
Ujian Bertimpa Selepas Kehilangan Anak Sulung
Dugaan bertimpa ibu bapa Al Fateh apabila selepas kehilangan anak sulung dalam tragedi menyayat hati di sebuah taska, pasangan suami isteri ini sekali lagi diuji apabila salah seorang daripada tiga bayi kembar mereka pula dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Keadaan ini sekali gus meruntun perasaan ramai, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang memahami betapa peritnya menanti harapan di sisi katil hospital.

Maryam Al Khawla Kritikal dan Semakin Lemah
Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri, 41, memaklumkan bahawa anak keduanya, Maryam Al Khawla yang kini berusia tiga bulan, berada dalam keadaan tenat dan semakin lemah.
Menurut beliau, keadaan Maryam Al Khawla kritikal ketika ini amat membimbangkan dan memerlukan pemantauan rapi pasukan perubatan.
Beliau dan isteri, Sabrina Hakiem, 41, memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan serta keselamatan bayi mereka.
“Mohon semua yang mengenali saya dan isteri mendoakan kesembuhan dan keselamatan anak kami, Maryam Al Khawla (kembar nombor dua).
Keadaannya tenat dan semakin lemah. Semoga ada keajaiban dan syifa’ atas berkat doa kalian semua. Hanya doa kalian yang kami pinta. Doakan kami terus kuat menempuh ujian ini,” katanya.

Dirawat Sejak Lahir Akibat Lahir Pramatang
Difahamkan, Maryam Al Khawla dirawat di Hospital Melaka sejak dilahirkan pada 24 Oktober lalu kerana lahir secara pramatang.
Sudah lebih 90 hari bayi kecil itu berada di hospital di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan, sekali gus menjadikan keadaan Maryam Al Khawla kritikal sebagai perhatian ramai.
Menurut Mohd Fikry, doktor memaklumkan terdapat jangkitan kuman dalam darah anaknya yang menyebabkan keadaannya semakin lemah.
“Doktor sedang melakukan yang terbaik untuk merawat anak saya,” katanya ketika dihubungi.
Kembar IVF Hasil Kurniaan Istimewa
Terdahulu, Sabrina menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada Februari tahun lalu menerusi kurniaan khas Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hasil rawatan tersebut, Sabrina yang juga seorang guru selamat melahirkan tiga bayi perempuan secara pembedahan di Hospital Melaka pada Oktober tahun lalu.
Bayi pertama dilahirkan seberat 1.8 kilogram pada jam 9.40 pagi, diikuti bayi kedua seberat 1.78 kilogram pada jam 9.42 pagi dan bayi ketiga seberat 1.93 kilogram pada jam 9.46 pagi.

Tragedi Kematian Al Fateh Masih Berbekas
Kisah pasangan dari Alor Gajah ini sebelum ini pernah tular di media sosial menerusi tanda pagar #JusticeForAlFateh, selepas anak sulung mereka, Allahyarham Muhammad Al Fateh, meninggal dunia di sebuah taska.
Pada September 2024, media melaporkan bayi berusia lapan bulan itu meninggal dunia selepas dipercayai didera oleh pengasuh, termasuk disumbat botol susu ke dalam mulut serta ditutup muka dengan bantal sehingga mengakibatkan kematian.
Lebih meruntun hati, Muhammad Al Fateh merupakan zuriat yang dinantikan selama 13 tahun oleh pasangan ini.

Doa Orang Ramai Jadi Sumber Kekuatan
Kehilangan tersebut meninggalkan luka yang amat dalam, dan kini mereka sekali lagi diuji dengan kesihatan anak-anak yang masih kecil.
Bagi ibu bapa, melihat anak terbaring lemah dengan bantuan mesin dan wayar perubatan bukanlah perkara mudah.
Ia menguji kesabaran, ketahanan emosi dan keimanan, selain menuntut kekuatan luar biasa untuk terus berdiri demi keluarga.
Pa&Ma mendoakan agar Maryam Al Khawla kritikal ketika ini terus kuat berjuang, dipermudahkan segala urusan rawatan dan dikurniakan kesembuhan.
Semoga ibu bapa Al Fateh juga terus diberi ketabahan, kekuatan serta ketenangan hati dalam menempuh ujian berat ini.
Sesungguhnya, doa yang ikhlas daripada orang ramai adalah penguat paling besar buat mereka ketika ini.
BACA LAGI : Bayi Pramatang Kembar Tiga: Ketabahan Pasangan Mejar Fikry & Sabrina Harungi Ujian Di NICU
BACA LAGI : Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





