
Mengidam lemon semasa hamil sering berlaku secara tiba-tiba, sampai lemon pun nampak macam “penyelamat”. Jangan terkejut, ramai ibu hamil melalui fasa ini. Ada yang tak boleh bau masakan, tapi bila nampak lemon, terus rasa lega.
Persoalannya, adakah keinginan ini sekadar mengidam biasa atau sebenarnya memberi manfaat kepada tubuh? Dan selamatkah jika lemon diambil setiap hari sepanjang kehamilan?

Secara umumnya, mengidam makanan masam seperti lemon bukanlah sesuatu yang pelik. Beberapa kajian klinikal menunjukkan keinginan ini mungkin berkait rapat dengan perubahan hormon seperti estrogen dan progesteron. Hormon ini boleh mempengaruhi deria rasa dan bau, menyebabkan ibu lebih cenderung kepada makanan tertentu, termasuk yang masam.
Selain itu, tubuh ibu hamil juga mungkin memberi isyarat memerlukan lebih vitamin C. Lemon merupakan sumber vitamin C yang tinggi, yang penting untuk meningkatkan imuniti, membantu penyerapan zat besi dan menyokong perkembangan bayi.
Tidak hairanlah ramai ibu mengatakan lemon membantu mengurangkan rasa loya atau morning sickness, terutama pada trimester pertama. Rasa masam dari lemon boleh memberikan kelegaan sementara dan menjadikan ibu lebih selesa.

Kebaikan Mengidam Lemon Semasa Hamil Jika Diambil Secara Sederhana
Jika diambil dalam jumlah yang sesuai, lemon sebenarnya memberi beberapa manfaat kepada ibu hamil:
Meningkatkan Sistem Imun
Vitamin C dalam lemon bertindak sebagai antioksidan yang melindungi tubuh daripada jangkitan seperti selesema dan batuk.
Membantu Penghadaman
Lemon boleh membantu melancarkan penghadaman. Air lemon suam mampu merangsang penghasilan enzim pencernaan, sekaligus mengurangkan masalah perut kembung dan rasa tidak selesa selepas makan.
Mengatasi Sembelit
Ia juga boleh membantu mengatasi sembelit, masalah yang sangat biasa dialami semasa hamil. Lemon merangsang penghasilan hempedu dan membantu pergerakan usus menjadi lebih lancar.

Risiko Jika Mengidam Lemon Semasa Hamil Secara Berlebihan
Walaupun ada manfaat, pengambilan lemon secara berlebihan boleh membawa kesan yang kurang baik.
Pedih Ulu Hati
Kandungan asid sitrik dalam lemon boleh meningkatkan keasidan dalam perut, sekali gus memburukkan simptom heartburn yang memang mudah berlaku semasa hamil.
Hakisan Enamel Gigi
Asid dalam lemon juga boleh menghakis enamel gigi. Jika diamalkan tanpa penjagaan mulut yang baik, ia boleh menyebabkan gigi menjadi sensitif dan meningkatkan risiko kerosakan gigi.
Ketidakselesaan Perut
Pengambilan berlebihan juga boleh menyebabkan ketidakselesaan perut seperti memulas, angin dan rasa mual yang berpanjangan, terutama jika tidak diimbangi dengan makanan lain.
Tips Selamat Mengawal Mengidam Lemon Semasa Hamil
Jika anda mengidam lemon, tidak perlu risau, tetapi amalkan dengan cara yang betul. Ambil dalam kuantiti sederhana seperti memerah sedikit lemon ke dalam air suam.
Gunakan straw jika minum air lemon bagi mengurangkan sentuhan asid dengan gigi. Paling penting, elakkan pengambilan lemon jika anda mempunyai masalah gastrik atau pedih ulu hati yang teruk.
Kesimpulan
Mengidam lemon semasa hamil adalah perkara normal dan boleh memberi manfaat jika diambil secara sederhana. Namun, seperti makanan lain, keseimbangan adalah kunci. Dengarkan tubuh anda, tetapi jangan abaikan kesan jangka panjang terhadap kesihatan.
Jika ragu-ragu, sebaiknya rujuk doktor untuk memastikan apa yang diambil benar-benar selamat untuk ibu dan bayi.
Menarik: Detailed Scan Ibu Hamil Kenapa Penting & Wajib Jika Mampu!
Hamil Kali Pertama Tak Perlu Panik, Ini 9 Persediaan Untuk Bakal Ibu/
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





