
Kebanyakkan ibu bapa berfikir bahawa bayi baru lahir tidak memerlukan mainan, tapi tanggapan tersebut kurang tepat. Bayi 0-6 bulan memerlukan mainan untuk membantu pertumbuhannya, merangsang skill motor, sensori dan anak akan menjadi lebih cerdas.
Bermain merupakan proses pembelajaran yang amat penting untuk permulaan kehidupan anak-anak. Bayi akan cepat belajar melalui barang permainan mereka. Inilah contoh-contoh mainan yang membolehkan anak 0-6 bulan menjadi cerdas dan bijak.
5 MAINAN YANG MEMBOLEHKAN ANAK BIJAK DARI 0-6 BULAN
“Mainan pun membawa kesan terhadap berkembangan minda anak ke?”
Mestilah, mommy-mommy pun kena bijak dan pandai memilih mainan yang sesuai dengan usia mereka.
Sebenarnya, ada beberapa contoh permainan anak yang mendidik. Walaupun ramai ibu bapa menganggap “alah anak baru lahir, tak payah lah nak main mainan sangat!” Tapi, ternyata pendapat macam tu tak betul okay. Sebab mainan ni membantu perkembangan si kecil.
“Jadi apa mainan tu?”Hah, jomm akak terangkan 1 per 1 beberapa jenis mainan yang mendidik.

Selepas anak dilahirkan, mata mereka ni belum sempurna untuk melihat. Kalau mommy nak tau, dia hanya dapat melihat warna hitam putih dengan jarak pandang sekitar 10 ke 25 cm ketika berusia 0-1 bulan saja.
Tapi pandangan mata si kecil akan bertambah baik seiring dengan waktu.
Jadi untuk permulaan, mommy boleh tunjukkan si kecil gambar hitam putih dan dia akan memerhatikannya tanda tertarik dengan gambar tersebut.
Kemudian mommy gerakkan gambar hitam putih itu lalu amati adakah si kecil mengikut arah gambar tersebut. Mommy boleh try masa bayi berusia satu hingga dua bulan.

Play gym ni salah satu mainan yang mendidik. Sebab mainan gantung dapat membantu merangsangkan pancaindera bayi usia satu hingga empat bulan.
Lepas tu si kecil akan tersenyum kalau nampak mainan ini berpusing di hadapannya.
Apatah lagi mainan gantung ini boleh berbunyi dan bergerak sendiri di atas bulatannya. Sekaligus menarik minat bayi untuk bermain.

Kalau anak dah berusia lima bulan, bayi sudah boleh menggosokkan tangannya terhadap pelbagai permukaan. Jadi mommy bolehlah bagi anak mainan dengan pelbagai tekstur bagi merangsang minda si kecil.
Perkenalkan buku lembut yang dibuat dari kain dan memiliki tekstur yang berbeza pada setiap halamannya. Kemudian, bacakan cerita setiap hari sebelum tidur, sekaligus menarik minatnya membaca buku sejak kecil.
Pilih buku yang mempunyai jalan cerita yang tidak terlalu panjang hanya beberapa patah ayat saja dalam satu halaman.

Kalau anak mommy dah pandai merangkak, mainan bola membantu merangsang kemampuannya untuk terus merangkak.
Apatah lagi, dia dapat sentuh dan mendapatkan bola tersebut ketika bergerak. Begitulah seterusnya. Sampailah mommy dapat melihat si kecil tangkas semasa merangkak demi mendapatkan bola yang berada di hadapan matanya.
Pastikan mommy memilih bola yang mempunyai pelbagai tekstur, boleh berbunyi apabila dipicit dan lembut.

Mainan lembut ini dapat meransang pergerakan tangan mereka, kalau mereka tengah baring. Mommy boleh bagi maianan lembut ni untuk anak fokus pada sesuatu benda
Sumber:Facebook Aizah Zarirah
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak Cepat Dapat Kaki, Lambat Sikit Mulutnya. Usia Kandungan Masa Lahir Main Peranan

Perkembangan anak menjadi fokus utama ibu bapa sejurus selepas lahir. Ia tidak dinafikan sangat mustahak untuk memastikan pencapaian si kecil sentiasa seiring perkembangan usia.
Namun harus diingat, bayi bukanlah individu yang sama, banyak faktor yang menjadikan mereka berbeza. Sama seperti insan dewasa, personaliti juga sudah mula diperlihatkan sejak lahir lagi.
Bayi, lebih variasi perkembangannya kerana terdapat beberapa faktor yang memainkan peranan penting. Antaranya usia sejarah kelahiran, personaliti dan halangan. Bayi bukanlah one size fits all, setiap daripada mereka variasi.

Ibu ayah jangan terlalu tertekan dengan kelambatan penguasaan bayi dan ambil kira faktor pendedahan yang diperolehi si kecil. Perkongsian daripada Uswatun Hasanah Mohd Habib, Konsultan Tangisan Bayi ini boleh dijadikan panduan.
Ada beberapa kali saya mendapat mesej dari ibu bapa yang ‘cemas’ bila anak mereka lambat dalam sesuatu: lambat merangkak, lambat meniarap, lambat berjalan…
Perkembangan motor bukan bidang saya. Namun, saya ambil peluang ini memberi input dari perspektif perkembangan otak anak kerana ia tetap ada kaitan dengan perkembangan motor anak. Harapnya agar dapat bantu legakan hati ibu ayah di luar sana.
Apa yang membuat anak kita bervariasi?
Sejarah kelahiran
➡ Bayi A yang lahir pada 2 April 2019 pada usia 37 minggu TAK SAMA dengan bayi B yang juga lahir pada 2 April 2019 pada usia 32 minggu juga TAK SAMA dengan bayi C yang juga lahir pada 2 April 2019 pada usia 41 minggu.

Pepatah ‘ age is just a number ‘ or ‘ age does not matter ‘ adalah benar untuk orang dewasa tetapi tak benar untuk bayi. Perbezaan usia hatta beberapa minggu itu besar ‘kesannya’.
Perkembangan otak berkait langsung dengan usia. Usia pula di kira dari tarikh anak mula di kandung (di senyawakan mungkin lebih tepat), dan bukan dari tarikh hari pertama anak melihat dunia (hari lahir).
Otak bayi berkembang di dalam dan luar rahim. Maka tentulah otak bayi yang lahir 3 minggu awal berbeza dengan otak bayi yang lahir cukup bulan, tepat 40 minggu misalnya.
Jadi, sebelum nak banding anak atau gabra periksa carta perkembangan motor anak, periksa usia sebenarnya terlebih dahulu. Anak bukan sedulang biskut raya yang masak pada masa yang sama ketika keluar dari ketuhar.
Personaliti
➡Anak bukan sedulang biskut raya yang serupa bentuk dan rasa dengan tujuan semata-mata untuk di ‘ngap’ oleh mulut manusia.
Anak lahir dengan rupa dan perwatakan yang tersendiri dengan tujuan mengurus dunia sebagai ahli politik, doktor, guru dan ahli perniagaan misalnya.
Sejak hari pertama dilahirkan, anak akan menunjuk minat atau kecenderungan yang sesuai dengan personalitinya. Dia akan menghabiskan banyak masa berlatih bakat dan meneroka bidang minatnya.
HANYA SETELAH DIA PUAS DAN MENGUASAI MINATNYA, BARULAH ANAK AKAN BERALIH MENGUASAI BIDANG YANG DIA KURANG MINAT PULA.
Tak faham? Baik. Sebagai contoh, pada usia 8 minggu (+/- dah tentu!), semua anak akan mengalami 1 perkembangan otak yang membolehkan dia memasuki dunia corak (pattern). Iaitu anak akan MULA MENEROKA corak, bentuk, warna dan tekstur. Penerokaan ini bukan hanya secara visual (mata) tetapi menggunakan kesemua derianya. Anak bukan hanya meneroka dunia corak di sekelilingnya tetapi juga yang didalam badan atau sistemnya.
Maka, anak dengan personaliti ‘athletic’ (cenderung guna fizikal), akan menghabiskan banyak masa mengkaji tangannya misalnya. Bukankah tangan kita semua ada bentuk khusus? Maka, anak akan banyak merenung tangannya, cuba menggerakkan jari-jarinya atau lengannya dan akan mula masukkan jari ke dalam mulutnya. Ini semua bagi tujuan mengenal pasti ‘apa itu tangan dan apa yang tangan boleh buat’.
Anak yang lebih ‘chill’ pula akan seperti banyak termenung. Sebenarnya, dia menikmati dunia corak di sekelilingnya. Misalnya dia nampak ‘layan’ melihat sinar cahaya matahari yang menembusi biliknya, atau kusyuk menatap kertas dinding berwarna-warni rumahnya.

Anak minat bersosial pula akan mula banyak bunyi. Contohnya anak gemar buat bunyi pendek-pendek seperti ‘uh..uh..uh’ bila dia teruja melihat susunan tin berwarna-warna di rak kedai atau bila lihat kelibat ibunya. ‘Uh..uh..uh’ juga adalah sejenis corak iaitu corak bunyi yang boleh di hasilkan oleh peti suara manusia. Bayi juga akan suka menoleh dan mencari sumber bunyi sekeliling.
Nah! Perkembangan otak yang sama, namun sudutnya saja yang berbeza. Adakah anak yang ‘chill’ dan suka termenung menghayati alam itu akan akhirnya jadi tak mampu dan tak pandai meniarap, merangkak atau berjalan ? TIDAK, cuma mungkin lewat sedikit saja dia menguasainya berbanding rakannya yang bersikap ‘athletic’.
Bayi TIDAK BOLEH menguasai banyak perkara berbeza dalam sesuatu masa. Maka, ada benarnya kata orang tua-tua; ‘anak yang cepat kaki, lambat sikit mulutnya’.
‘Halangan’ situasi tertentu
➡Pada usia +/- 26 minggu (6 bulan), anak mengalami 1 perkembangan mental yang membolehkannya masuk dunia hubungan.
Bermula usia ini, anak lebih ‘mobil’ (banyak pergerakan) kerana bukan sahaja anak telah faham ‘corak’ tangan dan bahagian badannya yang lain seperti yang dia telah pelajari dalam dunia corak pada sekitar usia 8 minggu dahulu, tetapi kini dalam dunia hubungan, anak telah pandai menyelaraskan pergerakkan kesemua anggota badannya dan hasilnya ↪ramai bayi mula merangkak /mengengsot bermula usia ini.
Namun, kemampuan otak bayi memahami dunia hubungan ini saja tak cukup. Bayi yang ‘tembam’ misalnya mungkin jadi kurang minat dan kurang selesa nak merangkak kerana beban berat walaupun dia sebenarnya tahu , minat dan boleh merangkak.
Sekali lagi, anak bukan kuih raya yang kalau terhangus atau tak jadi seperti yang di harapkan, boleh di bakul sampahkan bila muncul sesuatu halangan. Ibu ayah empatilah dengan kesukaran semasa yang di hadapi anak.
Faktor-faktor tambahan lain
➡Manusia itu cemerlang dengan dorongan. Namun dorongan mesti betul, iaitu yang mengambil kira diri bayi seadanya dia.

Anak yang ‘athletic’ mungkin tak kisah berlatih meniarap (tummy time) dengan kerap dan agak lama sejak hari pertama. Maka, jika anak ini memiliki pula ibu ayah yang rajin ‘melayan’ buat ‘tummy time’ dengannya, tak hairan lah dia cepat menguasai meniarap misalnya.
Namun, anak yang bukan berpersonaliti ‘athletic’ dan di paksa-paksa lebih dari hadnya untuk dia berlatih ‘tummy time’, mungkin akan mula takut untuk mencuba kerana mengaitkan aktiviti meniarap itu sebagai pengalaman buruk.
Contoh lain, jika seorang anak itu memiliki ibubapa yang bersikap ‘intuitive’ :pandai ‘membaca’ kemahuan dan keperluan anak sebelum atau tanpa perlu di minta, maka anak merasa ‘tiada keperluan’ untuk dia banyak buka mulut. Maka, anak mungkin kelihatan ‘berat mulut’ untuk berlatih cakap, namun, tau-tau saja anak sudah terus pandai buat ayat penuh pada usia 16 bulan misalnya!.

JANGAN OBSES MEMBANDING
*** Pokoknya, usahlah ibu bapa terlalu obses membanding perkembangan anak secara melulu. Anak yang pandai berjalan pada usia 10 bulan itu tak ada beza kualiti jalannya dengan anak yang pandai berjalan pada usia 16 bulan ketika kedua-duanya berusia 3 tahun. Tiada siapa yang boleh beza ‘siapa pandai jalan terlebih dahulu’ kecuali bila ibu yang bercerita.
Anak itu bervariasi. ‘Bervariasi’ dan ‘berbeza’ itu lain maksudnya. Jika ibu rasa anaknya ‘berbeza’ (tak macam anak lain) dan ibu risau tentang hal ini, rujuklah doktor anak anda untuk pengesahan.
Sumber: Baby Language
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Corak Tidur Bayi Berubah Ikut Umur, Mama Papa Jangan Pelik. Paling Mustahak Pastikan Tidur Cukup!

Mama papa jangan pelik kalau corak tidur bayi berubah! Yang penting, pastikan tidur cukup kalau nak anak bijak!
Tahun pertama kehidupan si kecil tahun menyaksikan pertumbuhan dan perkembangan yang luar biasa dan drastik. Demikian juga corak dan tempoh masa tidur juga berubah.
5 SEBAB TIDUR PENTING BAGI BAYI
Janin dalam kandungan tidur selama 16 hingga 20 jam sehari manakala bayi yang baru lahir akan tidur 16 hingga 17 jam sehari. Kebanyakan mereka tidak akan berada dalam keadaan jaga hanya dua hingga empat jam sehari pada minggu-minggu pertama kehidupan mereka. Rapid Eye Movement (REM) yang berlaku pada 60% hingga 80% dalam tempoh fasa tidur aktif menyaksikan aktiviti otak. Peratusan REM akan menurun seiring peningkatan usia. Ini menjawab kenapa bayi dan kanak-kanak tidur lama dan apakah kepentingannya kepada perkembangannya.
1.Doktor percaya REM ini akan memberikan peluang kepada otak untuk ‘aktif’ menerima stimulasi dan selain daripada rangsangan melalui aktiviti sensori fizikal.
2.Tidur amat penting untuk perkembangan neural kerana ketika tidur, bahagian otaknya dirangsang.
3.Pada masa bukan fasa REM, tidur akan memberikan si manja rehat dan salah satu proses menyegarkan kembali tubuh.
4.Kajian yang dilakukan mendapati kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang cukup boleh mengalami pembangunan neurologi yang terjejas.
5.Kanak-kanak yang mendapat tidur yang cukup akan menjadi lebih peka, cukup rehat, ceria dan bersedia untuk menerokai ilmu baru.

Purata bayi daripada lahir hingga satu tahun akan mengalami pertambahan berat sebanyak tiga kali ganda dan pertumbuhan ketinggian yang ketara dalam satu tahun pertama. Dan itu tidak semua – antara kelahiran dan 12 bulan, bayi anda akan belajar meniarap, duduk, merayap dan merangkak dan mungkin juga berjalan.
CORAK TIDUR BAYI BARU LAHIR – 3 BULAN
Bayi yang baru lahir secara purata keperluan tidurnya ialah kira-kira 16-17 jam sehari! Tetapi tidurnya masih belum tetap. Bayi baru lahir perlu menyusu setiap 2 hingga 4 jam sekali dan kebanyakan bayi baru tidur selama satu atau dua jam pada satu masa (dan kadang-kadang kurang dari itu!)
Pada usia 4-6 minggu, bayi yang baru lahir memerlukan lebih kurang 14-16 jam setiap hari. Pada usia 8 minggu, bayi akan mula tidur untuk tempoh yang lebih pendek pada siang hari dan tidur lebih lama pada waktu malam (walau bagaimana pun bayi akan tetap bangun beberapa kali setiap malam untuk menyusu).
Walaupun corak tidur ini meletihkan untuk anda, yakinlah bahawa bayi lama kelamaan akan mula menetapkan waktu tidurnya. Jangan risau fasa berjaga malam yang sedang dilalui pada peringkat ini tidak akan kekal lama!

CORAK TIDUR DARI 3 – 6 BULAN
Bagi bayi yang berumur 3 atau 4 bulan, anda akan mungkin mendapati corak tidurnya mulai tersusun. Tidur siangya juga lebih singkat dan tidur malam yang lebih lama (walaupun tidak semua bayi mengalaminya.) Jika bayi anda mula membuat jadual tidurnya sendiri, perhatikan bila waktunya mengantuk dan tidur setiap hari.
Tidur siang juga boleh menjadi lebih jelas pada ketika ini. Bayi berumur 4 bulan memerlukan kira-kira 5 kali tidur siang; bayi 6 bulan memerlukan lebih seperti 3 atau 4 tidur siang setiap hari. Jangan bimbang jika tidur siang ini tidak berlaku pada waktu yang sama setiap hari. Ia normal!
Semasa peringkat usia ini, regresi tidur 4 bulan boleh berlaku. Ini adalah titik di mana pola tidur bayi anda berubah secara kekal; itu juga sebab mengapa beberapa bayi yang telah tidur bayi menjadi tidak tetap tanpa sebab. Tiba-tiba dia akan berjaga kerap dan kurang tidur. Ini juga merupakan titik di mana anda boleh memulakan latihan tidur bayi anda (walaupun ini adalah usia yang paling awal yang disyorkan untuk pembinaan tidur, jadi ia juga perlu menunggu lebih lama.)
Walau bagaimana pun, mama dan papa perlu tahu yang ramai bayi berumur 6 bulan masih memerlukan 1 – 2 kali waktu menyusu pada waktu malam. Bayi anda akan tidur lebih lama pada waktu malam dan tidur dalam tempoh yang lebih pendek pada waktu siang.

CORAK TIDUR DARI 7 – 9 BULAN
Pada usia 7 bulan, kebanyakan bayi sudah bersedia mengikuti jadual waktu tidur yang dianggarkan dalam bentuk carta walaupun tidak semestinya perlu dipatuhi 100%. Pada 7 bulan, bayi anda memerlukan antara 2 atau 3 tidur pada waktu siang (tidur kali ketiga mungkin akan menjadi lebih singkat, jika bayi anda mengambil 3 kali tidur siang). Walau bagaimanapun, semasa 8 bulan, bayi akan beralih kepada dua kali tidur pada waktu siang iaitu tidur tengah hari dan tidur petang.
Jangan lupa bahawa regresi tidur masih boleh berlaku pada masa ini dan ia boleh mengganggu tidur bayi. Regresi tidur yang berlaku sekitar 8 atau 9 bulan kebanyakannya disebabkan oleh perkembangan fizikal bayi anda sedang mengalami masa ini – belajar merangkak, mencuba untuk berdiri, berpaut dan mungkin bertatih!
Bayi akan tetap bangun untuk menyusu sekurang-kurangnya sekali pada waktu malam dianggap biasa pada ketika ini pada sekitar usia 9 bulan. Ini akan membantu anda menentukan sama ada bayi anda masih memerlukan satu kali sesi penyusuan pada waktu malam.

CORAK TIDUR DARI 10 – 12 BULAN
Bayi pada usia ini kebanyakannya akan tidur sepanjang malam dan tidak perlukan penyusuan pada waktu malam. Walau bagaimanapun ada sesetengah bayi akan terus memerlukan sekurang-kurangnya sekali penyusuan semasa waktu tidur malamnya. Kebanyakan bayi mengambil dua tidur siang setiap hari semasa usianya 10 bulan dan berkurangan kepada sekali sahaja pada usia 12 bulan hingga 18 bulan.
Pada ketika ini, jika bayi anda masih tidak mempunyai jadual waktu siang yang boleh diramal. Jadi mama dan papa bolehlah cuba menentukan pukul berapa yang sesuai untuk tidur siang. Ini akan membantu memastikan bayi anda mendapat tidur yang cukup dan tidurnya teratur dengan baik (iaitu dia tidur cukup nyenyak, tetapi tidak memberi kesan kepada tidurnya pada waktu malam).
Pada usia ini, mama dan papa boleh memastikan bayi mempunyai waktu tidur yang konsisten. Waktu tidur yang konsisten merupakan komponen penting dalam jadual harian yang baik. Terdapat juga bukti untuk mencadangkan bahawa mewujudkan tabiat pada usia awal untuk tidur pada waktu yang sama setiap malam boleh memberi manfaat kepada anak- apabila mereka melangkah ke peringkat persekolahan. Kanak-kanak yang tidur pada waktu yang sama setiap malam dan mendapat tidur cukup berkelakuan lebih baik dan boleh mempunyai preastasi yang bagus di sekolah.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak Lambat Berjalan, Usia Sudah 18 Bulan, Ibu Bapa Kena Tahu Faktor Penyebab

Anak lambat berjalan, usia sudah 18 bulan, ibu bapa kena tahu faktor penyebab. Bila usia anak sudah hampir 2 tahun namun masih lagi tidak boleh berjalan, ibu bapa yang tidak bimbang.
Anak Lambat Berjalan, Usia Sudah 18 Bulan
Melihat anak orang lain yang sebaya sudah boleh berjalan, sudah tentu timbul perasaan tidak sedap hati di kalangan ibu bapa. Jika ini yang berlaku kepada si kecil anda, cuba perhatikan antara faktor yang menjadi punca seperti dikongsikan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad.
PERKEMBANGAN KANAK-KANAK YANG LEWAT BERJALAN
Kebanyakan kanak-kanak sudah mampu berjalan pada umur setahun. Secara umum 85% kanak-kanak mula berjalan tanpa berpegang sekitar umur antara 10-14 bulan. Sekiranya anak anda belum mampu berjalan semasa umurnya mencecah 18 bulan, beliau boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang lewat berjalan.

Kemampuan berjalan adalah suatu tahap perkembangan yang sangat penting bagi seseorang kanak-kanak. Selain itu terdapat tahap-tahap perkembangan otot kasar (gross motor) lain yang boleh diperhatikan di peringkat lebih awal.
Ibu Bapa Kena Tahu Faktor Penyebab
Berikut ialah kemampuan otot kasar serta umur yang mana seseorang bayi sepatutnya mencapai perkembangan tersebut:
• Kawalan kepala – Umur 3 bulan
• Kaki memijak – Umur 4 bulan
• Meniarap – Umur 6 bulan
• Duduk tanpa bantuan – Umur 9 bulan
• Berdiri tanpa sokongan – Umur 12 bulan
Apakah punca yang menyebabkan seseorang kanak-kanak itu lewat berjalan?

Sekiranya seseorang bayi didapati lewat berjalan, salah satu daripada faktor-faktor berikut mungkin boleh berperanan:
1. Faktor keluarga atau keturunan
Sekiranya ibu atau bapa kanak-kanak tersebut sendiri mengalami masalah lewat berjalan semasa mereka kecil, anak mereka mungkin menghadapi masalah yang sama disebabkan faktor keturunan. Walau bagaimanapun sekiranya ibu atau bapa mampu berjalan semasa berumur 2 tahun serta tiada masalah perubatan yang lain, kemungkinan besar tiada apa yang perlu dirisaukan tentang anak mereka.
2. Kelahiran pra matang
Secara umumnya bayi yang dilahirkan pra matang atau ‘premature’ akan mengalami sedikit kelewatan perkembangan secara keseluruhan, termasuk lewat berjalan. Jadi kelewatan sekitar 2-3 bulan mungkin tidak menjadi masalah, bergantung kepada tahap bayi tidak matang tersebut semasa lahir.

3. Cerebral palsy
a) Kanak-kanak yang menghadapi masalah cerebral palsy biasanya boleh dikesan di peringkat awal, terutama sekiranya mereka mempunyai risiko-risiko berkaitan seperti lemas semasa kelahiran atau kelahiran kurang matang. Walau bagaimanapun ada kanak-kanak cerebral palsy hanya dikesan apabila mereka diperiksa oleh doktor kerana lewat berjalan.
b) Kanak-kanak cerebral palsy umumnya mengalami kekejangan otot serta kesukaran menggerakkan anggota badan dengan baik. Contohnya, mereka sukar duduk bersila tetapi memilih untuk duduk dengan kaki dilipat ke belakang (posisi ‘W’), atau mereka tidak merangkak secara normal tetapi lebih kepada mengheret kaki.
Baca artikel lain juga: Anak Tiba-Tiba Tak Boleh Berjalan, Mengadu Sakit Tekak Telinga, Jangan Biarkan!
Bawa Anak Berjalan Waktu Kecil Lebih Untung, Banyak Tempat Masuk Walaupun Penat Tapi Anak Happy
Senyum Comel Belajar Berdiri. Dah Boleh Imbang Badan, Sikit Lagi Rina Pandai Berjalan!
Lewat perkembangan secara umum:
a) Ini bermaksud masalah lewat berjalan kanak-kanak tersebut adalah sebahagian daripada lewat perkembangan dalam aspek lain seperti bercakap, komunikasi, sosial, kemahiran tangan dan kognitif (berfikir).
b) Terdapat banyak punca-punca lewat perkembangan global. Antaranya ialah masalah sindrom seperti Down syndrome, kecederaan otak disebabkan lemas atau jangkitan kuman, atau pelbagai penyakit kronik yang lain.
Masalah otot:
a) Ini termasuk penyakit-penyakit yang dikenali sebagai muscular dystrophy, spinal muscular atrophy dan congenital myopathy. Penyakit-penyakit ini menyebabkan banyak otot-otot badan menjadi lemah.
b) Tanda-tanda awal mungkin boleh dikesan semasa peringkat bayi dan kanak-kanak lagi. Antaranya ialah bayi terasa lembik semasa digerakkan, kawalan kepala yang lemah dan kurang kekuatan pergerakan kaki dan tangan. Oleh itu mereka biasanya lewat berjalan, bahkan ada yang langsung tidak mampu berjalan atau berdiri.
Bilakah anak saya perlu dibawa untuk pemeriksaan sekiranya disyaki lewat berjalan?
Kebiasaannya kanak-kanak di Malaysia akan diperiksa pada umur setahun semasa ketika pengambilan suntikan imunisasi. Sekiranya anak anda masih tidak mampu berdiri semasa berumur setahun atau mengalami masalah perkembangan lain, anak anda mungkin akan dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Secara umumnya, kanak-kanak yang tidak mampu berdiri semasa berumur setahun dan tidak berjalan semasa berumur 18 bulan perlu diperiksa oleh doktor. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar kanak-kanak. Walau bagaimanapun itu tidak semestinya bermakna kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


