Keterujaan pasangan suami isteri menyambut kelahiran anak kelima, menjadi lebih istimewa apabila kedua-dua telinga bayi itu mempunyai tanda kelahiran menyerupai tulisan kalimah Allah SWT.
Menurut Mohd Zamri Ibrahim, 45, atau lebih dikenali sebagai Z Zamri keistimewaan yang dimiliki anak bongsu daripada lima beradik itu disedari isterinya, Fazilawati Ismail, 41, sehari selepas anak mereka dilahirkan.
Katanya, isterinya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.8 kilogram (kg) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 21 Julai lalu yang diberikan nama Faizatul Azwin Mohd Zamri kini sudah berusia 11 hari berada dalam keadaan sihat.
“Ketika isteri melahirkan anak perempuan kami, saya tidak berada bersamanya kerana berada di luar Kelantan atas beberapa urusan, namun selepas semuanya selesai saya membuat panggilan video melalui aplikasi WhatsApp untuk iqamatkan bayi kami yang baru dilahirkan,” katanya.
Isteri perasan ketika hendak menyusukan anak
Ads
Zamri berkata, pada mulanya beliau dan isteri tidak menyedari tanda istimewa yang ada ada Faizatul Azwin sehinggalah pada keesokan harinya ketika isteri hendak menyusukannya, dia ternampak tulisan menyerupai kalimah Allah SWT di kedua-dua telinga anak mereka.
“Selepas melihat keistimewaan yang dimiliki anak kami, isteri saya kemudian menghantar gambar melalui aplikasi WhatsApp untuk saya melihatnya sendiri.
“Saya terkejut, namun bersyukur kerana ia adalah kurniaan Allah SWT buat kami kerana memiliki cahaya mata yang kedua-dua telinganya bertanda kalimah Allah SWT.
Ads
“Ini adalah kebesaran-Nya dan saya mahu Faizatul Azwin menerima didikan Islam yang sempurna,” katanya.
Baca al-Quran sepanjang mengandung
Ads
Z Zamri yang juga pelakon drama bersiri Gerak Khas, berkata sepanjang tempoh kelahiran, isterinya sentiasa mengamalkan membaca ayat suci al-Quran bagi memudahkan proses bersalin.
“Setiap kali selepas solat, isteri membaca surah Yusuf dan Maryam, malah sebelum tidur dia juga tidak ketinggalan mengamalkan surah al-Fatihah dan ayat Kursi.
“Bukan itu saja, sebagai suami saya juga selalu berselawat,” katanya yang berasal dari Pulau Seratus, Tumpat, Kelantan
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak pembawa rezeki dalam keluarga. Zaman mak ayah kita dulu-dulu jika anak ramai orang tak akan bercakap tetapi sebaliknya akan rasa meriah dalam rumah. Namun hari ini, bila suami isteri mempunyai anak ramai, mulalah ada yang cakap di belakang.
Walau apa pun pendapat, hanya pasangan suami isteri itu saja yang tahu. Hormati setiap pendapat orang lain. Apa yang penting amanah yang diberikan ini perlulah dijaga dan dibesarkan sebaik mungkin agar semua anak-anak menjadi soleh dan solehah. Bagaimana kita nak mencorakkan anak-anak semuanya dari acuan ibu bapa sendiri.
Melalui perkongsian Puan Wan Nurul Melissa, 35, yang mempunyai 10 orang anak dan masih berpantang anak yang ke 10 selepas dilahirkan 22 Julai lalu, kehadiran anak-anak ini dianggap rezeki buatnya dan suami.
“Sebenarnya ramai tak sangka saya ibu kepada 10 orang anak (7 lelaki dan 3 perempuan). Di usia yang masih muda dan dengan keadaan sekarang ini, pergi mana-mana pun bila orang lihat saya bawa anak-anak yang masih kecil ada yang tanya anak sendiri atau anak buah.
“Bila jawab anak sendiri mereka tak percaya tapi bila terangkan baru mereka faham,” katanya.
Kahwin usia 20 tahun
Wan Nurul Melissa berkongsi, dia berkahwin ketika usia 20 tahun manakala suami 21 tahun. Dapat anak setahun kemudiannya.
“Asalnya kami tak plan nak berapa anak kerana suami seorang saja yang bekerja dan saya pula suri rumah saja.
“Namun betullah orang kata, bila kita melahirkan anak ni setiap dari mereka pembawa rezeki yang tak disangka. Dari saya tak bekerja lepas kehadiran anak-anak saya dapat buat bisnes online dan kini sepenuh masa buat bersama suami.
“Sekarang usia anak-anak 14, 11, 9, 8, 6, kembar (4 tahun), 2 tahun lebih, 1 tahun lebih dan yang ke-10 dalam pantang.
“Sebenarnya saya juga pernah keguguran sebanyak 3 kali. Kalau semua ada sekarang dah 13 orang anak,” katanya.
Bersama anak ke-10 yang dilahirkan 22 Julai lalu.
Seronok anak ramai
Wan Melisa menyatakan memandangkan dia pun mempunyai 9 beradik dan dari keluarga besar, bila anak ramai lagi seronok. Manakala suami pula ada 4 beradik dan mempunyai kembar.
“Masa mula-mula nak jaga anak ramai memang rasa susah, tapi alhamdulillah Allah sangat mempermudahkan urusan saya dan suami. Anak-anak seolah faham dan mereka jarang nak buat perangai.
“Saya bersyukur dengan membuat bisnes online ni dalam masa sama dapat tengok dan pantau anak-anak. Kami suami isteri bergilir jaga dan pembantu pun akan datang pagi, petang balik,” katanya.
Sentiasa ada jadual harian
Tak dinafikan anak ramai dan masih kecil memang penat. Jadi sebagai ibu saya memang dah tahu nak urus masa. Mula dari bangun pagi hingga nak tidur malam semua dah ada jadual.
“Kadang-kadang suara terkuat tu biasa. Tapi anak akan faham sendiri sebelum saya marah. Bagi saya juga ada anak ramai ni mak akan jadi awet muda. Sebabnya sentiasa melayan karenah anak-anak dari pagi sampai malam.
“Buat masa ini, kami akan fokus dan besarkan dulu 10 orang anak. Jika ada rezeki lagi Allah nak bagi kami tak menolaknya,” katanya.
Fasa mengandung mudah, bersalin normal
Wan Melissa menambah, dia bersyukur sepanjang mengandung tiada alahan teruk. Cuma dalam trimester pertama saja alahan. Selepas itu dia kembali cergas dan boleh urus anak macam biasa.
Begitu juga melahirkan anak, semua 10 anak saya lahirkan secara normal dan mudah. Macam anak yang ke-10 ini saya lahirkan ketika usia kandungan 38 minggu dan hanya mengalami kontraksi ringan sahaja.
Bayi ke-10 yang dilahirkan 2 minggu awal dari tarikh jangkaan bersalin
Syukur anak-anak sentiasa menyenangkan
Tambah Wan Nurul Melissa lagi, anak-anak yang dah besar seolah faham dan akan sama-sama melakukan kerja rumah dan menjaga adik-adik.
“Saya juga sangat bersyukur mempunyai anak yang senang dan dengar cakap. Masing-masing dah faham apa perlu buat. Contoh lepas main, makan semua kena kemas. Anak-anak ni bila dah terbiasa dengan disiplin automatik mereka akan faham dan ingat sampai bila-bila.
“Lagi satu, ikatan kekeluargaan antara kami sangat kuat kerana suami sentiasa ingatkan walau apa pun berlaku, masing-masing kena sayang dan sentiasa bertolak ansur satu sama lain.
“Percayalah bila kita yakin dengan perancangan Allah, rajin mencari rezeki dengan niat untuk membahagiakan keluarga, semua itu dipermudahkan,” kongsinya.
Kredit: Wan Nurul Melissa
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sikap sesetengah ibu bapa yang suka membuang lampin merata-rata jadi medium HFMD. Sikap ini seolah-olah sukar dibendung. Walaupun kini sudah ramai mempunyai kesedaran, namun masih ada lagi segelintir daripada mereka mengamalkan sikap ini.
Anak buang air besar?
Mudah saja, gulungkan dan lempar sahaja dari tingkap ke celah-celah semak atau di dalam longkang.
Golongan yang membuang najis anak sesuka hati ini, ternyata begitu rendah tahap siviknya. Sedangkan haiwan pun tahu mengkambus najis mereka.
Tahukah anda, “Lampin pakai buang” merupakan antara sampah pepejal yang paling banyak ditemui di bahu jalan, didalam longkang, kawasan rekreasi dan tempat awam.
Sampah yang mengandungi najis ini boleh menjadi sumber jangkitan penyakit. Najis merupakan antara medium jangkitan penyakit merbahaya seperti HFMD, kolera, hepatitis dan Polio.
Virus dari najis ini boleh meresap dan merebak ke sumber air dan menyebabkan lebih banyak penyebaran penyakit.
Kebersihan adalah kunci utama untuk mencegah penyakit berjangkit.
Cara cara membuang lampin pakai buang;
1) Najis perlu dibuang dalam lubang tandas terlebih dahulu dan pam.
2) Gulung lampin pakai buang ke arah dalam (kawasan kotor di sebelah dalam).
3) Tampal semula di sebelah kiri dan kanan dengan menggunakan pelekatnya supaya gulungan tidak terbuka
4) Masukkan dalam plastik dan ikat
5) Sekiranya tiada plastik, gunakan suratkhabar untuk membalutnya
6) Buang dalam tong sampah khas yang biasanya disediakan dalam tandas atau sekiranya tiada, sila isikan dalam beg plastik atau beg khas dan bawa pulang untuk dibuang di rumah dalam tong sampah khas atau plastik khas.
Sehingga 5 keturunan anda berakhir, lampin pakai buang masih belum terurai sepenuhnya. Ia mengambil tempoh 500 tahun untuk terurai!
Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab. Bukan kena basuh, cuma mohon buang lampin pakai buang di tempat yang betul.
Kehilangan anak ujian besar bagi sebuah keluarga. Apatah lagi pemergiaan berlaku secara mengejut. Anak yang disangka sudah keluar dalam kenderaan rupanya terperangkap dalam kereta hingga maut kerana strok haba.
Seorang kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan menemui ajal selepas tertinggal di dalam sebuah kereta pada 22 Julai lalu.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri setelah ditinggalkan lebih kurang dua jam oleh datuknya dalam kereta di luar pagar hadapan rumah mereka di Taman Sungai Raya, Jalan Air Hangat, Kuah, Langkawi.
Gambar hiasan.
SEBELUM ITU IKUT DATUK AMBIL KAKAK ABANG DI SEKOLAH
Katanya, sebelum kejadian, mangsa telah mengikuti datuknya berumur 73 tahun untuk mengambil kakak dan abangnya pulang dari sekolah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.
“Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian belakang bersama kakak dan abangnya dipercayai telah tertidur.
“Setelah sampai ke rumah, datuknya terus masuk ke dalam rumah dan beranggapan mangsa telah keluar dari kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Gambar hiasan.
SETELAH DUA JAM BARU DISEDARI KETIADAAN
Menurut Zainuddin, lebih kurang dua jam kemudia ibu kanak-kanak berkenaan yang bangun dari tidur menyedari bahawa mangsa tiada bersama dengan kakak serta abangnya di dalam rumah dan terus mencari mangsa.
“Ibu mangsa dan datuknya pergi ke kereta dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di bahagian tempat duduk belakang dan sudah tidak sedarkan diri.
“Ketika kejadian, kesemua tingkap dan pintu kereta bertutup rapat, mangsa yang tidak menunjukkan sebarang tindak balas seterusnya dibawa ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut dan kemudiannya disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
LAPORAN AWAL PUNCA KEMATIAN IALAH STROK HABA
Zainuddin berkata, laporan penuh bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa belum diperoleh, namun laporan awal diterima menunjukkan punca kematian berkemungkinan strok haba.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
IBU AYAH MESTI LEBIH PEKA AWASI ANAK
Zainuddin berkata, kes masih dalam siasatan pihak polis dan ibu bapa dinasihatkan lebih peka dan sentiasa mengawasi anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Jika siasatan dijalankan mendapati wujud kecuaian, tindakan pendakwaan terhadap ibu bapa atau penjaga berkenaan akan diambil,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.