Setiap wanita yang disahkan hamil pasti berdoa agar kehamilan mereka dipermudahkan dan bayi di dalam rahim juga sentiasa sihat. Sesuatu kehamilan itu boleh dimulakan dengan amalan-amalan sihat untuk menjaga kandungan si ibu.Trimester pertama ialah permulaan kepada kehamilan anda.
Bila disahkan hamil, ada ‘seseorang’ dalam rahim anda iaitu janin. Anda seolah-olah tidak percaya dan dalam masa sama teruja dan gembira. Bermula dari saat itu juga, anda harus menjaga kehamilan dengan baik agar bebas daripada komplikasi dan berpeluang menimang cahaya mata yang sihat.
Amalan Terbaik Untuk Ibu Amalkan Pada Trimester Pertama
Cari maklumat
Dapatkan informasi sebanyak mungkin tentang apa yang perlu anda lalui daripada trimester pertama hingga trimester akhir kehamilan. Anda perlu lakukannya bagi mendapatkan maklumat penting agar dapat menjalani kehamilan yang sihat. Dapatkannya melalui buku, majalah, surat khabar, televisyen, internet dan lain-lain.
Elak dehidrasi
Di trimester pertama, anda sering mual dan muntah hingga menyebabkan dehidrasi. Oleh itu, banyakkan minum air kosong, susu atau jus buah-buahan segar. Malah, minuman yang diambil secukupnya, dapat membantu anda mengatasi masalah sembelit yang mungkin dihadapi.
Anda tidak perlu makan untuk dua orang! Keperluan tenaga tidak berubah dalam tempoh enam bulan pertama kehamilan. Ia hanya meningkat sedikit dalam tempoh tiga bulan terakhir iaitu sekitar 200 kalori sehari. Pastikan diet anda seimbang.
Elak penyebab muntah
Hindari pelbagai jenis bau-bauan yang kurang menyenangkan. Dengan itu, ia dapat menghindarkan anda daripada rasa mual. Biasakan juga diri untuk memberus gigi selepas makan. Untuk menghindarkan rasa mual, usahakan untuk bangun secara perlahan-lahan daripada keadaan berbaring. Jangan dilakukan secara spontan. Antara lain, makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap.
Ikuti pemeriksaan antenatal
Ketika hamil, kesihatan diri anda dan bayi perlu diutamakan. Atas sebab ini, anda perlu mengikuti rutin pemeriksaan antenatal sebelum minggu ke-12 bagi membantu doktor memantau keadaan anda dan perkembangan bayi.
Ads
Makan ikan
Beberapa kajian menunjukkan minyak ikan yang mengandungi asid lemak omega-3 mempunyai kesan baik terhadap pra eklampsia, berat kelahiran bayi dan perkembangan otak bayi di peringkat akhir kehamilan. Hal ini kerana ikan berminyak.
Mengandungi protein, mineral, vitamin D dan asid lemak omega-3. Anda digalakkan makan ikan tenggiri, salmon atau sardin dua kali seminggu. Anda juga boleh memakan jenis ikan lain seberapa banyak yang anda suka.
Bersenam selalu
Ads
Bersenam boleh menimbulkan keceriaan dan membantu anda elak kemurungan semasa hamil. Pakar perubatan menyatakan senaman mempunyai kesan positif ke atas bahan kimia otak seperti serotonin dan dopamina yang membantu mengawal emosi dan perasaan. Senaman yang sesuai untuk wanita hamil adalah seperti berjalan, berenang dan aerobik air.
Senaman lantai pelvis
Sejak daripada awal kehamilan, anda digalakkan untuk mengamalkan senaman lantai pelvis yang bermanfaat ketika proses kelahiran. Malah ia juga baik untuk diri anda selepas melahirkan nanti. Anda digalakkan untuk melakukannya tiga kali sehari.
Kurangkan kafein
Penyelidik berpendapat terlalu banyak kafein yang diambil semasa hamil boleh menyumbang kepada risiko bayi mempunyai berat badan lahir rendah atau meningkatkan risiko keguguran. Jika tetap terasa mahu ambil kopi, jangan berlebihan. Paling banyak, hanya dua cawan sehari.
Empat cawan teh sehari untuk mengelakkan bayi terjejas dengan kesannya. Sebaik-sebaiknya, beralih kepada kopi tanpa kafein, teh atau jus buah-buahan segar. Alternatif lain ialah minum segelas air kosong dengan perahan lemon atau limau.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Situasi cemas saat kelahiran boleh terjadi bila-bila masa. Fetal distress misalnya adalah masalah bayi yang ‘stres’ (fetal distress) akibat oleh kekurangan darah atau oksigen.
Fetal distress lazimnya terjadi ia disebabkan oleh masalah fungsi plasenta atau uri. Turut menjadi penyumbang ialah usia kandungan sudah melewati tarikh jangkaan bersalin.
Muhammad Aydan Yaaqub Bin Muhammad Reduan nama diberi.
Muhammad (yang terpuji)
Aydan (pemuda yang bersemangat)
Yaaqub (pilihan nama dari 25 Rasul).”
Dalam perkongsian ibu ini, bayinya mengalami situasi fetal distress apabila bayi kurang bergerak.
“Saya boleh tunggu, awak boleh tunggu. Tapi baby tak boleh tunggu,”
Tatkala mendengar ayat doktor, ibu yang asalnya enggan untuk dibedah akhirnya akur demi keselamatan bayi yang dikandung. Si kecil Muhammad Aydan Yaaqub seberat 3.34kg selamat dilahirkan pada 16 April 2019 pada ham 11.37 malam. Berikut kisahnya;
PERLU KIRA GERAKAN BAYI
Masuk hospital sebab baby kurang gerak. Sebab tu pentingnya ibu kena jaga kiraan gerakan sebab kita tak nampak baby dalam perut.
38+ weeks + Gestational Diabetes Mellitus (Diet Control). Emergency ceaser fetal distres dan baby terbelit tali pusat. Alhamdulillah semuanya selamat dan dimudahkan. 44 hari sudah berlalu.
“Saya boleh tunggu, awak boleh tunggu. Tapi baby tak boleh tunggu.”
Masih tergiang kata kata doktor.
Mulanya ke hospital kerana baby kurang gerakan. Tak aktif seperti selalu. Konon datang hospital untuk check jantung baby saja. Tak sangka kena admit dan terus bersalin walaupun tarikh due lagi seminggu.
4CM TERUS KE LABOUR ROOM
38+ weeks, baby sudah cukup matang. Benda dah boleh bawa keluar, buat apa nak simpan. Diberikan induce. Bukaan 4cm, terus di bawa ke labor room.
BUKAAN TIDAK BERTAMBAH, NADI BAYI MAKIN LEMAH
Seusai solat Isyak, bukaan masih sama. Contraction semakin kuat. Namun denyutan nadi baby di mesin CTG menunjukkan semakin lemah.
Nampaknya kena emergency cesarean menurut doktor. Fetal distress. Kalau tidak baby boleh lemas.
Ini lah hikmah nya disebalik kena admitted hospital awal, dari normal kepada emergency, dari labor room kena tolak masuk operation theatre.”
HASRAT BERSALIN NORMAL TIDAK KESAMPAIAN
Semangat berkobar kobar dah nak meneran. Pompom girl juga dah sedia kat sebelah. Hasrat untuk bersalin normal akhirnya tidak kesampaian. Namun itu tidak lah sedikit pun menurun kan darjat seorang ibu.
“SAYA BOLEH TUNGGU, AWAK BOLEH TUNGGU. TAPI BABY TAK BOLEH TUNGGU”
“Boleh tak kalau kita tunggu lagi doktor? Saya takut. Kalau normal je tak boleh?”
“Saya boleh tunggu, awak boleh tunggu. Tapi baby tak boleh tunggu. Awak boleh tengok sendiri graf jantung baby. Bukaan baru 4cm, nak tunggu sampai 10cm kita tak tahu berapa lama. Air ketuban pun dah dipecahkan.”
BERKORBAN MENYELAMATKAN SATU NYAWA
Pilihan apa yang ada? Menangis teresak esak masa sign borang kebenaran untuk dibedah. Ya, takut. Sungguh takut. Dibelah 7 lapisan dari kulit hingga ke lapisan rahim. Kemudian dijahit kembali satu persatu. Tapi untuk berkorban menyelamatkan satu nyawa, ku serahkan pada ahli nya.
Terus dibawa ke dewan bedah, suntikan bius spinal diberikan oleh pakar bius. Kebas dari abdomen ke bawah. Semasa pembedahan, terasa perut digoyang goyang digodek godek, mulut tidak henti berzikir doa taubat Nabi Yunus. Ewan disebelah menjadi penguat semangat. Menanti keluarnya zuriat kami yang ditunggu.
“Harum. Takkan pernah lupa bau wangi segar baby masa ni.”
SEGALA KETAKUTAN HILANG
Tuhan yang Maha Baik, hilang segala ketakutan kerisauan saat terdengar tangisan anak sejurus dibawa keluar dari rahim. Dibersihkan oleh midwife dan diletakkan diatas dada. Wangi, harum sungguh bau mu nak.
Untuk kali pertama nya mata bertentang mata. Cinta pandang pertama. Kemudian baby diberi pada Ewan untuk diazan dan di taknik.
Dalam botol kecil tu air zam zam. Kurma pun ada. Disediakan oleh pihak hospital untuk taknik selepas bayi diazankan.”
Pengalaman pertama melahirkan, jadi seorang ibu. Cukup mencabar rupanya. Nama pun beranak, mesti sakit. Hilang saja ubat bius, azab nya Tuhan saja tahu. Pedih, nyilu, nak bangun kena perlahan lahan, batuk bersin rasa nak terkeluar isi perut. Penderitaan di seminggu pertama.
NAK BERKEBAYA MERAH DI HARI RAYA
Masuk minggu ke 2, kesan luka operate dah kering. Jalan pun dah laju. Boleh batuk bersin ketawa tepuk amai amai. Dibantu oleh Confinement Lady selama 21 hari. 23 hari pantang sendiri sepenuhnya. Berakhir sudah 44 hari berpantang. Alhamdulillah.
Lupakan kain batik. Lepas ni Mak nak berkebaya merah di hari raya. Terima kasih pada yang sudi baca sampai habis. Sekadar berkongsi pengalaman. Saya doakan kawan kawan yang belum menimang cahaya mata di rezeki kan juga selepas ini. Insya Allah.
Setiap muslim diwajibkan untuk menunaikan kewajipan solat. Begitu juga dengan seorang ibu yang sedang sarat hamil. Tapi bagaimana pula jika ketika menghampiri Tarikh jangkaan bersalin, keluar tanda-tanda yang menyebabkan ibu hamil ragu-ragu sama ada masih boleh mengerjakan solat atau sebagainya.
Dalam satu persoalan yang diutarakan menerusi laman web Mufti Wilayah Persekutuan mengenai keluarnya darah bercampur lendir dan juga air ketuban secara berterusan sebelum bersalin. Apakah dalam keadaan tersebut wanita hamil perlu mandi wajib dan terus bersolat, ini jawapan yang diberi.
Berikut adalah penjelasan terperinci oleh Mufti Wilayah tentang hal ini yang wanita patut tahu.
Soalan:
Assalamualaikum SS Dr. Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Waalaikumussalam WRM W.B.T. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai permasalahan darah wanita:
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE – 226: Keluar Darah Dari Faraj Kerana Pembedahan Buang Fibroid http://bit.ly/3bfm9V2
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi. Rujuk: https://en.wikipedia.org/wiki/Amniotic_fluid
Antara fungsi cecair amniotik ialah :
Hal ini sebagaimana Firman Allah S.W.T:
فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ
Maksudnya: “Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim)”.
(Surah al-Mursalat :21)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Tuntasnya setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Semoga dengan jawapan yang diberi dapat menjelaskan apa yang mungkin bermain di fikiran ibu-ibu hamil dan dapat memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.
Apabila kandungan semakin besar, kebanyakan ibu hamil akan memilih untuk tidur secara mengiring. Ini untuk memberi keselesaan pada si ibu. Namun ada juga ibu hamil selesa tidur terlentang atas sebab tertentu.
Bagaimanapun, menurut Doktor Kesihatan Wanita & Kehamilan, Dr Muhammad Izzat, beliau menyarankan semua ibu mengandung untuk berbaring secara mengiring bila kehamilan dah mencecah 28 minggu.
Nak tahu kenapa? Berikut adalah penjelasannya.
Kalau ibu berbaring terlentang pada 3 bulan terakhir kehamilan (bermula 28 minggu), rahim yang besar boleh menekan salur darah utama dan kurangkan pengaliran darah pada rahim dan bekalan oksigen pada bayi akan terjejas.
Nak mengiring kiri ke kanan?
Mana-mana boleh. Tak ada masalah. Kalau memula tidur tu dah mengiring, tetiba bangun dah terlentang, macam mana?
Normal la tu posisi tidur berubah-ubah kan? Yang paling penting, masa nak berbaring – tak kisah la tidur waktu malam atau taking a nap, perlu mengiring kiri atau kanan. Bila bangun tu dah terlentang tak apa.
Apakah risiko bayi meninggal secara tetiba sekiranya saya baring secara terlentang?
Kajian menunjukkan secara keseluruhan, risiko kematian bayi secara tiba-tiba berlaku 1 dalam 500 kehamilan. Kajian terbaru telah mengesahkan bila ibu tidur mengiring, risiko bayi mati secara mengejut dalam kandungan ni dapat berkurang 50 peratus.
Saya pasti, tidur terlentang dengan abdomen yang besar tu pun sebabkan ibu tak selesa kan?
Anak ada bakat? Sertai Bakat Cilik Pa&Ma sekarang!! Kalau anak-anak ada bakat hebat, janganlah simpan sendiri. Jom, support mereka dengan menyertai Bakat Cilik Pa&Ma. Rakam aksi anak-anak dengan bakat mereka dan hantarkan kepada Pa&Ma.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!