Lebih 200 Anak Keracunan Di Tadika, Makanan Dicemari Plumbum

Share

“Anak sihat, ibu ayah pun tenang.” Tapi bagaimana kalau tanpa sedar, makanan yang disuap kepada anak setiap hari menjadi punca racun yang merosakkan tubuh mereka? Inilah realiti yang berlaku di sebuah tadika swasta di China, apabila lebih 200 kanak-kanak menjadi mangsa keracunan plumbum — akibat makanan yang sepatutnya menyihatkan, tetapi sebaliknya penuh bahaya tersembunyi.

Tragedi Bila Makanan Menjadi Racun

Menurut laporan, sebuah tadika swasta di Tianshui, Wilayah Gansu kini mencetuskan kegemparan apabila 233 daripada 251 murid mengalami keracunan plumbum, dipercayai berpunca daripada makanan yang disediakan oleh pihak kantin.

Menurut laporan antarabangsa, ujian makmal mengesahkan bahawa beberapa jenis makanan yang disediakan di kantin  termasuk kek tamar merah kukus dan roti sosej jagung yang mengandungi plumbum sehingga 2,000 kali ganda melebihi paras selamat.

Gambar Hiasan AI

Lebih mengejutkan, siasatan awal mendapati bahawa cat industri yang berbahaya telah digunakan untuk mencantikkan rupa makanan, kononnya bagi menarik perhatian ibu bapa dan meningkatkan bilangan pendaftaran murid.

Simptom Keracunan: Bila Anak Tiba-Tiba Tak Sihat

Kesemua ini mula terbongkar selepas beberapa ibu bapa membuat aduan bahawa anak mereka menunjukkan simptom luar biasa:

  • Sakit perut berpanjangan

  • Keletihan melampau

  • Bau mulut kuat

  • Keguguran rambut

  • Mudah marah dan murung

Sebanyak 201 kanak-kanak telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pihak berkuasa telah menahan lapan individu termasuk pengetua dan kakitangan kantin untuk siasatan atas kesalahan berkaitan keselamatan makanan dan kesihatan awam.

Plumbum: Bahaya Untuk Anak Kecil

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiada paras pendedahan plumbum yang dianggap selamat bagi kanak-kanak. Walaupun hanya dalam jumlah kecil, plumbum boleh menjejaskan:

🧠 Perkembangan otak dan IQ


🫁 Sistem saraf dan fungsi organ penting
🗣️ Kemahiran bahasa, pertuturan dan pembelajaran
😔 Tingkah laku dan emosi

Plumbum tidak dapat dilihat, tidak dapat dihidu tetapi kesannya kekal dan boleh memusnahkan masa depan anak-anak yang terdedah kepadanya.

5 Langkah Lindungi Anak Dari Risiko Serupa

Sebagai ibu ayah, kita mungkin tak mampu mengawal setiap aspek di luar rumah, tetapi kita mampu bertanya, memerhati dan mengambil tindakan. Berikut antara langkah penting yang boleh kita amalkan:

  1. ✅ Ambil tahu tentang penyediaan makanan di tadika atau pusat jagaan anak. Tanya menu mingguan, sumber bekalan dan kaedah penyediaan.

  2. ✅ Elakkan makanan yang berwarna-warni luar biasa atau terlalu menarik secara visual. Kadangkala warna yang cantik menyembunyikan pewarna berbahaya.

  3. ✅ Galakkan anak bawa bekal dari rumah, terutama jika ibu ayah ragu-ragu dengan makanan luar.

  4. ✅ Perhatikan perubahan kesihatan anak. Jika anak kerap keletihan, sakit perut atau menunjukkan tingkah laku pelik — terus bawa ke klinik.

  5. ✅ Suarakan kebimbangan kepada pengurusan tadika. Hak ibu bapa untuk tahu apa yang anak makan setiap hari.

Pa&Ma Prihatin

Kes di China ini menjadi wake up call kepada semua ibu bapa bahawa kita tidak boleh ambil mudah soal pemakanan anak, terutama yang masih kecil dan belum pandai melindungi diri.

Makanan bukan sekadar untuk kenyang, tetapi asas kepada kesihatan, perkembangan otak dan tumbesaran si manja. Apa yang mereka makan hari ini, akan menentukan siapa mereka esok hari.

Published by
Nana