Tidak dinafikan, bukannya mudah untuk kita nak bawa anak kecil menaiki pesawat tanpa meraka merasa gementar dan rimas. Persekitaran yang tertutup dan dikelilingi oleh orang-orang yang tak dikenali mungkin akan menyebabkan anak merasa kurang selesa dan takut.
Sebab itulah kadang-kadang anak mungkin akan menangis dan tantrum ketika dibawa menaiki pesawat. Ia adalah perkara normal untuk anak-anak kecil terutamanya untuk pengalaman kali pertama.
Bukan sahaja anak kecil, bahkan kanak-kanak istimewa seperti austisme juga mungkin akan merasa tak selesa dengan keadaan ini. Mereka berpotensi untuk mengamuk sekiranya ada yang tak kena.
Bercerita tentang situasi ini, aktres dan ahli perniagaan jelita yang juga merupakan ibu kepada Nur Fatima Aisya, Fazura berkongsi gambar percutiannya bersama keluarga disertakan dengan kapsyen yang mendapat perhatian warganet.
Pernah tak anda semua bawa anak-anak kecil naik kapal terbang, dan mereka gementar dalam perjalanan di udara? Anak-anak kecil, macam Fatima baru nak masuk dua tahun. Sepupu Fatima pula Anak Syurga, autistik.
Apa perasaan anda jika ada penumpang wanita lain mengherdik “IF YOU GUYS CAN’T HANDLE YOUR KIDS, THEY SHOULDN’T BE FLYING!!” sambil menunjuk-nunjuk jari ke arah anak anda?
Semoga Allah SWT memberikan kesabaran kepada semua ibubapa terutama para ibu dalam menjaga amanahNya. Amiin.”
Mungkin rasa ralat dan kecewa menyebabkan isteri kepada Fattah Amin ini bertanyakan tentang keadaan tersebut. beliau berharap agar ibu ayah bersabar ketika menjaga anak-anak yang dikurniakan sebagai amanah.
Rakan selebriti dan para pengikut Fazura turut meluahkan rasa tak puas hati terhadap penumpang wanita itu yang tidak boleh bertimbang rasa dengan keadaan orang lain yang membawa anak kecil dan anak istimewa.
Bukan mudah nak bawa anak kecil mahupun anak istimewa travel. Tak semestinya menaiki pesawat, tetapi perjalanan menggunakan apa saja jenis pengangkutan juga sebenarnya bukanlah keadaan yang digemari oleh anak. Seharusnya kita menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan cuba untuk memahami situasi begini.
Dua beradik ditemui lemas di dalam kolam ikan di sebuah tapak projek berhampiran kediaman mereka di Bandar Baru Air Putih, Balik Pulau, pada Rabu.
Mayat kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia lima dan empat tahun itu ditemui terapung oleh ibu mereka pada jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki warga Indonesia yang juga bapa mangsa memaklumkan kejadian tersebut pada jam 1.15 tengah hari.
Lelaki berkenaan memberitahu dua anaknya terjatuh ke dalam kolam ikan yang mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter di tapak projek berhampiran rumah kongsi mereka.
“Ibu kanak-kanak itu memberitahu anaknya keluar bermain dan tidak pulang ke rumah menyebabkan dia keluar mencari mereka.
“Dia kemudian menemui selipar anaknya di tepi kolam sebelum melihat anak perempuannya terapung di dalam kolam tersebut.
“Dia kemudian memanggil suaminya untuk mencari anak lelakinya yang turut lemas dan menemuinya tidak lama kemudian,” katanya di sini pada Rabu.
Katanya, pasukan perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia dan mayat mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.
Seia sekata membesarkan anak dengan cara mereka sendiri. Amalan selalu bercakap dengan anak sejak dari dalam kandungan rahsia Amarra jadi petah
Setiap kali menatap pasangan ini di Instagram, tidak kering gusi dibuatnya. Ada-ada sahaja lawak jenaka Azad menceriakan suasana keluarga.
Azad Jazmin dan Eira Syazira pasangan serasi kini bahagia dengan tiga cahaya mata. Amarra Sofea Rose, 5, Ameisya Leanne Rose, 1 dan Areisya Suri Rose, 5 bulan menjadi pengikat kasih sayang pasangan selebriti ini.
Kedua-dua selebriti mempunyai persefahaman dalam mendidik anak. Pasangan ibu bapa muda ini mahu anak mereka menjadi anak yang cemerlang seimbang dunia dan akhirat. Penerapan elemen asuhan dan didikan serta mengutamakan anak melebihi segala-galanya.
KARAKTER KELAKAR MENAMBAT HATI
“Azad mempunyai ciri seorang lelaki yang saya cari selama ini. Perkenalan pertama kami ialah bila sama-sama berlakon dalam sebuah drama. Ketika mekap, saya ternampak seorang lelaki kacak tinggi lampai datang ke set. Siapakah lelaki itu kacak persis Amitabh Bhachan? Dia kemudian memperkenalkan dirinya kepada saya. Ketika itu, Azad memegang watak tambahan dan hanya mempunyai satu scene sahaja. Selama ini hanya tengok di TV sahaja, tak pernah berjumpa in person, hati berdebar-debar. Saya sukakan karakter dia yang kelakar dan bersahaja,” kata Eira tentang suami yang dikahwininya pada 16 September 2011 lalu.
FAMILY MAN
Lama kelamaan hubungan kedua-duanya semakin akrab sehingga menjadi pasangan kekasih. Apabila diperkenalkan kepada kepada ibunya, Eira tidak merasakan jurang dan tertawan dengan layanan baik ibu Azad. Bahkan dia amat tertarik dengan cara Azad melayan kepada ibunya. Cara percakapan dua beranak itu membuatkan Eira kagum. Tanpa membuang masa, lantas Eira mengatakan kepada dirinya “Lelaki ini mesti jadi ayah kepada anak-anakku nanti.”
Ternyata selepas berkahwin dan menimang cahaya mata, Azad mempraktikkan apa yang dilakukan oleh Allahyarham bapanya kepada anak-anak. Kerap berkomunikasi, caring dan bonding yang sangat kuat dengan anak-anak menjadikan Azad bapa yang sempurna di mata Eira. Azad memang family man. Dia amat teliti tentang anak-anaknya dan sanggup berhabisan untuk mereka. “Anak-anak perlu sentiasa kemas dan tidak boleh comot. Kalau tidak Azad akan tanya kenapa. Dia memang akan lakukan apa sahaja untuk anak-anaknya,” kata Eira tentang suaminya.
AZAD SEBAGAI PAPA
Bila ditanya bagaimana mendidik anak-anak, lelaki penuh humor ini menjadikan ibu bapanya ialah idola. “Ibu bapa saya begitu rapat dengan kami adik beradik. Saya mengaplikasikan apa yang mummy& daddy saya lakukan iaitu sentiasa bercakap dengan anak-anak dan melatih kami agar saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Daddy saya berketurunan Serani dan mummy pula Melayu. Cara didikan kepada kami adik beradik adalah kombinasi kedua-duanya,” kata Azad.
Selain itu, bagi Azad, menjadi seorang ayah bermakna dia perlu pandai mengawal keadaan. Hal kerja dan perniagaan ditinggalkan di luar pintu sebelum masuk ke dalam rumah. Di rumah, dia bukan ahli perniagaan atau pelakon, tetapi suami dan ayah kepada anak-anak.
Azad memang suka berbual dengan anaknya walau pun ketika anaknya masih di dalam kandungan. Azad juga melayan anak-anaknya bermain dan bercakap seperti kanak-kanak yang sudah besar supaya pemikiran anak lebih berkembang. Kelebihan kepada Azad ialah dia boleh mengatur jadual hariannya dengan lebih baik dan mempunyai lebih banyak masa dengan keluarga.
Membesar sebagai anak sulung, Azad juga melatih Amarra untuk menjadi pelindung dan pemimpin untuk adik-adiknya. Setiap anak mempunyai keunikan dan keistimewaan masing-masing. Azad menyayangi ketiga-tiga anak perempuan sama rata dan berharap semuanya menjadi insan yang seimbang dunia dan akhirat.
KEPETAHAN AMARRA
Anak sulung pasangan ini amat menonjol karakternya. Amarra Sofea Rose yang kini berusia lima tahun petah dan mempunyai perwatakan ceria. Kerana kepetahan dan keakrabannya dengan Azad, kedua-duanya terpilih untuk program Oh My Family di Astro. Amarra yang kini sedang bersekolah tadika banyak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah.
Amarra juga digelar Eira sebagai Azad Junior. Apa sahaja yang disukai bapanya akan menjadi kegemaran anak kecil itu. Didikan sejak kecil dan ikatan kuat antara dua beranak ini terjalin erat. Sejak Amarra di dalam kandungan Eira, Azad akan berbual dan selepas dilahirkan, dia menghabiskan banyak masa berinteraksi dengan Amarra walau pun pada ketika itu masih bayi. Kata Azad, mungkin kerana itu, Amarra mudah menerima arahan dan petah berkata-kata.
Azad & Eira teruja jadi hos rancangan Pa&Ma. Dengan situasi terkini mereka sebagai ibu bapa kepada tiga anak pelbagai usia, penglibatan ini memperkayakan ilmu keibubapaan mereka. Rancangan yang bakal ke udara pada jam 12 tengah hari, setiap Selasa bermula 12 Jun 2018 di Astro Prima & Maya HD. Program ini nanti bakal mengutarakan tajuk-tajuk menarik keibubapaan seperti Jutawan Cilik, Kehamilan IVF, Homeschooling dan sebagainya.
Tiada yang mustahil dalam rumah tangga jika suami atau isteri saling membantu dan bertolak ansur. Ingat apabila dah berkahwin semua urusan rumah tangga dan membesarkan anak perlu sama-sama.
Bagi suami yang ada kelebihan memasak, sekali sekala apa salahnya tunjuk skil itu dan hidangkan air tangan ayah pula pada anak. Kalau tak pun, bantu urus kerja rumah atau jaga anak pun kira ok.
Perkongsian dari seorang bapa dan juga suami, Dr Syahr Musafir ini boleh memberi inspirasi pada pasangan suami isteri untuk sentiasa membantu demi kebahagiaan keluarga.
Ini rahsia saya…
“Bangun pukul berapa nak masak-masak sarapan pagi dan bekal sekolah ni?” Ini satu soalan yang selalu ditanyakan.
“Bangun awal, tak rasa penat ke? Makan apa supaya tak rasa mengantuk apabila kerja….” juga salah satu soalan paling popular.
Jawapannya,
1) Bangun awal. Jam berapa? Saya cerita di bawah.
2) Kalau tak penat tu bukan manusialah. Mestilah kepenatan itu wujud dan dirasa. Tetapi bukan penat itu yang sebenarnya patut difikirkan…
Begini ceritanya,
Sekitar bulan November hingga Disember 2017, kami sedang menyiapkan barang persekolahan Along ST yang akan melangkah ke Tahun 1 pada Januari 2018, ketika itu saya fikir apabila Along mula bersekolah, anak ketiga kami Aboy (akan) berusia 1 tahun 1 bulan, masih menyusu badan.
Sebagai seorang ayah, saya mahu anak ke sekolah dengan bersarapan terlebih dahulu di rumah sebelum ke sekolah. Malah, saya fikir, bekalkan anak dengan makanan dari rumah adalah lebih baik daripada membeli makanan di kantin/luar.
Namun, sebagai seorang suami, saya tidak rasa idea untuk membiarkan isteri saya bersusah di dapur dengan kapasiti Aboy yang masih menyusu badan itu adalah idea yang baik. Maka, saya buat keputusan lebih baik saya yang memasak sarapan sekaligus bekal untuk anak sekolah.
Thus, the struggle begins.
Susah pada mulanya, tetapi setelah terbiasa, jadi ringan, mudah dan sekarang (setelah lebih 2 tahun melakukannya), saya jadi seronok! Subhanallah.
Rahsia saya,
1) Bangun pagi ikut ‘menu’ makanan yang akan dimasak.
Ada menu yang susah atau memakan masa untuk memasaknya (contoh kek, perlu bakar atau kukus lama), maka saya bangun sekitar 4.30 atau 4.45 pagi.
Ada menu yang senang (contoh nasi goreng), saya bangun sekitar 5 atau 5.15 pagi.
Ada menu yang boleh dimasak dengan cepat tetapi penyediaan bahannya agak cerewet (contoh nak buat mi kari atau potato salad), ada bahan-bahan yang saya sediakan malam sebelum tidur dan bangun sekitar 5 pagi esoknya untuk memasak.
Ada masanya ‘terbabas’ maka kelam-kabutlah memasak, tetapi Alhamdulillah Allah mempermudahkan semua urusan.
Ya, saya rancang apa nak masak esok paginya pada petang atau malam sebelum itu. Dah ada idea dah, jadi senang. Paginya bangun terus masak, tak perlu mengelamun cari idea.
2) Menunaikan solat sunat, sekurang-kurangnya 2 rakaat, sebelum mula memasak.
Sedar dari tidur, bangun, cuci muka dan ambil wudhu’, tunaikan solat. Sekurang-kurangnya 2 rakaat.
Biasa saya buat 2 rakaat solat sunat tahajjud. Jika ada masa, tambah 2 rakaat solat sunat taubat. Jika masih ada masa, tambah 2 rakaat solat sunat hajat. Dan ‘tutup’ dengan solat sunat witir, ikut keadaan.
Percayalah kata saya, pagi yang dimulakan dengan solat qiyamullail itu buat saya cergas, bertenaga, seronok, gembira dan tak penat, bukan sekadar masa memasak pagi sahaja, tetapi sepanjang hari.
Berbeza sangat dengan pagi/hari tak buat solat sunat, ada je benda tak kena. Penat tu salah satu benda yang berlaku. Rasa lemah badan. Terkadang jadi moody, tak ada mood.
Tetapi hari solat, tak rasa susah pun. Kita minta Allah mudahkan urusan kita, maka Allah mudahkan. Subhanallah.
Jadi 5 hari anak-anak bersekolah, maka sekurang-sekurangnya 5 pagi/malam/hari saya dapat tunaikan qiyamullail. Dulu agak payah juga, sekarang mudah. Dah jadi rutin.
Jangan risau, memang sempat je ke surau atau masjid. Mahu atau tak mahu je.
3) Masak resepi yang ringkas, bagi saya. Saya tak suka yang susah-susah, maka saya customize resepi ikut selera kami sekeluarga sahaja.
Orang lain masak bihun goreng letak itu ini, wajib blend cili kering segala bagai, saya pilih resepi bihun goreng Singapura yang tak perlu guna cili kisar tetapi sekadar bawang dan black pepper saja. Orang lain masak spageti sos tomato kena buat itu ini jadi rumit, saya pilih memasak spegati aglio e olio yang guna minyak zaitun, chilli flakes dan bawang putih je. Pilih yang memudahkan.
4) Saya kongsi di Facebook, dengan tujuan mahu naikkan semangat sendiri.
Saya share gambar, celoteh atau resepi, ada orang Like dan Komen, saya rasa seronok. Tak kisahlah walaupun tak ramai yang Like, saya anggap perkongsian saya tak negatif, tak buruk, of course niat LillahiTaala, maka saya share.
Secara jujurnya, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang pernah Like dan Komen (dan Share), sebab anda semua memberi semangat kepada saya untuk terus istiqamah memasak sarapan pagi sekeluarga dan bekal sekolah anak-anak. You guys are awesome!
5) Pelbagaikan menu, supaya kita sebagai tukang masak, tak rasa jemu nak memasak.
Saya benar-benar pelbagaikan.
Masakan Melayu, Cina, Barat, India, pelbagai. Semalam masak mi, hari ni sediakan roti, esok sediakan pasta. Gilir-gilir, selang-seli, tukar-tukar.
Bahkan apabila kita buat sebegini, kita jadi kreatif, kita jadi seronok, kita boleh cari idea baru, saya jadikan aktiviti dengan anak-anak mencari resepi dan idea masakan, macam-macam. Jadi teruja, seronok dan mengeratkan hubungan.
6) Sebagai suami, isteri menjadi support kuat saya. Isteri tak komplen masakan tak sedap ke, tetapi diam saja.
Lama-lama si suami ni belajar sendiri rasa itu dan menambahbaikkan rasa sendiri. Isteri saya bangun awal pagi juga, saya masak isteri solat atau lipat baju atau kemas rumah…
Sebagai seorang lelaki, ibu saya support saya memasak untuk keluarga saya. Ini juga support kuat. Ibu perlu beri galakan kepada anaknya (kita) untuk memasak, bukan komplen menantu (isteri kita) tak memasak.
Anak-anak pasti support punya. Saya ni, masak apa pun, setiap hari anak-anak kata saya masak sedap. Perghhhhhhh, seronok weyyyyy.
7) Semestinya semua ini perlu dilakukan dengan niat yang baik.
Niat lillahi taala, pastilah terbaik.
Niat bantu isteri, terbaik.
Niat masak makanan sihat untuk keluarga, terbaik.
Niat tak nak guna MSG segala tu, terbaik.
Niat jimatkan duit, terbaik.
Niat ibadah sama ada solat, masak, urus keluarga, semua ini terbaik.
Niat nak ikut sunnah Rasulullah menyantuni keluarga dengan baik, terbaik.
Niat semua yang baik-baik, Allah pasti bantu.
Dan satu perkara penting juga, lakukannya dengan baik. MasyaAllah, kita rasa seronok sebab rasa dekaaaaaat dengan Allah. Amalan menyantuni keluarga dengan baik, termasuk memasak ini, adalah amalan ajaran Rasulullah SAW, kan?
Allah pasti bantu memudahkan.
Dan sekarang ini, anak-anak sudah tahu, setiap pagi nampak hidangan terhidang, anak-anak akan bantu ambilkan pinggan, sediakan sudu garfu, ambilkan gelas, duduk sama-sama menikmati makanan yang disediakan.
Sebelum anak mula sekolah rendah, saya ada juga masak. Kadang-kadang je la, sebab isteri nak masak. Sekarang ni pun isteri nak masakkan sebab tak nak susahkan saya, tetapi saya minta isteri beri peluang saya pun nak buat kebaikan untuk keluarga juga. Saya masak pagi, isteri masak tengah hari/malam. Kerjasama dengan penuh kasih sayang gittewww.
Kepada yang belum follow dan nak resepi best, tekan follow FB Syahr Musafir ye.