Setiap kali kita sediakan bubur nasi atau makanan lain, penambah rasa pastinya buat anak-anak yang membesar bangkit seleranya. Jika untuk bayi bawah dua tahun, penambah rasa seperti serbuk ikan bilis dan serbuk ayam menjadi pembantu, bagi anak-anak yang membesar (usia lebih dua tahun) dan seisi keluarga, penambahan bawang goreng pastinya membuatkan makanan bertambah sedap.
Nak menghasilkan bawang goreng memang mudah namun hendak menjadikan ia rangup dan ekstra sedap pasti ada tipsnya. Tip bawang goreng sedap yang dikongsikan oleh Pn Ameera ini cukup mudah. Wajib cuba untuk jadikan penambah rasa dan aroma dalam masakan kita.
Boleh buat sendiri buat apa nak beli. Semudah ABC. Bawang goreng by ibu. Penyediaan 15 minit siap. Bahan hanya bawang dan sedikit garam je. Buat sendiri sedap terangkat dari kita beli. Yang penting Ranggup!
Pastikan minyak panas dulu.
Ads
Terus tabur garam.
Tada!
Ads
Dapat sebekas macam ni. Nak makan dengan mee kari, bihun sup, senang dah ada spare. Takyah nak beli beli dah. Sedap hat buat sendiri lagi tau!
Selamat mencuba gais.
Ads
Kenapa Perlu Ambil Bawang Merah?
Bawang merah bukan hanya sekadar menambah rasa sahaja bahkan cukup banyak khasiatnya dalam makanan yang kita sediakan. Apa yang anda perlu tahu, bawang merah cukup tinggi vitamin malah mengandungi kandungan kalori yang rendah dan baik untuk kita.
Kalori: Memiliki kandungan kalori yang rendah, 28 gram bawang hanya mengandung 11 kalori.
Zat gizi makro: Sebahagian besar terdiri dari karbohidrat dan air, sedangkan tidak mengandung lemak sama sekali.
Vitamin dan mineral: Kandungan vitamin yang tinggi adalah vitamin C dan vitamin B6, sementara jenis mineral yang paling banyak terkandung adalah kromium.
Indeks glikemik: Bawang merah termasuk makanan yang mempunyai tingkat indeks glikemiks yang rendah iaitu hanya mencapai 10.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Panaskan makanan dalam ketuhar microwave bahaya? Tidak. Ia cepat dan sangat memudahkan kerja. Namun kita perlu guna dengan cara yang betul. Untuk lebih faham, mari belajar apa yang berlaku semasa makanan dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro.
Apabila ketuhar diaktifkan, ia akan memberikan radiasi gelombang mikro (microwave radiation) kepada makanan. Harus diingat makanan yang kita lihat di depan mata kita itu adalah terdiri daripada pelbagai beribu molekul-molekul yang kebanyakkannya terikat secara fizikal melalui daya Van Der Waals iaitu ikatan hidrogen. Bayangkan setiap molekul ini ialah sekumpulan manusia yang berpegang tangan dan pegangan tangan itu ialah ikatan hidrogen.
Jumlah tenaga yang dibawa oleh radiasi gelombang mikro (bersaiz mikro, 10^-6) ini tidak lah kuat jika dibandingkan dengan radiasi yang dibawa oleh cahaya matahari (gelombang bersaiz nano, 10^-9). Nota: Semakin kecil saiz gelombang, semakin kuat tenaganya.
Oleh itu, radiasi gelombang mikro tidak mampu memutuskan ikatan kimia (non-ionising) molekul-molekul dalam makanan kita. Maka, radiasi ini TIDAK akan mengubah struktur kimia molekul sedia yang ada dalam makanan yang dipanaskan. Maksudnya, microwave TIDAK mengurang atau menambah nutrisi sedia ada dalam makanan yang dipanaskan.
Radiasi gelombang mikro hanya mampu ‘menggetarkan’ molekul-molekul yang membentuk struktur makanan yang dipanaskan.
Bagaimana makanan menjadi panas dalam microwave berlaku?
Kebanyakan makanan kita mengandungi molekul-molekul dihidrogen monoksida (H2O) aka air. Disebabkan saiz yang kecil jika dibandingkan dengan molekul-molekul lain yang membentuk struktur makanan kita, maka molekul air lah yang paling terkesan dengan radiasi gelombang mikro.
Molekul-molekul air yang menyerap radiasi gelombang mikro tadi akan meningkat tenaga kinetiknya lalu menyebabkannya bergetar. Molekul-molekul air yang bergetar ini akan cuba berhenti bergetar (kembali kepada kestabilan) dengan melepaskan tenaga dalam bentuk haba.
Tenaga haba yang dilepaskan akan dipindahkan kepada molekul-molekul lain dalam struktur makanan itu secara berterusan sehingga radiasi diberhentikan. Proses memindahkan haba ini akan menyebabkan makanan itu ‘panas’. Semasa proses ini berlaku, disebabkan getaran tadi, sebahagian ikatan hidrogen (analogi pegangan tangan) antara molekul-molekul air ini akan terputus menyebabkannya meruap keluar dari makanan.
Inilah sebabnya kenapa makanan yang dipanaskan dengan ketuhar gelombang mikro akan menjadi sedikit kering. Juga disebabkan tekanan molekul air (yang meruap) berbentuk gas keluar daripada struktur makanan boleh menyebabkan sesetengah makanan meletup-letup semasa proses pemanasan. Maka eloklah guna penutup khas yang disediakan untuk mengelakkan ketuhar menjadi kotor.
Apakah bekas yang sesuai digunakan dalam ketuhar gelombang mikro?
Bekas seramik, plastik (ada indikasi tahan gelombang mikro) dan kaca yang tahan haba. Elakkan penggunaan bekas berkilat seperti besi dan aluminium kerana ada potensi tercetusnya api.
Tips mengekalkan lembapan (air) dalam makanan yang dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro:
– Renjiskan sedikit air pada makanan sebelum dipanaskan, atau
– Letakkan sekali bekas air terbuka bersama dengan makanan yang dipanaskan tadi.
Nota: Perasan tak, dalam ketuhar terdapat sekeping kertas licin (biasanya pada dinding)?
Ini dipanggil penghala gelombang ke makanan (Mica Sheet). Pastikan ia berkeadaan elok, tidak kotor, koyak atau hangus. Ini bagi memastikan ketuhar gelombang mikro berfungsi dengan baik.
Apabila anak pulang ke sekolah mereka letih. Begitu juga otak mereka. Lebih-lebih apabila tiada nutrisi untuk otak diambil mereka.
Petang ada kelas PAFA. Malam pula ada tuisyen. Sampai lembik budak-budak ini.
Soalnya dengan begitu banyak aktiviti gunakan otak sepanjang hari, dapatkah mereka bertahan? Dapatkah otak mereka mencerap semua maklumat? Atau ia hanya jadi kelas sosial?
Kita pastinya tidak mahu duit yang dilaburkan hanyut begitu sahaja. Keputusan anak masih tidak seberapa. Hasil masih jauh dari yang kita suka.
Cara mudah ialah sediakan secawan air pegaga:
1. Ambil seikat pegaga. Basuh. Bersihkan.
2. Masukkan ke dalam blender.
3. Masukkan air. Ikut kepekatan mana yang kita mahu.
4. Blend.
5. Campurkan dengan madu atau gula apong (di Sarawak sahaja) atau gula kabong.
Hidangkan. MUDAH dan CEPAT.
Pegaga tingkat imun sistem. Buka pembuluh darah di dalam OTAK. Nutrisi mudah masuk. Maklumat segera dihadam. Memori semakin baik. Ini adalah tips mudah power up otak anak-anak.
Kelebihan Daun Pegaga;
Mempunyai sifat perlindungan kepada sistem saraf (neuroprotective)
Ekstrak pegaga dikatakan mempunyai sifat perlindungan yang baik untuk sistem saraf akibat daripada kandungan kompaun antioksidan yang terdapat di dalamnya. Memandangkan kesan stres oksidatif dan juga gangguan dalam mekanisma antioksidan semula jadi badan memainkan peranan penting dalam pembentukan penyakit kognitif seperti penyakit Alzheimer (AD) jenis sporadik, ekstrak Centella asiatica (CAE) melalui tindakan antioksidannya dikatakan berpotensi untuk mencegah defisit kognitif hasil daripada pendedahan kronik kepada radikal bebas. Sebagai contoh, satu kajian yang melihat tindakan terbitan bahan asiaticoside menentang kesan toksik beta-amyloid pada kultur sel dan juga hirisan bahagian hippocampus mendapati ia berupaya untuk menghalang kematian sel yang dicetuskan oleh radikal bebas dan juga daripada pendedahan kepada beta-amyloid. Pendedahan kepada beta-amyloid merupakan salah satu mekanisma yang membawa kepada terjadinya penyakit Alzheimer. Terbitan kompaun asid asiatik yang terdapat dalam ekstrak pegaga juga menunjukkan kesan perlindungan saraf yang signifikan pada sel kortikal otak dengan cara menguatkan mekanisma perlindungan oksidatif sel.
Dalam satu kajian lain yang membabitkan tikus yang telah diberikan streptozotocin untuk mencetuskan gangguan kognitif dan stres oksidatif, CAE telah diberikan (100, 200 dan 300 mg/kg selama 21 hari) sebagai rawatan untuk melihat keupayaan CAE untuk menambah baik fungsi kognitif tikus tersebut di samping menzahirkan keupayaan antioksidan yang terdapat di dalamnya. Dalam kaitan yang bergantung kepada dos (dose-dependent relationship), tikus-tikus yang telah dirawat tersebut didapati berupaya untuk menunjukkan peningkatan fungsi kognitif mereka. Penurunan paras malondialdehyde (MDA) yang signifikan dan juga peningkatan paras antioksidan glutathione dan enzim catalase diperhatikan dalam tikus-tikus yang dirawat dengan 200 dan 300 mg/kg CAE. Kompaun-kompaun yang terdapat dalam CAE ini terbukti berkesan dalam memberi perlindungan kepada sel-sel saraf daripada kecederaan oksidatif.
Pencegahan strok sekunder dan peningkatan keupayaan kognitif pasca-strok
Strok, atau dikenali sebagai angin ahmar dalam warga tempatan, boleh mengakibatkan penurunan keupayaan kognitif. Kekerapan gangguan kognitif selepas strok iskemia ini berada pada julat 20 hingga 30%, dengan risiko yang meningkat dalam dua tahun pertama selepas diserang strok. Sekitar 25% pesakit yang telah diserang strok akan menghidap dementia dan risiko kumpulan pesakit pasca-strok untuk menghidap dementia dalam masa 5 tahun akan datang adalah sebanyak 9 kali ganda berbanding populasi sihat, khususnya pada domain memori dan keupayaan untuk memfokus. Mengurus dan merawat gangguan kognitif selepas diserang strok bermatlamat untuk mencegah strok sekunder (diserang strok lagi sekali) dan untuk menambah baik keupayaan kognitif.
Kandungan homocysteine yang tinggi dikenali sebagai faktor risiko untuk strok. Untuk tujuan itu, rawatan pencegahan untuk serangan strok sekunder ditumpukan pada mengurangkan paras homocysteine dalam darah. Pengambilan asid folik sekitar 0.5-5mg sehari didapati berjaya untuk mengurangkan paras homocysteine dalam darah sebanyak 15-40% dalam masa 6 minggu. Memandangkan penggunaan gabungan ubat-ubat seperti sedatif, antikegelisahan, antimurung dan ubat-ubat saraf yang lain adalah mahal dan berupaya untuk menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang tidak diingini, fokus kajian semasa adalah untuk melihat kepada alternatif yang lebih semula jadi. Untuk tujuan itu, CAE digunakan sebagai bahan kajian.
Walaupun selepas menghidap serangan strok, penggunaan CAE juga dikenal pasti mampu untuk memberikan peningkatan fungsi kognitif pesakit yang efektif. Dalam kajian tersebut, dos 750 mg dan dos 1000 mg CAE telah digunakan manakala dos sebanyak 3 mg digunakan untuk asid folik. Berbeza dengan kajian lain yang bersifat praklinikal, kajian ini melibatkan 48 pesakit-pesakit yang telah diserang strok yang mempunyai masalah kognitif dan telah dirawat di dua hospital di Yogyakarta, Indonesia. 17 pesakit diberikan CAE pada dos 1000mg/hari, 17 lagi pesakit diberikan CAE pada dos 75mg/hari dan 14 subjek terakhir dirawat menggunakan asid folik 3mg/hari, selama 6 minggu. Selepas tempoh 6 minggu kajian, para pengkaji mendapati berdasarkan sistem permarkahan MoCA-Ina, kesemua kumpulan menunjukkan penambahbaikan dari segi keupayaan kognitif berbanding keupayaan masing-masing sebelum menjalani rawatan. Apa yang menarik adalah walaupun tiada perbezaan signifikan antara keberkesanan CAE dan juga asid folik dalam meningkatkan keupayaan kognitif pesakit pasca-strok, CAE didapati dapat menghasilkan peningkatan domain kognitif memori yang lebih baik berbanding asid folik.
Mempunyai sifat antiradang dan tahan sakit
Penggunaan pegaga untuk merawat sakit sendi dan juga rasa sakit secara am pada tubuh badan telah lama dipraktikan. Walaupun amalan rawatan tradisional tidak ditambah dengan sebarang pembuktian saintifik dan penjelasan yang terperinci, kini keupayaan untuk CAE menghasilkan kesan tahan sakit dan juga sifat antiradang ini telah banyak dilaporkan oleh kajian-kajian praklinikal. Kesan tahan sakit ini diuji dengan memberikan CAE dalam bentuk akueus pada dos 10, 30, 100 dan 300 mg/kg pada tikus kajian manakala kesan antiradang diuji dengan sampel keradangan kaki tikus akibat suntikan prostaglandin E2. Dari sudut kesan tahan sakit, kajian tersebut mendapati bahawa CAE berkesan dalam menghasilkan tindakan antikeradangan dan juga berupaya untuk menghasilkan kesan tahan sakit yang sama kuat dengan ubat aspirin, namun tidak sekuat kesan ubat tahan sakit yang lain seperti morfin.
Terdapat satu kajian yang melihat kesan madecassoside, salah satu komponen yang terdapat dalam CAE, ke atas penyakit arthritis cetusan kolagen jenis II (CIA) dalam tikus. Kajian yang bertujuan untuk melihat kesan terapeutik dan juga mekanisma tindakan madecassoside terhadap CIA itu melibatkan formulasi oral pada dos 10, 20 dan 40 mg/kg yang diberikan selama 20 hari. Berdasarkan ujian histopatologi, para pengkaji mendapati bahawa penggunaan bahan aktif tersebut berjaya untuk mengurangkan pencerobohan sel-sel keradangan ke dalam rawan dan juga darjah hiperpalasia lapisan synovium. Tindakan ini menunjukkan kesan perlindungan daripada kerosakan sendi yang biasa dilihat dalam penyakit arthritis. Tambahan lagi, madecassoside juga menurunkan paras antiCII IgG, menghalang tindak balas hipersensitif lengah terhadap CII dan pada kadar sederhana, menekan pembahagian limfosit cetusan CII daripada nodus limfa di bahagian popliteal.
Rumusan daripada kajian yang telah dilakukan adalah madecassoside cukup berkesan dan berjaya dalam menghalang pembentukan penyakit CIA dalam tikus, dan mungkin juga mewakili komponen aktif utama yang terdapat dalam pegaga bagi menjelaskan penggunaan tradisionalnya dalam merawat sakit sendi. Keputusan kajian-kajian ini mencadangkan bahawa penggunaan tradisional CAE dalam merawat rasa sakit dan sakit sendi secara khususnya adalah tindakan yang mempunyai justifikasi dari sudut pandang sains.
Membantu masalah ketidakcekapan vena (venous insufficiency)
Salah satu daripada kesan utama CAE ke atas tisu penghubung (connective tissue) yang diketengahkan oleh dapatan kajian adalah ia dapat membantu menguatkan saluran vena yang lemah. Dalam rawatan untuk penyakit scleroderma, ia mungkin membantu untuk menstabilkan kadar pembesaran tisu penghubung, mengurangkan pembentukannya dengan cara merangsang pembentukan hyaluronidase dan chondroitin sulfate, di samping menghasilkan kesan imbangan ke atas tisu penghubung. CAE dilaporkan bertindak ke atas dinding salur darah, menghasilkan kesan perlindungan daripada kecederaan mikroangipati akibat daripada tekanan darah tinggi dan ketidakcekapan vena. CAE juga membantu untuk mengurangkan kadar penapisan salur darah kapilari dengan meningkatkan paramater mikro-peredaran.
Mempunyai sifat antikeresahan
Dalam pelbagai budaya timur, ekstrak pegaga telah lama digunakan untuk menghasilkan kesan penenangan dan antikeresahan. Dalam karya tamadun India, ekstrak daripada tumbuhan pegaga dikatakan mempunyai kesan seperti penenang, pelega dan juga sifat yang menyokong kepintaran dan kecerdasan otak. Kesan penenang ini dikenal pasti berpunca daripada bahan aktif brahmoside dan juga komponen brahminoside, manakala aktiviti antikeresahan dikatakan disumbang oleh aktiviti ikatan kepada reseptor cholecystokinin (CCKB), sejenis reseptor protein G yang mengikat hormon peptida cholecystokinin (CCK) atau hormon gastrin. Reseptor CCKB ini dikatakan memainkan peranan dalam mengawal keresahan, rasa sakit, ingatan dan juga rasa lapar dalam manusia dan juga binatang.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mengekalkan berat badan yang ideal merupakan sesuatu sangat sukar namun penting. Ini kerana kekurangan atau terlebih berat badan akan memberi impak terhadap kesihatan anak anda dan meningkatkan risiko dijangkiti penyakit kronik. Berikut merupakan 10 panduan anak anda mempunyai berat badan ideal.
Pilih makanan yang sihat
Kanak-kanak lebih cenderung menggemari makanan yang kurang bernutrisi. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi penentu dalam pemilihan stok makanan yang selalunya disimpan di rumah kerana kanak-kanak akan makan makanan yang terdapat di peti ais atau di meja makan. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pembelian makanan yang tidak sihat. Namun begitu, anda masih boleh sekali sekala membeli snek kegemaran anak anda.
Biarkan mereka memilih makanan sendiri
Anda boleh membenarkan anak anda memilih jenis dan kuantiti makanan yang ingin dimakan mereka berdasarkan pilihan makanan sihat yang terdapat di rumah. Pendekatan ini sekaligus dapat mengajar anak anda membuat pilihan makanan yang sihat. Walaupun pendekatan ini kelihatan memberi banyak kebebasan kepada anda, ini tidak akan menjadi masalah sekiranya pilihan makanan mereka adalah hanya dalam kalangan makanan yang sihat.
Jangan terlebih makan
Pastikan anak anda berhenti makan apabila mereka sudah kekenyangan. Kebanyakan ibu bapa cenderung menyuruh anak mereka menghabiskan makanan mereka. Namun begitu, pendekatan ini hany akan membuat mereka tidak dapat mengikut kemahuan tubuh badan mereka sendiri.
Anda hanya perlu membiarkan mereka dan jangan menyuruh anak anda menghabiskan makanan mereka jika mereka sudah mengadu kenyang. Ini akan mengelakkan mereka terlebih makan dari yang sepatutnya.
Biarkan anak anda mencuba aneka jenis makanan
Kecenderungan terhadap sesuatu makanan akan bermula sejak awal usia lagi. Oleh itu, anda perlu menawarkan aneka makanan kepada mereka. Anda boleh mula memberikan aneka jenis makanan baharu kepada anak anda tetapi jangan memaksa mereka. Sebaliknya, tawarkan mereka secebis daripada makanan itu untuk mereka mencubanya.
Pelbagaikan menu
Kanak-kanak mungkin ada makanan kegemarannya tersendiri. Namun begitu, mereka juga mungkin ingin mencuba makanan baharu jika menepati citarasanya. Ketika makan di luar, biarkan anak anda mencuba makanan baharu yang tidak pernah dicuba oleh mereka. Anda juga boleh menawarkan makanan anda sedikit atau memesan pemanis mulut untuk mereka mencubanya.
Minum minuman yang kurang kalori
Minuman soda atau bergula mempunyai kalori tambahan dan tidak bagus untuk anak anda. Ini hanya akan meninggikan risiko anak anda mengalami obesiti. Sebaliknya, galakkan anak anda untuk minum lebih banyak air putih dan susu yang sememangnya merupakan minuman terbaik untuk mereka. Kanak-kanak juga tidak memerlukan jus yang banyak walaupun ia merupakan jus yang asli. 4 hingga 6 auns sehari sudah memadai buat mereka.
Kawal pengambilan gula
Pengambilan manisan tidak menjadi masalah buat kanak-kanak namun jangan jadikan manisan ini sebagai punca utama anak anda mahu makan malam. Apabila manisan ini menjadi habuan kerana berjaya menghabiskan makan malam, kanak-kanak akan menganggap nilai manisan adalah lebih tinggi berbanding makan malam mereka. Anda perlu memastikan mereka tidak melebihkan manisan daripada makanan lain.
Jangan gunakan makanan sebagai ganjaran
Apabila makanan digunakan sebagai bentuk ganjaran di atas suatu pencapaian, mereka akan mula menganggap makanan adalah satu cara untuk mengawal tekanan dan emosi mereka. Sebaliknya, anda boleh menunjukkan penghargaan anda dengan ungkapan, pujian, pelukan dan perhatian berbanding pemberian makanan.
Jangan galakkan perbuatan makan sambil menonton televisyen
Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengurangkan waktu menonton televisyen juga dapat mengurangkan lemak dalam badan mereka. Makan di hadapan televisyen akan membuatkan mereka sukar untuk menumpukan perhatian terhadap kekenyangan mereka lalu mengundang kepada masalah terlebih makan. Anda perlu hadkan waktu mereka dengan televisyen atau komputer dan biarkan mereka akan melakukan aktiviti lain yang lebih sihat.
Jadi contoh yang baik
Kanak-kanak akan menjadikan ibu bapanya sebagai role model. Oleh itu, anda sendiri perlu mengamalkan tabiat pemakanan yang baik. Sebagai contoh yang baik, tunjukkan kepada mereka bahawa anda juga makan makanan atau snek yang sihat, makan di tempat makan yang sepatutnya serta tidak pernah terlepas waktu makan. Elakkan makan snek yang tidak berkhasiat di hadapan anak.