Penyanyi berbakat besar, Adira Suhaimi kini lebih menumpukan perhatian terhadap bisnes dan keluarganya. Dia lebih selesa menguruskan rumah tangga sendiri dan seringkali mendapat perhatian warganet kerana rajin berkongsi tentang kehidupannya bersama anak-anak.
Memandangkan Adira banyak masa di rumah, Adira selalu berkongsi video bersama empat orang anaknya. Hasil perkahwinan Adira dan suaminya, Datuk Seri Adnan pada Disember 2015 telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, Anggun dan Ayoub.
Baru-baru ini, Adira ada berkongsi sebuah video dia bersama anak sulungnya yang mencuit hati warganet. Di dalam video tersebut, Anggrek mengadu lapar dan ibunya segera ke dapur untuk mengambil makanan.
Ads
Selepas beberapa ketika, Anggrek dilihat berhenti makan tetapi masih ada yang tidak habis. Melihatkan pinggan anaknya yang masih mempunyai makanan, Adira terus membesarkan mata kepada Anggrek.
Tak cakap banyak, Anggrek segera menghabiskan makanan yang masih ada. Dek kerana takut dengan ‘jelingan maut’ yang diberikan oleh Adira, laju Anggrek makan sampai licin pinggan.
Kerenah dua beranak ini mendapat perhatian dan banyak komen ditinggalkan oleh warganet yang terhibur dengan video tersebut;
Ads
Memang kelakar betul dua beranak ni! Ramai ibu yang boleh relate dengan perkongsian Adira ni, memang dah biasa anak mengadu lapar tapi bila diberi makanan asyik tak habis. Bila dah besarkan mata, barulah anak-anak pandai nak habiskan makanan. Memang seronok tengok sharing Adira tentang kehidupannya sebagai ibu sebab memang dekat dengan kita semua kan?
Ketika ditemui semasa mereka sedang menjalani penggambaran untuk rancangan TV Pa&Ma, pasangan suami isteri Ajak Shiro dan isterinya, Afifah Amin banyak berkongsi cerita tentang keluarga mereka. Tidak malu mengakui kehidupan mereka pernah susah dahulu, bahkan hari ini Ajak memberitahu segala kesenangan yang ada ini adalah rezeki anak-anak. Dia dan isteri hanya menumpang tuah anak-anak. Ikuti kisah mereka yang pernah suatu ketika dulu tidak mampu untuk belikan alat mainan buat anak pertama mereka, Mohd Jad Thaqif yang kini sudah berumur sembilan tahun.
Ditanyakan tentang hubungan jarak jauh mereka, Afifah memberitahu dua kali dia memohon untuk ditukarkan. Pada waktu itu, Ajak baharu sahaja memulakan tugasannya sebagai penyampai radio dan cuti mereka tidak sama. Memandangkan Afifah mengajar di Johor, dia cuma bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Dimurahkan rezeki mereka sekelurga, akhirnya permohonan Afifah berjaya dan mereka dapat tinggal bersama.
Afifah Keluar Awal Pagi, Ajak Siapkan Anak
Seperti mana penyayangnya Ajak terhadap Afifah, begitulah juga dia sebagai seorang bapa. Amat menyayangi anak-anak mereka dan sentiasa berusaha untuk mencari masa agar mereka sekeluarga dapat meluangkan masa bersama. Bapa kepada tiga orang anak, Mohd Jad Thaqif, 9, Mohd Had Thaqif, 6, dan Nada Soffea, 4, ini bertanggung jawab untuk menyiapkan anak-anak ke sekolah setiap hari jika dia ada di rumah.
Memandangkan mereka sekeluarga tinggal di Nilai dan Afifah pula mengajar di Kota Damansara, dia sudah keluar seawal jam enam pagi. Jadi Ajaklah yang akan menguruskan anak-anak. Bukan sahaja memandikan anak, tetapi Ajak tidak kekok untuk mendandan anak bongsu mereka, Nada. “Saya tocangkan yang biasa-biasa saja. Janji anak saya kemas dan selesa,” kata Ajak mengiyakan cerita isterinya itu.
Tak Mampu Beli Mainan Jad
Mengimbau kembali kenangan sewaktu hidup mereka tidak sesenang hari ini, Ajak mengatakan dia banyak diuji sehingga pernah merasa diri gagal sebagai seorang bapa. Selepas tamat tingkatan enam, Afifah melanjutkan pelajarannya ke universiti manakala Ajak memohon untuk menyertai Tentera Laut. Waktu itu Ajak direkrut dari Johor dan dihantar ke kem di Lumut, Perak.
Ketika Afifah di semester enam, mereka berdua memutuskan untuk berkahwin. Tidak lama selepas itu, ketika Afifah di semester tujuh, anak sulung mereka dilahirkan. Tidak dinafikan kehidupan mereka agak sukar pada waktu itu. Bergantung hanya pada gaji Ajak, ternyata tidak mencukupi. “Pernah satu masa tu, Jad minta belikan mainan. Tapi Ajak tak mampu nak belikan. Dia rasa gagal sangat waktu itu,” cerita Afifah. Bukan itu saja, pernah juga mereka tidak ada duit untuk membelikan nestum untuk Jad. Dek kerana itulah, Ajak bersemangat untuk mengubah nasib keluarga mereka.
Menyertai pertandingan Raja Lawak dan memenanginya, mereka dapat satu lagi berita gembira. Afifah pula mendapat tawaran sebagai seorang guru. Ketika itu Ajak ambil keputusan untuk berhenti dari kerjanya dan fokus pada bidang seni. Sebagai pendukung suami, Afifah menyokog keputusan suaminya itu.
Tak Ada Masa Dengan Anak, Berhenti Jadi Penyampai Radio
Bekerja sebagai penyampai radio memang sesuatu yang menyeronokkan. Selama tiga tahun, banyak yang dapat Ajak pelajari. Namun dia membuat keputusan untuk meletakkan jawatan kerana kekangan masa. “Waktu saya jadi DJ dulu, memang tak ada masa dengan anak-anak. Sebab saya kerja awal pagi, jadi saya keluar dahulu dari orang lain. Selama tiga tahun, sekalipun saya tidak pernah berkesempatan nak hantar Jad ke sekolah,” kata Ajak. Oleh itu, Ajak mengambil keputusan untuk berhenti agar dapat meluangkan masa bersama anak-anaknya.
“Saya tidak nampak di mana lawaknya saya. Kalau orang kata saya lawak, mungkin itulah pinjaman Allah SWT pada saya. Ini sebenarnya rezeki anak-anak. Semakin besar rezeki apabila anak kami bertiga ni. Saya dan Afifah hanya menumpang rezeki mereka,” sambung Ajak. Menurutnya lagi, tujuan asal dia menyertai program Raja Lawak sebenarnya lebih kepada untuk memberi kemudahan kepada Jad. Tak sangka rezeki tak henti-henti selepas kelahiran dua orang anaknya yang lain.
Tidak hairanlah mengapa Ajak sangat disenangi peminat, orangnya sederhana dan mudah didekati. Benarlah tagline yang selalu dia ungkapkan, “Saya Ajak dan saya tidak sombong.” Pa&Ma doakan agar keluarga Ajak dan Afifah terus dilimpahi rezeki berlipat ganda. Semoga mereka sekeluarga sentiasa berbahagia dan terus berkasih sayang antara satu sama lain.
Saksikan pasangan Ajak Shiro & Afifah Amin dalam Pa&Ma Musim Kelima dengan kupasan topik episod ke-5 ‘Cabaran Expose Anak Di Media Sosial’ pada 31 Julai 2019,Rabu jam 9 malam disaluran Astro Prima (ch 105) , Prima HD (ch 121) dan Astro Go (apps).
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok memaparkan usahawan terkenal, Datuk Seri Vida, meluahkan isi hatinya sebagai seorang ibu terhadap komen-komen yang mempertikaikan cara beliau mendidik anak perempuannya, Cik B. Rakaman tersebut telah mengundang perhatian ramai kerana kata-katanya yang penuh emosi dan doa yang begitu menyentuh jiwa.
Dalam video tersebut, Datuk Seri Vida menzahirkan hasrat agar anak-anaknya menjadi insan yang hebat dan beriman. Beliau turut memanjatkan doa agar Cik B menjadi seperti arwah anaknya, Nurly Syahirah, yang menurutnya memiliki kelembutan hati, kecintaan kepada Al-Quran dan penuh dengan nur keimanan.
“Aku mohon dengan rendah diri, jadikanlah anakku Cik B seperti arwah Nurly Syahirah… Biarpun dunia ini penuh ujian dan kelalaian, pimpinlah anakku menuju jalan-Mu…”
Luahan ini nyata datang dari hati seorang ibu yang sedang bergelut dengan persepsi luar, namun tetap teguh dalam kepercayaannya kepada peranan doa dan didikan.
Dalam satu lagi insiden tular, Datuk Seri Vida dilihat menziarahi pusara arwah Nurly Syahirah Azman, pelajar UPSI yang terkorban dalam kemalangan di Gerik, Perak. Kehadirannya itu bukan sahaja sebagai tanda hormat, tetapi juga sebagai simbol kekuatan hubungan seorang ibu terhadap anak walau anak itu telah pergi.
Beberapa komen netizen menyuarakan sokongan terhadap beliau. Seorang pengguna menulis,
“Dia sebagai ibu mesti lah selalu nasihat anak… Jangan lah cepat menghukum seorang ibu.”
Sementara itu, ada juga yang mempertahankan Cik B,
“Cik B budak baik… Allah sayang… doa yang baik-baik, insya-Allah kita juga dapat pahala.”
Ada pula yang mengingatkan bahawa adab dan hati yang suci lebih utama daripada penilaian luaran terhadap seseorang.
Kisah Datuk Seri Vida ini adalah cerminan ramai ibu di luar sana yang mungkin tidak sempurna, tetapi hatinya penuh dengan harapan untuk anak-anak. Mendidik anak bukan tugas sehari dua. Ia adalah perjalanan seumur hidup yang disulami air mata, harapan, kesabaran dan doa yang tidak pernah henti.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meroyan? Itu adalah kali pertama saya mendengar kalimah tersebut dan saya tidak sangka ia sangat serius. Apabila berlaku pada isteri baru tahu kesannya jika tidak dirawat dengan baik serta mendapat sokongan suami atau keluarga.
Pengalaman yang dilalui oleh Lutfi Lokman dan isterinya, Najwa Abdul Rahman benar-benar boleh dijadikan peringatan buat wanita dan suami di luar sana.
Ini antara catatan yang ditulis oleh Puan Najwa:
Apa yang saya kongsikan di sini adalah pengalaman saya. Ada yang meroyan bertahun lamanya. Ada yang pulih. Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat membantu mereka yang mengalami masalah sama dengan saya. Anda tidak keseorangan. Kita masih mempunyai harapan. Sinar cahaya masih ada di hadapan. Jangan putus asa.
Meroyan ada banyak jenis. Apa yang Najwa alami sekarang adalah ‘meroyan angin’ dan ‘meroyan darah’.
Najwa tertekan dengan kehidupan, dengan anak menangis, suami tiada di sisi ketika melahirkan anak, sakit buasir ketika pantang, pantang tak boleh makan makanan yang biasa kita makan dan paling utama adalah tertekan dengan orang kata-kata orang yang datang ziarah ketika pantang (sebab Najwa beranak caeser).
Perlahan-lahan Najwa cuba berubah. Sampai bila Najwa nak hidup seperti ini. Pasti di sana ada jalan yang boleh memulihkan diri Najwa. Amalan najwa berubat sekarang ialah baca al-Quran setiap hari (sekurang-kurangnya 10 muka surat ), baca istighfar, baca saidul istighfar (boleh Google) setiap hari dan amalan-amalan lain lagi contoh masuk bilik air baca doa, masuk rumah baca doa dan lain-lain. Najwa juga berubat cara tradisional (seperti minum akar kayu Merbu).
Simptom meroyan yang Najwa alami:
1. Apabila baca al-Quran ada bisikan datang suruh buang al-Quran dalam tandas atau pijak. Astaghfirullah kalau Najwa tak ada asas agama mungkin dah lama tewas. Bila datang bisikan macam tu terus Najwa istighfar banyak-banyak dan cuba sedaya-upaya untuk lawan.
2. Kadang-kadang datang bisikan pasal anak-anak. Suruh buang anak, bagi orang je anak ini, anak ini adalah beban dan mendatangkan malang. Astaghfirullah. Najwa sendiri hairan kenapa aku ni macam ni? Sekali lagi, kalau Najwa tak ada asas agama, tak tahu lah apa dah jadi dengan anak-anak Najwa semua ini. Alhamdulillah, Najwa lawan dan tak ikut apa yang bisikan tu suruh.
3. Bila stres lagilah bertambah bisikan tu dan Najwa tak ada ubat melainkan baca al- Quran dan Azkar (himpunan doa sunnah).
4. Sensitif tidak bertempat. Contohnya, kalau Najwa beli coklat dan anak-anak makan coklat Najwa itu, Najwa akan menangis dengan sungguh-sungguh.
5. Pemikiran tidak stabil. Masa tu di rumah emak. Rumah bawah. Terasa nak bunuh diri dan tamatkan hidup ini. Namun, terfikir juga berdosa apa yang Najwa buat ini dan sakit juga kalau kena batu. Lagi pula, rumah ni atas tanah. Bukan bangunan 40 tingkat. Nak terjun macam mana. Itulah kali pertama dan terakhir datang bisikan seperti itu. Masa itu pula dalam pantang anak kembar. Namun, Alhamdulillah. Asas agama adalah benteng pertahanan diri kita.
6. Rasa putus asa, rasa bersalah, rasa sunyi, rasa letih, selalu menangis, rasa diri tidak berguna, rasa keseorangan, rasa sedih dan murung.
Itulah perkara yang Najwa alami. Semua orang tak nampak. Orang tak percaya. Hanya diri kita sahaja yang tahu. Kepada mereka yang mempunyai simptom di atas, cepat-cepatlah berubat kerana jika terlambat boleh jadi gila. Ada yang terlalu berat sehingga membunuh diri dan orang yang disayangi. Meroyan bukan hanya dalam pantang sahaja ya. Ia boleh berlarutan seumur hidup jika tidak berubat.
Paling penting, sokongan keluarga. Suami yang sentiasa ada di sisi. Suami yang melihat perkara ini dan membantu dalam perubatan. Membantu meringankan isteri. Menguruskan anak-anak. Mengemas rumah. Membasuh baju. Memberikan masa untuk Najwa bersendirian. Membantu ingatkan tentang solat dan bacaan al-Quran. Itu antara faktor penting dalam perubatan dan perubahan diri. Ia kembali kepada minda kita. Kekuatan minda yang diperlukan melalui amalan-amalan yang disebut di atas.
Sumber: Facebook Lutfi Lokman
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!