Mama Janji Buat Yang Terbaik Untuk Muhammad! Kekuatan Muhammad Semangat Untuk Dr Atiyah

Share

Dilahirkan pada 22 Jun 2017, di usia kandungan 35 minggu 4 hari, kehadiran adik Muhammad Bin Ahmad Aiman dalam keluarga Dr Atiyah Azmi ibarat satu hadiah indah dari Allah.

Memahami yang adik Muhammad adalah anak istimewa berbanding tiga kakaknya yang lain, Dr Atiyah seolah-olah dah bersedia dan menerima anugerah ini dengan hati terbuka.

Di diagnosis mempunyai Hydrocephalus Congenital dengan cyst Porencephaly dan Dandy Walker Cyst sejak dalam kandungan lagi, semua itu diterima dengan berlapang dada.

Menurut Dr Atiyah, masa buat detailed scan pada usia kandungan 20 minggu, alhamdulillah dapat berita gembira anak dikandung adalah lelaki. Terus kami panggil Muhammad. Dan pada masa itu juga, dapat tahu Muhammad dianugerahkan otak yang luar biasa.

“Suamilah yang beri saya semangat sehinggalah Muhammad dilahirkan. Ketika itu saya macam tak dapat bayangkan harapan itu, alhamdulillah Allah berikan ketabahan dan keyakinan dalam hati. Tapi tiada yang mustahil, teruskan berdoa, banyakkan perbaiki diri dan bersangka baik dengan Allah, katanya.

Walaupun ujian ini begitu besar buat Dr Atiyah dan suami, namun dia sentiasa berfikiran positif dan percaya apa yang Allah bagi ini adalah terbaik buat mereka. Ganjarannya juga cukup besar.

Alhamdulillah kehadiran Muhammad langsung tak memberi kesusahan kerana dikelilingi oleh orang yang sentiasa memberi sokongan bermula dari lahir hinggalah sekarang. Semua doktor pun sentiasa berusaha yang terbaik untuk Muhammad.

Muhammad Anak Yang Kuat

Sebagai ibu, melihat kekuatan Muhammad melalui beberapa kali pembedahan sejak dari awal lahir membuktikan dia anak yang cukup kuat semangatnya.

Sesuai dengan namanya juga begitulah diri adik Muhammad. Walaupun tak boleh aktif seperti kanak-kanak lain, kasih sayang dari kakaknya sentiasa melimpah.

Berikut catatan dari Dr Atiyah khas buat adik Muhammad

Muhammad, tenangnya Muhammad menjalani hidup ini. 
Muhammad sentiasa rasa cukup dan bersyukur dengan apa Allah bagi. 
Muhammad suka tidur dalam dakapan Mama. 
Muhammad pasti kejutkan Mama bangun awal. 
Muhammad ajar Mama bersabar dan muhasabah diri. 
Muhammad mengajar Mama erti rezeki tak disangka. 
Mama seorang yang lemah Muhammad, kita hanya ada Allah dalam hidup kita. 
Kadang-kadang Mama pejam mata dan bayangkan semuanya tiada dalam hidup Mama namun Mama sedar yang hanya kekal Hidup hanyalah Allah. 
Muhammad, doakan Mama dalam jalan mencintai Allah dan mengenaliNya. 
Beginilah kehidupan yang sementara. 
Semoga kita dapat bertemu Allah dengan hati yang bersih dan tenang apabila saatnya tiba. 
Doakan Mama ya Muhammad. 

Dr Atiyah juga berpesan ibu dan ayah yang dianugerahkan anak istimewa sentiasa bersangka baik dan diberikan kebaikan yang berlipat ganda InsyaAllah.

Sumber: ig Dr Atiyah

IKLAN