Anak-anak kembar seringkali menjadi perhatian apabila berada di tempat awam. Berbaju sedondon, wajah seiras, ketinggian lebih kurang sama, bermain bersama, keletahnya sangat mencuit hati. Ramai yang jatuh cinta dengan anak kembar, tidak kurang juga ramai yang mengimpikan untuk memiliki anak kembar.

“Menangis Serentak, Letih Dua Kali Ganda” Sisi Kehidupan Jaga Anak Kembar Yang Ramai Tak Tahu

Namun, adakah anda telah bersedia mental dan fizikal untuk memelihara dan membesarkan mereka? Tidak sama dengan membesarkan dua orang anak anda yang selang setahun umurnya. Ianya begitu berbeza kerana anak kembar ini umurnya sama, perkembangannya sama, akalnya sama, lasaknya sama.

Kadang-kala bayi kembar menangis serentak, ibu ayah pun jadi keliru mahu menenangkan siapa terlebih dahulu. Oleh itu, saya mahu mengatakan bahawa kedua ibu ayah perlu memainkan peranan yang sama banyak dalam membesarkan anak kembar. Lebih-lebih lagi semasa bayi berumur bawah 1 tahun yang memerlukan lebih perhatian. Di sini saya ingin berkongsi tips menguruskan anak kembar kepada ibu dan ayah.

1) Bahagi tugas
Berdasarkan pengalaman saya yang mempunyai anak kembar, kedua ibu dan ayah perlu berbincang dan berbahagi tugas. Bukan sahaja tugas menjaga anak, ianya juga meliputi tugas menguruskan rumah dan juga tugas di pejabat. Sebagai contoh, ketika ibu sedang menidurkan kembar A yang mengamuk mahu tidur, si ayah boleh melayan kembar B yang ingin bermain. Dalam menyelesaikan kerja rumah, ibu ayah juga perlu berbahagi tugas. Ibu membasuh pakaian, kemudian ayah menyidainya jika ibu tidak sempat. Apabila ibu mempunyai kerja pejabat yang perlu diselesaikan di rumah, ayah boleh mengambil alih membantu menjaga anak. Pembahagian tugas ini perlu dibincang, dan dipersetujui sejak sebelum si kembar lahir lagi. Dengan itu, selain sibuk menjaga bayi kembar, kerja-kerja lain pun dapat diselesaikan. Ingat, ayah jangan hanya berharap kepada ibu, dan ibu juga jangan hanya berharap kepada ayah. Kedua-duanya ada peranan, tugas dan tanggungjawab masing-masing. Jangan beri tekanan kepada salah seorang sahaja untuk menguruskan si kembar. Kedua ibu ayah mesti bekerjasama.

IKLAN

“Menangis Serentak, Letih Dua Kali Ganda” Sisi Kehidupan Jaga Anak Kembar Yang Ramai Tak Tahu

2. Bahagi kasih sayang
Ibu ayah perlu bijak memainkan peranan. Menguruskan anak kembar memang sulit. Apatah lagi apabila seorang demam, seorang lagi berpotensi untuk demam juga kerana mereka sentiasa berdampingan bersama, mudah untuk virus merebak. Dalam bab kasih sayang, anak kembar kadang-kala mempunyai rasa cemburu terhadap kembarnya sendiri. Oleh itu, ibu ayah harus bijak mencari solusi dalam hal ini. Kerana itulah anak kembar seringkali dipakaikan baju yang sama, dan dibelikan barang-barang yang sama. Ini salah satu cara untuk meminimumkan rasa cemburu antara mereka. Apabila salah seorang menangis, berilah perhatian kepadanya dahulu. Jika kedua-duanya menangis serentak, di sinilah kreativiti dan kesabaran ibu dan ayah diperlukan. Tugas ini ternyata mencabar, dan kadang-kala ibu ayah juga bimbang tidak mampu memberi kasih sayang yang sama rata. Buat yang terbaik semampunya.

“Menangis Serentak, Letih Dua Kali Ganda” Sisi Kehidupan Jaga Anak Kembar Yang Ramai Tak Tahu

IKLAN

3. Ikut jadual
Ibu ayah anak kembar pastinya ada cara menguruskan anak mengikut keselesaan dan keutamaan yang tersendiri. Sebenarnya, cara paling berkesan dan teratur tanpa rasa sangat terbeban adalah dengan membuat jadual harian. Jadual atau rutin ini adalah berbeza dari hari pertama si kembar lahir sehinggalah besar. Ini sangat perlu supaya ibu ayah dapat menguruskan masa dengan lebih bagus, dah mempunyai masa untuk berehat walaupun sekejap. Ianya nampak remeh, tapi percayalah ia dapat memberi impak yang besar untuk rumahtangga yang lebih harmoni dan kurang bebanan dan tekanan. Sebagai contoh dalam keluarga saya, kami mempunyai jadual yang berbeza untuk hari minggu dan hari bekerja. Untuk rutin hujung minggu pastilah lebih panjang kerana si kembar berada 24 jam dengan kami. Tentukan masa untuk si kembar tidur serentak (sebaik-baiknya jika boleh), masa makan yang sama setiap hari, dan masa yang sama untuk tidur setiap hari. Bayi harus dibiasakan dengan rutin sejak lahir.

4. Berkorban
Benar kata orang, membesarkan anak kembar ini, penat dan letihnya dua kali ganda. Harus berkorban dua kali ganda juga dari segi kewangan. Jika anak kembar tiga, akan jadi tiga kali gandalah semuanya. Sebelum lahirnya anak kembar, ibu ayah harus bersiap sedia secara fizikal dan mental. Banyakkan membaca buku-buku panduan menguruskan anak kembar. Bertanya kepada ibu ayah lain yang ada pengalaman dengan anak kembar. Barang-barang keperluan bayi juga perlu disediakan untuk dua orang. Apabila mereka lahir,ibu ayah harus berkorban dari sudut lain pula. Tekanan dan perasaan penat sememangnya ada. Ibu dan ayah bergilirlah menjaga si kembar. Beri peluang antara satu sama lain bergilir untuk berehat juga. Kedua-duanya harus ringan tulang dan tahu peranan masing-masing.

Semakin si kembar membesar, lain pula cabaran yang ibu ayah bakal hadapi. Bersabarlah, semua kepenatan dan tekanan ini hanya sementara. Melihat keletah mereka setiap hari akan menjadi hiburan dan pengubat buat ibu ayah.

IKLAN

Kredit: @Farah Suraya

“Menangis Serentak, Letih Dua Kali Ganda” Sisi Kehidupan Jaga Anak Kembar Yang Ramai Tak Tahu

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Ayuh, belajar cara didik anak untuk menyimpan sejak mereka kecil. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI