Masih panjang umur! Itulah yang boleh digambarkan mengenai nasib seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terselamat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), beberapa hari lalu.

Walaupun terkeluar dari kereta dipandu bapanya, mangsa bernasib baik apabila pemandu kereta lain di belakang menghentikan kenderaan sebaik menyedari kelibat kanak-kanak terbaring di lorong kanan lebuh raya.

Masih Panjang Umur! Terkejut Anak Di Tengah Lebuh Raya Selepas Kereta Dilanggar

Kejadian dilaporkan jam 3.21 petang kelmarin, di Kilometer (KM) 235.5, Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Linggi, Negeri Sembilan.

Difahamkan, kanak-kanak itu tercampak selepas kenderaan dipandu bapa mangsa dilanggar dari belakang oleh kenderaan lain yang dipandu secara melulu dan berbahaya.

Insiden itu menarik perhatian umum selepas video kemalangan berkenaan tular di media sosial.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abd Kadir, berkata kejadian berlaku sekitar jam 3.21 petang membabitkan dua kenderaan Perodua Myvi dan Honda Jazz yang dipandu secara berbahaya.

“Ketika melalui KM 235.5 Lebuhraya Senawang-Ayer Keroh arah utara, kenderaan Perodua Myvi dipandu di lorong kiri lebuh raya manakala kereta jenis Honda Jazz memandu di lorong kanan.

Masih Panjang Umur! Terkejut Anak Di Tengah Lebuh Raya Selepas Kereta Dilanggar

“Kedua-dua kenderaan terbabit kemudian mengubah haluan dan menghimpit kereta Honda Civic yang berada di lorong kanan.

“Tindakan itu menyebabkan pemandu kereta Honda Civic hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang lebuh raya dan kemudiannya terlanggar bahagian belakang kereta jenis Perodua Myvi di lorong tengah.

“Akibat perlanggaran itu, seorang penumpang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun di dalam kereta Honda Civic tercampak keluar dan terjatuh di atas lorong kanan lebuh raya.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mana anak?

Dalam pada itu, ibu kanak-kanak tersebut, T Citra, 26, berkongsi detik cemas yang berlaku pada anaknya secara tiba-tiba.

“Saya tanya suami anak di mana. Apabila di tempat duduk belakang tiada, saya jadi panik dan cemas.

Suri rumah itu berkata, kejadian yang berlaku begitu pantas membuatkan dia tidak dapat berfikir apa yang terjadi pada anaknya selepas terkejut susulan kereta dipandu suaminya, K Satthiaseenan, 31, dilanggar kereta lain.

Masih Panjang Umur! Terkejut Anak Di Tengah Lebuh Raya Selepas Kereta Dilanggar

“Secara tiba-tiba bunyi hentaman kuat di bahagian kiri kereta kami yang menyebabkan cermin hadapan sebelah penumpang pecah. Saya hanya mendengar anak sulung saya dan dua anak saudara yang duduk di tempat duduk belakang menjerit.

“Saya terkejut anak yang tidur di pangkuan tercampak keluar melalui cermin sisi kereta yang pecah itu. Saya segera bertanya suami di mana anak kami.

“Sebaik kereta kami berhenti saya terus keluar dan mendapati anak berada di lebuh raya. Ada pengguna nampak anak saya berguling beberapa kali selepas tercampak dari kereta.

“Saya terus meluru ke arahnya dan lihat ada darah pada mukanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ).

Berdasarkan rakaman video berdurasi selama 59 saat itu, sejurus tercampak keluar, mangsa diselamatkan seorang pemandu lori yang berhenti di lokasi kejadian.

Sumber: Berita Harian

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI