Sekalipun penat dengan urusan rumah tangga dan menguruskan anak-anak, isteri kita tidak pernah merungut malah sebolehnya cuba menjadi isteri dan ibu terbaik setiap masa. Hakikatnya isteri juga ada rasa penat melampau sehingga membuatkan emosinya terganggu.
Cuti sekolah yang panjang misalnya, seharian anak-anak dirumah membuatkan kerja ibu makin bertambah. Dek kerana kepenatan sudahnya anak-anaklah yang menjadi mangsa kemarahan. Sepatutnya hal sebegini tidak patut berlaku jika suami menjadi orang yang lebih prihatin kepada isteri.
Suami pula jangan buat tidak faham bila petanda ini ditunjukkan isteri. Itu tanda isteri minta pertolongan! Dia penat dengan rutin hariannya. Suami silalah beri perhatian dan ringankan tulang untuk bantu isteri. Perkongsian saudara Firdaus Shakirin ini suami perlu hadam sebaiknya dan kenal pasti supaya lebih memahami isteri.
Kita bahagia sama-sama, jadi perlulah ambil berat bersama. Tak gitu?
S.O.S Isteri yg tidak difahami suami.
Bila dengar isteri dah mula meninggi suara dengan anak-anak, bila nampak isteri dah mula marah anak-anak melebihi yang sepatutnya, bila nampak isteri moody dan serabut, itu tandanya isteri sedang meminta pertolongan suami.
Ads
Kadang-kadang, dia tengah buat keje di dapur, tengah memasak…datangnya anak, anak tanya tentang keje sekolah yang dia tak tahu..isteri ni tengah ada keje lain ni, tangan tengah kotor, baru lepas potong ayam, pastu dia tengok suaminya sedang pegang HP, sengih-sengih depan HP.
Kalau la dia boleh cakap, “P tanya abah, suruh dia yang ajar, dia bukan buat apapun dari tadi…”
Tapi tak, dia kata kejap lagi ibu dah free, ibu ajar…p duduk kat depan dulu.
Kadang-kadang, isteri tengah lipat baju, pastu si adik bagi tumpah air…terus dia jerit kat si kakak atau si abang, ambik kain, lap kan…dia tengok suami, suami tengah tgok TV, gelak-gelak depan TV.
Ads
Kalau la dia boleh cakap, “Abang, boleh tolong tengok apa yang anak tengah buat tak…saya ni tengah lipat kain…”
Tapi tak, dia suruh anaknya yang umur 7 tahun tu untuk jaga adik, tengok apa yang adik buat.
Sebagai suami, adakalanya kita ni hanya perlu jadi peka dan cakna dengan apa yang berlaku di sekeliling kita, dalam rumah kita…kalau anak-anak p ganggu isteri kat dapur, kita panggil, kita ajak duduk dengan kita…letak tepi HP, tutup TV, layan anak-anak.
Ads
Kalau kita dengar isteri tinggi suara atau marah anak-anak, kita p kat isteri, kita tenangkan keadaan, kita bagi dia cool down. Benda tumpah, kita lapkan, benda kotor, kita bersihkan…benda bersepah, kita kemaskan.
Memang isteri tak kata direct, tak bagi arahan untuk kita buat dan tak cakap nak kita tolong, tapi situasi dan keadaan tu memerlukan bukan hanya dia seorang sahaja untuk handle. Dia perlukan pasangannya “turun padang”, struggle sama-sama dengan dia.
Apa yang anda makan semasa tempoh berpantang akan mencerminkan kesihatan anda kemudian hari. Oleh itu, anda perlu mengetahui amalan pemakanan yang betul semasa menjalani tempoh berpantang.
Melalui perkongsian dari Kak Engku Bidan Bersalin, pemakanan antara aspek yang amat penting dalam rawatan semasa pantang bersalin. Keperluan ini perlu diutamakan kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon dalam badan anda. Jika tidak dikawal dan dijaga pemakanan dalam tempoh berpantang, anda akan mengalami pelbagai masalah kesihatan yang akan mengganggu penyembuhan dalaman dan luaran anda.
Lazimnya pada awal minggu pertama, digalakkan makan makanan yang kering untuk tujuan mengecutkan rahim. Pastikan waktu makan anda tepat untuk mengelak perut masuk angin. Jika anda mengambil nasi, makan semasa nasi masih panas dan ambil dalam kadar yang sederhana.
Jangan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak dalam satu masa. Jika masih lapar, anda boleh makan secara kerap. Untuk minum petang pula, anda boleh makan biskut tinggi serat (elakkan mengambil roti kerana kandungan yis yang tidak elok untuk proses pengecutan rahim).
Apabila memasuki minggu kedua dan seterusnya, anda sudah boleh mulai makan makanan yang berkuah seperti sup ikan, sup sayur dan buah-buahan supaya anda mendapat khasiat yang seimbang dalam pemakanan anda.
Semasa dalam pantang juga makanan yang dilarang makanan adalah bersifat sejuk, berangin, gatal dan berbisa. Minuman berais tidak dibenarkan. Ini adalah antara amalan pantang larang yang mesti dilakukan semasa berpantang untuk menyembuhkan dan menyegarkan kembali badan selepas menjalani proses bersalin.
Elakkan Makanan Berlemak
Semasa berpantang kuantiti dan kualiti makanan yang diambil akan memberi impak besar terhadap berat badan dan kesihatan anda. Jadi, anda dilarang untuk mengambil makanan yang boleh menggemukkan sewaktu berpantang. Anda disyorkan mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan ulam-ulaman di samping masakan yang menggunakan pelbagai jenis rempah ratus yang terbukti dapat memulihkan kesihatan dan mengurangkan masalah berat badan yang anda alami ketika ini.
Melancarkan Proses Penghadaman
Halia dipercayai memiliki sifat panas dan kering. Sekiranya anda kerap mengambil makanan yang mengandungi banyak halia sepanjang berpantang, anda sebenarnya telah membantu diri untuk memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.
Atasi Masalah Kemurungan
Salah satu jenis ulam-ulaman yang terkenal di kalangan ibu berpantang ialah daun pegaga. Daun ini disifatkan sebagai tonik saraf kerana fungsinya yang membantu merehatkan dan menambahkan ingatan. Antara kelabihan lain yang ada pada daun pegaga ialah ia dapat mengatasi kemurungan yang mungkin timbul disebabkan oleh masalah fizikal selepas bersalin.
Pembuang Angin
Bagi masyarakat india, sayur sawi menjadi keutamaan bagi wanita india yang berpantang. Ini kerana pengambilan sayur sawi bertujuan untuk membuang angin. Sebaik-baiknya sayur ini dicelur terlebih dahulu dan dimakan bersama nasi panas.
Penambah Pengeluaran Susu
Pengambilan peria, pegaga, lobak putih dan cekur manis oleh ibu berpantang dapat mengatasi masalah kesukaran membuang air besar dan menambah penghasilan susu ibu. Sekiranya kerap diamalkan ia dapat membersihkan dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh.
Kecantikan Wajah
Dalam usaha mengekalkan kesegaran tubuh, makanlah ikan haruan dan tenggiri sebagai makanan tambahan (boleh dibuat sup). Selain dapat melicinkan dan menegangkan kulit tubuh, ia membantu menyembuhkan luka dalaman dan luaran tubuh. Ia terjadi hasil daripada kandungan asid amino dan lemak yang ada pada kedua-dua jenis ikan ini. Apa yang lebih menarik ialah daging ikan-ikan ini yang bebas kolesterol akan membuatkan wajah kelihatan lebih berseri.
Lawas Buang Air Besar
Dengan mencampurkan perahan air asam jawa ke dalam sebarang jenis hidangan ibu berpantang, ia dapat memudahkan anda untuk membuang air besar selain daripada menyegarkan tubuh anda.
Hindari Kembung
Seelok-eloknya setiap hidangan dimakan bersama nasi putih yang baru sahaja dimasak. Tujuannya ialah untuk memastikan khasiat dan kesegarannya berkekalan. Oleh itu, elakkan daripada memakan nasi sejuk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kembung perut.
Minuman Penambah Tenaga
Bagi mengembalikan semula tenaga tubuh, anda digalakkan untuk minum air rebusan serai (dititik), halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Dengan meminum air rebusan ini setiap pagi dan malam, badan anda akan kembali menjadi ringan dan tambah bertenaga.
Caesarean : Kurangkan Lada Hitam
Tujuan utama penggunaan lada hitam dalam penyediaan masakan ibu berpantang ialah untuk memanaskan badan. Namun yang demikian, bagi ibu berpantang yang melahirkan anak secara ceaserean, anda kurang digalakkan untuk mengambil lada hitam dalam kuantiti yang banyak.
Anti Oksidan
Terdapat pelbagai jenis ulaman berkhasiat yang sesuai dimakan semasa berpantang antaranya daun pegaga, cekur, pucuk mengkudu, ulam raja, kunyit hidup, daum kesum seta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan untuk menyegarkan dan membuang toksin dalam badan.
Pengambilan Cecair
Wanita selepas bersalin tidak dibenarkan mengambil air dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan perut menjadi buncit, peranakan kembang, melambatkan pengecutan rahim, faraj mudah longgar serta berair terutama jika minum air sejuk atau air batu. Pengambilan air dibenarkan secara kerap tetapi dalam jumlah yang sedikit dalam satu masa. Air penting untuk proses penyembuhan dan mengalakkan pengeluaran susu ibu.
Pemakanan Ikan
Makan ikan segar dan tidak gatal seperti haruan dan ikan sardin yang segar (bukan dalam tin). Ikan haruan juga dipercayai dapat memulihkan luka luaran dan dalaman (bersalin caesarean). Elakkan juga ikan berbisa dan gatal seperti ikan kembung, cencaru, tongkol, bawal hitam, terubuk dan parang. Kesannya menyebabkan kegatalan, timbulnya reaksi alahan dan boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Pengambilan Sayuran Dan Buahan
Setiap buah-buahan pula, ia mempunyai khasiat tersendiri antaranya buah oren yang mengandungi banyak vitamin C yang membantu pemyembuhan luka disamping fiber untuk melawaskan air besar. Manakala elakkan makan sayuran menjalar, sejuk dan berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, bayam, kacang panjang, petola, petai, jering dan terung.
Minuman seperti tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, nangka, cempedak dan pisang nangka, antara minuman jenis yang sejuk dan tajam. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.
Kecutkan Rahim
Kunyit yang sering diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu yang berpantang berupaya mengecutkan rahim dan mencuci darah. Selain itu, jika kunyit dimakan bersama nasi selama 40 hari, anda mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman.
Kisah pilu yang menimpa seorang bayi lelaki ini wajar menjadi peringatan besar buat semua ibu bapa. Apa yang disangka sebagai sakit biasa rupa-rupanya berpunca daripada sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran jangkitan HIV bayi yang dipercayai datang daripada pembantu rumah sendiri.
Pada awalnya, ibu bapa hanya melihat anak mereka semakin kerap sakit, berat badan merosot dan lebih meragam daripada biasa. Tiada siapa menyangka simptom ringan itu akhirnya membawa kepada diagnosis yang amat mengejutkan.
Selepas si ibu kembali bekerja, mereka mengambil pembantu rumah tinggal (live-in) melalui agensi yang dipercayai. Bayi dijaga sepenuh masa, dan segala rutin berjalan seperti biasa pada awalnya.
Namun selepas beberapa bulan, keadaan semakin merisaukan:
Bimbang keadaan makin teruk, ibu membawa bayinya ke hospital. Pemeriksaan mendapati si kecil mempunyai limfadenopati, lalu ujian darah lengkap dijalankan. Hasilnya amat mengejutkan, bayi itu positif HIV.
Lebih memilukan, keputusan ujian kedua-dua ibu bapa pula negatif. Dari situ bermulalah pencarian punca sebenar jangkitan HIV bayi tersebut.
Pemeriksaan susulan dilakukan ke atas pembantu rumah yang menjaga bayi itu, dan hasilnya mendapati dia positif HIV. Doktor kemudian menyambungkan fakta berikut:
➡️ Pembantu rumah positif HIV.
➡️ Bayi ada tabiat suka mencakar muka dan tangan orang lain dengan kukunya yang panjang.
➡️ Pembantu rumah pernah dicakar sehingga berdarah, begitu juga bayi yang sering menggaru wajahnya sendiri hingga luka.
Keadaan ini membuka ruang kepada perpindahan darah secara mikro melalui luka terbuka. Pakar menjelaskan bahawa situasi ini boleh terjadi dalam keadaan tertentu, seakan-akan berkongsi bilah cukur tanpa sedar.
Inilah yang dipercayai menjadi punca jangkitan tragis yang berlaku kepada bayi tersebut.
Kes ini sangat jarang berlaku, namun ia membawa beberapa peringatan penting yang tidak boleh diambil ringan. Pencegahan asas mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV bayi dan penyakit lain yang boleh merebak melalui luka terbuka.
1. Jangan 100% bergantung pada laporan kesihatan agensi
Ada agensi yang tidak menjalankan pemeriksaan menyeluruh atau tidak menyampaikan maklumat sebenar demi keuntungan.
➡️ Mama papa berhak meminta rekod kesihatan terkini pembantu rumah.
2. Sentiasa pantau keadaan fizikal & tingkah laku bayi
Sakit berulang, berat badan merosot dan bengkak luar biasa bukan tanda biasa.
➡️ Buat pemeriksaan segera jika simptom tidak sembuh atau berlarutan.
3. Potong kuku bayi secara rutin
Kuku panjang boleh menyebabkan luka terbuka, seterusnya menjadi laluan jangkitan.
➡️ Jika bayi suka mencakar, pakaikan sarung tangan terutama ketika bersama penjaga.
4. Jaga kebersihan & keselamatan penjaga
Mereka yang menjaga bayi perlu sihat, bersih dan memaklumkan jika mempunyai masalah kesihatan yang boleh menimbulkan risiko.
Lebih menyayat hati, bayi yang masih kecil dan tidak memahami apa-apa kini perlu menjalani rawatan HIV sepanjang hidupnya. Jangkitan HIV bayi bukan sahaja memberi impak kepada kesihatannya, tetapi juga risiko stigma sosial ketika membesar kelak.
Semuanya mungkin dapat dielakkan jika langkah pencegahan asas memantau kesihatan penjaga, memotong kuku bayi dan berhati-hati dengan kecederaan kecil diambil serius sejak awal lagi.
Semoga kisah ini membuka mata setiap ibu bapa tentang betapa pentingnya memilih penjaga yang benar-benar selamat, bersih dan bertanggungjawab. Mama papa adalah benteng utama keselamatan anak walaupun ketika kita tiada bersama mereka.
Apabila perlu menjaga anak yang baru lahir walaupun ibu jatuh sakit pastinya membimbangkan. Apatah lagi jika melibatkan penyakit viral seperti selesema. Ini petua penjagaan bayi selepas bersalin apabila ibu dan ayah kurang sihat.
Menjaga anak baru lahir walaupun tidak sihat
Bergelar ibu bapa baharu sudah tentu akan hadir rasa keterujaan untuk sentiasa bersama si manja. Tetapi apabila berada dalam keadaan tidak sihat, secara tidak langsung akan wujud kegusaran untuk menjaga bayi baru lahir.
Berikut beberapa tip penjagaan untuk membantu anda:
1. Pemeriksaan doktor
Anda perlu mengetahui masalah kesihatan apakah yang dialami agar dapat berwaspada daripada menyebarkan kuman kepada bayi baru lahir.
Sebaiknya jika anda perlu menjaga bayi ketika sakit, lakukan pemeriksaan doktor untuk menentukan gangguan kesihatan yang dialami serta langkah untuk mengurangkan penyebaran bakteria apabila perlu bersentuhan dengan si kecil.
2. Jangan panik bayi akan berjangkit
Sebagai ibu bapa pastinya anda risau jika bayi akan dijangkiti dengan masalah kesihatan anda itu. Bergantung kepada masalah kesihatan yang anda alami, pastinya doktor akan memberitahu jika anda perlu mengurangkan sentuhan untuk mengelakkan penyebaran jangkitan.
Walau apapun, cara terbaik adalah untuk kerap mencuci tangan serta cuba kurangkan sentuhan tangan dan mulut dengan bayi.
3. Penjagaan bayi selepas bersalin walaupun sakit: Teruskan penyusuan
Jika menyusu badan, teruskan penyusuan seperti biasa kerana ia antara salah satu cara untuk mengekalkan tahap kesihatan si manja.
Ini kerana apabila jatuh sakit, tubuh akan bekerja keras untuk menghasilkan antibodi dan secara tidak langsung ia akan disalurkan kepada bayi melalui susu badan.
Sekiranya anda bimbang untuk menyusu serta menjaga anak secara dekat atau mungkin tahap kesihatan tidak mengizinkan, pamkan susu dan minta bantuan pasangan untuk memberikannya melalui susu botol.
Anda perlu mengetahui bahawa susu ibu tidak akan menyebarkan jenis kuman yang menyebabkan penyakit sementara seperti selesema atau demam.
4. Dapatkan bantuan untuk menjaga anak
Mintalah bantuan pasangan, keluarga atau rakan baik untuk membantu aspek penjagaan bayi selepas bersalin apabila anda tidak sihat.
Berterus-terang mengenai keadaan kesihatan anda dan dapatkan bantuan mereka. Jangan malu kerana ia adalah apa yang anda perlukan buat masa ini dan pastinya mereka akan dapat memahaminya.
5. Kekal tenang
Secara jujurnya, penjagaan bayi selepas bersalin dalam keadaan tidak sihat pasti agak huru-hara. Pastinya ‘sakit mata’ melihatkan pinggan mangkuk bersusun di sinki serta baju kotor bertimbun di dalam bakul. Namun dalam masa yang sama ia mengajar anda kemahiran keibubapaan untuk belajar melepaskan sesuatu.
Buat sementara lupakan mengenai pinggan mangkuk tidak berbasuh serta baju yang menimbun. Biarkan rumah bersepah untuk seketika. ‘Butakan mata’ anda sekejap.
Paling penting, dapatkan rehat yang secukupnya sepanjang tempoh anda tidak sihat ini dan kumpulkan tenaga untuk ‘berperang’ apabila pulih nanti!
6. Cegah penularan melalui udara
Sekiranya tiada sesiapa yang boleh membantu menjaga bayi baru lahir ketika anda sakit, lakukan cara terbaik bagi mencegah penularan penyakit melalui udara.
Elakkan bernafas secara langsung ke wajah bayi dan jika boleh, keluar daripada bilik apabila perlu batuk atau bersin. Anda juga boleh memakai penutup muka sebagai langkah pencegahan.
Di samping itu, anda juga boleh meletakkan selimut antara anda dan si manja semasa penyusuan untuk membantu mengurangkan risiko penularan jangkitan.
7. Segalanya akan bertambah baik
Sudah tentu anda akan berasa serabut dan mahukan segalanya segera kembali seperti biasa serta dapat menjaga si manja. Percayalah, semuanya akan kembali pulih, namun anda perlu bertenang.
Sememangnya ia merupakan tempoh masa yang kurang baik untuk jatuh sakit selepas membawa pulang bayi baru lahir.
Namun paling penting buat masa ini adalah untuk kerap membasuh tangan, mengurangkan ciuman kepada si manja, berserta sedikit rasa sabar dan rehat yang mencukupi pasti keadaan akan pulih.
Percayalah, anda boleh melalui fasa ini dengan baik!
Cabaran menjaga anak ketika sakit
Menjadi ibu bapa dan jatuh sakit antara kombinasi yang meningkatkan lagi tahap kesukaran kerana anda bukan sahaja perlu menjaga diri sendiri, bahkan ada individu lain turut bergantung serta memerlukan perhatian anda.
Amat penting sekali untuk menjaga diri sendiri! Perbanyakkan minum air dan dapatkan rehat yang secukupnya.
Jangan berasa malu untuk mendapatkan bantuan untuk penjagaan bayi selepas bersalin ketika anda jatuh sakit.
Perkara mudah lain yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan adalah dengan membuka tingkap bagi membolehkan peredaran udara berlaku.
Perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan runcit dalam talian pastinya penyelamat sepanjang tempoh anda jatuh sakit ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!