Bila dah ada anak perempuan, mesti teringin nak anak lelaki pula. Tambah-tambah bagi pasangan yang dah ada anak perempuan lebih dari dua, hasrat nak tambah anak lelaki mesti ada kan?
Tapi bagaimana kita nak ikhtiar untuk mendapat anak lelaki? Dr Zubaidi ada berkongsikan tip yang mungkin boleh di cuba. Mana tahu berjaya. Cuma janganlah terlalu mengharap 100 peratus kerana setiap rezeki anak, Allah dah tentukan.
Berikut antara perkongsiannya
Cuma apa yang boleh dikatakan secara saintifiknya belum ada kajian yang sahih mengenai hal ini. Belum ada kajian yang mengesahkan bahawa pemakanan akan MENENTUKAN jantina anak yang kita harapkan.
Namun ada kajian yang menunjukkan bahawa pemakanan MEMPENGARUHI jantina anak yang dikandung oleh seorang wanita.
Dalam kajian yang dilakukan oleh para saintist di Oxford and Exeter Universities terhadap 740 wanita,, mendapati wanita yang mengambil makanan tinggi kalori ketika proses ovulasi cenderung untuk hamil anak lelaki.
Dalam kajian yang agak lemah, saintis melakukan kajian tersebut juga dapat membuktikan bahawa ramai wanita yang makan pisang dalam kuantiti yang banyak melahirkan bayi lelaki. Ini kerana pisang mengandungi jumlah kalori yang tinggi. Jadi benarlah jika ada petua yang mengatakan jika mahukan anak lelaki, banyaklah makan pisang sebelum melakukan hubungan seks dengan suami.
Bahkan ada juga petua yang mengatakan banyak minum susu sebelum hamil juga boleh mendapat anak lelaki.
Begitu juga dengan petua yang mengatakan bahawa makanan laut besar boleh menyebabkan hamil anak lelaki. Tiada bukti dari segi sains perubatan, namun tidak salah mencubanya.
Untuk mendapatkan seorang anak, harus berlaku percantuman benih lelaki (sperma) dan perempuan (ovum)
Penentuan jantina pula bergantung kepada sperma yang bersenyawa dengan ovum kerana setiap sperma membawa kromosom Y untuk benih anak lelaki atau kromosom X untuk benih anak perempuan. Manakala ovum pula hanya mempunyai dua kromosom X sahaja.
Sperma yang membawa kromosom Y selalunya lebih aktif dan bergerak menuju ke ovum dengan lebih cepat, tetapi hanya mampu hidup pada waktu yang singkat saja. Ia hidup lebih lama dalam suasana rahim yang beralkali.
Sementara sperma yang mempunyai kromosom X bergerak lambat, tetapi hidup dengan lebih lama terutama dalam suasana rahim yang lebih berasid.
Sesetengah pakar perubatan berpendapat jika pH di dalam faraj wanita dapat diubah menjadi lebih beralkali, kebarangkalian untuk mendapat anak lelaki lebih tinggi.
Oleh itu, mereka mencadangkan setengah jam sebelum melakukan persetubuhan, si isteri harus membasuh kemaluan dengan sejenis cairan yang mengandungi sodium bicarbonat yang bersifat alkali dengan menggunakan teknik ‘douching’. Peluang untuk mendapat anak lelaki lebih tinggi.
Namun saya lebih suka jika kita meletakkan segalanya pada takdir Allah setelah kita berikhtiar dan jangan kecewa dengan takdirNya. Kita harus bersyukur jika bayi yang dilahirkan itu sihat dan cukup sifat, tidak kira sama ada bayi lelaki atau perempuan.
Pra-eklampsia adalah keadaan yang disebabkan oleh kehamilan, dan ianya berlaku pada trimester kedua kehamilan lazimnya selepas 20 minggu kehamilan. Pra-eklampsia berkaitan dengan tekanan darah yang tinggi, bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan kenaikan berat badan yang mendadak disebabkan pengumpulan air dalam tubuh, dan kehadiran protein dalam air kencing.
Pre-Eclampsia: Amaran bahaya sebelum dapat sawan ketika hamil
Punca sebenar terjadinya pra-eklampsia masih lagi tidak diketahui.
Apa yang terjadi dalam pra-eklampsia ialah terdapat pengurangan aliran darah ke uri sekaligus membahayakan bayi dalam kandungan . Tumbesaran bayi menjadi terbantut disebabkan kuantiti oksigen dan nutrien yang sampai kepada bayi tidak mencukupi.
Air mentuban juga akan menjadi kurang. Sekiranya tumbesaran bayi menjadi sangat terbantut, bayi boleh mati secara mengejut di dalam kandungan. Maka kehamilan dengan pra-eklampsia akan dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan bayi-bayi yang bakal mengalami komplikasi ini supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi.
Mengapa perlu tahu mengenai pra-eklampsia?
Pra-eklampsia sangat biasa berlaku di kalangan wanita hamil.
Pra-eklampsia ringan berlaku bagi 7 daripada setiap 100 kehamilan manakala eklampsia (sawan hamil) pula jarang berlaku; hanya 1 dalam setiap 100 wanita dengan pra-eklampsia akan mengalaminya. Hampir separuh kes eklampsia (44 peratus) berlaku selepas bersalin, dalam tempoh berpantang (postpartum).
1 dalam 200 kehamilan (0.5%) akan mengalami pra-eklampsia yang serius ketika hamil. Gejala-gejala pra-eklampsia lazimnya ditunjukkan pada penghujung kehamilan, tetapi ada juga yang menujukkan gejala-gejala selepas bersalin.
Gejala-gejala pra-eklampsia yang serius adalah :
❗️Sakit kepala yang tidak dapat dilegakan oleh ubat tahan sakit ❗️Mata menjadi kabur ❗️Pedih pada ulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat-ubatan gastrik ❗️Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah ❗️Berasa tidak sihat
Gejala-gejala ini adalah tanda-tanda amaran bahaya, dan memerlukan perhatian pihak hospital dengan kadar yang segera. Dalam pra-eklampsia yang serius ini, organ-organ penting di dalam badan – fungsi hati dan buah pinggang mungkin akan terjejas, sekaligus menjejaskan proses pembekuan darah yang normal di dalam badan.
Pra-eklampsia serius ini jika tidak dirawat boleh menjadi lebih teruk ke tahap eklampsia dimana sawan boleh terjadi. Walaupun ianya jarang terjadi 1 dalam 4000 kehamilan, eklampsia memberikan komplikasi dan impak yang serius kepada ibu dan bayi, dan boleh membawa maut
Anda lebih cenderung untuk mendapat pra-eklampsia jika ini merupakan kehamilan sulung anda atau jika terdapat jarak yang besar, selalunya 10 tahun, antara kehamilan ini dengan kehamilan yang terdahulu.
Anda mempunyai risiko yang lebih jika anda:
✅berumur 40 tahun atau lebih; ✅berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih. ✅mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah anda, termasuk tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang, atau diabetes;
kandungan kembar atau lebih; ✅mempunyai sejarah pra-eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya;
Berbincang dengan doktor anda, tentang faktor-faktor yang anda ada. Setelah penilaian doktor, anda akan dinasihatkan memakan ubat aspirin 75mg sehari sekali dari pada awal kehamilan (12 minggu) sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko anda mengalami pra-eklampsia. Suplemen kalsium juga akan turut dimulakan.
Tiada cara yang pasti 100 % untuk mencegah terjadinya pra-eklampsia. Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan yang anda atau bayi tidak dalam bahaya ialah dengan berjumpa doktor anda secara kerap untuk temujanji antenatal anda. Ujian air kencing dan bacaan tekanan darah dijalankan oleh doktor atau jururawat semasa anda hadir untuk temujanji antenatal anda, adalah untuk mengesan tanda-tanda awal pra-eklampsia.
Bagaimana saya dirawat, sekiranya saya mengalami pra-eklampsia?
Jika tekanan darah naik secara sederhana, anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh, dan caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke uri. Anda mungkin diminta pergi ke klinik kesihatan setiap hari untuk memeriksa tekanan darah anda.
Sekiranya tekanan darah anda naik melambung, anda akan diminta masuk ke hospital supaya keadaan anda boleh dipantau dengan rapi. Kadar tumbesaran bayi akan diperiksa. CTG (cardiotocography) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi anda dan kesihatannya secara umum. Tujuannya ialah untuk memanjangkan tempoh kehamilan anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang kepada bayi supaya tidak dilahirkan secara pramatang. Ubat untuk mengawal tekanan darah juga turut akan diberikan.
Anda juga akan diberikan suntikan ubat magnesium sulfat. Satu kajian penyelidikan yang besar yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati bahawa jika ibu yang mempunyai pra-eklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan hingga separuh. Anda akan dirawat di wad rawatan rapi untuk ibu mengandung. Doktor juga akan menilai sama anda anda perlu diberikan ubat untuk mematangkan peparu bayi, sekiranya perlu dilahirkan lebih awal.
Sekiranya tekanan darah anda sukar dikawal dengan ubat-ubatan, akan dicadangkan supaya anda supaya menjalani proses induksi (induction of labour) atau melahirkan bayi anda melalui pembedahan caesarean.
Pra-eklampsia hanya akan pulih dengan sendirinya setelah anda melahirkan bayi. Tetapi, anda masih lagi berisiko sehingga empat minggu selepas bersalin, terutamanya jika pra-eklampsia anda itu serius atau dikenalpasti apabila kehamilan anda sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih. Anda mungkin perlu meneruskan ubat untuk mengawal tekanan darah walaupun sudah bersalin.
Jika bayi dilahirkan kecil dan pramatang, bayi akan dipantau di unit rawatan rapi bayi sehingga bayi benar-benar sihat dan selamat untuk pulang. Tiada masalah untuk meneruskan penyusuan susu ibu
Segera dapatkan rawatan jika ada gejala-gejala pre eclampsia. Jangan tunggu
Tahniah diucapkan buat adik kepada penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Siti Sairah yang kini dikhabarkan hamil anak kelimanya.
Sairah yang kini sedang bersaing untuk satu program nyanyian, Famili Duo memohon doa yang baik-baik untuk kandungan kelimanya ini selepas dua kali mengalami keguguran sebelum ini.
“Dapat tahu hamil minggu lepas. Harap dipermudahkan. Usia kehamilan pula saya masih belum dapat pastikan lagi kerana masih belum berjumpa dengan doktor lagi,” kongsinya.
Akui Sairah yang muncul bersama kakaknya, Saida, dia sebelum ini sudah dapat mengagak hamil dan cuba membuat ujian kehamilan di rumah.
“Sebelum ini saya sudah dapat agak dan ada kongsikan kepada suami dan kakak, Siti Saida. Saya terus buat ujian kehamilan dan alhamdulillah positif.
“Saya dan suami terima dengan hati terbuka, ini rezeki. Cuma pada awal kehamilan ini, saya mula alami alahan. Harap dipermudahkanlah sampailah bersalin nanti, insyallah,” katanya lagi berkongsi.
Berkongsi kisah keguguran yang dialaminya sebelum ini, akui Sairah, dia keguguran buat kali kedua pada awal tahun ini.
Malah selepas dua kali keguguran, dia juga dinasihatkan oleh doktor agar menjaga kandungannya jika hamil lagi dalam waktu terdekat ini.
“Bila kembali hamil, memang saya risau juga sebab usia kandungan masih baru lagi.
“Sebelum ini pun doktor minta saya untuk betul-betul jaga selepas dua kali gugur. Saya harap kali ini ada rezekilah,” katanya lagi.
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan zuriat sebagai penyeri hidup. Namun tak semua bernasib baik untuk hamil secara semulajadi. Ada yang berhabis ribuan ringgit demi mendapatkan zuriat tercinta.
Itulah yang dilalui oleh Puan Najhah Yusof II apabila hampir 9 tahun mencuba dan melakukan pelbagai rawatan sehinggalah dia terdetik untuk mendaftar nama di bawah salah sebuah Hospital Kerajaan untuk melakukan rawatan IVF (In vitro fertilisation) dan akhirnya berjaya! Ikuti perkongsian Puan Najhah.
Bismillahirahmanirahim.
Alhamdulillah first ivf saya success setelah 9 tahun penantian. Transfer 2 embrio, berjaya menempel satu sahaja. Alhamdulillah. Berkat doa semua lahirlah zuriat penantian selama 9 tahun lahirlah puteri pertama saya ,Nuryn Najlaa bt Mohd Najmie.
Saya buat IVF ICSI di Hospital Sultanah Nur Zahirah under Doktor Malini. Lahir secara Elective Cesarean 8/8/2021 (berat 3.88kg) di usia kandungan 39w 3d. Juga Doktor Malini sendiri yang lakukan pembedahan dan sambut kelahiran.
Tempoh treatment dari 2019. Pickup ovum Sept 2020. Sepatutnya march 2020, tapi terpaksa hold akibat pandemik. Akhirnya semua berjalan lancar. Kos saya tak berapa ingat. Tapi bawah RM5000. Bayar berperingkat by prosedur. Tak perlu bayar lumpsum. So sempat kumpul duit. Jangan stress sebab masa daftar saya sendiri tak ada simpanan khas untuk ivf. Just follow the flow, doa pada Allah biar sentiasa permudahkan.
Masa pickup dapat 6 telur (doktor expect lebih lagi tapi bius tak jalan, saya tersangat sakit dan bergerak semasa opu😔) Selepas disenyawakan hanya 5 survive. Transfer 2 embrio day 3, alhamdulillah berjaya menempel satu. Tiga lagi masih dalam simpanan.
Saya tak ada tips sangat, saya banyak follow tips group ni jugak. Sebelum opu dan sebelum transfer, sepanjang 2w saya sangat menjaga emosi. Sebelum opu, saya relaks, tenangkan diri pergi pantai, air terjun rendam-rendam kaki, selalu ketawa supaya tak pikir stress, jaga pemakanan dan makan apa-apa yang disuggestkan untuk cantikkan saiz telur.
Sebelum transfer saya pergi spa, saya mengurut relaxing, pergi bercuti santai-santai. Selepas transfer sepanjang 2w tunggu result, saya jaga pemakanan, bedrest, gerak slow-slow dalam bilik, mandi, solat saya lakukan atas kerusi. Petang-petang ada mak, kakak, anak saudara datang hibur-hiburkan.
Saya ni jenis kalau duk sorgan mula la overthinking. Solat hajat ⅓ malam non-stop sepanjang 2 minggu. Saya rasa ni part paling penting sebab masa ni saya mengadu dan minta sungguh-sungguh dengan Allah😔.
Sepanjang 2w waiting, saya tak beli dan cek upt. Just tunggu je, doa serta berdoa. Saya bersangka baik yang embrio menempel dengan baik. Saya usap perut dan sentiasa bercakap supaya baby terus bertahan .
Bacaan beta 491. Alhamdulillah after 2weeks lepas tahu pregnant, scan dah nampak kelip-kelip heartbeat. Sepanjang mengandung tiada GDM dan alhamdulillah dipermudahkan. Saya jaga pemakanan tapi dah masuk 7 bulan tu saya dah start bedal makan macam🤣. Awal-awal trimester pertama alahan. Saya pilih czer sebab atas nasihat doctor kerana precious baby dan juga pilihan saya sendiri.
Nasihat saya kalau yang nak try buat dengan goverment , pergi dan daftar dulu. Jangan terlalu fikir lambat tunggu turn, leceh, prosedur lambat . Dulu saya selalu berfikiran macam ni. Lepas beberapa kali treatment di swasta, dengan kos yang tinggi saya hampir give up dan terus stop buat apa-apa treatment.
Atas sokongan sahabat yang sama-sama ttc, kami pergi sama-sama daftar di hospital kerajaan. Dan dia pon berjaya hamil kaedah IVF cuma tiada rezeki ketika kandungan masuk beberapa minggu. Sebenarnya itu mindset kita. Saya kadang-kadang timbul rasa “kalau lah sy daftar dari awal dulu “… tapi kita merancang Allah menentukan. Allah yang gerakkan hati kita. Kita just follow je appoinment demi appoinment. Saya tak rasa lambat pun, berkat kesabaran akhirnya tiba juga giliran yang ditunggu.
Saya doakan sahabat-sahabat dikurniakan rezeki zuriat, yang mana tengah dalam prosedur, dipermudahkan perjalanan, yang mana berjaya hamil, diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan sehingga selamat bersalin. Jangan sedih, jangan kecewa, bersangka baik pada takdir Allah. Allah sebaik-baik Maha Memberi.
KOS PERUBATAN IVF DI HSNZ
Saya share kos perubatan IVF di HSNZ,Terengganu. Sebelum ni refer Dr Hamid Arshat, Dr Ismail Thambi. Selain kos yang tinggi, jarak yang jauh , sy prefer on treatment di HSNZ. Alhamdulillah sentiasa konsisten datang appoinment. Alhamdulillah doktor-doktor pakar dan nurse O&G very supportive. Walaupun ambik masa tapi, insyaAllah kita follow step by step. Kos around 4-5k. Bayar by step bukan secara lump sum.
Cara pendaftaran untuk rawatan kesuburan di Hospital Kerajaan (Pengalaman Puan Najhah)
Saya daftar 2019, transfer bulan 11 2021. Sepatutnya transfer embrio lebih awal lagi tapi memandangkan PKP, hospital hold dulu untuk sebarang prosedur.
1. Boleh daftar di klinik pesakit luar/mana-mana klinik kesihatan. Untuk prosedur ivf, hospital kerajaan menerima bagi yang tidak pernah mempunyai anak.
2. Lepas daftar akan ada appoinment demi appoinment dengan doctor. Contohnya ujian darah bagi isteri, ujian air mani bagi suami dan bagi lagi pemeriksaan lanjut untuk kenalpasti masalah .
3. Bergantung pada masalah individu tersebut, biasanya akan dimulakan dengan IUI (maksimum 3 kali) . Jika tak berjaya doctor akan teruskan dengan kaedah IVF
4. Tempoh menunggu saya tak ada spesifik masa. Cuma bergantung kepada keadaan masalah, umur (jika masuk 40 tahun mugkin dicepatkan lagi proses), dan juga jumlah patient yang line up. Lagi awal kita mendaftar lagi bagus😀
5. Bagi pasangan yang jauh dari hospital, boleh apply cuti sebab biasanya tarikh appoinment akan diberikan beberapa minggu sebelum. So kita boleh prepare samada kita nak apply cuti atau kita nak adjust tarikh. Tak jadi masalah untuk yang bekerja. Biasanya untuk satu-satu appoinment, ambik masa dalam setengah hari je untuk jumpa doctor.
Jangan pernah jemu berdoa kerana Allah tidak pernah jemu mendengar❤ Doakan anakanda saya membesar sebagai anak yang solehah, taat pada agama ,ibu bapa dan boleh memberi manfaat untuk orang sekeliling. Saya tetap ada di sini kerana saya masih berjuang untuk zuriat yang seterusnya nanti🥰.
Info:
IVF: Persenyawaan In Vitro (IVF) atau bayi tabung uji merupakan satu teknologi bantuan reproduktif bagi membantu pasangan yang mengalami masalah kesuburan. Proses ini melibatkan persenyawaan ovum atau oosit oleh sperma di luar badan manusia selepas teknik bantuan reproduktif yang lain telah menemui kegagalan.
IUI: IUI (Intrauterine Insemination) adalah prosedur di mana air mani lelaki yang mengandungi sperma dimasukkan ke dalam rahim wanita yang mengandungi telur. Ia adalah prosedur yang lebih kurang sama sahaja seperti prosedur satu lagi yang dinamakan sebagai ICI, cuma bezanya ia dilakukan oleh doktor di klinik atau hospital.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!