Berita

Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”

Share

Hati mana yang tidak sebak apabila insan yang disayangi pergi dalam sekelip mata, apatah lagi ketika sedang menjalankan amanah dan berkhidmat untuk masyarakat.

Tragedi nahas helikopter FDS di Long Lellang, Sarawak, petang semalam bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam buat keluarga mangsa, malah khabar duka itu turut menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.

Lebih memilukan, mereka pergi ketika sedang melaksanakan tugas membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Di sebalik berita nahas yang mengorbankan lima individu itu, ada isteri yang kehilangan suami dan anak-anak kecil yang masih belum benar-benar mengerti mengapa ayah yang mereka rindui tidak lagi pulang seperti biasa.

Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri

Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah

Nahas Helikopter FDS: “Doakan Saya Dan Anak-Anak”

Seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) disahkan maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), petang semalam.

Menerusi perkongsian di Threads, Izzati Syamimi, isteri kepada juruterbang Kapten Zainol Afiq, berkongsi luahan pilu selepas mengetahui suaminya antara lima individu yang disahkan meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.

“Doakan saya dan anak-anak. Doakan suami syurga saya.”

Ringkas kata-katanya, namun cukup menggambarkan betapa berat ujian yang sedang ditanggung oleh seorang isteri yang kehilangan pasangan hidup secara tiba-tiba.

Lebih meruntun hati apabila anak-anak mereka masih menantikan kepulangan ayah.

“Mommy, Daddy Balik Kan Esok?”

Dalam perkongsian lain, Izzati berkongsi pertanyaan anaknya, Sofia, yang masih mengharapkan ayahnya akan pulang seperti biasa.

“Mommy, daddy balik kan esok? Sofia rindu daddy. Kenapa orang ramai dengan kita.”

Pertanyaan polos seorang anak kecil itu nyata mengundang sebak.

Sebagai seorang ibu yang sedang menanggung kesedihan sendiri, Izzati tetap cuba menguatkan hati anaknya meskipun jauh di sudut hati, dia sendiri masih mengharapkan kepulangan suami tercinta.

“Sofia, mommy daddy sayang Sofia. Mommy pun masih berharap yang daddy akan balik. Kita kena kuat. Anak-anak mommy semua kuat.”

Kata-kata itu cukup meruntun hati. Dalam keadaan kehilangan yang begitu besar, seorang ibu masih perlu mengumpulkan kekuatan untuk memujuk anak-anak yang belum memahami sepenuhnya erti sebuah perpisahan.

Kehilangan akibat nahas helikopter FDS itu bukan sahaja meninggalkan kesan kepada isteri dan anak-anak mangsa, malah turut dirasai masyarakat yang mengikuti perkembangan tragedi berkenaan.

Lima Individu Disahkan Meninggal Dunia Dalam Nahas Helikopter FDS

Juruterbang, empat petugas KKM disahkan maut dalam nahas helikopter – Residen Miri Sumber Foto: Bernama

Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan meninggal dunia selepas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Sarawak, petang Selasa.

Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan perkara berkenaan berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta KKM.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan oleh seorang juruterbang dan membawa empat petugas KKM yang terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan serta dua jururawat.

Kesemua petugas kesihatan berkenaan sedang menjalankan tugas rasmi ketika kejadian.

Misi Perkhidmatan Doktor Udara memainkan peranan penting dalam membawa perkhidmatan kesihatan kepada komuniti di kawasan pedalaman yang mempunyai akses terhad melalui jalan darat. Justeru, tragedi nahas helikopter FDS ini terasa begitu memilukan kerana mereka yang terkorban sedang melaksanakan amanah untuk masyarakat ketika kejadian.

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

CAAM Terima Maklumat Mengenai Kejadian

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pula memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan helikopter BO-105 itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Khabar mengenai nahas helikopter FDS itu kemudiannya menjadi berita duka bukan sahaja kepada keluarga lima individu yang terkorban, tetapi juga kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kejadian tersebut.

Nahas Helikopter FDS Tinggalkan Luka Buat Keluarga

Tragedi ini pastinya meninggalkan luka yang sukar digambarkan dengan kata-kata, terutama buat pasangan, anak-anak serta ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba.

Di sebalik setiap nama yang dilaporkan sebagai mangsa, ada keluarga yang menunggu mereka pulang, ada pasangan yang kehilangan tempat bergantung dan ada anak-anak yang masih merindui pelukan seorang ayah.

Luahan Izzati dan pertanyaan polos Sofia memperlihatkan sisi paling menyayat hati di sebalik nahas helikopter FDS ini. Kehilangan secara tiba-tiba pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi oleh anak-anak yang masih kecil.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan ketabahan buat seluruh ahli keluarga mangsa dalam menghadapi ujian berat ini serta menempatkan mereka yang terkorban dalam kalangan insan yang dirahmati-Nya.

Al-Fatihah.

Sumber:  Kosmo, Bernama

Published by
Nor Yusoff