
Gambar Hiasan AI
Lukisan ibarat pelukis ‘pro’ Jepun! Itulah yang ramai katakan apabila melihat hasil karya Luth Harith, 13 tahun. Susah untuk percaya, anak yang suatu ketika dahulu disahkan menghidap ADHD dan autisme ini kini hidup seperti kanak-kanak normal.
Perjalanan hidup Luth tidak mudah. Dulu, dia sukar memberi tumpuan, mudah gelisah, dan tidak mampu duduk diam seperti rakan sebaya. Namun, segalanya berubah berkat kesabaran, usaha konsisten, dan kasih sayang tanpa batas daripada ibunya.
“Alhamdulillah, sekarang dia dah normal macam budak-budak lain,” ujar ibunya dengan penuh syukur.
Salah satu rahsia perubahan positif Luth ialah terapi senyap melalui seni. Minat melukis bukan sekadar hobi, tetapi ruang selamat untuk dia fokus dan menenangkan fikiran. Setiap hari, Luth akan menghasilkan lukisan baharu, diinspirasikan daripada gambar yang disimpan dari TikTok atau Google.
Jika dulu garisan lukisannya kasar, kini karyanya penuh perincian dan harmoni, seakan hasil pelukis profesional Jepun. Perubahan ini bukan sahaja pada bakat, tetapi juga pada kemampuannya mengawal emosi dan fokus dalam kehidupan seharian.
“Melukis ni zon selamat dia… bila dia melukis, dia boleh duduk diam dan tenang,” cerita ibunya lagi.
Bagi ibunya, penerimaan terhadap keadaan anak adalah langkah pertama yang penting. Kemudian barulah memilih kaedah terapi yang sesuai. Luth juga mengikuti terapi pertuturan dan sensori, selain penjagaan pemakanan yang baik untuk kesihatannya.
Kisah ini membuktikan bahawa anak istimewa bukan penghalang untuk berjaya. Dengan bimbingan, ruang untuk berkreativiti, dan sokongan penuh keluarga, mereka mampu mencapai potensi maksimum.
Kenal pasti minat anak – Gunakan minat itu sebagai terapi semula jadi.
Buat rutin harian – Rutin membantu anak lebih teratur dan fokus.
Gunakan kaedah visual – Gambar atau warna membantu mereka memahami arahan.
Kurangkan gangguan – Sediakan ruang khas untuk anak melakukan aktiviti.
Sabar & konsisten – Perubahan ambil masa, tetapi hasilnya sangat berbaloi.
Sumber: Nazariah Nazri