Lebih 6,000 Murid Dijangkiti Influenza: KPM Sahkan Beberapa Sekolah Ditutup Sementara

Share

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan bahawa lebih 6,000 murid di seluruh negara dijangkiti influenza, dengan beberapa sekolah terpaksa ditutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, wabak ini tidak tertumpu di satu kawasan sahaja tetapi melibatkan sekolah-sekolah berbeza di beberapa negeri. Langkah segera telah diambil termasuk pengedaran garis panduan pengurusan penyakit berjangkit kepada semua sekolah, kolej dan institusi pendidikan di bawah KPM.

“Sekolah digalakkan menggalakkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan aktiviti berkumpulan buat sementara waktu,” ujar beliau.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad

Beliau menambah, sekiranya berlaku peningkatan kes di mana-mana sekolah, pihak sekolah perlu segera merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan lanjut. Katanya lagi, sebarang keputusan menutup sekolah akan dibuat berdasarkan nasihat rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KPM & KKM Sentiasa Pantau Situasi Influenza

Lapor Sinar Harian lagi, KPM menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan murid adalah keutamaan utama, dan kementerian tidak akan berkompromi dalam hal melibatkan kesihatan pelajar. Semua pihak sekolah diminta lebih peka terhadap simptom influenza dalam kalangan murid dan guru seperti:

  • Demam tinggi dan batuk berterusan
  • Sakit tekak dan hidung tersumbat
  • Lemah badan dan muntah
  • Tidak bermaya serta hilang selera makan

Sekiranya ada murid yang menunjukkan simptom ini, mereka digalakkan berehat di rumah atau mendapatkan rawatan segera. Tidak semua kes memerlukan penutupan sekolah, namun pemantauan berterusan amat penting bagi mengelakkan jangkitan meluas.

KPM Sedia Hadapi Peperiksaan SPM

Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula 3 November ini, KPM memberi jaminan sudah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. Malah, SOP khas telah disediakan bagi membolehkan calon yang sakit menduduki peperiksaan di hospital atau lokasi alternatif dengan pemantauan rasmi.

“Kami sudah ada pengalaman semasa pandemik Covid-19. Jadi kami tahu bagaimana menyesuaikan pelaksanaan peperiksaan jika keadaan memerlukan,” jelas Dr. Mohd Azam.

Ibu Bapa Diingatkan Jangan Ambil Mudah

Musim sekarang bukan masa untuk leka. Influenza bukan sekadar demam biasa — ia boleh menyebabkan komplikasi serius kepada anak kecil. Pastikan anak-anak sentiasa dijaga rapi dengan langkah berikut:

  • Sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam.
  • Kerap membasuh tangan dengan sabun.
  • Berehat secukupnya jika tidak sihat.
  • Segera dibawa ke klinik jika demam berlarutan.

Dengan kerjasama semua pihak — ibu bapa, guru dan masyarakat — kita mampu membendung penularan wabak influenza ini demi keselamatan anak-anak kita.

Published by
Nana