Musim Anak Batuk & Sakit Tekak. Cuba Petua Pir Singo Kukus, Legakan Secara Semula Jadi

Share

Musim hujan dan cuaca tidak menentu sering menjadi punca anak-anak mudah diserang batuk serta sakit tekak. Lebih-lebih lagi selepas pulang daripada percutian panjang, sistem imun mereka mungkin sedikit lemah, menjadikan tubuh lebih mudah terdedah kepada jangkitan.

Sebagai ibu bapa, sudah tentu kita risau bila melihat anak batuk berpanjangan dan tekak mereka perit. Selain rawatan moden, ada juga petua tradisional mudah yang boleh dicuba di rumah untuk membantu meredakan gejala ini secara semula jadi.

Petua Pir Singo Kukus

Menerusi perkongsian seorang ibu di Instagram @nurul_razali, beliau mengamalkan resipi ringkas menggunakan buah pir singo yang dikukus bersama ramuan lain. Katanya, ia bukan sahaja membantu melegakan tekak anak, malah mengurangkan rasa tidak selesa akibat batuk.

Bahan-bahan:

  • 1 biji buah pir singo (jenis berkulit coklat)

  • 1 inci halia dihiris nipis

  • 3–4 biji beri goji

  • Sedikit air

  • Gula batu atau madu (ikut cita rasa)

Cara penyediaan:

  1. Cuci bersih buah pir singo, potong bahagian atas dan buang bijinya di tengah.

  2. Boleh pilih untuk buang kulit atau biarkan sahaja.

  3. Masukkan hirisan halia, beri goji, sedikit air dan gula batu/madu.

  4. Tutup semula bahagian atas buah pir.

  5. Kukus 40–50 minit hingga lembut dan boleh dimakan.

Petua ini bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah orang dewasa yang mengalami masalah batuk dan sakit tekak juga boleh mengamalkannya.

Kelebihan Bahan Semula Jadi

  • Pir singo tinggi kandungan air, bagus untuk elak dehidrasi dan menyejukkan badan.

  • Halia mempunyai sifat antiradang, membantu melegakan batuk dan menguatkan imuniti.

  • Beri goji kaya dengan antioksidan, baik untuk kesihatan keseluruhan dan menenangkan tekak.

Petua tradisional ini boleh dijadikan alternatif semula jadi untuk ibu bapa yang mahu mencuba cara mudah dan selamat di rumah. Walaupun begitu, jika batuk anak berpanjangan atau semakin teruk, sebaiknya segera bawa mereka berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kesihatan anak adalah keutamaan. Apa pun cara yang dipilih, yang penting ibu bapa sentiasa peka dan tidak mengambil mudah gejala batuk serta sakit tekak pada si kecil.

Published by
Nana