
PELAWAK, pelakon dan pengacara tersohor tanah air, Nabil Ahmad sememangnya dikenali dengan gaya bersahaja dan jenaka yang mencuit hati. Namun di sebalik personaliti cerianya, tersimpan satu sisi jiwa besar yang cukup menyentuh hati seorang anak yang mahu menunaikan impian suci ibunya demi bekalan akhirat.
Impian Seorang Ibu, Realiti Seorang Anak
Segalanya bermula daripada hasrat seorang ibu, Rohaizah Abdul Latiff, yang kini menjalani rawatan dialisis sejak lapan tahun lalu. Dalam keresahan menghadapi hari-hari mendatang, ibunya sering meluahkan keinginan untuk menyumbang sesuatu sebagai bekalan akhirat.
“Ibu saya selalu tanya pasal madrasah… umur makin tua, jadi dia nak buat sesuatu sebagai bekalan akhirat,” kongsi Nabil dengan penuh emosi.
Tanah Warisan Jadi Ladang Pahala
Berpegang pada niat tersebut, Nabil kini sedang dalam proses membina sebuah madrasah di atas tanah pusaka milik keluarganya di Mambau, Negeri Sembilan, berkeluasan lebih kurang satu ekar setengah. Menariknya, projek ini bukan sekadar rumah ibadah, malah akan menjadi pusat ilmu lengkap dengan penempatan untuk ustaz dan pelajar, serta ruang pengajian terbuka buat komuniti setempat.
Kos pembinaan dianggarkan sekitar RM500,000, dan buat masa ini ia dibiayai sepenuhnya oleh Nabil sendiri.
“Insya-Allah nanti saya akan buka kepada sesiapa yang ingin turut serta… bila saya uar-uarkan nak buka madrasah, ramai mesej nak bantu,” katanya lagi.
Ibrah Buat Ibu Bapa
Kisah ini cukup menyentuh hati, Di saat dunia moden sering menyibukkan kita dengan hal keduniaan, kisah seperti ini mengingatkan kita tentang pentingnya nilai kekeluargaan, berbakti kepada ibu bapa dan memandang akhirat sebagai matlamat utama.
Anak seperti Nabil membuktikan bahawa kasih seorang ibu tidak sia-sia dengan didikan yang penuh nilai, sokongan spiritual dan keinginan ibu yang mulia akhirnya menjadi pemangkin kepada sebuah projek yang bakal memberi manfaat besar kepada masyarakat.
Rumah Kenangan Kini Jadi Tapak Ilmu
Menariknya, tanah yang digunakan juga menyimpan nilai sentimental tersendiri. Ia merupakan rumah kenangan zaman kecil Nabil, dan kini bakal melahirkan generasi penuntut ilmu agama.
Projek ini juga diumumkan secara rasmi dalam sidang akhbar The Chosen One Xtra X Jutawan Ekspress, dan telah menerima sokongan moral daripada media serta peminat.
Kisah Nabil ini membuktikan bahawa didikan ibu dari kecil boleh mencorakkan seorang anak yang berjiwa besar, malah mampu mengubah warisan keluarga menjadi ladang pahala berpanjangan.
Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat ibu bapa di luar sana bahawa segala jerih payah membesarkan anak, jika disertai dengan niat dan doa yang tulus, pasti ada ganjaran yang indah menanti.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!




















