Tertarik melihat celoteh si manja? Mungkin anda tidak memahami apa yang dibebelkan oleh mereka. Sebagai orang dewasa, siapa yang faham maksud ‘ah goo’, kan?

Namun, di sebalik bebelan itu, mata mereka yang melilau ke sana sini jelas menunjukkan bahawa mereka teruja dengan suasana di persekitaran rumah.

Mungkin mereka bermonolog akan perkara yang akan mereka lakukan selepas pandai bergerak sendiri. Jadi, sebagai ibu bapa, apa yang anda boleh buat untuk membantu si manja anda untuk belajar bergerak dengan lebih cepat?

Lakukan ‘Tummy Time’ 15 Minit Sehari, Bagus Untuk Kuatkan Otot Leher Dan Bahu Bayi

Aktiviti tummy time boleh dianggap sebagai senaman awal untuk bayi anda. Ia merupakan satu aktiviti di mana bayi akan diletakkan dalam posisi meniarap ketika mereka dalam keadaan terjaga.

Aktiviti ini perlu diawasi oleh ibu bapa memandangkan posisi tersebut boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada si manja. Reaksi bayi berbeza-beza mengikut usia dan keupayaan mereka untuk mengawal pergerakan kepala.

Mungkin ada di antara si manja yang menangis teresak-esak dan ada juga yang membebel sendirian ketika diletakkan dalam posisi tersebut.

Walau apa pun, aktiviti ini mempunyai kebaikannya yang tersendiri seperti:

-Memperkuatkan otot pada bahagian leher dan bahu si manja
-Merangsang perkembangan kemahiran pergerakan kasar (gross motor)
-Mengelakkan terjadinya sindrom kepala rata (flat head syndrome)
-Meningkatkan kekuatan bayi untuk berguling, duduk, merangkak dan berjalan kelak
-Akademi Paediatrik Amerika (AAP) telah menyarankan aktiviti tummy time dibuat sejurus ibu dibenarkan keluar dari hospital. Awal, kan?

IKLAN

Aktiviti ini boleh dilakukan selama 15 minit sehari dan wajib dipantau oleh ibu bapa. Jika ibu nak ke tandas atau ke dapur, pastikan anda mengubah posisi anak kepada keadaan terlentang terlebih dahulu.

Cara melakukan aktiviti tummy time
-bayi tidur
-Tiada cara khusus yang boleh digunakan sebagai panduan untuk melakukan aktiviti tummy time si manja. Anda perlu ingat bahawa tempoh masa dan teknik anda melakukannya bergantung kepada keadaan bayi anda.

Jika mereka menangis setiap kali anda meletakkan mereka dalam posisi meniarap, bahagikan aktiviti tummy time kepada beberapa sesi.

-Masa yang disarankan untuk anda melakukan aktiviti ini adalah setelah si manja bangun daripada tidur
-Tukar lampin mereka dan pastikan keperluan mereka dipenuhi terlebih dahulu
-Pastikan kawasan yang anda ingin gunakan untuk melakukan aktiviti ini selamat. Bentangkan kain pelapik atau tilam dan letakkan bayi anda di atasnya
-Gunakan permainan bagi menggalakkan si manja anda untuk cuba bergerak
-Jika mereka menangis, lakukan aktiviti tummy time ini dalam tempoh masa pendek.

Apabila mereka sudah biasa, tingkatkan jumlah masa dan sesi aktiviti tersebut
Jika posisi meniarap bagus, bolehkah ibu meletakkan bayi dalam posisi tersebut ketika tidur? TIDAK BOLEH. Ini berikutan tidur meniarap merupakan faktor risiko penting berlakunya sindrom bayi mati mengejut (SIDS). Pastikan bayi anda tidur dalam keadaan terlentang.

IKLAN

Lakukan ‘Tummy Time’ 15 Minit Sehari, Bagus Untuk Kuatkan Otot Leher Dan Bahu Bayi

Tempoh masa bagi aktiviti tummy time ini berbeza mengikut usia dan faktor yang lain.

-Sebelum mencecah 1 bulan: 1 hingga 5 minit untuk satu sesi, 2 hingga 3 kali sehari
-1 bulan: 10 minit untuk satu sesi, 2 hingga 3 kali sehari
-2 bulan: 20 minit sehari. Bahagikan kepada beberapa sesi sehingga mencapai saranan tempoh masa
-3 bulan: 30 minit sehari. Bahagikan kepada beberapa sesi sehingga mencapai saranan tempoh masa
-4 bulan: 40 minit sehari. Bahagikan kepada beberapa sesi sehingga mencapai saranan tempoh masa
-5 hingga 6 bulan: Selagi bayi tidak meragam, boleh lakukannya selama 1 jam

Apabila bayi anda mencapai usia 6 bulan, kebiasaannya mereka boleh berguling sendiri kepada posisi meniarap. Walau bagaimanapun, aktiviti tummy time ini masih perlu dipantau oleh ibu bapa.

Walaupun nampak mudah, ia bukanlah satu aktiviti yang boleh dipandang ringan. Dalam keadaan tertentu, anda perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti tummy time.

IKLAN

Bagi ibu yang ingin melakukan aktiviti ini terhadap bayi yang belum mencapai usia 1 bulan, boleh letakkan mereka dalam posisi meniarap di atas riba atau dada anda.

Aktiviti ini bukan sahaja boleh membantu meningkatkan perkembangan si manja malah ia juga boleh mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan bayi. Antara perkara yang boleh anda lakukan sewaktu aktiviti ini adalah:

-Baring di sebelah mereka. Bacakan sesuatu untuk mereka, senyum dan buat muka bagi berinteraksi dengan si manja anda
-Bercakap atau nyanyikan lagu untuk mereka
-Ikut ekspresi muka bayi anda
-Berikan permainan yang mempunyai pelbagai bentuk dan warna bagi merangsang otak mereka
-Tunjukkan cermin plastik kepada mereka. Biar mereka lihat sendiri rupa mereka yang comel itu

Aktiviti tummy time bukan sahaja dapat membantu menguatkan otot bayi bagi perkembangan pergerakan kasar mereka, ia juga boleh mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan bayi.

Walaupun penulis telah memberikan panduan tempoh masa mengikut usia bayi, anda perlu ingat bahawa setiap bayi adalah unik. Mereka mempunyai reaksi yang tersendiri terhadap aktiviti tummy time.

Jika bayi anda meraung apabila diletakkan dalam posisi meniarap, jangan paksa. Angkat mereka dan tunggu sebentar. Ulang semula apabila mereka berada dalam keadaan baik.

Aktiviti ini dapat memberikan pelbagai kebaikan kesihatan kepada bayi anda. Jika anda tidak pernah mencubanya, lakukannya sekarang!

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI