasangan yang berkahwin tentunya mengimpikan kedatangan zuriat untuk menjadi pelengkap keluarga selain dapat menambahkan kebahagiaan dalam perkongsian hidup berumahtangga.
Itulah yang dialami oleh Maryam Elyas yang begitu gembira dengan berita kehamilan yang diterima. Tambah pula hamil Bersama kawan baik yang sentiasa ada waktu suka dan duka. Namun kegembiraan itu hampir diragut saat dirinya mengalami pendarahan. Doktor menyatakan bahawa itu mungkin tanda-tanda keguguran. Kisah ini dikongsi oleh wanita ini menerusi laman Facebooknya.
Namun apa yang dilakukan adalah berdoa kepada Yang Maha Esa dan ternyata betapa kuatnya kuasa doa. Syukur semuanya selamat dan kini zuriatnya yang berusia hampir 5 tahun membesar dengan sihat dan baik.
MAAF PUAN, INI TANDA-TANDA… ALLAHU…
Sedih sangat sehingga nak meraung bila dengar khabar yang disampaikan oleh doktor.
Inilah kisah empat tahun lalu….
9 Julai 2014:
Pagi itu, aku dengan bahagianya pergi ke Klinik Kesihatan untuk membuat buku pink. Almaklumlah anak pertama. Lebih seronok buat buku pink dengan bff aku. Kami pregnant sama-sama!
Siap buat buku pink, aku ke tempat kerja seperti biasa. Kerja sebagai wartawan, aku agak banyak berjalan sebab ada photoshoot pada hari itu.
Petang itu, siap photoshoot aku perasan aku ada alami pendarahan. Agak banyak. Tak pasti di mana silapnya. Lantas aku terus bagitahu pada bff aku dan selepas habis waktu kerja, dia hantar aku ke klinik berhampiran pejabat.
Dari klinik, kami terus ke hospital besar atas nasihat doktor. Masa tu suami aku niaga malam seperti biasa.
Sampai di hospital, aku ingat lagi masa tu bulan puasa. Kakitangan hospital berbuka puasa. Namun kedatangan aku disambut dengan baik.
Agak lama aku disoal selidik. Misalnya jumlah pendarahan. Aku agak nerves sebab lepas tu perut aku kena scan, siap masuk kamera lalu bawah. Eh macam serius je ni.
Jantung aku mula dub dap dub dap. Tak sedap hati.
Tak lama kemudian mereka panggil doktor pakar. Tap tap tap. Bunyi tapak kasut doktorjalan agak laju ke arah tempat aku berbaring. Doktor dan seorang jururawat yang sejak dari tadi amik kes aku ni mula menerangkan satu demi satu kepada doktor pakar. Aku diperiksa sekali lagi.
Hening dalam bilik rawatan itu menambah emosiku. Ada pelbagai emosi yang sukar aku ungkapkan. Yang pastinya tiba-tiba aku terasa ketakutan. Takut jika aku kehilangan sesuatu dalam rahimku.
Setelah pemeriksaan sekali lagi dibuat, doktor menarik nafas panjang. Helaan nafas doktor itu begitu berat pada pendengaranku.
Aku pandang wajah doktor dan jururawat di hadapanku. Bagaikan memahami pandanganku, doktor pakar di sebelah kananku berdehem. Kemudian dia bersuara.
“Maaf puan. Pendarahan puan ini mungkin tanda-tanda keguguran.”
Lembut suara doktor itu sampai ke telingaku. Namun zasssss! Bagaikan halilintar bunyinya pada pendengaranku. Sakitnya perasaan aku bagai dicabut nyawa.
Jantungku berdegup lebih laju. Dup dap dup dap. Suami aku mana? Aku tercari-cari bahu untuk aku menangis. Tapi tiada. Doktor di dalam bilik itu semuanya lelaki. Terhenjut-henjut bahuku menahan tangis. Sekeras-keras hati aku sebagai wartawan yang selalu berdepan dengan permainan duniawi ini akhirnya tewas juga dengan ujian keguguran zuriat.
“Puan balik dulu. Dalam masa seminggu jika…”
Aku dah tak berapa dengar apa kata doktor kerana fikiranku lebih kepada suami. Apa nak aku sampaikan kepadanya sedangkan baru beberapa hari lepas kami kegembiraan kerana aku positif hamil.
Keluar dari bilik rawatan, aku bagitahu bff apa yang berlaku. Kemudian telefon dihulur supaya aku telefon suami.
Terbayang wajah suami, aku tak mampu nak buat apa-apa. Telefon terlepas daripada genggaman. Lemah sungguh sehingga aku tiada tenaga untuk berbuat apa pun. Akhirnya bff aku yang memaklumkan kepada suami.
Malam itu suami aku menutup perniagaannya lebih awal. Dan di rumah aku duduk di atas tikar sembahyang. Berdoa supaya berlaku suatu keajaiban terhadap nyawa di dalam rahimku ini. Aku menangis sesungguhnya. Tangisan yang aku rasakan paling ikhlas dari hati dan sanubariku.
Ya Allah, sayangi aku Ya Allah. Aku manusia berdosa. Aku mengharap belas ihsan-Mu. Ampunkan aku. Sayangi aku dan berikan kekuatan kepadaku. Aku sayangkan zuriatku.
Aku mampu hadapi ujian lambat bertemu jodoh. Aku reda diuji pelbagai hinaan kerana lambat berkahwin. Aku rela diuji pelbagai kata nista namun aku tak mampu jika kehilangan zuriat ini, Ya Allah.
Allahu. Allah memakbulkan doaku. Seminggu kemudian aku ke hospital nyata zuriatku masih bernyawa! Keajaiban apakah ini? Syukur.
Janin itu berkembang dengan sihat dan selamat aku lahirkan pada 5 Mac 2015. Terima kasih Allah. Mama sayang kakak, Salma Afifah.
Bayi menggigit ketika menyusu boleh membuatkan mama terkejut dan sakit. Ketahui punca serta 8 cara berkesan untuk mengatasi masalah bayi menggigit ketika menyusu dengan lebih tenang.