
Nabila Razali mengakui kehidupannya kini lebih bermakna sejak bergelar ibu kepada anak lelaki, Nik Muhammad. Walaupun jarang berkongsi secara terbuka mengenai kehidupan keluarganya, penyanyi dan pelakon itu baru-baru ini berkongsi pengalaman membesarkan Muhammad serta detik paling mencabar ketika proses melahirkan cahaya mata sulungnya.
Bagi Nabila Razali, pengalaman menjadi seorang ibu merupakan perjalanan yang penuh warna, cabaran dan kebahagiaan. Walaupun menjaga anak memerlukan tenaga dan kesabaran yang tinggi, segala keletihan itu terasa berbaloi apabila dapat melihat Muhammad membesar dengan sihat dan ceria.

Seronok Menjalani Kehidupan Sebagai Ibu
Menurutnya, menjadi ibu memberikan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Penat menjaga anak sangat berbeza berbanding keletihan selepas bekerja kerana setiap masa bersama anak memberikan kegembiraan yang sukar diganti.
Katanya, walaupun tubuh memerlukan rehat, dia tetap mahu meluangkan masa bermain dan melakukan pelbagai aktiviti bersama Muhammad.
“Menjadi seorang ibu ini sangat ‘adventurous’ sebab macam mana penat pun, tetap rasa seronok. Selalunya kalau penat bekerja, kita mesti nak berehat. Tetapi apabila jadi ibu, kita nak berehat tetapi dalam masa yang sama tak nak berehat.
“Kalau boleh, nak bermain dengan anak setiap hari. Waktu anak tidur, kita nak dia bangun. Waktu dia bangun pula, kita nak dia tidur. Memang bercampur-baur perasaan itu.
“Menjadi ibu bagi saya adalah tanggungjawab terbaik yang pernah saya galas. Ia bukan perjalanan yang mudah, tetapi setakat ini saya sangat menikmatinya.”
Pernah Hampir ‘Breakdown’ Ketika Bersalin
Dalam perkongsian sama, Nabila Razali turut mengimbas kembali pengalaman melahirkan Muhammad yang dianggap antara detik paling sukar sepanjang hidupnya.
Menurut beliau, dia dimasukkan ke hospital selepas menyedari pergerakan bayi dalam kandungannya semakin berkurangan. Walaupun hasil pemeriksaan menunjukkan keadaan bayi berada dalam keadaan baik, doktor tetap mencadangkan proses induksi bagi memberi peluang untuk melahirkan secara normal.
Bagaimanapun, proses tersebut tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila dia terpaksa melalui tiga kali induksi dalam tempoh dua hari.

“Pengalaman bersalin saya agak berat kerana ada satu momen saya hampir nak ‘breakdown’ disebabkan prosesnya terlalu lama. Saya sudah menjalani induksi beberapa kali tetapi bayi masih belum keluar.
“Saya dimasukkan ke hospital sebab bayi sudah kurang bergerak. Alhamdulillah, bayi dalam keadaan baik. Saya memang mahu bersalin secara normal tetapi keadaan tidak mengizinkan. Bukan rezeki saya.”
Selepas menunggu selama dua hari dan menjalani tiga kali proses induksi, kongsi Nabila lagi dia akhirnya melahirkan Muhammad menerusi pembedahan caesarean.
“Saya menunggu selama dua hari. Selepas tiga kali melalui proses induksi, alhamdulillah Muhammad akhirnya keluar dengan selamat dan sihat.”
Gaya Keibubapaan Nabila Razali Yang Tegas
Bercerita mengenai pendekatan dalam membesarkan anak, penyanyi lagu Peluang Kedua itu mengakui dirinya merupakan seorang ibu yang tegas, terutama apabila Muhammad melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.
Pada masa sama, beliau percaya setiap perkara baik yang dilakukan anak perlu diraikan sebagai satu bentuk penghargaan dan galakan.
“Saya seorang ibu yang tegas. Kalau sesuatu perkara itu salah, saya akan tegur. Kalau dia melakukan perkara yang bagus, kita akan raikan.
“Jadi, ada konsep ‘good cop’ dan ‘bad cop’ antara saya dengan suami. Suami saya memang sangat baik dan sangat sayangkan anaknya. Kami berdua berbeza. Saya pula ada dua sisi.”

Perkataan Pertama Muhammad Adalah ‘Car’
Kini berusia setahun tujuh bulan, Muhammad semakin aktif dan menunjukkan perkembangan yang membanggakan. Menurut Nabila Razali, anak lelakinya mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap kereta, sama seperti bapanya.
Malah, perkataan pertama yang disebut oleh Muhammad bukanlah “mummy” atau “daddy”, sebaliknya perkataan “car”.
“Sekarang dia sangat suka kereta. Itu memang nombor satu dan sama betul dengan bapanya. Perkataan pertamanya sebenarnya adalah ‘car’.
“Dia tidak sebut ‘mummy’ atau ‘daddy’ dahulu. Dia cakap ‘car, car, car’ sambil menunjukkan ke arah kereta.”
Selain itu, Muhammad juga semakin berdikari apabila sudah tahu membuka peti sejuk untuk memilih minuman yang diinginkan sebelum meminta bantuan orang dewasa membukanya.
“Dia sudah pandai buka peti sejuk. Jadi, dia boleh ambil sendiri minuman yang dia mahu, cuma perlu minta orang bukakan sahaja. Dia sudah tahu apa yang dia mahu dan apa yang dia tidak mahu.
“Dia juga sudah pandai ambil tisu untuk lap hidung. Tetapi dia sebenarnya menggesel hidung menggunakan tangannya, jadi tisu itu langsung tidak kotor. Comel.”
Setiap Perkembangan Anak Menjadi Kebahagiaan
Walaupun perjalanan sebagai ibu dipenuhi cabaran dan pengorbanan, akui Nabila setiap perkembangan anak sulungnya itu menjadi hadiah yang tidak ternilai buat dirinya.
Baginya, melihat anak membesar dengan sihat, belajar perkara baharu dan menunjukkan pelbagai keletah comel sudah cukup membuatkan segala penat lelah terasa berbaloi.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





