Ketika bercuti panjang ini tidak dinafikan gajet menjadi pilihan utama anak-anak di rumah. Ubahlah cara ini jika tidak mahu anak ketinggalan dalam semua perkara malah merisikokan kehidupan mereka sendiri. Lebih-lebih lagi pada anak-anak kecil.
Usahakan untuk mencari satu aktiviti yang lebih berfaedah serta mampu mencipta bonding dan menggerakkan kemampuan anak berfikir. Barulah otak anak makin sihat dan berkembang. Salah satu aktiviti paling disarankan adalah melukis.
Ini yang disarankan oleh Dr. Rahimah Saimin, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada anak-anak kita yang berada lama di rumah sepanjang cuti panjang ini.
Contoh lukisan anak-anak yang kreatif.
Muktahkir ini, pasti ada segelintir ibubapa yang tertekan dan bergelut ketika pandemik melanda kerana mendepani ketagihan si anak kepada gajet. Ini cabaran besar anak-anak generasi Z. Hakikatnya, jangan pernah menyangka apa yang kita depani, sama dengan anak-anak generasi ini.
Hari ini, penciptaan gajet seringkali diagungkan sebagai penghubung manusia sejagat, namun ianya telah menjauhkan manusia dalam alam realiti kerana membawa kealpaan. Yang lebih menyedihkan apabila gadjet dijadikan “umpan” anak-anak kecil bagi memudahkan urusan ibu bapa.
Ibubapa perlu lebih bertanggungjawab dan lebih bijak dalam menangani cabaran membesarkan anak-anak kecil IT lebih-lebih lagi di masa pandemik ini. Misalnya, menetapkan peraturan asas serta memantau penggunaan gajet dan limitasi masa contohnya hanya sejam sehari.
Selebihnya, luangkan masa bersama anak dan jadikan setiap pertemuan adalah untuk mengeratkan silaturrahim. Ibubapa boleh melakukan aktiviti yang lebih berfaedah seperti membaca al-Quran bersama-sama sekurang-kurangnya senggang masa di antara Maghrib dan Isyak, mengikuti slot-slot tazkirah online bersama, dan banyak lagi.
Sabda Nabi S.A.W: “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang sebagai syafaat pada Hari Kiamat sebagai ahlinya (yakni pembacanya).” (Hadis Riwayat Muslim).
Ibubapa juga boleh memurnikan komunikasi bersama anak-anak kecil dengan aktiviti santai lain yang bermanfaat adalah seperti membaca buku bersama mahupun melukis. Islam membolehkan lukisan selagi mana ia mempunyai elemen yang baik dan tidak merosakkan akidah atau melalaikan.
Ads
Rasulullah SAW bersabda: “Allah itu indah, Dia menyukai segala yang indah.” Allah SWT menciptakan daya kepada manusia untuk menghargai dan menyenangi keindahan (Hadith Riwayat Muslim).
Melukis bantu perkembangan asas literasi awal kanak-kanak
Di dalam pendidikan awal kanak-kanak, melukis seringkali dikaitkan dengan literasi visual. Banyak kajian telah menemui manfaat melukis dikalangan kanak-kanak.
Melukis mampu membantu perkembangan asas literasi awal kanak-kanak. Secara umumnya, literasi awal kanak-kanak boleh didefinisikan sebagai kemahiran membaca atau menulis yang dimiliki oleh kanak-kanak. Kanak-kanak dapat mengekspresi tahap pemahaman dan komunikasi sesuatu konten ke dalam bentuk lukisan. Sekaligus menyokong perkembangan penaakulan intelektual.
Ads
Ibubapa perlu tahu bahawa otak kanak-kanak bekerja secara aktif ketika mereka bereksperimen dengan pelbagai jenis garisan dan bentuk mahupun ketika memicit cat warna atau mencampurkan warna.
Melukis menjadikan kanak-kanak lebih ekspresif dan kreatif. Kanak-kanak menyampaikan mesej apabila mereka melukis. Ibubapa dapat memperoleh gambaran awal tentang pemikiran dan perasaan anak melalui lukisannya. Kanak-kanak yang menzahirkan perasaan melalui lukisan mampu meningkatkan kecerdasan emosi.
Contohnya, sekiranya anak gembira dan sayang dengan keluarga dan persekitarannya, dia akan melakarkan lukisan seperti bentuk hati dan pelangi. Namun, sekiranya anak sedih dengan keadaan persekitarannya, dia akan melukis emoji sedih berserta airmata atau tanda silang pada objek tertentu.
Anak yang melukis hadiah harijadi idaman di atas sehelai kertas lalu diberikan kepada si ibu atau si ayah sebelum harijadinya menjelang tiba sebenarnya cuba menyampaikan mesej tentang harapan dan keinginannya.
Selain itu, ibubapa perlu sedar bahawa koordinasi otot dapat ditingkatkan melalui aktiviti melukis. Bermula dengan contengan, melukis titik dan garis hingga karya “agung”, melukis dapat meningkatkan kemahiran motor halus dan ketangkasan koordinasi kanak-kanak dari usia muda.
Ads
Setiap kali memegang pensil, krayon, tiub warna atau berus warna, mereka menggunakan kemahiran yang dipanggil “dexterity”. Dalam bahasa mudah, “dexterity” ialah koordinasi otot kecil dalam pergerakan dan biasanya melibatkan pergerakan tangan, jari dan mata. Pelbagai jenis lukisan dapat membantu koordinasi tangan-mata kanak-kanak. Finger painting atau lukisan jari misalannya memberi peluang kepada mereka untuk menggunakan tangan dalam berkarya.
Melukis adalah salah satu asas awal pemikiran logik dan abstrak. Mempelajari cara berfikir kreatif pada usia dini menjadikan kanak-kanak lebih bersedia kepada pendidikan masa depan.
Menjadi keperluan juga pada ibubapa untuk memberikan anak-anak kepelbagaian dalam penggunaan bahan untuk melukis seperti krayon, cat warna, kapur dan tidak ketinggalan alat media digital antaranya aplikasi Doodly dan Whiteboard sebagai persiapan pendidikan digital.
Anak-anak ialah aset ibubapa. Gadget bukan “teman setia” anak-anak kecil. Jangan pernah membiarkan mereka bersendirian bersama gadjet tanpa pemantauan, bimbingan dan kawalan. Ia boleh mengundang kesan negatif ke atas diri mereka yang naif.
Luangkan masa yang berkualiti bersama mereka dan lakukan aktiviti yang bermanfaat dalam berkasih sayang dengan anak kecil. Islam menggesa setiap ibubapa menitikberatkan apek pendidikan anak-anak. Imam al-Ghazali dalam karya agungnya Ihya’ Ulum al-Din ada berpesan: “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya.
Sebaliknya, jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan dipersiakan seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa. Dosa juga akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggungjawabkan itu.”
Kata orang, anak lelaki biasanya lambat bercakap, manakala anak perempuan lebih petah. Anak lelaki susah duduk diam, manakala anak perempuan lebih senang dengar kata.
Benarkah tanggapan ini?
Semua anak yang dilahirkan istimewa. Dari segi saintifiknya, mungkin ia ada benarnya. Ini kerana cara pembentukan otak bayi lelaki dan perempuan berkembang dengan cara yang berbeza. Sedikit sebanyak, mereka dilahirkan dengan memiliki karakter tertentu serta minat pada benda yang berbeza.
5 PERBEZAAN ANAK LELAKI DAN ANAK PEREMPUAN DARI SEGI SIKAP DAN EMOSI
Disini disenaraikan beberapa perbezaan anak lelaki dan perempuan dari segi kebolehannya berinteraksi dengan keadaan sekeliling.
1. ANAK LELAKI SUKAKAN GERAKAN MESIN BERBANDING GERAK TUBUH MANUSIA
Anak Lelaki: Menurut kajian pakar psikologi, anak lelaki lebih minat menumpukan perhatian pada pergerakan mesin atau alat mekanikal. Ketika menaiki kereta, mereka lebih leka memerhatikan ‘wiper kereta’ daripada wajah orang dewasa yang sedang bercakap. Mereka juga boleh hipotesis tentang pergerakan. Contohnya apabila kereta mainan bergerak di bawah meja, ia akan menuju ke sudut yang bertentangan.
Anak Perempuan: Anak perempuan pula lain minatnya. Mereka lebih gemar memerhati cara gerakan orang disekeliling. Mereka lebih mudah meniru perbuatan kita seperti cara menjaga bayi kecil. Mereka juga tidak kurang hebatnya dan mungkin hebat lagi dalam meniru gaya memandu kereta seperti anak lelaki.
2. ANAK LELAKI SUSAH DUDUK DIAM
Anak Lelaki: Jika kita ke taman permainan, yang berlari dan memanjat sana-sini sudah tentu anak lelaki lebih ramai. Anak lelaki lebih suka bergerak aktif dan senang melakukan aktiviti yang melibatkan kemahiran motor kasar. Perkara ini disokong berdasarkan kajian yang dilakukan di Kanada terhadap bayi lelaki dan perempuan. Ia mendapati bahawa anak lelaki lebih susah untuk duduk diam ketika meyalinkan pakaiannya, ketika di dalam ‘stroller’ dan lebih suka merangkak ke jarak yang jauh.
Anak Perempuan: Bagi anak perempuan pula, mereka dilihat lebih teliti dan ketika diberikan tugas yang melibatkan motorik halus seperti bermain permainan, menggunakan perkakas makan, dan menulis. Lazimnya, anak perempuan akan memiliki hasil yang lebih baik. Namun begitu, anak lelaki dan perempuan mula berjalan pada waktu yang agak sama.
3. ANAK PEREMPUAN LEBIH MUDAH MEMBACA RAUT WAJAH
Anak Perempuan: Menurut BabyCenter, secara semulajadinya anak perempuan dilahirkan dengan deria penglihatan yang lebih tajam. Mereka lebih tertarik untuk melihat ekspresi dan reaksi wajah orang di sekelilingnya. Jadi, mereka boleh agak emosi anda bila marah atau sedih. Mereka juga boleh mengekalkan hubungan mata (eye contact) dengan kita apabila kita bercakap dengan mereka.
Anak Lelaki: Walaupun anak lelaki tidak peka dengan emosi kita, mereka sebenarnya lebih emosional berbanding anak perempuan. Anak lelaki lebih sukar untuk dipujuk berbanding anak perempuan. Di samping itu, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kadar denyutan bayi lelaki lebih pantas bila sedang keresahan walaupun ekspresinya tidak begitu berubah. Ini menandakan bahawa anak lelaki mungkin turut merasai sensitiviti terhadap sesuatu perkara, namun tidak banyak bertindak terhadapnya.
4. ANAK PEREMPUAN CEPAT BERCAKAP
Anak Lelaki: Oleh kerana karakter mereka yang kurang cenderung terhadap manusia, ia mungkin salah satu sebab mereka sedikit lewat dalam bertutur. Menurut sumber, pada usia 16 bulan anak perempuan sudah mampu mengucapkan 100 perkataan sedangkan anak laki-laki hanya sekitar 30 perkataan.
Anak Perempuan: Kebolehan deria penglihatannya untuk memerhatikan emosi dan pergerakan kita membuatkan anak perempuan lebih petah berbicara dahulu berbanding anak lelaki. Mereka juga lebih mudah untuk mengikut bunyi dari suara kita berbanding anak lelaki. Kelebihan ini juga menjadikan anak perempuan seorang pendengar yang baik. Mereka lebih berminat untuk terlibat dalam perbualan berbanding anak lelaki.
5. ANAK LELAKI LEBIH BERANI
Anak Lelaki: Memang fitrah lelaki lebih berani berbanding perempuan. Ia mungkin disebabkan oleh hormon testosteron yang lebih tinggi dalam otak bayi lelaki. Anak lelaki terbukti lebih berani apabila si ibu mengacahnya ekspresi untuk menakut-nakutkannya. Mereka lebih tenang dan kembali bermain seakan tiada apa yang berlaku.
Anak Perempuan: Berbanding anak perempuan, sensitiviti mereka yang lebih terhadap penglihatan dan pendengaran mungkin menyebabkan mereka lebih senang berasa takut. Malah, kajian juga membuktikan yang anak perempuan lebih mudah terperanjat bila diberikan mainan yang berbunyi nyaring.
CARA DIDIKAN ANAK MEMAINKAN PERANAN PENTING
Walau apapun perbezaan anak lelaki dan perempuan, semuanya bergantung pada cara kita mendidiknya. Latih anak dengan nilai-nilai baik seperti yang kita idamkan. Ambil inisiatif untuk melatih kemahiran anak. Rajinkan diri untuk membaca buku pada anak supaya lebih petah bercakap. Bantu anak menghadapi ketakutannya. Latih anak supaya lebih aktif.
Pokok pangkalnya, sediakan persekitaran yang dapat membantu perkembangan minda anak supaya mereka lebih cepat belajar. Lelaki atau perempuan, semua mempunyai peluang yang sama untuk belajar melalui pengalaman dan seterusnya menggilap potensi masing-masing!
Kenapa tidak boleh mandikan bayi dengan air sejuk? Ramai ibu bapa lakukan 6 kesilapan ini semasa memandikan bayi.
Ramai yang bagi alasan kekok nak mandikan bayi yang baru lahir. Terlalu kecil, takut nak pegang, bimbang terlepas, terjatuh dan macam-macam lagi. Mari kita ikuti cara-cara mudah memandikan bayi. Paling penting mama dan papa perlu yakin dan melakukannya dengan betul dan selamat. Dengan izin Allah, urusan memandikan bayi menjadi mudah dan lancar.
ELAKKAN MELAKUKAN 6 KESILAPAN INI SEMASA MEMANDIKAN BAYI
Jangan memandikan bayi dengan air sejuk/ air paip kerana ia terlalu sejuk kerana ia boleh menyebabkan suhu badan menurun atau hipotermia. Tubuh bayi akan kesejukan dan kebiru-biruan apabila dimandikan dengan air sejuk menunjukkan mereka sedang kesejukan.
Elakkan memandikan bayi terlalu awal pagi atau malam. Disarankan memandikan sekitar jam 10 pagi hingga 5 petang untuk mengelakkan kesejukan melampau.
Jangan pasang kipas atau penghawa dingin semasa memandikan bayi untuk mengelakkan kesejukan.
Selesai mandi, terus balut bayi dengan tuala atau kain lampin untuk mengelakkan kesejukan.
Jangan meninggalkan bayi di dalam tab mandian tanpa pemantauan walau pun sekejap.
Elak daripada mandi terendam sekiranya pusat bayi masih lagi belum tertanggal.
LANGKAH MEMANDIKAN BAYI
Sebelum memandikan bayi, mama dan papa perlu memastikan suhu air tidak terlalu panas atau terlalu sejuk. Cuba celupkan siku untuk tujuan ini. Buka pakaian bayi dan pastikan bahagian sulit bayi dicuci terlebih dahulu menggunakan tisu lembap sebelum dimandikan.
Langkah 1
Setelah dipastikan air mandian suam, telangkupkan badan bayi dengan tangan kanan memegang bahagian tengah punggung. Manakala tangan kiri pula memegang erat bahagian dada dan bawah lengan bayi. Posisi ini bagus diaplikasikan ketika memandikan bayi baru lahir kerana dapat mengelakkannya daripada terkejut.
Langkah 2
Bagi memandikan bayi, pastikan anda memasukkan bahagian kakinya terlebih dahulu. Kemudian, cuci bahagian berkenaan dengan sempurna.
Langkah 3
Tangan bahagian kiri masih lagi berada dada dan bawah lengan bayi. Perlahan-lahan turunkan kedudukan bayi untuk menyiram bahagian belakang badannya dan bersihkannya dengan sempurna.
Penggunaan sabun di semua bahagian tubuh dibolehkan untuk bayi baru lahir kecuali muka. Dalam pada itu, pastikan anda hanya menggunakan sabun yang bersesuaian dengan bayi.
Langkah 4
Selepas itu, pusingkan kedudukan bayi. Tangan kiri berada di bawah tengkuk bayi. Cuci bersih badan, bawah lengannya, leher, punggung, dan pelipat betisnya.
Langkah 5
Selanjutnya, cuci kepala dan mukanya menggunakan air mandian yang disediakan dalam bekas berasingan. Kalau boleh, kepit telinga bayi untuk mengelakkan air memasuki telinga. Biasanya air itu disediakan di dalam gayung. Pengakhirannya cuci sekali lagi bahagian belakang bayi.
Selesai mandi, terus balut bayi dengan tuala atau kain lampin untuk mengelakkan kesejukan. Lap kering terutama sekali pada bahagian pelipatan untuk mengelakkan terjadinya ruam.
Teruskan langkah seterusnya untuk mencuci bahagian pusat, menuam, memakaikan lampin, barut dan pakaian bayi. Lakukan dengan pantas kerana bimbang bayi kesejukan. Pastikan suasana bilik tidak terlalu sejuk semasa langkah-langkah ini dilakukan. Kemudian susukan bayi selepas dimandikan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terdapat pelbagai cara untuk merangsang dengan bayi, Yang penting mama papa mesti ketepikan gajet untuk tujuan ini. Rangsangan awal menjadikan bayi lebih stabil emosi dan kuat fizikal untuk menempuh proses perkembangan pada masa akan datang.
Diam-diam dia sedang memerhati dan belajar apa yang dilihat. Mudah sangat mereka salin dan tiru. Minda kanak-kanak lima tahun pertama adalah seperti span. Hanya menyerap apa sahaja yang didedahkan. Jangan sia-siakan waktu keemasan ini. Jom mama papa buat lima aktiviti rangsangan ini dengan bayi.
Elakkan menggunakan bahasa bayi.
JANGAN BERBAHASA BAYI!
Mamam, poo poo, pee pee, bum dan macam-macam lagi ! Bahasa bayi memang sedap bunyinya dan nampak comel bila bayi berbahasa begitu. Tetapi papa & mama jangan pula terikut bahasa bayi atau pelat itu sebaliknya gunakan bahasa yang betul. Supaya nanti dia tahu menggunakan istilah yang betul.
Bayi cepat belajar jika sentiasa melakukan pengulangan secara konsisten. Ulang sebut sesuatu fakta kepada si kecil. Misalnya jika mahu mengajar tentang warna, sebutkan warna itu misalnya warna biru. Begitu juga dengan abjad atau nombor. Jika terjumpa abjad atau nombor, sebut dan tunjukkan kepadanya. Cuba meletakkan sekumpulan barang berwarna sama di hadapannya dan pilih serta sebut warna-warna itu.
SENTIASA BERBUAL
Jangan lupa untuk sentiasa berbual walau pun dia masih tidak faham apa yang anda katakan. Amalkan bercakap-cakap sambil menukar lampin, menyusukan atau semasa memakaikan baju atau menyuapkannya makan. “ Mia dah mandi. Dah wangi ni. Cantik tak baju ni sayang? Warna hijau ada gambar beruang”. Dengan cara ini dia boleh belajar kerana anda akan sentiasa mewujudkan komunikasi dan menarik perhatian anak kepada apa yang anda lakukan.
BACAKAN BUKU
Perkenalkan buku pada seawal usianya dan ciptakan rasa suka pada buku. Bacakan kepadanya walaupun dia belum faham apa yang dibacakan. Sambil bayi anda duduk di atas ribaan mama atau papa, pegang tangannya untuk dia merasai buku itu dan membelek buku.
Tetapi kadang kala, bayi anda mungkin akan menggigit buku. Namun anda perlu memastikan buku itu daripada jenis fabrik atau kain yang bersih. Biarkan dia membelek-beleknya. Sesekali membacalah di depannya supaya dia boleh lihat. Bayi anda akan cuba meniru anda membaca buku dan mungkin akan membaca sendiri nanti.
Buku fabrik seperti ini juga bagus untuk rangsangan sentuhan kepada bayi.
5.PUJIAN
Bayi suka diberi upah atau ganjaran dalam bentuk pujian, pelukan dan ciuman. Cubalah anda berkata “Yeah Amni pandai!” sambil menepuk tangan apabila dia berjaya memasukkan blok mainan dalam kotak kecil. Sentuhan kasih sayang ini memberikannya rasa selamat dan positif.
Papa seharusnya mengambil bahagian dalam mendidik dan tidak seharusnya menyerahkan kepada mama sahaja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amaran METMalaysia meramalkan hujan berterusan di enam negeri sehingga 8 Disember. Ketahui tip keselamatan penting untuk melindungi anak-anak ketika cuaca buruk.