Pernah tak ada hari anak anda susah sangat nak tidur? Kadang-kadang sampai 3-4 pagi dan menggangu waktu tidur anda. Sebagai ibu bapa kita harus periksa rutin harian anak-anak supaya tidak menggangu waktu tidurnya.
Ada beberapa perkara yang mungkin anda terlepas pandang dalam rutin anak-anak. Doktor Taufiq Razif tampil memberikan tip sebelum masuk tidur yang ibu bapa wajib tahu.
Jangan Buat 5 Benda Ni Pada Bayi Sebelum Masuk Tidur!
1. Terlalu banyak geletek dan bergurau
– Benda ni semua akan mengaktifkan sympathetic nervous system secara berlebihan. Tu yang bayi tu jadi susah nak tidur
– 2 atau 3 jam sebelum tidur tu kita kena jadikan suasana sekeliling bayi tu senyap dan tenang. Barulah bayi kita tu jadi lebih mudah terlelap
2. Lupa sendawakan bayi sebelum tidur
Ads
– American Academy of Paediatrics ( AAP ) sendiri yang syorkan ibu bapa sendawakan baby setiap kali lepas menyusu walaupun baby tu nampak tenang dan tak meragam sebab kita tak tahu berapa banyak udara yang terperangkap kat dalam perut baby kita tu.
– Antara tanda baby kita mintak disendawakan adalah bila baby tu meragam lepas minum susu sebab udara yang ikut tertelan masa menyusu tu akan menyebabkan rasa penuh dan tak selesa pada bayi kita
– Kita sendiri pun susah nak tidur kalau perut penuh angin kan. Apatah lagi bayi kecil.
3. Waktu tidur selalu bertukar dan tak tetap
Ads
– Bayi seawal umur 12 minggu pun mula dipengaruhi oleh circadian rhythm. Circadian rhythm ni lebih kurang macam jam semulajadi yang ada dalam badan anak kita
– Makin tak tentu waktu tidur anak kita ( irregular bedtime) makin kacau circadian rhythm anak kita tu. Kalau harini tidur pukul 10 malam, besok lusa pun kena tidur pada waktu yang sama. Baru lah anak kita mudah lelap
4. Bergaduh di depan anak
– Walaupun anak kita tak respon pun bila kita bergaduh dengan pasangan tetapi sentuhan kita dalam keadaan resah gelisah tu boleh dibaca oleh anak kita
– Anak kita boleh tahu emosi kita melalui cara sentuhan dan nada suara kita. Kita nak jadikan anak kita setenang mungkin sebelum mereka tidur supaya tidur anak kita tu jadi lebih lena
5. Jangan Letak bayi depan TV
– Jangan letak anak depan TV sebelum nak tidur walaupun tengah ada rancangan CJ Wow Shop yang best!
– Nanti anak jadi susah mengantuk sebab pendedahan pada cahaya daripada TV tu menyebabkan penghasilan hormon melatonin anak kita tu jadi kurang. Makin kurang hormon tu, makin tak mengantuk la anak kita
p/s : Jangan main main dengan tidur kerana tidur yang tak lena dan berkualiti boleh efek perkembangan otak anak kita
Bila anak selalu membaca buku cerita, ia dapat merangsang pemikiran mereka. Kemahiran berfikir sama pentingnya dengan kemahiran membaca, menulis dan mengira. Anak yang selalu didedahkan dengan buku cerita atau ibu ayahnya suka bercerita didapati lebih kreatif dan berimaginasi.
Pengetahuan amnya juga lebih meluas dan mereka selalu yakin ketika berbicara. Biarpun cerita Arnab Berlumba Dengan Kura-Kura atau Sang Kancil Menipu Sang Buaya kelihatan remeh, sebenarnya jika dikongsikan dengan anak-anak boleh merangsang otak mereka.
Kemahiran berfikir dalam kalangan anak dapat dilihat apabila mempunyai ciri-ciri seperti dapat bekerjasama secara koloboratif, boleh memberi cadangan dan memberi pelbagai idea.
Selain itu, anak juga boleh menerima pendapat orang lain, berkeyakinan dalam memberikan pendapat dan sentiasa kreatif dalam menyelesaikan masalah.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil tahu oleh ibu bapa atau guru dalam meningkatkan kemahiran berfikir kanak-kanak melalui aktiviti bercerita ini. Antara cadangannya adalah seperti berikut:
Sentiasa galak anak-anak bercerita semula apa yang didengari dalam bentuk perkataannya sendiri. Aktiviti ini akan membantunya membuat rumusan atau kesimpulan atas apa yang telah didengarinya. Bukan sekadar hanya memberi respon terhadap soalan yang berdasarkan fakta yang didengarinya.
Bertanya kepada anak-anak soalan yang tidak mempunyai jawapannya dalam cerita yang telah dibaca atau dengari. Menanyakan persoalan merupakan salah satu daripada elemen yang sangat efektif dalam pengajaran dan pembelajaran kerana mampu meningkatkan kemampuan berfikir dan membawa kepada lahirnya idea atau konsep baru.
Situasi ini akan menggalakkan anak-anak mencari jawapan dengan mengimbas kembali cerita tersebut dan membuat rumusan berdasarkan kepada kefahamannya terhadap cerita yang didengarinya tadi.
Selepas aktiviti bercerita sentiasa minta kanak-kanak menganalisis watak dan juga tempat yang ada dalam cerita tersebut. Aktiviti seperti ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membanding dan membezakan antara cerita yang didengar dengan keadaan sebenar di luar cerita.
Selain itu, lakukan aktiviti seperti meminta anak-anak untuk mengaitkan cerita yang di dengar dengan kehidupan sebenar dirinya atau apa sahaja peristiwa yang pernah dilalui atau diketahuinya. Aktiviti ini sebenarnya adalah langkah permulaan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada kemahiran berfikir aras tinggi yang dinamakan aras sentesis iaitu apabila anak-anak mula menggunakan maklumat yang diperolehi dalam situasi yang baru dan berbeza dengan cara yang berlainan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memiliki anak yang mempunyai alergi memanglah satu cabaran. Mama dan papa perlulah memahami dan mengetahui cara untuk menghadapinya.
Umumnya, alergi ditandai dengan simptom seperti cirit-cirit, bengkak pada bahagian tubuh serta muntah-muntah. Bagi mengetahui dengan tepat alergi yang dihadapi oleh si kecil ujian khas akan dilakukan. Kira-kira 15% bayi dan kanak-kanak di Malaysia mengalami alergi seawal usia dan angka ini meningkat saban tahun. Hal ini tidak boleh diambil mudah kerana ia memberikan kesan fizikal dan emosi kepada si manja.
Alahan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang luaran dan pemakanan. Mari kita kenali 5 pencetus alergi yang biasa di kalangan anak kecil.
1)Susu lembu
Susu lembu mengandungi protein yang asing buat si kecil. Sebaik-baiknya diperkenalkan selepas mencecah usia setahun. Sebarang produk yang dihasilkan menggunakan susu lembu seperti yogurt, keju, aiskrim dan dadih boleh menyebabkan si manja cirit birit dan muntah.
2)Tungau debu
Atau dust mites adalah organisma kecil yang hidup di dalam habuk dan membiak di tempat panas dan lembap seperti selimut, tilam, tuala dan kain. Ia menyebabkan si manja bersin dan selesema dan jika kronik boleh menyebabkan sakit dada, asma dan sukar bernafas.
3)Telur Telur mengandungi protein yang menyebabkan si manja menunjukkan reaksi alergi seperti kegatalan dan tumbuhnya gegata. Si kecil yang alah telur turut alah kepada daging ayam dan spesies unggas.
4)Kekacang
Ada juga si kecil yang alah terhadap kekacang . Ia akan menyebabkan kegatalan sehingga rasa tidak selesa.
5)Ikan dan makanan laut
Bagi si alergi makanan laut, simptom yang terjadi ialah seperti sesak nafas, muntah dan bengkak pada bibir. Makanan laut seperti udang, ketam dan spesies ikan tertentu perlu dielakkan baginya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kanak-kanak yang sedang membesar memang suka bermain. Dari usia setahun sehingga umur pra sekolah, anak-anak suka meneroka alam persekitaran mereka. Kadang kalau tengok mereka sepahkan permainanan tu bukan apa, ada yang tengah berimaginasi dan bereksplorasi.
Kalau nak ikutkan bila si kecil buat sepah, mama papa la yang penat nak kena kemas dan sebagainya tapi itu semua untuk kebaikan perkembangan si kecil anda. Tapi anda juga boleh didik mereka untuk kemas sendiri kerana itu juga boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan buat anak-anak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN dalam penulisannya di Pa&Ma mengulas lanjut tentang 5 jenis aktitivi bermain yang papa mama perlu tahu buat si kecil tersayang.
Zaman pendidikan praformal 0-6 tahun seharusnya penuh dengan aktiviti bermain berdasarkan beberapa bukti penyelidikan dan hujah santifik yang jelas. Pertama sekali, penyelidikan demi penyelidikan sains sosial membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia pendidikan praformal tidak sesuai diberi pendidikan yang berbentuk akademik sepenuhnya. Kedua, tidak semestinya semakin kita memaksa si kecil dalam lingkungan usia praformal untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira), semakin mereka akan menjadi pintar dan cerdas berbanding kanak-kanak lain!
Sebenarnya pada usia sekitar 10 tahun nanti, segala ‘kelebihan’ kanak-kanak yang diberi pendedahan 3M sepenuhnya akan dapat disaingi oleh si kecil yang banyak belajar melalui aktiviti bermain di taska dan tadika! Ambil contoh negara-negara maju di kawasan Scandinavia, Eropah.
Kita tidaklah perlu mengagungkan sistem pendidikan prasekolah di negara-negara ini, namun pada masa yang sama papa, mama dan pendidik prasekolah di Malaysia khasnya perlu memikirkan secara kritis tentang konsep pendidikan prasekolah yang terlalu memaksa kanak-kanak menjadi ‘pakar’ dalam bidang akademik (intelek) sehingga perkembangan jasmani, emosi dan rohani mereka diabaikan.
Keseimbangan harus menjadi kata kunci di sini, ditambah pula dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang naluri si kecil yang sentiasa ingin bermain dan meneroka dunia di sekelilingnya. Untuk lebih faham tentang naluri yang saya sebutkan ini, bulan ini saya akan berkongsi 5 jenis aktiviti bermain si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal yang papa dan mama perlu tahu…
Aktiviti bermain lokomotor lazimnya melibatkan gerak kerja fizikal seperti merangkak, berjalan, melompat, berlari, memanjat dan sebagainya. Aktiviti ini berkait rapat dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Melalui proses tumbesaran semula jadi bermula dari usia bayi hingga usia lewat kanak-kanak dan awal remaja, si kecil semakin menunjukkan perkembangan dan kemajuan dalam kekuatan fizikal dan kemahiran motornya.
Dapatan penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa aktiviti bermain lokomotor membantu kanak-kanak 0-6 tahun belajar kemahiran koordinasi tubuh badan dengan cepat dan cekap. Aktiviti bermain ini bermula sebaik sahaja seorang bayi sudah pandai meniarap, duduk serta merangkak. Ia berterusan hingga ke usia lewat kanak-kanak dan semakin berkurangan apabila seorang anak kecil mencecah usia awal remaja.
Walaupun kita jarang memikirkan manfaat aktiviti bermain lokomotor selain daripada aktiviti riadah yang amat digemari oleh kanak-kanak, sebenarnya aktiviti bermain ini amat penting untuk mereka. Aktiviti bermain ini membantu mempercepatkan tumbesaran otak dan otot – dua komponen komponen biologi yang akan membantu mereka meneroka dan belajar tentang dunia sekeliling dengan lebih aktif lagi.
Eksperimen dalam jurnal akademik tersohor ‘American Psychologist’ membuktikan bahawa aktiviti bermain lokomotor serta aktiviti bermain aktif di taman permainan dapat meningkatkan tahap tumpuan kanak-kanak 4-6 tahun. Bukan itu sahaja, eksperimen ini mendapati bahawa selepas aktiviti bermain aktif, kanak-kanak dapat menguasai konsep baru dan menaakul ilmu pengetahuan dengan lebih cekap berbanding kanak-kanak lain yang tidak diberikan ruang dan peluang untuk bermain sepuas hati mereka.
Aktiviti bermain berciri sosial bermula pada usia bayi lagi, sebaik sahaja si kecil lahir ke dunia. Umum mengetahui bahawa semasa usia bayi, kanak-kanak sudah mula belajar dan bermain dengan cara yang tersendiri. Beberapa bulan selepas dilahirkan, seorang bayi dapat menggunakan pancaindera untuk memahami alam sekeliling. Bayi itu juga sedang melalui proses perapatan (attachment) dengan papa, mama dan penjaga atau pengasuhnya.
Proses perapatan berlaku secara semula jadi dan salah satu cara proses ini berlaku adalah melalui aktiviti bermain berciri sosial! Bila orang dewasa memberi perhatian kepada seorang bayi dan menyapa (agah) atau mengusiknya sebagai contoh, aktiviti bermain berciri sosial mula berlaku. Kemudian sekitar usia dua tahun dan ke atas, aktiviti bermain berciri sosial pun berubah bentuk. Kalau dahulu kitalah yang menjadi teman bermain, bermula saat ini seorang anak kecil lebih cenderung untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Semakin banyak kanak-kanak berinteraksi dan bermain sesama mereka, semakin tinggi frekuensi dan kualiti aktiviti bermain berciri sosial yang mereka rasai.
Apabila usia si kecil meningkat kepada 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain berciri sosial berubah bentuk lagi menjadi aktiviti berkumpulan. Apabila tiga orang atau lebih kanak-kanak merasai pengalaman bermain berciri sosial, mereka dapat menguasai kemahiran sosial dan hidup berkumpulan. Dari titik ini, mereka mula faham dan sedar akan konsep komuniti dan masyarakat walaupun pemahaman mereka masih terhad.
Kanak-kanak juga gemar bermain dengan objek. Suatu hakikat hidup yang kita semua tahu, kanak-kanak pada usia pendidikan praformal amat suka bermain dengan objek biasa atau alat permainan! Seperti juga aktiviti bermain berciri sosial, aktiviti bermain dengan objek pada hakikatnya bermula pada usia bayi lagi. Lihat sahaja telatah bayi yang diberi sesuatu, jika tidak dipantau segala macam benda akan dimasukkan ke dalam mulutnya, dikeluarkan dan dimasukkan lagi. Ini sebenarnya awalan aktiviti bermain dengan objek dalam hidup si kecil kontemporari. Apabila mencecah usia 2 tahun dan ke atas, bayi tadi kini semakin cekap memanipulasi objek di sekelilingnya misalnya apabila dia bermain dengan blok mainan.
Lebih menarik lagi, aktiviti bermain dengan objek kadangkala melibatkan aktiviti bermain berimaginasi juga. Sebagai contoh, blok mainan itu dibina menjadi sebuah ‘rumah’ dan di dalam rumah berkenaan ada pula penghuni olok-oloknya. Semakin meningkat umur si kecil, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi semakin kompleks. Ini disebabkan dia sudah semakin cekap dan semakin cepat memanipulasi objek-objek yang ada di sekeliling.
Malah jika diberi peluang dan ruang secukupnya, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi asas pembinaan konsep dan pemikiran saintifik si kecil di samping membantunya mempelajari asas kemahiran penyelesaian masalah dan penaakulan deduktif (deductive reasoning). Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan di sini bahawa manfaat aktiviti bermain dengan objek perlu diseimbangkan dengan arahan dan sedikit bantuan daripada orang dewasa, lebih-lebih lagi pada peringkat usia 0-3 tahun.
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak 0-6 tahun! Aktiviti ini bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia ini, anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang menarik (lagi melucukan) ini. Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya misalnya sebelum tidur atau apabila dia bangun pagi. Kita yang memerhati sukar untuk faham tutur kata si kecil, namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Aktiviti ini juga diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walau hakikatnya dia sedang bercakap dengan diri sendiri (mungkin ini asalnya frasa “mudah terhibur”)! Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.
Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh papa, mama atau cikgu prasekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin kompleks ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa.
Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat disepadukan melalui aktiviti bermain berimaginasi. Dalam erti kata lain, aktiviti ini adalah aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia praformal! Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain.
Aktiviti yang penuh dengan imaginasi memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (orang dewasa) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh si kecil anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.
Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, aktiviti bermain ini akan menjadi babak yang panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.
Yang pasti, melalui aktiviti bermain berimaginasi, si kecil 0-6 tahun dapat mula belajar nilai empati dan simpati dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini membantu si kecil belajar berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan sehari-hari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu ayah, jangan terlepas info penting ini! Bantuan tunai kerajaan melalui STR 2026 bakal memasuki fasa seterusnya. Buat keluarga yang bergantung pada bantuan ini untuk urusan anak-anak, keperluan sekolah dan perbelanjaan harian, pastikan semakan serta kemas kini maklumat dibuat supaya tidak terlepas bayaran yang layak diterima.