Momen Sweet Bertukar Lucu, Suami Nina Ismail Sabri Ingat Kit Ujian Hamil Test Covid!

Share

Berita kehamilan selalunya menjadi momen paling manis untuk pasangan suami isteri. Ada yang memilih untuk mengumumkannya dengan cara kreatif, ada juga yang sekadar memberikan kejutan ringkas. Namun, buat Nina Sabrina Ismail Sabri, momen indah itu bertukar lucu apabila suaminya, Hafiz Osman, menyangka kit ujian kehamilan sebagai kit ujian Covid-19!

Kejutan Di Jepun

Menerusi perkongsian di laman Threads, Nina menceritakan bagaimana dia mula menyedari dirinya berbadan dua ketika berada di Jepun. Demi kepastian, beliau melakukan ujian sehingga tiga kali sebelum berani berkongsi berita gembira itu.

“Petang itu kami ke kafe kegemaran, hanya kami berdua. Saya hulurkan beg kertas yang berisi kit ujian kehamilan itu,” jelas Nina.

Namun, reaksi Hafiz ternyata di luar jangkaan. Sebaik melihat kit kecil berkenaan, Hafiz spontan berkata, “Awak positif Covid? Jadi esok kita tak boleh fly balik la?”

Daripada momen ‘sweet’, terus bertukar ketawa berdua!

Kit Ujian Kecil Jadi Punca Salah Faham

Menurut Nina, kit ujian kehamilan yang dijual di Jepun memang bersaiz kecil dan mirip seperti kit ujian kendiri Covid-19. Tidak hairanlah jika suaminya tersalah faham pada awalnya.

Momen itu bukan sahaja membuatkan pasangan ini ketawa besar, malah turut mencuit hati warganet yang membaca perkongsian Nina. Ramai yang terhibur dengan gelagat mereka dan pada masa sama mendoakan kehamilan Nina dipermudahkan.

Bakal Sambut Cahaya Mata

Untuk info, Nina dan Hafiz mendirikan rumah tangga pada November 2023. Pasangan ini kini menanti kehadiran cahaya mata pertama bersama-sama.

Sebelum ini, Nina pernah mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Jeanelle Nika Mandagie, yang kini berusia lapan tahun.

Doa Dari Peminat & Keluarga

Khabar gembira ini sememangnya disambut dengan penuh syukur dan kegembiraan. Peminat serta rakan terdekat tidak putus-putus menitipkan ucapan tahniah buat pasangan ini.

Buat ibu ayah di luar sana, kisah Nina dan Hafiz mengingatkan kita bahawa momen kecil dalam rumah tangga — walaupun penuh salah faham lucu — tetap akan jadi kenangan paling manis dalam perjalanan bergelar ibu bapa.

Published by
Nana