
Alahai, manisnya kasih sayang antara dua beradik ini! Walaupun masih kecil, anak sulung pelakon popular, Fattah Amin, Nur Fatima Aisya, nampaknya semakin seronok menggalas tanggungjawab sebagai seorang kakak kepada adik kesayangannya, Muhammad Jarir Umar.
Bukan sekadar suka bermain dan meluangkan masa bersama, malah Fatima juga dilihat semakin memahami kehadiran adik kecil dalam kehidupannya.
Melihat kemesraan yang terjalin antara kedua-dua anaknya, Fattah meluahkan rasa syukur apabila hubungan Fatima dan Jarir semakin erat setiap kali mereka berpeluang bersama.
Lebih mencuit hati, Fatima juga begitu teruja dengan kehadiran adiknya sehingga pernah meminta izin untuk membawa Jarir muncul bersama dalam sesi siaran langsung TikTok baru-baru ini.

Fatima Teruja Nak Tunjuk Adik Dalam TikTok
Menurut Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, dia gembira melihat perubahan positif Fatima yang kini semakin menunjukkan kasih sayang terhadap adiknya.
Malah, keterujaan Fatima untuk berkongsi momen bersama Jarir membuatkan Fattah sendiri tersentuh melihat hubungan kedua-duanya.
“Setiap kali Fatima datang, nampak hubungan (bonding) mereka makin erat, alhamdulillah.
“Malah sewaktu sesi siaran langsung baru-baru ini, dia begitu teruja sehingga bertanya kepada saya sama ada boleh membawa adiknya masuk ketika bersiaran lansgung dalam TikTok.
“Tetapi saya jelaskan belum masanya lagi kerana adik masih kecil. Insya-Allah suatu hari nanti bila adik sudah besar sedikit, kami akan kongsikan (wajahnya).
“Saya faham ramai yang teruja dan teringin hendak melihat, cuma belum tiba masanya lagi. Fatima juga sekarang mula faham dia sudah bergelar kakak,” katanya.
Bagaimanapun, Fattah menjelaskan bahawa dia dan Amira masih belum bersedia untuk berkongsi wajah Jarir kepada umum memandangkan bayi itu masih kecil.
Biarpun ramai peminat tidak sabar mahu melihat wajah anak mereka, Fattah berharap semua pihak dapat memahami keputusan tersebut.

Jarir Dah Mula Belajar Meniarap, Fattah Amin Kongsi Perkembangan Anak
Dalam perkembangan lain, suami kepada penyanyi dan pelakon Amira Othman itu turut berkongsi perkembangan terkini Jarir yang kini semakin aktif.
Menurut Fattah, anak kecilnya itu sudah mula menunjukkan kemajuan dari segi pergerakan fizikal, termasuk berusaha untuk meniarap sendiri.
“Alhamdulillah, perkembangan Jarir sekarang dia sudah pandai meniarap sedikit demi sedikit. Sebelum ini dia hanya terlentang sahaja, tetapi sekarang tangannya semakin kuat.
“Dia sudah pandai menolak badan untuk cuba meniarap, itulah perkembangannya buat masa ini.
“Selain menguruskan Jarir, kami berdua sememangnya sentiasa sibuk melayani Fatima,” ujarnya lagi.
Bagi Fattah, setiap perkembangan kecil Jarir pastinya menjadi momen bermakna buat mereka sekeluarga, lebih-lebih lagi apabila dapat melihat Fatima turut membesar sebagai seorang kakak yang penyayang.

Fattah Amin Syukur Lihat Hubungan Fatima Dan Jarir Semakin Erat
Dalam kesibukan menguruskan anak-anak, Fattah Amin dan Amira turut menikmati pengalaman melihat Jarir membesar dari hari ke hari. Pada masa sama, hubungan Fatima dengan adiknya juga semakin menunjukkan perkembangan yang positif.
Lebih menggembirakan, Fatima bukan sahaja teruja apabila dapat meluangkan masa bersama Jarir, malah sudah mula memahami bahawa adiknya masih kecil dan memerlukan perhatian.
Sekadar informasi, Fattah dan Amira mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025. Pasangan ini menyambut kelahiran Muhammad Jarir Umar pada 23 Jun 2026.
Semoga hubungan Fatima dan Jarir terus erat serta membesar dengan penuh kasih sayang antara satu sama lain.
Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!
Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

