
Menengking anak mungkin berlaku apabila ibu ayah hilang sabar selepas si kecil melakukan kesalahan berulang kali. Suara mula meninggi, marah bertukar menjadi jeritan dan ada masanya kita merasakan cara itu perlu supaya anak benar-benar faham.
Namun sebenarnya, mendidik anak tidak semestinya perlu dilakukan dengan kemarahan.
Ada perbezaan besar antara marah dan bertegas. Tegas bermaksud ibu ayah masih menetapkan batas, menjelaskan kesalahan dan memastikan anak memahami peraturan, tetapi tanpa perlu menengking, mengugut atau membuatkan mereka sentiasa berada dalam ketakutan.
Parenting Influencer, Mohd Fhais Salim menerusi perkongsiannya mengingatkan ibu bapa supaya tidak terlalu garang ketika mendidik anak kerana dibimbangi memberi kesan kepada emosi mereka.

Menengking Anak Boleh Buat Si Kecil Terperangkap Dalam ‘Fear Loop’
Menurut perkongsian Mohd Fhais, anak boleh mengalami apa yang digambarkan sebagai ‘fear loop’ apabila mereka dibesarkan dalam suasana yang terlalu keras dan menakutkan.
Antara perkara yang perlu dielakkan ialah:
- terlalu kerap marah
- menjerit
- menengking
- memukul
- mendidik dengan terlalu keras
- menggunakan pendekatan yang kasar
Apabila perkara sebegini berlaku secara berulang, anak mungkin mula sentiasa berasa takut dan berjaga-jaga walaupun ketika mereka tidak melakukan kesalahan.
Keadaan ini boleh menjadi lebih mencabar bagi kanak-kanak yang mempunyai tahap sensitiviti emosi yang tinggi.
Jeritan Ibu Ayah Boleh Kekal Dalam Ingatan Anak
Bagi orang dewasa, mungkin selepas marah kita sudah melupakannya beberapa minit kemudian.
Namun bagi anak, pengalaman dimarahi atau menengking anak dengan suara yang kuat boleh meninggalkan kesan emosi yang lebih lama.
Menurut beliau lagi, satu jeritan daripada ibu ayah boleh terus bermain dalam fikiran anak sehingga mereka membesar.
Sebab itu, apabila anak melakukan kesalahan, ibu ayah perlu berhati-hati dalam memilih cara untuk menegur.
Matlamat mendidik bukan sekadar mahu anak berhenti melakukan sesuatu kerana takut, tetapi mahu mereka memahami mengapa sesuatu perbuatan itu salah dan belajar membuat pilihan yang lebih baik selepas itu.

Bila Anak Selalu Takut, Tingkah Laku Juga Boleh Berubah
Anak yang terlalu kerap berdepan kemarahan mungkin menunjukkan perubahan dalam tingkah laku dan emosi.
Antara yang dikongsikan ialah anak boleh menjadi:
- lebih penakut
- cenderung menyembunyikan perkara kerana takut dimarahi
- keras kepala
- mudah memberontak
- sukar mengawal emosi
- bertindak secara impulsif
Tidak semua kanak-kanak akan memberikan reaksi yang sama kerana setiap anak mempunyai personaliti, pengalaman dan tahap sensitiviti yang berbeza.
Namun satu perkara yang perlu ibu ayah fahami, suasana rumah yang sentiasa tegang boleh membuatkan anak lebih sukar berasa selamat untuk meluahkan perasaan atau mengakui kesalahan.
Tegas Tidak Bermaksud Perlu Menengking Anak
Ada ibu ayah yang bimbang jika terlalu lembut, anak akan menjadi semakin tidak mendengar kata.
Sebenarnya, mendidik tanpa jeritan tidak bermaksud membiarkan anak melakukan apa sahaja.
Ibu ayah tetap boleh bersikap tegas. Sebagai contoh, jika anak membaling mainan ketika marah, ibu boleh berkata dengan nada tenang tetapi jelas:
“Adik boleh marah, tapi adik tak boleh baling barang. Kalau baling lagi, ibu simpan mainan ini dahulu.”
Ayat seperti ini masih mempunyai batas dan akibat yang jelas, tetapi tidak menggunakan ketakutan sebagai cara untuk mendapatkan kepatuhan.
Berbanding menengking anak, pendekatan seperti ini masih membolehkan ibu ayah menunjukkan ketegasan sambil membantu anak memahami batas yang telah ditetapkan.
Anak Perlukan Ibu Ayah Sebagai Tempat Selamat
Dalam proses membesarkan anak, pasti ada hari ibu ayah terlalu penat dan hilang kesabaran.
Namun apabila kita sedar bahawa suara, reaksi dan cara kita menegur boleh memberi kesan kepada emosi anak, mungkin kita boleh mula memperlahankan tindak balas sebelum marah atau menengking anak.
Mereka perlukan ibu ayah yang tegas, konsisten dan tetap menjadi tempat paling selamat untuk mereka kembali. Mengurangkan tabiat menengking anak bukan bermaksud mengabaikan disiplin, sebaliknya memilih cara yang lebih tenang untuk menyampaikan batas dan peraturan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

